Jumaat, 30 Mac 2018

Jangan main sebut hal agama secara tidak benar

Ada orang yang kurang pengetahuan tentang agama Islam bermudahan dalam perkataan mereka tentang agama, tentang Al-Quran, tentang al-sunnah dan juga tentang Allah serta perkara-perkara Islam.

Misalnya ada orang berkata, "Kalau aku menjadi Tuhan, nescaya aku tidak akan menciptakan orang seperti kamu!"

Perkataan ini adalah haram!

Sekalipun tujuannya ialah untuk bergurau atau disebut tanpa memaksudkan untuk menghina Allah namun ianya tetap dilarang!

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنْتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ

"Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu), tentulah mereka akan menjawab, "Sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main saja". Katakanlah: "Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu selalu berolok-olok?" (Al-Taubah:65)

Penegasan ayat,

أَبِاللهِ وَءَايَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِءُونَ

“Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu bergurau-senda?....sudah cukup memberi amaran bahawa perkara seperti ini tidak boleh diucapkan oleh orang yang beriman.

Para ulama bersepakat secara ijmak bahawa haram ketuhanan Allah, kenabian nabi salallahualaihiwassalam dijadikan senda gurau, ucapan kalau aku jadi nabi, kalau aku jadi tuhan dan lain-lain semuanya adalah haram diucapkan.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA (wafat 57 H) bahawa Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda;

إن الرجل ليتكلم بالكلمة لا يرى بها بأسا يهوي بها سبعين خريفا في النار

'Sesungguhnya seorang lelaki (atau perempuan) bercakap-cakap dengan beberapa kalimah yang dianggapnya sebagai ringan atau dipandang sebagai tidak mengapa namun kerananya dia terjatuh selama tujuh puluh tahun ke dalam neraka.'

[HR. Al-Tirmidzi]

#Politikhormatagama
#Berpolitikbiarcermatdanberiman

Ustaz Emran Ahmad

TAZKIRAH: TANDA-TANDA KETEWASAN JIWA.

Apabila hati manusia telah mati atau menjadi keras, apabila cahaya manusia telah padam dan tidak bersinar lagi atau apabila ia telah tumpas dalam pertarungannya menghadapi syaitan maka terbukalah pintu-pintu masuk segala kejahatannya terutama ke dalam dirinya, kerana syaitan itu meresap di dalam diri anak Adam sebagaimana pengaliran darah di dalam tubuhnya.

Sebenarnya apabila benteng pertahanan dan kekuatan manusia telah runtuh maka syaitan akan kembali menjadi teman karibnya sebagaimana firman Allah:

اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمُ الشَّيْطَانُ فَأَنسَاهُمْ ذِكْرَ اللَّهِ

“Syaitan telah menguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa kepada Allah.”

(Surah Al-Mujadilah [58]: Ayat19)

Inilah kandungan maksud yang dibayangkan oleh Al-Qur’an al-Karim yang menyatakan:

قَالَ فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأَقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَ {١٦} ثُمَّ لَآتِيَنَّهُم مِّن بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ {١٧}

“Iblis berkata: Oleh kerana engkau telah menghukum aku sesat, aku akan menghalang-halangi mereka dari jalan engkau yang lurus. Kemudian aku akan mendatangi mereka dari hadapan dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka.”

(Surah Al-A'raf [7]: Ayat 16)

Sebenarnya selain dari penyakit di atas terdapat satu penyakit lain yang paling merbahaya iaitu penyakit was-was, syaitan menyebabkan mereka merasa was-was dalam setiap urusan hidup mereka dengan tujuan memesongkan mereka dari jalan Allah. Dalam hal ini Rasulullah ﷺ bersabda:

(إِنَّ الشَّيْطَانَ قَعَدَ لِابْنِ آدَمَ بِطَرِيقِ... فَقَعَدَ لَهُ بِطَرِيقِ الْإِسْلَامِ فَقَالَ: أَتُسْلِمُ وَتَرَكْتَ دِينَكَ وَدِينَ آبَائِكَ؟ فَعَصَاهُ وَأَسْلَمَ... ثُمَّ قَعَدَ لَهُ بِطَرِيقِ الْهِجْرَةِ. فَقَالَ: أَتُهَاجِرُ؟ أَتَدَعُ أَرْضَكَ وَسَمَاءَكَ؟ فَعَصَاهُ وَهَاجَرَ .ثُمَّ قَعَدَ لَهُ بِطَرِيقِ الْجِهَادِ فَقَالَ: أَتُجَاهِدُ وَهُوَ تَلَفُ النَّفْسِ وَالْمَالِ فَتُقَاتِلُ فَتُقْتَلُ فَتُنْكَحُ نِسَؤُكَ وَيُقَسَّمُ الْمَالُكَ؟فَعَصَاهُ وَجَاهَدَ... ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: فَمَنْ فَعَلَ ذَلِكَ فَمَاتَ كَانَ حَقًّا عَلَى اللَّهِ أَنْ يُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ).

“Sesungguhnya syaitan itu menghasut anak Adam dengan berbagai cara. Lalu (Pertamanya) ia menghasut melalui jalan agama Islam itu sendiri dengan berkata: Apakah kamu menganut Islam dan meninggalkan agamamu dan agama nenek-moyangmu? Anak Adam enggan mengikutinya dan tetap berpegang dengan Islam. Kemudian ia menghasut pula di jalan hijrah, lalu ia berkata; Adakah anda ingin berhijrah meninggalkan tanah air dan kampung halamanmu? Lalu Anak Adam mengingkarinya dan tetap berhijrah. Kemudian syaitan menghasut pula di jalan jihad dengan berkata: “Adakah engkau ingin berjihad sedangkan jihad itu membinasakan jiwa dan harta-benda engkau. Kemudian engkau berperang lalu engkau dibunuh, kemudian isteri engkau dikahwini orang lain dan harta kekayaan engkau dibahagi-bahagikan. Lalu anak Adam tetap mengingkari syaitan dan terus berjihad. Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda: Maka barangsiapa yang bersikap sedemikian kemudian ia mati maka adalah hak Allah SWT memasukkannya ke dalam syurga.”

HR. An-Nasa’i (3134), Imam Ahmad (15958) dalam musnadnya, Ibn Hibban (4593) dalam sahihnya, Al-Tabrani (6558) dalam Mu’jam Al-Kabir dan Al-Baihaqi (3941) dalam Syu’ab Al-Iman.

Alangkah baiknya jika anda dapat menatap kisah antara syaitan dan seorang Rahib Bani Israil dalam tafsir ayat:

"كَمَثَلِ الشَّيْطَانِ إِذْ قَالَ لِلْإِنسَانِ اكْفُرْ فَلَمَّا كَفَرَ قَالَ إِنِّي بَرِيءٌ مِّنكَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ رَبَّ الْعَالَمِينَ"

“(Pujukan orang-orang munafiq itu) samalah dengan (pujukan) syaitan ketika dia berkata kepada manusia. Kufurlah kamu. Maka tatkala manusia itu telah kafir dia berkata: “Sesungguhnya aku berlepas diri dari kamu kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah Tuhan semesta alam.”

(Surah Al-Hasyr [59]: Ayat16)

Wallahua’lam. Sollu’alannabi.

#share
#pencintahadisnabawi

https://t.me/skuadpemudaislam

Khamis, 22 Mac 2018

TANPA AGAMA MANUSIA BINASA

PENDAHULUAN

Manusia yang hidup tanpa agama, pasti akan binasa. Binasanya amat dahsyat. Binasa kehidupannya baik di dunia mahupun di akhirat.

Hidup beragama ini sangat penting dalam memastikan kita ini berada di atas jalan yang benar. Hakikatnya jika kita hidup tidak beragama, sudah tentu hawa nafsu dan syaitan menjadi Tuhan kita.

Jadi tidak hairanlah jika kehidupan kita diselubungi dengan unsur-unsur negatif. Sikap yang buruk akan menguasai diri.

Sedangkan jelas bahawa orang yang meninggalkan agama Allah s.w.t, pasti akan mendapat azab seksa api neraka. Allah s.w.t berfirman:

Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk (agama Allah), dan (membeli) azab seksa neraka dengan meninggalkan keampunan Tuhan. Maka sungguh ajaib kesanggupan mereka menanggung seksa api neraka itu.
(Surah al-Baqarah:175)

Maka apakah neraka menjadi pilihan kita? Sudah tentu tidak. Jika tidak mahu ke neraka, maka letakkanlah Islam pada tempatnya dalam kehidupan kita.

PATUH HUKUM: SELAMAT DARI BINASA

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
(Surah al-Baqarah:208)

Jelas pada ayat ini bahawa kita dituntut untuk patuh terhadap segala hukum agama yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya.

Patuh hukum, kita pasti akan selamat dari kebinasaan. Binasa dari sebarang perkara yang boleh menggugat keiman, akhlak, tingkah laku, ketaatan pada ibadah dan sebagainya.

Jika kita ini Muslim yang beriman, maka kita akan patuh sepenuhnya 100% terhadap segala hukum-hakam agama. Tiada bangkangan atau bantahan.

BINASA AKIBAT DUSTAKAN AYAT-AYAT ALLAH

Maka Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya, dengan rahmat dari Kami, dan Kami (binasakan serta) putuskan keturunan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan mereka bukanlah orang-orang yang beriman.
(Surah al-A’raf:72)

Jelas pada ayat ini bahawa orang yang mendustakan ayat-ayat Allah, menolak segala hukum-hakam Allah, maka baginya kebinasaan yang dahsyat.

Malah tiada rahmat baginya dan keluarganya. Kehidupannya terumbang-ambing. Gagal dalam segala-galanya.

Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, Kami akan menarik menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), menurut cara yang mereka tidak mengetahuinya.
(Surah al-A’raaf:182)

Jelas orang yang mendustakan ayat-ayat Allah, menolak untuk hidup beragama, maka dia akan ditarik ke jurang kebinasaan.

Apakah kita ingin menjadi seperti demikian? Hidup tanpa agama tanpa syariat jelas membawa kepada kebinasaan. Maka bermuhasabahlah kita kembali jika kita ini benar-benar beriman.

