PAUTAN TAMBAHAN

Selasa, 28 April 2015

KENALI...DEKATI.. HABIB SYECH BIN ABDUL QODIR ASSEGAF.

BERPOLITIK MENGIKUT MANHAJ AL-QURAN DAN AS-SUNNAH



KENAPA AL-QURAN DAN AS-SUNNAH?

Kerana kedua-duanya adalah sumber rujukan muktamad bagi umat Islam. Seorang muslim sebenar ialah yang berpegang-teguh dengan al-Quran dan as-Sunnah dalam segenap aspek kehidupannya termasuk dalam aspek politik. Merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah adalah wajib. Allah berfirman;

”Jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu merujuknya kepada (Kitab) Allah dan (Sunnah) Rasul jika kamu bena-benarr beriman kepada Allah dan hari akhirat. Tindakan demikian adalah paling baik (bagi kamu) dan paling elok akibatnya” (Surah an-Nisa’, ayat 59).

Kedua-dua al-Quran dan as-Sunnah adalah penyelamat kaum muslimin dari kesesatan. Rasulullah s.a.w. bersabda;

“Sesungguhnya telah aku tinggalkan kepada kamu sekelian rujukan yang jika kamu perpegang-teguh dengannya nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu; Kitab Allah dan Sunnah NabiNya”.(Hadis soheh, riwayat Imam al-Hakim dari Ibnu ‘Abbas r.a.. Lihat hadis ini dalam kitab “المنتقى من كتاب الترغيب و الترهيب”, Dr. Yusof Al-Qardhawi, m.s. 111.).

APAKAH ADA AJARAN POLITIK DI DALAM AL-QURAN DAN AS-SUNNAH?

Ya. (Pertama) kerana kitab al-Quran adalah kitab yang syumul. Firman Allah; ”Dan Kami turunkan kepadamu al-Quran sebagai penjelasan bagi segala perkara”. (Surah an-Nahl, ayat 89). Maksud syumul ialah lengkap, menyeluruh dan sempurna. Jika kita beriktiqad bahawa tidak ada politik di dalam al-Quran, maka kita telah menafikan kesyumulan al-Quran dan iktiqad ini bertentangan dengan ayat tersebut. (Kedua) Jika kita membuka al-Quran, kita akan berjumpa dengan ayat-ayat Allah yang mewajibkan kita melaksanakan Syari’at Allah sepenuhnya, menjauhi kezaliman, menegakkan keadilan, melaksanakan hukum-hukum Jenayah Islam (hudud), membenteras riba, judi, arak dan maksiat, mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran di mana semua tuntutan ini tidak akan dapat dilaksanakan tanpa kuasa politik atau pemerintahan. (Ketiga) Berpolitik adalah sunnah Nabi s.a.w.. Nabi Muhammad s.a.w. telah menjadi Ketua Negara selama 11 tahun di Madinah. Sepanjang 11 tahun tersebut, baginda tidak memerintah rakyatnya melainkan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Selepas kewafatannya, kepimpinan baginda diganti pula oleh Khulafak Rasyidin. Mereka mengganti baginda sebagai Ketua Negara, bukan sebagai Ketua Agama. Jika politik bukan dari agama, sudah tentu Nabi Muhammad s.a.w. dan Khulafak Rasyidin tidak akan melibatkan diri dengan politik, sebaliknya menumpukan hal-hal agama dan kerohanian sahaja.

APA HUKUM ORANG YANG BERKATA; ”POLITIK SUKU, AGAMA SUKU”?

Ucapan tersebut bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Ucapan itu cuba menafikan kesyumulan ajaran Islam yang meliputi segenap aspek kehidupan manusia termasuklah aspek politik. Ia juga bercanggah dengan Sunnah Nabi s.a.w. yang berpolitik semasa hayatnya. Orang yang mengeluarkan ucapan tersebut adalah jelas berfahaman Sekular. Jika ia seorang pemimpin, wajib umat Islam menolak pemimpin sepertinya. Dalam pengundian, haram ke atas umat Islam mengundinya. Jika ucapan tersebut menjadi pegangan sebuah Parti Politik, haram umat Islam menyertai Parti tersebut dan menyokongnya. Fahaman Sekular (termasuklah dalam aspek politik) telah disepakati oleh sekelian ulamak Islam hari ini sebagai haram, sesat bertentangan dengan Aqidah Ahlus-Sunnah Wal-Jamaah.

