Khamis, 3 November 2011

Larangan Dalam Ihram



Oleh Abu Hassan Wahab

Jemaah wajib patuhi antara syarat babitkan pakaian, wangian dan hubungan


SEBAIK saja seseorang itu berniat ihram, sama ada haji atau umrah, maka wajib ia menjaga segala larangan dan halangan ketika dalam ihram yang secara umumnya dibahagikan kepada lima kategori.


Larangan itu ialah larangan membabitkan pakaian, berwangi-wangian, kecantikan, alam sekitar dan hubungan jenis.


Larangan membabitkan pakaian termasuk:

Memakai pakaian berjahit/bercantum/bersarung seperti seluar, baju, sarung kaki, kain pelikat, kasut yang menutup jari kaki dan tumit (larangan ini hanya membabitkan lelaki saja). Walau bagaimanapun, diharuskan bagi lelaki memakai atau melakukan perkara berikut tanpa dikenakan dam seperti:


� Memakai kain pelikat yang berjahit dan bercantum tetapi tidak disarungkan apabila dipakai. Walaupun dibolehkan keadaannya bercantum dan berjahit seperti digunakan bagi tujuan kain basahan untuk mandi.


� Memakai kain tuala mandi dan sebagainya walaupun berjahit di kedua-dua hujungnya diharuskan kerana tidak bercantum.


� Kain pelikat lepas, yang tidak bercantum antara hujung penjurunya walaupun bercorak dan berwarna-warni.


� Memakai tali pinggang, cincin, gelang pengenalan haji dibolehkan kerana dikategorikan alat bukan pakaian, sekalipun kelihatan bercantum.


� Memakai sepatu dipotong di bahagian hadapan yang menampakkan jari kaki dan tumit.


� Menutup kaki dengan kain ihram. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, cuaca agak sejuk. Ramai jemaah haji lelaki menutup kaki mereka dengan ihram khususnya ketika tidur atau berbaring. Suasana menjadi kecoh kerana ada berpendapat dikenakan dam berikutan dikatakan melanggar larangan dalam masa ihram. Hukum sebenar dibolehkan.


� Menyematkan pin antara dua hujung penjuru kain ihram sebelah bawah dibolehkan. Bagaimanapun, menyematkan pin pada kain ihram sebelah atas tidak dibolehkan. Bercawat dengan kain ihram yang tidak bersambung dan berjahit dibolehkan.


� Jika seorang lelaki ketika ihram memakai pakaian dilarang dalam kategori ini, secara terlupa atau tidak sengaja hendaklah menanggalkan pakaian itu dengan segera apabila dia ingat atau diperingatkan. Jika dia melengah-lengahkan dalam keadaan dia mampu melakukannya, maka dia berdosa dan dikenakan dam (Takhyir dan Taqdir).


� Memakai pakaian dilarang jika ada keperluan hukumnya tidak berdosa, tetapi diwajibkan ke atasnya membayar dam (Takhyir dan Taqdir) lihat contoh berikut:


� Memakai sarung lutut (kneeguard) untuk merawat sakit lutut atau sakit sendi pada pandangan syarak pemakainya tidak berdosa kerana bertujuan merawat dan hajat tetapi dikenakan dam kerana memakai pakaian berjahit dan bercantum dalam masa ihram.


� Memakai kasut pada kaki yang sihat untuk mengimbangi kasut dipakai pada kaki palsu hukumnya dikenakan dam kerana melanggar larangan ihram, tetapi tidak berdosa kerana hajat dan keperluan.


� Menutup kepala atau sebahagian daripadanya dengan songkok, kopiah, serban, kain ihram dan sebagainya. Larangan ini hanya membabitkan lelaki saja.


� Seorang lelaki dalam masa ihram adalah dibenarkan apabila melakukan perkara berikut tanpa dikenakan apa-apa dam seperti menggunakan payung berteduh bawah pokok atau berteduh bawah khemah.


Jika seorang lelaki dalam masa ihram, memakai pakaian dilarang dalam kategori ini secara terlupa atau tidak disengajakan, dia hendaklah menanggalkan pakaian itu dengan segera apabila dia ingat atau diperingatkan, dia tidak berdosa dan tidak dikenakan dam. Jika dia melengah-lengahkan dalam keadaan dia mampu melakukannya maka dia berdosa dan dikenakan dam (Takhyir dan Taqdir).


� Menutup muka. Larangan ini hanya membabitkan wanita.