MENURUTI AGAMA YANG LURUS

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.
(Surah al-An’aam:153)

Ayat ini menjelaskan kepada kita tentang suruhan menuruti agama Islam dan larangan mengambil agama selainnya.

Hidup  dengan syariat Islam dapat menyelamatkan kita dari kebinasaan. Kita boleh perhatikan apa yang telah terjadi kepada golongan yang tidak ikut syariat Islam. Kehidupannya kucar-kacir,

organisasinya huru-hara, keluarganya tunggang-langgang. Maka apakah keadaan ini yang kita inginkan di dalam kehidupan kita? Sudah tentu tidak. Kembalilah kita ke jalan Allah s.w.t sepenuhnya.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Hidup tanpa agama, manusia akan binasa. Maka elakkanlah ia.

2.      Tetap teguhlah dalam agama Islam jika kita ingin selamat dunia dan akhirat.

3.      Dengan beragama, kehidupan kita akan lebih sejahtera.

4.      Patuhlah pada hukum Allah keseluruhannya, bukan separuh-separuh.

5.      Orang yang beragama, akan kaya dengan akhlak dan tinggi keimanannya kepada Allah s.w.t

6.      Patuh Syariat, faham Agama, taat perintah Allah dan Rasul, jauhi hasutan syaitan, jika kita ini orang yang beriman dan ingin berjaya dunia dan akhirat.

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam

Muaz Fiqwa

Selasa, 20 Mac 2018

KUASA NEGARA DALAM MANIFESTO PAS

1. Analisis membuktikan bahawa manifesto Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang baru dilancarkan mempunyai visi negara yang lebih berkuasa dan kuat berbanding manifesto Pakatan Harapan (PH) yang telah dibentangkan tempoh hari. 

2. Empat petunjuk yang diajukan oleh Fareed Zakaria dalam karya beliau ‘From Wealth to Power’ terbitan Princeton University Press digunapakai bagi menilai kuasa negara dari perspektif ‘State-centered Realism’ iaitu autonomi negara (state autonomy), skop tanggungjawab negara (state scope), keupayaan negara mengekstrak sumber (state’s ability to extract wealth), dan kesepaduan negara (state cohesion). 

3. Ringkasnya, negara yang berautonomi tinggi, memiliki skop tanggungjawab yang luas, berkeinginan (dan mampu) mengekstrak sumber dalam skala besar, dan bersepadu adalah lebih kuat dan berkuasa berbanding negara yang berautonomi rendah, memiliki skop tanggungjawab yang sempit, tidak berkeinginan mengekstrak sumber dalam skala besar, dan tidak bersepadu.

4. Dari perspektif geopolitik dan geostrategi, keempat-empat komponen kuasa negara ini cukup penting dalam jangka masa panjang di mana Fareed Zakaria mengajukan bahawa ‘sesebuah negara hanya mampu untuk meluaskan kepentingan politik mereka ke luar negara apabila terdapat peningkatan relatif kuasa negara mereka’.

5. Walau bagaimanapun, Manifesto ‘Malaysia Sejahtera’ yang dilancarkan PAS dan parti BERJASA serta IKATAN dalam Gabungan Gagasan Sejahtera semalam perlu dibaca bersama dua lagi dokumen yang diterbitkan secara berperingkat iaitu Dokumen Hijau dan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS 2051) bagi memahami tawaran kuasa negara oleh PAS secara komprehensif. 

6. Jika Dokumen Hijau memberi fokus pada penyelesaian ekonomi politik, dokumen WINS 2051 pula menggariskan perancangan jangka masa panjang PAS yang dibahagikan kepada tiga fasa iaitu Fasa 1 (2018-2030), Fasa 2 (2031-2040), dan Fasa 3 (2041-2051).  Di sini sahaja sudah terdapat perbezaan visi geostrategi yang ketara antara PAS dengan PH.

7. PH kurang bercita-cita tinggi di mana dalam Janji 60 PH hanya menyasarkan untuk “memposisikan Malaysia sebagai kuasa pertengahan (middle power)” (Hlm.155).  Posisi ini berbeza sama sekali dengan PAS yang meletakkan “Fasa 3: Malaysia Memimpin 2041-2051” dalam tiga struktur antarabangsa utama.

8. Manifesto PH yang terikat dengan paradigma ‘Liberal-Institutionalism’ dalam hubungan antarabangsa menyaksikan Malaysia sebagai pemain biasa dalam institusi antarabangsa seperti ASEAN, OIC, dan PBB.  Sebaliknya, Fasa 3 WINS PAS menyasarkan Malaysia menjadi pemimpin di peringkat serantau, peringkat negara Islam, dan juga dalam kalangan negara sedang membangun khususnya negara Dunia Ketiga.

9. Dari sudut autonomi negara (state autonomy), PAS jelas berbeza dengan PH yang berusaha untuk mengurangkan kuasa negara melalui “Janji 12: Mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri dan menstruktur semula Jabatan Perdana Menteri” serta “tanggungjawab lain [JPM] akan diturunkan kepada kementerian-kementerian yang bersesuaian” di samping “Mengurangkan bilangan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan cara memindahkan seberapa banyak agensi yang mungkin ke kementerian yang berkaitan”. 

10. PAS sebaliknya mengukuhkan kuasa Eksekutif dan dalam masa yang sama mengusulkan penubuhan Institusi Hisbah Rakyat (People Ombudsman) sebagai pemantau (Manifesto halaman 5). Perbezaan ini cukup penting dalam penentuan darjah autonomi negara di mana ‘pengukuhan kuasa Eksekutif’ menjamin ‘pemusatan kuasa dalam pembuatan keputusan’.  Maka, proses pembuatan keputusan tidak terjejas dek persaingan antara kepentingan kementerian-kementerian berbeza seperti mana dalam kes Janji 12 PH.

11. Khusus tentang keupayaan negara mengekstrak sumber (state’s ability to extract wealth), Janji 60 PH yang meletakkan negara di bawah piawaian (dan kawalan komitmen) luar seperti OECD, Bank Dunia, Open Government Partnership, Open Contracting Partnership, Open Budget Initiative, dan sebagainya (Hlm 153), adalah bertentangan dengan PAS di mana ia tetap meletakkan kuasa politik sebagai peneraju utama yang bebas mengatur perjalanan ekonomi mengikut acuan sendiri. 

12. Hal ini dinyatakan dalam salah satu daripada Prinsip WINS 2051 iaitu Prinsip kelima ‘Peranan jelas dan cekap antara kuasa Politik dan kuasa ekonomi.  Kuasa Politik sebagai penentu halatuju negeri, Perancang Program, dan Pemantau.  Kuasa Ekonomi melaksanakan perancangan yang diputuskan dengan kepentingan rakyat sebagai keutamaan’.

13. Tidak hairanlah, antara panduan WINS yang membawa kepada penguasaan ‘kuasa politik’ ke atas ‘kuasa ekonomi ini’ ialah tanggungjawab negara dalam Surah Quraisy dan Al-Kahfi.  Surah Quraisy yang dimaksudkan ialah “Yang telah memberi makanan untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan” (ayat 4).  Surah Al-Kahfi pula merujuk pada ayat “Berilah aku potongan-potongan besi, Hingga apabila besi itu telah sama rata dengan kedua (puncak) gunung itu, berkatalah Zulkarnain: Tiuplah (api itu)” (ayat 96).

14.  Juga dari perspektif keupayaan negara mengekstrak sumber (state’s ability to extract wealth), PAS turut mengajukan rancangan Penggantian Import (Import Substitution):

“Negara perlu mengambil langkah berani dan drastik dengan menggubal polisi-polisi sementara bagi menukarkan keperluan kepada barangan import dengan barangan domestik khususnya berkaitan dengan projek-projek kerajaan…Sekaligus produk dan perkhidmatan inovasi negara mesti diberi ruang agar dapat memasuki pasaran untuk dikomersilkan. Memandangkan produk inovasi selalunya melibatkan sesuatu yang baharu dan tidak mempunyai “track record” yang kuat, program yang sesuai mesti diwujudkan agar inovasi-inovasi tempatan dapat memasuki pasaran dan diwaktu yang sama mengurangkan risiko yang diambil oleh pihak pembeli. Contohnya sebahagian daripada keperluan projek milik kerajaan mestilah diperuntukkan kepada inovasi tempatan. Hanya jika tiada inovasi tempatan yang sesuai, barulah diperolehi daripada produk tempatan yang lain, sebelum dibuka kepada produk import”.

“Di bawah dasar Penggantian Import ini juga, kerajaan perlu memberi fokus kepada inisiatif “localization” di mana produk dan perkhidmatan tertentu dibantu untuk dibangunkan di dalam negara. Inisiatif “localization” tidak melibatkan inovasi, tetapi lebih kepada pengeluaran produk yang sama di dalam negara, yang sebelum ini hanya ada di luar negara. Ini hanya melibatkan produk dan perkhidmatan yang mana keperluannya telahpun dipastikan ada”.

“PAS menjangkakan cadangan-cadangan ini bukan sahaja dapat mengurangkan perbelanjaan terhadap barangan import lantaran susut nilai ringgit, ianya juga dapat mempertingkatkan permintaan terhadap keluaran domestik seterusnya membantu merangsang sektor pengeluaran tempatan khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana”.

“Cadangan ini juga akan sekaligus memperkasakan industri inovasi tempatan yang bakal menjadi pemacu kepada negara sebagai sebuah ekonomi berasaskan ilmu dan inovasi. Program yang memberi peluang khusus bagi pengkomersilan produk inovasi tempatan juga akan meningkatkan pelaburan swasta dalam aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan bukan hanya di organisasi mereka, bahkan juga di institusi pengajian tinggi tempatan” (Dokumen Hijau PAS halaman 24-25).