ADAKAH POLITIK SATU IBADAH?

Ya, politik akan menjadi sebahagian dari ibadah jika cara jika cara kita berpolitik adalah mengikut manhaj al-Quran dan as-Sunnah. Jika tidak mengikut al-Quran dan as-Sunnah, maka politik kita tidak akan menjadi ibadah, malah berdosa kerana kita mengenepikan Syariat Allah. Menurut sekelian ulamak; setiap perbuatan kita akan menjadi ibadah jika memenuhi dua syarat; (pertama) dilakukan kerana Allah, (kedua) mengikut Syari’at Allah (yakni al-Quran dan as-Sunnah). Jika kita berpolitik kerana Allah dan semasa berpolitik kita mematuhi Syariat Allah (antaranya tidak memberi dan menerima rasuah politik yang berleluasa hari ini), maka politik kita adalah ibadah dan mendapat pahala.

BAGAIMANA YANG DIKATAKAN BERPOLITIK MENGIKUT MANHAJ AS-SUNNAH?

Iaitu dengan kita menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan kita dalam berpolitik. (Pertama) Dari sudut tujuan dan matlamat kita berpolitik, hendaklah selari dengan matlamat politik al-Quran dan as-Sunnah. (Kedua) Dalam melantik pemimpin, hendaklah kita melantik pemimpin yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh al-Quran dan as-Sunnah. (Ketiga) Seorang pemimpin apabila telah dilantik, wajiblah ia memimpin rakyatnya berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. (Keempat) Rakyat hendaklah sentiasa memuhasabah pemimpinnya dengan menilainya berpandukan kehendak al-Quran dan as-Sunnah. (Kelima) Kedua-dua pemimpin dan rakyat hendaklah menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan.

APAKAH MATLAMAT BERPOLITIK MENGIKUT MANHAJ AL-QURAN DAN AS-SUNNAH?

Iaitu untuk menegakkan Syari’at Allah (yakni peraturan dan hukum-hakam Allah) di dalam negara dan memimpin rakyat berdasarkan Syari’at tersebut. Dalam pengertian yang lain, untuk menegakkan sebuah kerajaan yang melaksanakan Syari’at Islam. Matlamat ini menepati tugas Khalifah (penguasa) yang ditegaskan Allah kepada Nabi Daud di dalam al-Quran;

“Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah (penguasa) di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum Syari’at) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah kamu menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah”. (Shad; 26)

KENAPAKAH MELAKSANAKAN SYARIAT ALLAH AMAT PENTING DI DALAM NEGARA?

Agar negara kita sentiasa dijaga oleh dilimpahi barakah oleh Allah. Negara yang diberkati Allah ialah negara yang penduduknya bertakwa dan makna takwa ialah mematuhi perintah Allah (yakni Syari’atNya) dan menjauhi maksiat serta munkar. Firman Allah;

”Sekiranya penduduk suatu negeri atau negara itu, mereka beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu kurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi, akan tetapi mereka mendustakan (ajaran Rasul kami), maka Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”. (al-A’raf; 96)

APA AKIBAT PENGABAIAN HUKUM SYARIAT DI DALAM NEGARA?

