Ahad, 11 Mac 2018

Manifesto PH bakulsampahkan Raja-raja Melayu?


DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF

SESIAPA yang membaca sepintas lalu Manifesto PRU14 Pakatan Harapan (PH) mungkin akan terpesona dengan apa yang kelihatan seperti 'keikhlasan' dan 'kesungguhan' PH mengiktiraf dan memartabatkan kedudukan Raja-Raja Melayu.

Disebutkan di dalam Janji 11 manifesto ini betapa “Kerajaan PH akan sentiasa meletakkan pandangan dan teguran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu di tempat tertinggi, iaitu sesuai dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dalam negara kita”.

Ini diikuti dengan ikrar betapa “Kerajaan PH akan memberi galakan kepada universiti-universiti awam untuk memperbanyak kajian dan perkongsian nasional dan antarabangsa mengenai kesultanan Melayu agar sejarah ketamadunan Melayu dapat dikongsi di persada dunia”.

Tidak cukup dengan itu, disebutkan lagi betapa “Muzium di-Raja di Istana Negara lama akan dinaik taraf menjadi Muzium Pendidikan Kebangsaan, dan kerjasama akan dijalin dengan universiti awam untuk mengaktifkan kegiatan kajian, penerbitan dan pendidikan, melalui seminar dan persidangan secara berkala, tentang institusi Raja-Raja Melayu”.

Ini ditambah pula dengan kenyataan bahawa “kerjasama juga akan dijalin dengan muzium di-raja negara-negara lain agar berlaku percambahan fikiran dan perkongsian ilmu tentang peranan penting institusi beraja dalam semak imbang negara demokrasi”.

Malangnya, jika kita meneliti dengan mendalam janji-janji lain yang terkandung di dalam Manifesto PRU14 PH ini, khususnya di dalam Janji 11 hingga Janji 29 manifesto ini yang membentuk Teras 2, iaitu “mereformasi institusi pentadbiran dan politik”, maka akan nampaklah bagi sesiapa yang berfikir betapa 'keikhlasan' dan 'kesungguhan' ini sebenarnya hanyalah satu alat kosmetik yang bertujuan melindungi maksud sebenar PH.

Kita lihat Janji 14 manifesto ini dahulu yang berbunyi: “Untuk memastikan semak imbang yang efektif, bilangan Pesuruhjaya SPRM akan ditambah dengan mewujudkan kuota untuk pertubuhan masyarakat sivil menjadi ahli SPRM. Salah seorang dari mereka akan menjadi Pengerusi SPRM, dan semua pesuruhjaya akan mempunyai jaminan pelantikan tetap. Pelantikan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya SPRM perlu disahkan secara demokratik oleh Parlimen.”

Bandingkan pula Janji 14 manifesto ini dengan Seksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang berbunyi: “Yang di-Pertuan Agong hendaklah, atas nasihat Perdana Menteri, melantik seorang Ketua Pesuruhjaya bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, untuk selama apa-apa tempoh dan atas apa-apa terma dan syarat sebagaimana yang dinyatakan dalam surat cara pelantikannya.”

Kita lihat pula Janji 15 manifesto ini yang berbunyi: “Peguam Negara akan dilantik dari kalangan Ahli Parlimen yang berkelayakan, dan beliau akan menjadi seorang Menteri yang boleh meneruskan peranan sebagai penasihat undang-undang bagi kerajaan. Jabatan Pendakwa Raya pula akan dipegang oleh individu lain yang bebas dan bertindak tanpa mengira kepentingan politik kepartian.”

Bandingkan pula Janji 15 manifesto ini dengan Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi: “Yang di-Pertuan Agong hendaklah, atas nasihat Perdana Menteri, melantik seorang yang layak menjadi hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Peguam Negara bagi Persekutuan”.

Kita pergi pula kepada Janji 17 manifesto ini yang berbunyi: “Satu kuota akan diwujudkan untuk memastikan masyarakat sivil mempunyai wakil sebagai Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia. Pelantikan Ahli-Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia mestilah melalui proses perakuan oleh Parlimen.”

Bandingkan pula Janji 17 manifesto ini dengan Perkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi: “Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, dan hendaklah terdiri daripada seorang pengerusi, seorang timbalan pengerusi dan lima orang anggota lain.”