15. Dari perspektif ‘skop negara’ (state scope), Prinsip Kelima WINS 2051 PAS ini mengatasi Janji 60 PH di mana kerajaan lebih bebas untuk merencana pembangunannya tanpa ikatan atau komitmen luar yang memaksa kerajaan meminimumkan perbelanjaan awam.  Kerajaan yang mengurangkan perbelanjaan awam dinamakan ‘Minimal state’ manakala kerajaan yang meningkatkan perbelanjaan awam seperti negara berkebajikan dinamakan ‘Maximal state’.  Jika PH memilih laluan menjadikan Malaysia sebagai ‘Minimal state’, PAS pula jelas memilih aliran ‘Maximal state’ yang lebih kuat.  

16. Bertentangan dengan Janji 27 PH untuk memansuhkan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016, PAS tidak memilih jalan yang sama di mana sasaran pindaan akta PAS hanya ditumpukan pada SOSMA, POTA, POCA, OSA, dan AUKU, bukannya MKN.  Seperti mana penegasan Fareed Zakaria tentang pentingnya ‘kesepaduan negara’ (state cohesion), demikianlah peri pentingnya kesepaduan Majlis Keselamatan Negara di mana ‘pembuatan keputusan yang terpusat menjamin keupayaan dan kecekapan sesebuah negara’ dalam bertindak ketika di masa krisis mahu pun konflik.

17.  Konklusinya, Manifesto PAS menganjurkan rancangan Malaysia ke arah negara yang berautonomi tinggi, memiliki skop tanggungjawab yang luas, berkemampuan mengekstrak sumber dalam skala yang besar, dan pentadbiran yang bersepadu berbanding Manifesto PH.  Sama-sama kita nantikan rancangan kuasa negara dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) pula.

Oleh: Abdul Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Isnin, 19 Mac 2018

Kemenangan Yang Ditunggu


Oleh:
YB Ust Sallehen Mukhyi
(Ucapan perasmian Mesyuarat Agung PAS Kemaman ke 58)

1. Pilihanraya umum ke 14 mencabar. Hanya yang kukuh aqidah dapat menghadapinya. Pergantungan mesti kepada Allah yang menjadi sumber kemenangan dan sumber kekuatan.
ان ينصركم الله فلا غالب لكم
Jika Allah menolong kamu, tiada siapa yang dapat mengalahkan kamu.

2. PAS parti siasah, dakwah, tarbiah. PAS tak pernah berhenti bekerja walaupun bukan di musim pilihanraya. Setiap ahli mesti terlibat dengan program tarbiah dan menjadi agen dakwah.

3. Hayati tujuan PAS yang mahu tegakkan Islam dalam bentuk menyeluruh. Tujuan ini tak pernah diubah. Sumber kita tetap Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias. Mereka yang lari dari perjuangan, kononnya kerana PAS lari dari perjuangan, merekalah yang sebenarnya lari dari perjuangan.

4. Kita mesti pertahankan kesucian Islam. Dalam PRU 14, ada 3 blok. PAS berada di antara 2 blok kanan dan kiri. Kononnya PAS tak akan menang. Orang melihat begini kerana mereka hanya bergantung dengan makhluk, duit, pengaruh. PAS bergantung dengan Allah yang menjadikan makhluk. Dalam masa yang sama, PAS berusaha. Dalam Quran, disebut Allah menolong Talut walaupun mereka golongan yang sedikit. Allah berikan kemenangan kepada golongan yang taat, sekalipun sedikit. Allah bantu Nabi Daud melawan Jalut, sekalipun dengan senjata yang sangat ringkas. Allah menolong hambaNya dalam keadaan yang tidak terfikir oleh makhluk. Situasi pelik dilihat oleh manusia, tetapi tidak pelik bagi Allah.

5.Presiden ingatkan supaya kita terus berjuang dengan meletakkan keyakinan kepada pertolongan Allah.

6. Amalkan budaya politik matang dan sejahtera. Dalam sejarah, Nabi SAW diperlakukan dengan pelbagai ujian. 

7. Pilihanraya kali ini akan penuh dengan fitnah. Kita jangan terjebak dengan fitnah. Biarkan parti lain hidup dengan fitnah. PAS mesti hadapi segala fitnah ini.

8. Jangan ada khianat terhadap calon apabila diisytiharkan nanti. Khianat bukan sahaja bila keluar parti, tapi bila tak bantu parti kerana tak setuju calonnya.

9. Zaman ICT, gunakan semaksimum mungkin alat ini untuk beritahu tentang parti: WINS, Dokumen Hijau dan lain-lain.

10. Mereka anggap apabila peruntukan ditarik dari ADUN PAS Selangor, kita tidak boleh jinakkan hati orang lain. 3 Exco PAS dihina dengan ditarik peruntukan.

11. Saya ingat zaman Khir Toyo, bila dia beri penyapu kepada seorang pegawai, akhirnya Umno, BN jatuh. PKR hinakan 3 Exco PAS, insyaAllah mereka juga akan jatuh.

12. Siapa yang mulakan pertandingan 3 penjuru? Dalam PRaya Sg Besar, siapa yang bertanding sedangkan itu kerusi asal PAS?

13.  PAS berjiwa besar, walaupun kita menang besar di Selangor, kita bersedia namakan MB Selangor dari PKR iaitu DS Khalid, hinggalah dibuat Langkah Kajang. Sekarang kita disepak dari kerajaan Selangor.

14. Kita mahu tukar sistem. Sistem yang ada sekarang hanya melahirkan pemimpin yang korup. PH hanya nak turunkan Najib. Bahkan dalam PH ada golongan Evangelist, juga golongan liberal yang perjuangkan LGBT dan lain-lain.

15. Dari satu kajian, kecenderungan anak muda sangat baik terhadap PAS.

16  Arahan Presiden:

1. Taat kepada Allah
2.Tinggalkan dosa dan maksiat
3. Akhlak mesti mulia
4. Ikhlas dalam perjuangan
5. Laksanakan tugas yang diamanahkan
6. Taat kepada arahan pimpinan
7. Infaq harta kepada jalan Allah

Catatan:
Ustaz Nik Muhammad Nasri bin Nik Malek,
Timbalan YDP PAS Kemaman,
Dewan Mujamma' Taman Islam, Kemaman
Sabtu 17 Mac 2018

Ahad, 18 Mac 2018

POLITIK ISLAM MERUPAKAN TUGAS MULIA

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Tujuan penulisan kali ini adalah untuk mengajak para pembaca memahami hakikat sebenar apa yang dikatakan sebagai “politik Islam”. Sebahagian besar umat Islam hari ini masih kabur dalam memahami makna politik yang sebenar apatah lagi dalam konteks perlaksanaannya akibat dibuai kemelut politik yang berterusan dalam negara ini yang berdiri atas doktrin Kapitalisme-Demokrasi tinggalan penjajah.

Bukti kekaburan umat Islam terhadap politik jelas kelihatan apabila ramai di kalangan mereka menjauhkan diri daripada politik. Mereka merasakan politik itu suatu perkara yang buruk dan keji. Politik bagi mereka penuh dengan amalan kronisme, nepotisme, ketirisan, politik wang, salah guna kuasa, tamak, rasuah, kepura-puraan para politikus dan fitnah-memfitnah di antara mereka demi menjatuhkan pihak lawan dan mendapatkan kekuasaan duniawi. Pendek kata, tidak ada kebaikan langsung dalam perkara politik di kaca mata mereka. Kebencian mereka terhadap politik sehingga melihat politik sebagai sesuatu yang kotor dan tidak layak dibincangkan dalam masjid-masjid atau majlis-majlis agama. Bukankah masjid merupakan institusi politik pertama yang dibina oleh Rasulullah SAW untuk menguruskan hal ehwal masyarakat di dalam Daulah Islam Madinah? Walaupun ada sebahagian umat Islam mengakui akan keberadaan hukum-hakam yang berkaitan dengan politik dalam Islam namun, mereka keliru apabila berpendapat bahawa ia tidak penting dan meletakkan nilai-nilai Islam dalam masyarakat yang harus diberikan keutamaan.

Sementara itu, bagi sebahagian besar masyarakat terutamanya dalam kalangan anak muda, kebanyakan mereka tidak mempedulikan urusan politik. Laporan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang terbaru telah mencatatkan seramai 3.6 juta belia yang berusia 21 tahun ke atas masih belum mendaftar sebagai pengundi [Berita Harian, 21/02/2018]. Antara punca utama ketidakpedulian dalam kalangan anak muda ini berlaku kerana bagi mereka baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang jika berkuasa, kedua-duanya tidak mampu membawa perubahan yang signifikan untuk membela nasib rakyat.

Oleh itu, artikel kali ini berusaha untuk membawa pemahaman yang benar tentang politik dalam Islam dan gambaran sebenar bagaimana politik Islam memberi kesan dalam kehidupan bernegara apabila dilaksanakan. Kami berharap agar perspektif para pembaca akan berubah dan tidak lagi melihat politik sebagai sesuatu yang negatif sebaliknya merupakan tugas yang mulia dan sebahagian daripada tuntutan Islam.

DEFINISI DAN PEMIKIRAN POLITIK ISLAM

Politik (siyasah) dari sudut bahasa berasal dari kata sasa, yasusu, siyasatan yang bererti ‘mengurus kepentingan seseorang’. Perkataan siyasatanmenurut pengertian bahasa ialah ‘pemeliharaan atau pengurusan’. Dalam kamus al-Muhits dikatakan – aku memimpin rakyat dengan sungguh-sungguh, atau aku memerintah dan melarangnya, atau aku mengurusi urusan-urusan mereka dengan perintah-perintah dan larangan-larangan (sustu ar-ra’iyata siyasatan, ai amartuha wa nahaituha, ai ra’itu syu’naha bi al-awamir wa an-nawahi). Makna tersebut mencerminkan adanya aktiviti pengaturan urusan rakyat oleh suatu pemerintahan dalam bentuk perintah dan larangan.

