Ahad, 8 Januari 2017

Syarahan Perdana: Asia Barat Yang Bergolak. Ke mana kita



Oleh: YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
(Presiden PAS/Naib Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia)
Tarikh : 7 Januari 2017 DARAH UMAT ISLAM KORBAN LAKAR PETA TAJAAN PENJAJAH

SHAH ALAM: Percaturan hingga menimbulkan pergolakan politik dan peperangan melibatkan negara-negara umat Islam di Asia Barat perlu difahami antaranya berpunca dari peta umat Islam yang 'dilakar' dengan darah.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, nyawa dan darah umat Islam menjadi mangsa penjajah kuasa Barat yang bertindak untuk kepentingan mereka.

Beliau berkata demikian dalam Syarahan Perdana "Asia Barat Yang Bergolak: Ke Mana Kita?" di Auditorium MBSA, di sini hari ini.

Terangnya, Iran dimomokkan sebagai 'Negara Syiah' oleh Barat untuk dilihat sebagai ancaman, hakikatnya mengalihkan ancaman dicetuskan Israel.

Menurut beliau, kekacauan dan krisis ditimbulkan Barat disamping tidak dinafikan akibat kezaliman pemerintahan dan kelemahan yang ada.

Malah, Barat juga menimbulkan tekanan kepada Negara-negara Arab yang enggan menyokong Perjanjian Madrid dan Oslo iaitu untuk memisahkan Palestin dan Israel sebagai dua negara.

Manakala jelasnya, negara menyokong pula diberi balasan tertentu kerana sanggup menuruti agenda Barat.

Begitu juga terang Tuan Guru, Arab Spring cuba dicetus Barat kononnya untuk kebangkitan demokrasi, namun kemudiannya dilihat memberi keuntungan kepada Islam.

Maka katanya, ditimbulkan pelbagai kekacauan terutamanya di laluan ekonomi dunia kerana negara-negara umat Islam itu juga memiliki banyak sumber tenaga uranium, petroleum dan sebagainya.

Sedang Syria pula ujar beliau, menjadi sasaran kerana bersempadan dengan Israel, selain menjadi pangkalan kepada HAMAS, Hizbullah dan Jihad Islami yang menjadi benteng mendepani Israel.

Sementara terangnya, ISIS dan Daesh ditaja Barat untuk terus mencetuskan persengketaan, namun semakin melemah.

Pun begitu nasihatnya, perlu berwaspada kerana apabila kumpulan ini pulang ke negara masing-masing berpotensi menimbulkan bencana.

"Bukan masalah kaum dan mazhab. Kaum dan mazhab sekadar dijadikan sumbu untuk menyalakan api berdasarkan peta dilakar. Kita baca kitab dan kita baca politik, bukan baca kitab sahaja. Tetapi keadaan sangat sulit untuk diselesaikan.

"Pun begitu ada hikmahnya. Kebangkitan Islam ini umpama ibu mengandung yang mengeluarkan darah terlebih dahulu sebelum bayi yang segar," ujarnya optimis.

(Transkrip penuh ucapan pembentangan akan menyusul kemudian)