Seterusnya kita lihat pula Janji 19 manifesto ini yang berbunyi: “Kerajaan PH akan memastikan pelantikan hakim-hakim dilakukan dengan berpaksikan kelayakan dan pengalamannya, tanpa dipengaruhi kepentingan politik. Keanggotaan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman akan diputuskan oleh Jawatankuasa Terpilih Parlimen. Keputusan pelantikan yang dibuat oleh suruhanjaya ini akan dilaksanakan setelah merujuk kepada kebijaksanaan dan budi bicara Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.”

Bandingkan juga Janji 19 manifesto ini dengan Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi: “Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim-Hakim Besar Mahkamah Tinggi dan (tertakluk kepada Perkara 122C) hakim-hakim yang lain Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.”

Kita berpindah pula kepada Janji 26 manifesto ini yang berbunyi: “Pesuruhjaya-Pesuruhjaya SUHAKAM akan dilantik melalui proses jawatankuasa di Parlimen”.

Bandingkan juga Janji 26 manifesto ini dengan Seksyen 5(2) dan Seksyen 6(1) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 yang berbunyi: “Anggota-anggota Suruhanjaya hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, atas syor Perdana Menteri”, dan “Yang di-Pertuan Agong hendaklah menetapkan salah seorang daripada anggota yang dilantik di bawah seksyen 5 menjadi Pengerusi Suruhanjaya”.

Akhirnya, lihat pula kepada Janji 16 manifesto ini yang berbunyi: “Jawatan-jawatan penting dalam negara seperti pelantikan ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Malaysia, mestilah disahkan oleh jawatankuasa yang bersesuaian di peringkat Parlimen”.

Bandingkan juga Janji 16 manifesto ini dengan Seksyen 5(2) dan Seksyen 6(1) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, Perkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan, Seksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, dan Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan seperti yang disebutkan di atas.

Maka selepas melihat kepada semua janji yang terkandung di dalam Manifesto PRU 14 PH dan membandingkannya dengan semua peruntukan undang-undang seperti yang disebutkan di atas, akan dapatlah kita buat kesimpulan mengenai tahap 'keikhlasan' dan 'kesungguhan' Pakatan Harapan di dalam mengiktiraf dan memartabatkan kedudukan Raja-Raja Melayu ini.

Tidakkah mengikut undang-undang negara yang ada sekarang kesemua pelantikan ini, iaitu Ketua Pesuruhjaya (PH merujukkannya sebagai Pengerusi) bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di dalam Janji 14, Peguam Negara (PH memecahkannya kepada Peguam Negara dan Pendakwa Raya) di dalam Janji 15, Ahli-Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya di dalam Janji 17, Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi di dalam Janji 19, dan Anggota-Anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia di dalam Janji 26, hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong?

Di dalam kes-kes Ketua Pesuruhjaya bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Peguam Negara, dan Anggota-Anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, pelantikan ini hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat atau syor Perdana Menteri. Di dalam kes Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, pelantikan ini hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja. Di dalam kes Ahli-Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya, pelantikan ini hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong sendiri, tanpa nasihat atau syor Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Tanpa mengira sama ada pelantikan ini hendaklah dibuat atas nasihat atau syor Perdana Menteri, atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, atau tanpa nasihat atau syor Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, hakikatnya adalah kesemuanya hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

Bila Manifesto PRU 14 PH langsung tidak memperkatakan peranan Yang di-Pertuan Agong (dan Majlis Raja-Raja di dalam kes yang berkaitan) di dalam kesemua pelantikan ini, melainkan di dalam pelantikan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, atau menjadikan pelantikan ini tertakluk kepada “pengesahan secara demokratik oleh Parlimen” atau kepada “perakuan oleh Parlimen”, tidakkah ini boleh membawa makna bahawa manifesto ini telah cuba menghakis kuasa atau membakulsampahkan terus Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu?

Di dalam pelantikan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi yang dikehendaki dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, ayat yang digunakan oleh manifesto ini, iaitu bahawa “keputusan pelantikan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman ini akan dilaksanakan setelah merujuk kepada kebijaksanaan dan budi bicara Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja”, adalah bercanggah dengan Seksyen 21(1)(a) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 yang berbunyi: “Fungsi Suruhanjaya adalah “untuk memilih orang berkelayakan yang sesuai yang wajar dilantik sebagai hakim mahkamah atasan untuk pertimbangan Perdana Menteri”.

Mengiktiraf dan memartabatkan kedudukan Raja-Raja Melayu-kah semua janji yang terkandung di dalam Manifesto PRU 14 Pakatan Harapan ini? - HARAKAHDAILY 10/3/2018

_AC_