Sedangkan maksud siyasah menurut istilah/syara’ ialah mengatur/memelihara urusan umat sama ada di dalam atau luar negeri dengan aturan-aturan Islam (ri’ayah asy-syu’un al-ummah dakhiliyyan wa kharijiyan bi al-ahkam al-Islamiyyah) [Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Muqaddimah ad-Dustur]. Pengertian ini diambil daripada beberapa hadis Rasulullah SAW yang menggunakan lafaz ‘siyasah’ untuk menunjukkan maksud pengurusan/pemeliharaan urusan umat, antaranya hadis riwayat Bukhari dan Muslim;

“Adalah Bani Israel dahulu yang mengatur urusan mereka adalah nabi-nabi (tasusuhum al-anbiya’). Bila wafat seorang Nabi, maka diganti dengan Nabi yang berikutnya. Sesungguhnya tidak akan ada lagi Nabi sesudahku tetapi akan ada Khulafa’ dan jumlahnya banyak. Para sahabat bertanya, ‘Lalu apa yang engkau perintahkan kepada kami?’ Nabi bersabda, ‘Penuhilah ba’iat yang pertama, yang pertama sahaja, berikanlah kepada mereka Shak mereka. Sesungguhnya Allah akan meminta pertanggungjawaban mereka atas apa saja yang mereka urus/pelihara”.

Hadis ini dengan tegas menjelaskan bahawa tugas politik ini merupakan kerja para Nabi yang mengurus, mengatur, dan memelihara urusan umat dengan aturan Allah SWT. Tugas mulia ini kemudian diwarisi oleh para Khalifah sepeninggalan Nabi Muhammad SAW melalui institusi politik Islam yang disebut sebagai Khilafah.

Daripada pengertian politik ini, tidak hairanlah jika ada ulama menekankan bahawa “politik dan agama adalah ibarat dua saudara kembar” [Imam al-Ghazali, Al-Iqtishad fî al-I‘tiqad, hlm. 199]. Dikatakan juga, “Jika kekuasaan (as-sulthan) terpisah dari agama atau jika agama terpisah dari kekuasaan, nescaya keadaan manusia akan rosak” [Lihat: Ibn Taimiyah, Majmu’ al-Fatawa, 28/394].

Rasulullah saw bersabda: “Ketahuilah setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian akan dimintai pertanggungjawaban atas pihak yang dipimpinnya, penguasa yang memimpin rakyat banyak, dan dia akan diminta pertanggungjawaban ke atas rakyatnya.” [HR. Al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ibn Hibban]

Inilah pengertian politik sebenar yang dijelaskan oleh syarak. Jika diperhatikan, ia sangat berbeza dengan pandangan politik yang difahami oleh sebahagian besar umat Islam saat ini yang meletakkan politik sebatas jalan menuju kekuasaan semata-mata, bahkan menjadikan kekuasaan sebagai tujuan utama dalam politik. Inilah antara punca yang menyebabkan amalan politik pada hari ini dilihat penuh dengan konflik kepentingan nafsu serakah ahli politik yang memperjudikan nasib rakyat, jauh sekali untuk mengatur urusan dan kepentingan rakyat mengikut tuntutan perintah dan larangan daripada Allah SWT.

POLITIK MERUPAKAN TUGAS MULIA

Tugas dan tanggungjawab politik tidak hanya terbatas kepada para pemerintah semata-mata bahkan merupakan suatu kemuliaan yang telah Allah SWT anugerahkan kepada seluruh umat Islam agar mereka dapat meraih keredhaanNya. Allah SWT melalui lisan RasulNya telah menjanjikan darjat yang tinggi kepada mereka yang melakukan aktiviti politik (muhasabah) kepada pemerintah yang zalim dengan gelaran sebagai sayid asy-syuhada (penghulu para syahid). Sabda Nabi SAW,

“Penghulu syuhada adalah Hamzah ibn Abi Thalib dan seseorang yang berdiri di hadapan penguasa yang zalim, lalu menyerunya berbuat baik dan mencegahnya berbuat mungkar, kemudian ia dibunuh (oleh penguasa tersebut)” [HR Hakim].

Dalam masa yang sama, Allah SWT telah mewajibkan adanya segolongan (jemaah/gerakan) dalam kalangan umat Islam agar mengajak manusia kepada Islam dan melakukan amar ma’ruf nahi mungkar. Firman Allah,

“Dan hendaklah ada di kalangan kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (Islam), dan menyuruh kepada yang ma’ruf serta mencegah dari yang mungkar dan mereka itulah orang-orang yang menang” [TMQ Ali Imran (3):104].

Sesungguhnya, aktiviti melakukan amar ma’ruf nahi mungkar ini merupakan ciri-ciri umat yang terbaik sepertimana yang ditetapkan oleh Allah SWT:

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah” [TMQ Ali Imran (3): 110].

Manakala tanggungjawab politik bagi pemerintah ialah melaksanakan seluruh syariat Islam ke atas rakyatnya. Firman Allah SWT :

“Dan hendaklah kamu memutuskan perakara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah. Dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka..”[TMQ Al- Maidah (5): 49]

Inilah tugas politik mulia yang telah diwajibkan oleh Allah SWT supaya dilaksanakan oleh umat Islam sama ada dalam kapasiti mereka sebagai pemerintah, parti politik mahupun rakyat biasa. Keberlangsungan kehidupan Islam yang menjadi rahmat buat sekalian manusia hanya akan tercapai apabila umat Islam kembali menegakkan kefarduan terbesar iaitu Khilafah. Hanya dengan tertegaknya institusi Khilafah sahajalah, tuntutan politik Islam dapat dilaksanakan di dalam negara dan seluruh dunia dengan sempurna.

KESEJAHTERAAN DI BAWAH POLITIK ISLAM

Peradaban Islam bermula dengan penurunan wahyu kepada Nabi Muhammad SAW dan ia dapat dimanifestasikan secara praktikal dalam kehidupan serta disebarkan ke seluruh dunia setelah kejayaan Rasulullah SAW mendirikan Negara Islam yang pertama di Madinah (622M). Dakwah Islam yang merupakan tugas dan tanggungjawab politik ini kemudian dipikul oleh para Khulafa’ ar-Rasyidin dan diikuti oleh semua Khalifah seterusnya sehinggalah runtuhnya Kekhilafahan Uthmaniyah pada tanggal 28 Rejab 1342H (3 Mac 1924).

Sepanjang waktu tersebut, kita dapat melihat bagaimana ketakwaan dan kepimpinan politik Islam di bawah para pemimpin Islam yang telah menjadikan mereka sebagai pembela agama yang hebat dan tiada tolok bandingannya. Mereka telah meletakkan Islam dan umatnya pada kedudukan yang tertinggi di antara umat-umat yang lain. Mereka adalah orang-orang seperti Umar Abdul Aziz, Harun Al-Rashid, Salahuddin Al-Ayyubi, Muhammad Al-Fatih, Sulaiman Al-Qanuni dan Sultan Abdul Hamid II.

Bumi Al-Quds, tanah yang diberkati telah berjaya dikuasai oleh umat Islam buat pertama kalinya semasa pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab ra. Begitu juga dengan panglima Islam yang terkenal, Salahuddin al-Ayyubi yang berjaya menawan semula bumi suci umat Islam ini pada bulan Syaaban 588 Hijrah (1192M) melalui jalan jihad setelah hampir 200 tahun berada di bawah kekejaman kerajaan Kristian.

Dengan adanya kepimpinan dan institusi politik Islam, umat Islam jelas mempunyai kekuatan dan kelebihan untuk menjadi pemimpin dunia dengan menjadikan Islam sebagai ideologinya. Umat Islam telah mencapai pelbagai kejayaan seperti wilayah Islam yang semakin luas di bawah Kekhilafahan Umayyah (661-750M). Perkara ini membolehkan mereka menguasai jalan perdagangan darat seperti Jalan Sutera dan laluan laut yang melalui Teluk Parsi dan Teluk Aden yang menghubungkannya dengan kota-kota perdagangan di sepanjang pesisir Benua Eropah. Ini menyebabkan keperluan Eropah pada ketika itu amat bergantung kepada kegiatan perdagangan di dalam wilayah Islam. Seterusnya di bawah Kekhilafahan Abbasiyah yang berlangsung selama 508 tahun, dunia Islam menjadi pusat ilmu dan pusat penghasilan teknologi baru sehingga dunia menjadikannya sebagai rujukan.

Umat Islam hidup di bawah keamanan Islam. Khalifah akan sentiasa menjaga dan membela darah, nyawa dan harta rakyatnya. Catatan sejarah telah merakamkan banyak peristiwa kesungguhan para Khalifah yang membela umat Islam, antaranya ketika Khalifah al-Mu’tasim Billah menyelamatkan seorang Muslimah yang ditawan dan kehormatannya dicabul oleh tentera Romawi di Kota Amurriah. Sejurus menerima berita tersebut, beliau segera mempersiapkan bala tentera Islam dan melancarkan jihad ke atas Kota Amurriah. Imam Sayuti  di dalam kitabnya Tarikh al-Khulafa’ mencatatkan seramai 3000 tentera Rom telah terkorban manakala 30,000 yang lain ditawan.

Politik Islam juga merupakan politik yang sangat menitikberatkan nilai kemanusiaan tanpa mengira bangsa mahupun agama. Contohnya semasa pemerintahan Sultan Bayezid II, beliau telah menyelamatkan seramai 1500 pelarian Yahudi daripada kekejaman Raja Ferdinand dan Ratu Isabella yang menakluk Andalusia lalu memaksa orang Islam dan Yahudi agar menukar agama kepada Kristian atau mereka akan dibunuh. Mendengar perkara tersebut, Sultan Bayezid II menghantar armadanya ke Cadiz dan Seville bagi membawa pulang mereka yang tertindas ke Turki untuk diberi perlindungan dan hak yang sama seperti rakyat yang lain. Selain itu, semasa krisis kebuluran yang melanda Ireland pada tahun 1845, Khalifah Abdul Majid I telah menghantar tiga buah kapal berisi penuh dengan bantuan makanan termasuk bantuan peruntukan 1,000 pound sterling kepada petani di sana. Walaupun bantuan tersebut cuba dihalang oleh Inggeris, namun kesungguhan Khalifah telah memastikan bantuan sampai ke Drogheda, Ireland.