� Seorang wanita yang berada dalam ihram tidak diharuskan memakai penutup hidung atau mulut (mask) kerana ia juga dianggap menutup muka. Bagaimanapun, atas sebab keperluan dan penjagaan kesihatan, dia tidak berdosa, tetapi dikenakan dam (Takhyir dan Taqdir).


� Jika seorang wanita yang berada dalam ihram menutup mukanya dengan kain tudung secara terlupa atau tidak sengaja, dia hendaklah menanggalkan kain itu dengan segera apabila dia ingat atau diperingatkan. Dia tidak berdosa dan tidak dikenakan dam. Jika dia melengah-lengahkan dalam keadaan dia mampu melakukannya, maka dia berdosa dan dikenakan dam (Takhyir dan Takdir).


� Memakai sarung tangan. Larangan ini membabitkan lelaki dan wanita.


� Memasukkan tangan ke dalam kantung kain/plastik yang berisi batu untuk melontar di jamarat dibolehkan.


� Melindungi tangan di sebalik kain tudung atau kain ihram dibolehkan.



Larangan membabitkan berwangi-wangian



� Memakai wangi-wangian sama ada di badan, makanan, minuman atau menghidu ke hidung. (Larangan membabitkan lelaki dan wanita)



� Seseorang yang berada dalam ihram boleh menggunakan ubat gigi, sabun mandi dan minyak angin, walaupun berbau wangi. Penggunaannya bergantung kepada niat kita iaitu bagi tujuan kebersihan atau perubatan. Jika kita gunakan bagi tujuan berwangi-wangian, maka dikenakan dam. Begitu juga kita boleh mengambil makanan dan minuman berperisa wangian (yang asal) bukan diwangikan sebagai nilai tambah.



� Jika seseorang berada dalam ihram memakai atau menghidu wangi-wangian secara terlupa atau tidak sengaja, dia hendaklah menghilangkan kesan bauan itu dengan segera.



� Jika seseorang itu, belum lagi bertahallul umrah atau bertahallul awal, dicalit atau disapu minyak wangi pada badan atau pakaian tanpa kerelaannya, dia hendaklah menghilangkan kesan bauan itu dengan segera, dia tidak berdosa dan tidak dikenakan dam. Jika dia melengahkan dalam keadaan dia mampu melakukannya, maka dia berdosa dan dikenakan dam (Takhyir dan Taqdir).



� Seseorang berada dalam ihram, hendaklah berhati-hati ketika mahu mengucup Hajar Al-Aswad, kerana dikhuatiri ia dilumur dengan minyak wangi. Hukum asal mengucup Hajar Al-Aswad adalah disunatkan. Jika ia mengetahui ia dilumur dengan minyak wangi hukum mengucupnya berubah menjadi haram.



Jika dia mengucup Hajar Al Aswad dalam keadaan tidak mengetahui ia dilumur dengan minyak wangi, dia hendaklah menghilangkan kesan bau wangi itu dengan segera. Dia tidak berdosa dan tidak dikenakan dam. Jika dia tidak menghilangkan kesan bau wangi itu dengan segera, dia berdosa dan dikenakan dam.



� Kaabah dan kelambunya juga dilumur minyak wangi. Seseorang yang berada dalam ihram hendaklah berhati-hati ketika merapatkan tubuh ke dinding Kaabah supaya tidak menikmati bau wangi itu. Dia hendaklah bersegera menjauhkan diri jika terhidu bau wangi. Dia tidak berdosa dan tidak dikenakan dam. Jika dia tidak bersegera menjauhkan diri, dia berdosa dan dikenakan dam. Adalah dicadangkan supaya berdoa sambil melekapkan dadanya ke Kaabah (mengikut kaedah yang betul) dilakukan pada masa sesuai, bukan dalam masa ihram.



� Memakai minyak di kepala, janggut dan semua bulu muka selain yang tumbuh di pipi dan dahi. Larangan ini membabitkan lelaki dan wanita.



Jika seseorang yang berada dalam ihram, memakai minyak pada bahagian tubuh yang tidak dibenarkan secara terlupa atau tidak sengaja, dia hendaklah menghilangkan kesan minyak itu dengan segera apabila dia ingat atau diperingatkan. Dia tidak berdosa dan tidak dikenakan dam. Jika dia melengahkan dalam keadaan dia mampu melakukannya, maka dia berdosa dan dikenakan dam (Takhyir dan Taqdir).



Penulis ialah mantan Pengurus Besar Bimbingan Tabung dan Pengkursus Ibadat Haji