Di zaman pemerintahan Khalifah Salim III, kerajaan di Amerika terpaksa membayar cukai tahunan kepada wali Khalifah di Algeria sebanyak 642,000 dolar emas dengan penambahan 12,000 lira emas Uthmaniyah sebagai ganti pembebasan para tawanan Amerika yang berada di Algeria serta sebagai syarat keizinan kepada kapal-kapal Amerika untuk belayar dengan aman di Lautan Atlantik dan Laut Mediteranean tanpa menghadapi tentera laut Uthmaniyah di wilayah Algeria.

Begitu juga keteguhan Sultan Abdul Hamid II yang telah menunjukkan ketegasannya sebagai pemimpin yang menjaga Islam dan umat Islam untuk tidak menyerahkan walaupun seinci tanah Palestin kepada kaum Yahudi. Sungguhpun pemimpin Zionis Yahudi, Theodore Hertzel telah menawarkan jutaan wang kepada beliau untuk membeli tanah Palestin sebagai usaha mendirikan negara Israel di bumi Palestin. Lantas Khalifah Abdul Hamid II menjawab “Akan tetapi, selagi aku masih hidup, aku lebih rela tertusuknya pisau ke tubuhku ini daripada melihat tanah Palestin dikhianati dan dipisahkan dari Khilafah Islam…”. Beliau jugalah yang telah memberi amaran untuk menghantar ketumbukan tentera ke Perancis sekiranya Perancis membiarkan persembahan teater yang berjudul Mahomet oleh Henri de Bornier yang mengandungi penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW untuk diteruskan. Akhirnya, Perdana Menteri Perancis pada waktu itu terpaksa membatalkannya kerana takut kepada amaran Sang Khalifah.

Jadi, berdasarkan fakta-fakta tersebut, bukankah politik yang agung dan mulia ini yang didambakan oleh semua manusia tidak kira Muslim atau non-Muslim?

KHATIMAH

Maka jelaslah bahawa menjalankan politik merupakan tugas yang mulia dan menjadi tuntutan dalam Islam. Namun perlu difahami, sejak runtuhnya Daulah Khilafah pada 28 Rajab 1342 H (3 Mac 1924), sistem politik Islam sudah tidak lagi diamalkan sebaliknya diganti dengan sistem politik Barat lagi kufur. Maka ketiadaan institusi politik Islam ini telah membuka ruang yang besar untuk Barat menjajah negeri-negeri umat Islam serta mengeksport masuk pelbagai konsep dan undang-undang kufur yang tertegak di atas ideologi Kapitalisme-Liberalisme yang bersifat faslu ad-deen ‘an al-hayah (memisahkan agama daripada kehidupan). Perkara ini seterusnya menjadi suatu malapetaka dan bencana yang luar biasa kepada umat Islam kerana dengan keadaan tersebut kemuliaan Islam tercabut. Maka tugas politik untuk mengembalikan Khilafah merupakan tuntutan mendesak bagi umat Islam pada saat ini. Allah ’Azza wa Jalla berfirman:

”Dan bagi Allah kemuliaan itu dan bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang yang beriman.” [TMQ al-Munaafiquun (63): 8].

Sumber: Hizbut Tahrir Malaysia.

Ahad, 11 Mac 2018

Manifesto PH bakulsampahkan Raja-raja Melayu?


DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF

SESIAPA yang membaca sepintas lalu Manifesto PRU14 Pakatan Harapan (PH) mungkin akan terpesona dengan apa yang kelihatan seperti 'keikhlasan' dan 'kesungguhan' PH mengiktiraf dan memartabatkan kedudukan Raja-Raja Melayu.

Disebutkan di dalam Janji 11 manifesto ini betapa “Kerajaan PH akan sentiasa meletakkan pandangan dan teguran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu di tempat tertinggi, iaitu sesuai dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dalam negara kita”.

Ini diikuti dengan ikrar betapa “Kerajaan PH akan memberi galakan kepada universiti-universiti awam untuk memperbanyak kajian dan perkongsian nasional dan antarabangsa mengenai kesultanan Melayu agar sejarah ketamadunan Melayu dapat dikongsi di persada dunia”.

Tidak cukup dengan itu, disebutkan lagi betapa “Muzium di-Raja di Istana Negara lama akan dinaik taraf menjadi Muzium Pendidikan Kebangsaan, dan kerjasama akan dijalin dengan universiti awam untuk mengaktifkan kegiatan kajian, penerbitan dan pendidikan, melalui seminar dan persidangan secara berkala, tentang institusi Raja-Raja Melayu”.

Ini ditambah pula dengan kenyataan bahawa “kerjasama juga akan dijalin dengan muzium di-raja negara-negara lain agar berlaku percambahan fikiran dan perkongsian ilmu tentang peranan penting institusi beraja dalam semak imbang negara demokrasi”.

Malangnya, jika kita meneliti dengan mendalam janji-janji lain yang terkandung di dalam Manifesto PRU14 PH ini, khususnya di dalam Janji 11 hingga Janji 29 manifesto ini yang membentuk Teras 2, iaitu “mereformasi institusi pentadbiran dan politik”, maka akan nampaklah bagi sesiapa yang berfikir betapa 'keikhlasan' dan 'kesungguhan' ini sebenarnya hanyalah satu alat kosmetik yang bertujuan melindungi maksud sebenar PH.

Kita lihat Janji 14 manifesto ini dahulu yang berbunyi: “Untuk memastikan semak imbang yang efektif, bilangan Pesuruhjaya SPRM akan ditambah dengan mewujudkan kuota untuk pertubuhan masyarakat sivil menjadi ahli SPRM. Salah seorang dari mereka akan menjadi Pengerusi SPRM, dan semua pesuruhjaya akan mempunyai jaminan pelantikan tetap. Pelantikan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya SPRM perlu disahkan secara demokratik oleh Parlimen.”

Bandingkan pula Janji 14 manifesto ini dengan Seksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang berbunyi: “Yang di-Pertuan Agong hendaklah, atas nasihat Perdana Menteri, melantik seorang Ketua Pesuruhjaya bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, untuk selama apa-apa tempoh dan atas apa-apa terma dan syarat sebagaimana yang dinyatakan dalam surat cara pelantikannya.”

Kita lihat pula Janji 15 manifesto ini yang berbunyi: “Peguam Negara akan dilantik dari kalangan Ahli Parlimen yang berkelayakan, dan beliau akan menjadi seorang Menteri yang boleh meneruskan peranan sebagai penasihat undang-undang bagi kerajaan. Jabatan Pendakwa Raya pula akan dipegang oleh individu lain yang bebas dan bertindak tanpa mengira kepentingan politik kepartian.”

Bandingkan pula Janji 15 manifesto ini dengan Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi: “Yang di-Pertuan Agong hendaklah, atas nasihat Perdana Menteri, melantik seorang yang layak menjadi hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Peguam Negara bagi Persekutuan”.

Kita pergi pula kepada Janji 17 manifesto ini yang berbunyi: “Satu kuota akan diwujudkan untuk memastikan masyarakat sivil mempunyai wakil sebagai Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia. Pelantikan Ahli-Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia mestilah melalui proses perakuan oleh Parlimen.”

Bandingkan pula Janji 17 manifesto ini dengan Perkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi: “Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, dan hendaklah terdiri daripada seorang pengerusi, seorang timbalan pengerusi dan lima orang anggota lain.”

Seterusnya kita lihat pula Janji 19 manifesto ini yang berbunyi: “Kerajaan PH akan memastikan pelantikan hakim-hakim dilakukan dengan berpaksikan kelayakan dan pengalamannya, tanpa dipengaruhi kepentingan politik. Keanggotaan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman akan diputuskan oleh Jawatankuasa Terpilih Parlimen. Keputusan pelantikan yang dibuat oleh suruhanjaya ini akan dilaksanakan setelah merujuk kepada kebijaksanaan dan budi bicara Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.”

Bandingkan juga Janji 19 manifesto ini dengan Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi: “Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim-Hakim Besar Mahkamah Tinggi dan (tertakluk kepada Perkara 122C) hakim-hakim yang lain Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.”

Kita berpindah pula kepada Janji 26 manifesto ini yang berbunyi: “Pesuruhjaya-Pesuruhjaya SUHAKAM akan dilantik melalui proses jawatankuasa di Parlimen”.

Bandingkan juga Janji 26 manifesto ini dengan Seksyen 5(2) dan Seksyen 6(1) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 yang berbunyi: “Anggota-anggota Suruhanjaya hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, atas syor Perdana Menteri”, dan “Yang di-Pertuan Agong hendaklah menetapkan salah seorang daripada anggota yang dilantik di bawah seksyen 5 menjadi Pengerusi Suruhanjaya”.

Akhirnya, lihat pula kepada Janji 16 manifesto ini yang berbunyi: “Jawatan-jawatan penting dalam negara seperti pelantikan ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Malaysia, mestilah disahkan oleh jawatankuasa yang bersesuaian di peringkat Parlimen”.

Bandingkan juga Janji 16 manifesto ini dengan Seksyen 5(2) dan Seksyen 6(1) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, Perkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan, Seksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, dan Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan seperti yang disebutkan di atas.

Maka selepas melihat kepada semua janji yang terkandung di dalam Manifesto PRU 14 PH dan membandingkannya dengan semua peruntukan undang-undang seperti yang disebutkan di atas, akan dapatlah kita buat kesimpulan mengenai tahap 'keikhlasan' dan 'kesungguhan' Pakatan Harapan di dalam mengiktiraf dan memartabatkan kedudukan Raja-Raja Melayu ini.

Tidakkah mengikut undang-undang negara yang ada sekarang kesemua pelantikan ini, iaitu Ketua Pesuruhjaya (PH merujukkannya sebagai Pengerusi) bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di dalam Janji 14, Peguam Negara (PH memecahkannya kepada Peguam Negara dan Pendakwa Raya) di dalam Janji 15, Ahli-Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya di dalam Janji 17, Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi di dalam Janji 19, dan Anggota-Anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia di dalam Janji 26, hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong?

Di dalam kes-kes Ketua Pesuruhjaya bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Peguam Negara, dan Anggota-Anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, pelantikan ini hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat atau syor Perdana Menteri. Di dalam kes Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, pelantikan ini hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja. Di dalam kes Ahli-Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya, pelantikan ini hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong sendiri, tanpa nasihat atau syor Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Tanpa mengira sama ada pelantikan ini hendaklah dibuat atas nasihat atau syor Perdana Menteri, atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, atau tanpa nasihat atau syor Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, hakikatnya adalah kesemuanya hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

Bila Manifesto PRU 14 PH langsung tidak memperkatakan peranan Yang di-Pertuan Agong (dan Majlis Raja-Raja di dalam kes yang berkaitan) di dalam kesemua pelantikan ini, melainkan di dalam pelantikan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, atau menjadikan pelantikan ini tertakluk kepada “pengesahan secara demokratik oleh Parlimen” atau kepada “perakuan oleh Parlimen”, tidakkah ini boleh membawa makna bahawa manifesto ini telah cuba menghakis kuasa atau membakulsampahkan terus Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu?

Di dalam pelantikan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi yang dikehendaki dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, ayat yang digunakan oleh manifesto ini, iaitu bahawa “keputusan pelantikan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman ini akan dilaksanakan setelah merujuk kepada kebijaksanaan dan budi bicara Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja”, adalah bercanggah dengan Seksyen 21(1)(a) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 yang berbunyi: “Fungsi Suruhanjaya adalah “untuk memilih orang berkelayakan yang sesuai yang wajar dilantik sebagai hakim mahkamah atasan untuk pertimbangan Perdana Menteri”.

Mengiktiraf dan memartabatkan kedudukan Raja-Raja Melayu-kah semua janji yang terkandung di dalam Manifesto PRU 14 Pakatan Harapan ini? - HARAKAHDAILY 10/3/2018

_AC_

Jumaat, 9 Mac 2018

Catatan Khas : Tuan Guru Presiden PAS Berbahas, Dewan Parlimen.

Allahuakbar...

✳ Catatan Khas : Tuan Guru Presiden PAS Berbahas, Dewan Parlimen Berubah Bagaikan Dewan Kuliah Universiti

1. Pada tepat jam 12.00 tengah hari tadi, giliran Ahli Parlimen Marang, YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang membahaskan Titah Diraja. Saya begitu tidak menyangka suasana perbahasan menjadi begitu menarik, dan mengasyikkan.  Sesiapa yang berada di dalam Dewan mahupun menonton secara langsung pasti  berasa teruja kerana suasana Dewan yang biasanya gamat dengan pertelingkahan dan bertikam lidah berubah menjadi diskusi ilmiah bagaikan dalam dewan kuliah universiti.

2. Asalnya masa yang diperuntukkan hanya 30 minit tetapi atas budibicara Dato' Timbalan Speaker, Tuan Guru Presiden dibenarkan untuk berbahas selama 1 jam kerana ramai Ahli Parlimen lain daripada BN mahupun Pembangkang yang berminat bangun membuat pencelahan. Mereka bertanya dengan penuh adab tatasusila bahkan ada Ahli Parlimen DAP yang memanggil nama "Tuan Guru" sedangkan kebiasaannya sesama Ahli Parlimen akan memanggil " Yang Berhormat (nama  kawasan yang diwakili). Ada Ahli Parlimen BN yang bangun bertanya memulakan dengan lafaz "Subhanallah, Tabarakallah" kerana beliau begitu tertarik dengan isi perbahasan Tuan Guru Presiden.

3. Antara kelainan yang dapat saya perhatikan dalam perbahasan kali ini, Tuan Guru Presiden berucap tanpa teks, hanya sesekali merujuk catatan isi penting, ia membuatkan suasana yang lebih santai, spontan, banyak eye-contact dan gerakan tangan.

4. Di awal ucapan, beliau menyebut perbahasan akan menyentuh 2 perkara yang terkandung dalam Titah Diraja iaitu:

a) Sokongan Yang di-Pertuan Agong terhadap segala inisiatif bagi mendaulatkan Islam sebagai agama persekutuan dan pemerkasaan Mahkamah Syariah.

b) Seruan  Yang di-Pertuan Agong agar hentikan berpolitik untuk kepentingan sempit.

5. Berikut adalah intipati utama ucapan perbahasan beliau:

- Seruan transformasi yang diwar-warkan oleh kerajaan perlulah mengikut petunjuk di dalam Al Quran.
Transformasi positif sepertimana dalam ayat 11, Surah Ar Ra'du, yang bermaksud "Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka mengubahnya sendiri"

- Pembangunan insan akan dapat membangunkan negara dan ummat, Allah memulakan Islam di bumi Mekah yang kering, tidak ada apa-apa hasil,
lalu manusia dibangunkan dengan ilmu, akhlak, dan jatidiri.

- Kita kembali kepada Perlembagaan yang diasaskan oleh mereka generasi awal samada di pihak kerajaan dan pembangkang yang sama-sama memperjuangkan kemerdekaan walaupun berbeza dasar dan pendekatan politik. Suruhanjaya Reid telah menetapkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam sebagai Agama Persekutuan, manakala agama lain bebas diamalkan, dan Perkara 152  Perlembagaan Persekutuan iaitu Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, dan hak bahasa ibunda masing-masing.

- Yang di-Pertuan Agong menyeru agar mendaulatkan Islam sebagai agama persekutuan. Apabila hendak mendaulatkan Islam, perlulah berpandu kepada agama Islam yang disebut dalam Al Quran iaitu Ad Din dan kaffah (sempurna) sifatnya. Kita jangan terpengaruh dengan takrif agama mengikut Bahasa Inggeris, penjajah kita dan juga yang terkandung dalam Kitab Bible. Tuan Guru memetik :
"Jesus said to them, “Render to Caesar the things that are Caesar’s, and to God the things that are God’s.” ( Mark 12:17)
Ia menunjukkan pemisahan agama dan politik sedangkan Islam agama yang berdaulat. Islam menentang diktator dan teokrasi.
Ayat Quran menyebut mengenai adanya pemerintah yang berlagak bagaikan Tuhan samada bernama raja seperti Firaun dan Namrud, ataupun Al Malak (pemimpin-pemimpin).

[Pencelahan oleh YB DAP Bukit Mertajam- mohon penjelasan lanjut berkenaan tafsiran Bible yang dibaca oleh Tuan Guru]

- Tuan Guru menceritakan tentang sejarah dalam agama Kristian yang menindas golongan ilmuan, manakala golongan agamawan bersekongkol dengan pemerintah, merebut kuasa  melalui pengutipan cukai pengampunan dosa. Apabila Tamadun Islam mula mempengaruhi Barat maka lahirlah idelogi Sekularisme yang memisahkan agama daripada politik.

- Apa yang dibawa ke negara ini oleh penjajah British bukanlah ajaran asal Kristian tetapi ajaran yang sudah dipinda bagi menyekat kuasa agama Islam dengan merampas kuasa Raja-Raja. Agama dihadkan kepada sekadar nikah-cerai, pembahagian harta-pusaka, dan wakaf. Kuasa tanah, pentadbiran, dan kerakyatan dialmbil oleh British. Selepas merdeka, pemikiran British ini patutlah dibuang.

- Usaha pemerkasaan Mahkamah Syariah amatlah dialukan. Apa yang ada hari ini, Mahkamah Syariah lebih rendah daripada Mahkamah Majistret padahal kita sebut Islam adalah Agama Persekutuan. bagaimana Mahkamah Syariah lebih rendah daripada Mahkamah di daerah-daerah.?
Saranan Yang di-Pertuan Agong agar Mahkamah Syariah diperkasakan  amatlah disokong dan dilalukan.

[Pencelahan oleh YB PKR Bukit Katil yang mencadangkan agar Hakim Mahkamah Syariah dilantik oleh Suruhanjaya sepertimana Hakim Mahkamah Sivil, agar mereka bukan sekadar penjawat awam biasa]

- Tuan Guru bersetuju cadangan itu tetapi mahukan aspek yang lebih luas iaitu kadar hukuman. Kuasa hukuman sepatutnya lebih tinggi dan sebolehnya menepati syariat yang sepenuhnya. Dalam hal ini, penganut bukan Islam jangan bimbang kerana wujudnya jaminan dalam Islam iaitu tidak ada paksaan untuk memeluk Islam. Ayat Quran juga menyebut mengenai larangan meroboh rumah ibadah agama lain. Lihatlah di Mesir, masih ada gereja yang dimiliki oleh Kristian Ortodok Koptik yang ada sebelum Islam. di Iran ada rumah api yang dimiliki oleh penganut agama Majusi, di Indonesia alam Melayu ini masih ada candi Borobudur. Ini menunjukkan kebebasan beragama yang dijamin oleh Islam.

- Dalam aspek pelaksanaan undang-undang, orang Islam tertakluk kepada undang-undang Islam tetapi hal ehwal umum seperti trafik jalanraya, tetap sama untuk semua yang Islam dan bukan Islam. Contohnya, tidak boleh dibuat lampu hijau untuk orang Islam boleh jalan manakala yang bukan Islam kena berhenti, pasti huru-hara di jalanraya.

[Pencelahan oleh YB BN Rompin yang berpandangan soal pendekatan kita apabila menyebut pemerkasaan Mahkamah Syariah berbanding penekanan Hudud boleh membuatkan orang bukan Islam tidaklah terkejut sangat yang cuba memahami Islam]

- Tuan Guru Presiden menjelaskan dalam Islam adanya undang-undang Perlembagaan, perdagangan, keluarga, jenayah, antarabangsa, semuanya ada dalam Islam. Seringkali golongan orientalis menggunakan Hudud sebagai senjata menyerang Islam, hukum potong tangan dijadikan hujjah menakutkan orang bukan Islam.

- Pernah berlaku satu Dialog pada tahun 1971,di antara Vatican City (wakil Barat) dan pemikir Islam  yang dianjurkan di Vatican dan Riyadh. Isu potong tangan ini timbul, mereka menyangka apabila ada jumlah 70,000 pencuri maka kesemuanya dipotong tangan. Mereka tidak sedar bahawa undan-undang Islam sifatnya mendidik, bukan menghukum. Hukuman yang hendak dijatuhkan sangat ketat termasuk ciri hakim, saksi, penjenayah, kadar curian, hubungan pencuri dan mangsa. Mengikut Islam, hakim perlu cari jalan membebaskan pesalah,kerana Islam menggalakkan pengampunan dan bertaubat. Apa yang penting undang-undang ini mendidik, bagi menggerunkan penjenayah dan semua orang. Apa yang hendak ditakutkan jika kita tidak mencuri..? Lihat di Arab Saudi adanya keamanan, kedai boleh ditutup hanya dengan kain tanpa kunci yang kukuh mahupun jaga yang gagah perkasa. Inilah kehebatan undang-undang.

- Hukuman sebatan dalam Islam bersifat tidak mencederakan tetapi memalukan. Hukuman tidak boleh pecah kulit, bukan macam dalam penjara hari ini yang menggunakan rotan yang kuat sehingga tercabut kulit dari isi. Dalam sirah ada seorang tua yang kurus melakukan kesalahan, dihukum sebat sebanyak 100 sebatan, orang bertanya kepada Nabi, bagaimana hendak dilaksanakan hukuman ini.? Nabi menjawab, ambil 100 ranting, pukul 1 kali sahaja di khalayak ramai.
Inilah keindahan hukum Islam, jangan percaya seperti dalam filem yang ingin memburukkan imej Islam yang

[Pencelahan oleh YB PKR Penampang yang berpandangan tidak setuju undang-undang agama diperluaskan lagi penguatkuasaannya kerana itu syarat asal kemasukan Sabah ke dalam Malaysia dahulu]

- Tuan Guru Presiden menjawab dalam Perlembagaan Malaysia adanya sistem Federalisme yang memberikan hak agama adalah kuasa kerajaan negeri, maka terpulanglah kepada Kerajaan Negeri masing-masing, Beliau mengimbau kembali sejarah Islam. adanya pemerintahan yang begitu luas daripada India sehinggalah ke Sepanyol di Barat yang turut mengamalkan federalisme, zaman itu tiada lagi internet dan telefon. Raja Najasyi, pemerintah Habsyah yang baru memeluk Islam berhadapan dengan paderi Kristian yang tidak bersetuju dengan beliau, Hudud ditangguhkan berasaskan realiti masyarakat di situ. Ini adalah keanjalan yang ada dalam pelaksanaan Syariat Islam.

*Timbalan Speaker memaklumkan ramai yang berminat dengan perbahasan YB Marang,
[Pencelahan oleh YB BN Bagan Serai yang menyatakan beliau begitu tertarik mendengar penjelasan mengenai undang-undang Islam yang diterangkan oleh Tuan Guru Presiden, beliau meminta pendapat perlukah diubah undang-undang bagi mencegah jenayah dadah yang masih belum dapat ditangani sehingga sekarang.?]

- Tuan Guru Presiden menerangkan adanya 3 bahagian dalam undang-undang Islam iaitu Qisos (hal kecederaan), Hudud (hal moral), dan Ta'zir (hal yang tiada dalam Hudud dan Qisos). Dadah termasuk dalam Ta'zir yang tertakluk kepada budibicara pemerintah. Undang-undang Islam adanya aspek ruh spiritual, ini tidak ada pada undang-undang Barat. Makna spiritual ini ialah seseorang itu percaya bahawa sekiranya dia tidak dihukum di dunia, dia tetap tidak dapat lari daripada hukuman di Akhirat. Sebab itu dalam sejarah Islam, ada pesalah datang serah diri mengaku salah kerana adanya aspek spiritual dalam diri ini. Perbincangan lanjut diperlukan dalam hal ini, kerana masa yang ada sekarang singkat dan bukannya dalam kelas kuliah undang-undang.

[Pencelahan sekali lagi oleh YB BN Rompin bangun mencadangkan agar Perlembagaan sediaada tidak dipinda tetapi Mahkamah Syariah yang perlu diperkasa.]

- Tuan Guru Presiden menjawab ada perkara yang beliau setuju dan ada yang beliau tidak setuju. Islam sebagai agama persekutuan tidak perlu dpinda, tetapi undang-undang lain boleh dipinda seiring dengan perkembangan semasa. Semenjak beliau berada di Parlimen pada tahun 1990 lagi, sudah banyak kali pindaan Perlembagaan dibuat. Ini menunjukkan kita boleh fleksibel, tidak perlu jumud dalam semua perkara.
Contohnya, hukuman gantung sampai mati yang menggunakan tali. Islam menetapkan hukuman bunuh perlu dilaksana tetapi bukan menyeksakan. Hukuman mati tetap perlu ada, cuma kaedah yang berbeza. Dalam Islam adanya perkara Tsawabit (yang sudah tetap, tidak boleh berubah) dan Mutaghaiyyirat (yang boleh berubah mengikut perkembangan.

[Pencelahan oleh YB BN Julau yang bertanya berkenaan berita dalam media bahawa Tuan Guru Presiden mendakwa orang Islam ditawarkan wang oleh gerakan Missionary untuk memeluk agama Kristian]

- Tuan Guru Presiden menjelaskan beliau mendapat maklumat berkenaan wujudnya aktiviti sedemikian seperti di negara Afrika. Dalam Islam pun ada, iaitu wang zakat untuk menggalakkan orang masuk Islam, dalam Kristian pun ada, itu hal agama mereka. Apa yang lebih penting ialah menjaga keharmonian, sebab itu dalam Islam menggalakkan dialog antara satu sama lain bagi berhujjah dengan tidak menimbulkan ketegangan.
Biar kita berbeza pendapat, jangan berpecah.

[Pencelahan sekali lagi oleh YB BN Julau yang berpandangan tidak boleh orang yang dihormati dan bergelar Tuan Guru membuat dakwaan sebegitu terhadap agama Kristian]

- Tuan Guru Presiden berkata terserah kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan membuat tindakan selanjutnya. Beliau memetik kata-kata Imam Al Ghazali,"agama asas kehidupan manusia, kuasa pemerintahan adalah pengawas, perkara yang tidak ada asas akan runtuh."
Apabila kita tidak mengikut agama, maka akan runtuh kehidupan. Usah percaya dengan Islamophobia, yang mengatakan Islam agama pengganas sedangkan Kristian juga ada pengganas sepertimana di Ireland,pengganas dalam agama Hindu di India, 2 PM India dibunuh oleh Hindu. Jangan dituduh Islam sahaja.
Sebenarnya, Islam menentang keganasan, menggalakkan hubungan yang baik. Islam melarang membunuh kucing, dan boleh pahala apabila memberi minum anjing yang dahaga, bagaimana mungkin Islam membenarkan manusia dibunuh sesuka hati.?

- Seterusnya, Tuan Guru Presiden membahaskan betapa pentingnya memartabatkan Bahasa Melayu yang merupakan Bahasa Kebangsaan, bahasa perantara kaum. Bahasa adalah naluri fitrah manusia, yang menjadi medium komunikasi, dan mencari ilmu. Bagi mengilmukan sesuatu bangsa maka perlulah dipelajari dalam bahasa ibunda masing-masing, yang menjadi jiwa bangsa. Mengapa ilmu asas pun hendak dipelajari dengan menggunakan bahasa asing.? Solat itu dalam Bahasa Arab tetapi kita belajar solat dalam Bahasa Melayu.
Mengapa kita tinggalkan bahasa kita sendiri untuk belajar Sains.? Hal ini menyebabkan kaum Bumiputera ketinggalan.
Kita cuba lihat di peringkat antabangsa, ketua-ketua negara asing berucap di PBB dalam bahasa ibunda sendiri.

*Timbalan Speaker menggesa YB Marang membahaskan mengenai isi kedua Titah Diraja berkenaan hentikan berpolitik untuk kepentingan sempit.
Beliau turut memberi izin YB Marang berbahas sehingga jam 1.00 petang.

- Tuan Guru Presiden menjelaskan kita tidak boleh berhenti daripada politik kerana ia adalah sebahagian kehidupan manusia. Namun, yang masalahnya apabila berpolitik melampau, sehingga meninggalkan akhlak, perangai yang baik. Ini tidak elok. Seruan ini kepada semua, tidak tuju kepada tertentu.
Lantas, Tuan Guru Presiden memetik kata-kata Saidina Abu Bakar As Siddiq dilantik sebagai Khalifah Ketua Negara, "wahai tuan-tuan, saya telah dipilih menjadi pemimpin kamu, saya bukan orang yang terbaik. Kalau saya baik, tolonglah saya, saya tidak baik, perbetulkan saya. Benar adalah amanah, bohong adalah khianat."
Ini menunjukkan budaya memecat pemimpin tidak digalakkan dalam Islam, kita perlu sabar dan memperbetulkan pemimpin.

- Lihat pada Arab Spring, apa yang jadi.? Musim bunga yang tidak berbuah sehingga berlaku campurtangan asing dalam negara yang menghuru-harakan negara.
Walaupun saya tidak setuju dengan kerajaan, tetapi kita sabar.
PAS menyertai arena politik tanah air sejak sebelum merdeka sehingga ke hari ini, part-parti lain banyak yang baru ditubuhkan kemudian. Kita sabar, kita menang, kita kalah, kita rebah, kita bangun, kita banyak kerusi, kita tiada kerusi langsung, kita tidak kisah, yang penting jangan mengacau rakyat. Ini yang perlu kita jaga betul-betul. (bunyi tepukan sokongan daripada Ahli Dewan).
Saya tidak mengampu sesiapa, orang hendak sokong, sokonglah, yang tidak mahu, tidak mengapa.

6. Tuan Guru Presiden menamatkan ucapan beliau pada jam 12.50 tengah hari. Sesungguhnya, suasana ucapan perbahasan beliau tadi begitu menarik kerana wujud perbincangan dua hala secara ilmiah dan penuh adab. Tuan Guru Presiden dengan berani menyampaikan mesej dakwah Islam secara hikmah dan tegas berprinsip kepada sekalian Ahli Dewan samada yang beragama Islam dan bukan Islam.

7. Sejurus Tuan Guru Presiden menamatkan ucapan, sempat mengiringi beliau ke kereta sambil mengucapkan tahniah atas ucapan yang begitu menarik. Beliau memaklumkan tidak dapat meneruskan ucapan sehingga jam 1.00 petang kerana tekak sudah kering. Beliau bertolak pulang ke Pejabat Agung PAS bagi meneruskan tugasan  untuk mpengerusikan mesyuarat parti pula.

Catatan oleh,
Syed Ahmad Fadhli,
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS

Khamis, 8 Mac 2018

STRATEGI POLITIK DAP: WUJUDKAN 'BARUA' DAN 'KUDA TUNGGANGAN'

Membaca tulisan pemikir DAP, Dr Wong Chin Huat, mengenai strategi politik bagi menyelesaikan satu isu politik luar negara (isu Rohingya) membuatkan kita segera terfikir mengenai penggunaannya dalam politik dalam negara oleh DAP.

Kata Dr Wong Chin Huat: "The greatest blow can only come from 'own people', never outsiders let alone antagonists" ("Pukulan terkuat hanya boleh datang dari 'orang sendiri', bukan orang luar apatah lagi penentang").

Yang dimaksudkan oleh Dr Wong Chin Huat ialah, disebabkan Aung San Suu Kyi adalah seorang Buddha, tekanan dari penganut Buddha seluruh dunia akan lebih berkesan dari sumpahan (istilah 'sumpahan' ini sebenarnya tidak betul dan mungkin lebih berbentuk cubaan untuk memburuk-burukkan penganut Islam) oleh penganut Islam seluruh dunia.

Memanjangkan strategi politik ini dalam politik dalam negara, bolehlah dinyatakan bahawa, untuk menangani musuh politiknya dalam negara, cara terbaik yang boleh dilakukan ialah dengan menggunakan 'orang sendiri'.

Cara terbaik untuk melemahkan PAS adalah dengan menggunakan orang PAS sendiri, begitu juga dengan mana-mana parti politik lain yang mahu dilemahkan, sama ada UMNO-kah, PKR-kah dan sebagainya.

Begitu juga jika yang mahu dilemahkan ialah orang Melayu atau penganut Islam, cara terbaik untuk melemahkan mereka adalah dengan menggunakan orang Melayu atau penganut Islam sendiri.

Penggunaan strategi politik ini malah pernah diakui secara terbuka oleh Dr Hew Kuan Yau yang kedengaran menyebut dalam beberapa rakaman video mengenai keperluan menggunakan orang Melayu untuk 'screw' orang Melayu.

Tidak salah jika dikatakan bahawa, berdasarkan kepada pengamatan terhadap strategi politik inilah maka istilah seperti 'barua' dan 'kuda tunggangan' mula muncul.

Bukti: Sila lihat di komen pertama.

Telegram:

telegram.me/DrKamarulYusoff

Jumaat, 2 Mac 2018

SOLUSI SEJAHTERA

[ LIVE ] SOLUSI SEJAHTERA bersama Presiden PAS

Mengupas dasar dan polisi serta isu semasa ke arah membina Malaysia Sejahtera.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1592071974211248&id=146911248727335

LIKE dan SHARE.

Khamis, 1 Mac 2018

URUSTADBIR RABBANI SEBAGAI DASAR KERAJAAN PERANGI RASUAH : CONTOHI KONSEP UMI KELANTAN

*Kenyataan Media*
*Ahli Parlimen Kuala Nerus*

27 Februari 2018 | 11 Jamadilakhir 1439H

1. Perbincangan politik hari ini tidak dapat lari daripada isu penyelewengan, rasuah dan korupsi yang sukar untuk dibendung. Ia ibarat barah yang menambah luka ketika permainan politik bukan lagi di atas dasar menguntungkan rakyat secara keseluruhan, tetapi demi kepentingan kantung pihak tertentu.

2. Di dalam riuh rendah hiruk pikuk masyarakat bercakap soal sebuah urustadbir kerajaan yang baik (good governance), kerajaan negeri Kelantan selepas memerintah selama 27 tahun bermula Oktober 1990, telah membuktikan bahawa melahirkan "Good Governance" (Urustadbir Baik) yang cemerlang dari sudut pengurusan serta jauh dari rasuah bukanlah sesuatu yang mustahil *tetapi hendaklah berasaskan _"al-Hukmu al-Rabbani"_ iaitu "Urustadbir Rabbani" yang meletakkan asas agama dan perhambaan diri kepada Tuhan sebagai dasar rujukan.*

3. Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran ayat 79:

مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا عِبَادًا لِّي مِن دُونِ اللَّهِ وَلَٰكِن كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنتُمْ تَدْرُسُونَ (79)
"Tidak wajar bagi seorang manusia yang Allah SWT kurniakan kepadanya Kitab, Hukum (kebijaksanaan dan pemerintahan) dan Kenabian, kemudian dia  berkata kepada orang ramai; "Jadilah kamu semua hamba-hamba kepadaku lain daripada Allah SWT", tetapi hendaklah dia berkata; "Jadilah kamu semua *Rabbaniyyin*", dengan sebab apa yang kamu ajarkan menerusi Kitab dan dengan sebab apa yang kamu pelajari".

4. Rabbani adalah orang yang dinisbahkan kepada Rabb Tuhan. Sebagaimana ditafsirkan oleh para ulamak, ia bermaksud orang yang berilmu, faqih, ahli ibadah dan ahli taqwa, yang sentiasa menyedari pengawasan Allah SWT terhadap dirinya dan yang mengikut Rabb iaitu Tuhan. Perkataan "rabbani" juga berasal dari perkataan "rabba" bermaksud mentadbir dan memperelokkan keadaan. Justeru, Rabbani menurut Qurtubi bermaksud orang yang disamping berilmu dia juga cekap dalam urustadbir.

5. Kesimpulannya Rabbani boleh ditafsirkan sebagai orang yang ada ilmu, kuat beribadah mengabdikan diri kepada Tuhan, bertaqwa dan menyedari pengawasan Allah SWT terhadap dirinya serta cekap mentadbir dengan menjadikan Rabb Tuhan sebagai ikutan dan panduan.
*Konsep Rabbani inilah yang perlu diterapkan dalam urustadbir negara.*

6. "Good Governance" yang dikeluarkan oleh World Conference on Governance pada tahun 1999 mendefinisikannya sebagai “a system that is transparent,
accountable, just, fair, democratic, participatory and responsive to people’s needs". Ia menggariskan 3 asas urustadbir yang baik iaitu accountability (kebertanggungjawaban) , transparency (ketelusan) dan
efficiency and effectiveness (kecekapan).

7. Namun, Urustadbir Rabbani lebih jauh meletakkan semua tiga asas itu bersumberkan kesedaran bahawa manusia yang melaksanakan urustadbir negara adalah:

i. Hamba kepada Tuhan yang mesti berilmu dan terikat dengan hukum hakam dan peraturan Tuhan.

ii. Dipertanggungjawabkan menerusi konsep Hisab di Hari Akhirat

iii. Dinilai oleh Allah SWT berasaskan kualiti setiap urustadbir untuk diganjari dengan Syurga.

8. Atas kesedaran "Urustadbir Rabbani" berasaskan konsep perhambaan diri kepada Tuhan, kerajaan PAS Kelantan memperkenalkan prinsip UMI merujuk kepada 'Ubudiyyah (Perhambaan kepada Allah SWT), Mas'uliyyah' (Kebertanggungjawaban juga berkait dengan prinsip dosa dan pahala) dan Itqan (Kesungguhan dan Kecekapan) sebagai dasar urustadbir negeri.

9. Urustadbir berasaskan prinsip UMI menjadi tunjang penting kepada pengurusan yang cekap serta jauh daripada penyelewengan.
Hasilnya, pegawai-pegawai Kerajaan Negeri Kelantan telah diiktiraf oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai bebas dan bersih daripada sebarang rasuah mahupun korupsi. Ini merupakan kejayaan terbesar bagi sesebuah kerajaan yang memerintah sebuah negeri.

10. Malah, seperti yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016, Pejabat Menteri Besar dan SUK Kerajaan Negeri Kelantan memperolehi markah 99 peratus dalam laporan berhubung prestasi pengurusan kewangan berdasarkan indeks akauntabiliti jabatan/agensi pada 2016.

11. UMI sebagai satu konsep Urustadbir Rabbani sepatutnya menjadi rujukan kerajaan-kerajaan negeri lain termasuk kerajaan pusat sendiri dalam melaksanakan tanggungjawab pemerintahan. Misi menjadi sebuah negara yang bebas dari amalan rasuah kini sebenarnya tidak lagi mustahil dan Kerajaan Negeri Kelantan telah dahulu membuktikannya.

Sekian.

"Sejahtera Bersama Islam"

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

Masyarakat bukan Islam tetap diutama

RIZAL TAHIR  28 FEBRUARY 2018

KOTA BHARU: Masyarakat bukan Islam di Kelantan tidak pernah disisih, malah mereka sering diberi perhatian kerajaan negeri.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berkata, adalah menjadi tuntutan Islam bagi menjaga keharmonian kaum di negeri tersebut.

Menurutnya, kaum bukan Islam perlu dijaga sebaiknya dan setiap tindak tanduk yang dilakukan diharap tidak menimbulkan rasa kurang selesa sehingga menjejaskan kesejahteraan masyarakat.

"Alhamdulillah di Kelantan kita telah terapkan usaha sedemikian sejak awal pentadbiran kerajaan negeri pada 1990.

"Program kesejahteraan rakyat diberi keutamaan tanpa mengira latar belakang dan perbezaan anutan agama," ujarnya pada  jamuan sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Dataran Cheng Ho malam tadi.

Turut berangkat menghadiri program itu Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra, Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz, Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Dato’ Zamri Ismail dan Presiden Gabungan Tiong Hwa Kelantan, Oie Poh Chun.

Lebih 6,000 orang masyarakat Cina dan penduduk tempatan memeriahkan program tersebut di mana ia dianjurkan MPKB-BRI dan Gabungan Teong Hwa Kelantan. -HARAKAHDAILY 28/2/2018

_AC_