Pengabaian Syari’at Allah yang berterusan menyebabkan kita berdosa kepada Allah. Di dalam al-Quran, Allah telah memperingatkan kita bahawa kehancuran umat-umat terdahulu adalah kerana dosa-dosa yang mereka lakukan walaupun negara mereka makmur dan mewah. Firman Allah;

“Apakah mereka tidak memperhatikan berapa banyaknya generasi-generasi yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (generasi itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, iaitu keteguhan yang belum pernah Kami berikan kepadamu, dan Kami curahkan hujan yang lebat atas mereka dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka karena dosa mereka sendiri, dan kami ciptakan sesudah mereka generasi yang lain”. (al-An’am; 6)

Kebinasan dari Allah tidak semestinya dalam bentuk gempa bumi, ribut taufan, penyakit dan sebagainya. Ia boleh berlaku dalam bentuk keruntuhan akhlak, peningkatan jenayah, tekanan hidup yang melampau, porak-perandanya institusi keluarga dan pelbagai lagi musibah maknawi yang merosakkan ketenteraman hidup walaupun kita selesa dan mewah dari sudut kebendaan. Hari ini kita sedang berhadapan dengan bibit-bibit kebinasaan dalam bentuk yang kedua tersebut. Jika kita lambat menyedari kesilapan kita dan lambat kembali kepada Allah, tidak mustahil kita akan melihat kebinasaan yang lebih teruk dalam masyarakat kita.

KENAPAKAH PERLU KUASA POLITIK UNTUK MELAKSANAKAN SYARIAT ALLAH?

Kerana Syari’at Islam bukan sahaja menyentuh hal-ehwal peribadi dan rohani (seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya), tetapi juga menyentuh hal-ehwal masyarakat, kerajaan dan negara seperti membenteras kezaliman dan penindasan terhadap rakyat, pengharaman riba, arak, judi, penzinaan, perlaksanaan hudud (hukuman bagi pencuri, penzina, perompak yang disebut di dalam al-Quran dan sebagainya) dan mencegah maksiat dan kemungkaran yang amat dititik-beratkan oleh al-Quran dan as-Sunnah.

Hukum-hakam yang menyentuh hal-ehwal masyarakat, kerajaan dan negara di atas mustahil dapat dilaksanakan tanpa kuasa politik. Hari ini kita melihat dalam negara kita maksiat dan munkar berleluasa (ada di antaranya diluluskan oleh undang-undang), tv dan media masa tidak terkawal mengikut Syariat Islam, perlembagaan negara tidak mengikut prinsip al-Quran, undang-undang negara juga tidak berdasarkan Syari’at Islam (termasuk dalam hal jenayah) dan pemimpin-pemimpin juga tidak mengikut akhlak Islam (rasuah, pecah amanah, hidup bermewah-mewah, membazir). Kenapa hal ini berlaku? Jawapannya kerana pemerintahan negara kita hari ini tidak tertegak atas dasar politik Islam, iaitu politik yang bermatlamatkan untuk menegakkan Syari’at Allah dan tuntutan agama Islam.

BENARKAH ALLAH MEMERINTAHKAN NABI MUHAMMAD S..A.W. SUPAYA BERDOA MEMOHON KUASA POLITIK?

Ya. Kerana pentingnya kuasa politik untuk melaksanakan Syari’at Allah dan tuntutan agama Islam, maka Allah memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w. agar berdoa memohon diberikan kuasa. Allah berfirman;

“Dan pohonkanlah (wahai Muhammad dengan berdoa): wahai Tuhanku! Masukkanlah aku ke tempat masuk yang benar dan keluarkan (pula) aku ke tempat keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan yang dapat menolongku”. (al-Isra’; 80)

Menurut ulamak-ulamak Tafsir (antaranya Imam Qatadah, Ibnu Jarir dan Ibnu Katsir), Allah menyuruh Nabi Muhammad memohon kekuasaan kerana hanya dengan kekuasaan baginda akan dapat melaksanakan Kitab Allah, hudud-hududNya, perkara-perkara yang difardhukanNya dan membantu menegakkan agama Allah. (Lihat; Tafsir Ibnu Kathir, surah al-Isra’, ayat 80)

***والله أعلم بالصواب***

USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

Sabtu, 18 April 2015

ZIKIR SECARA BERJEMAAH SELEPAS SOLAT BUKAN BID’AH?


ZIKIR SECARA BERJEMAAH SELEPAS SOLAT BUKAN BID’AH?

Oleh:
Dr. Asmadi Mohamed Naim
Universiti Utara Malaysia
asmadi@uum.edu.my

Polemik bid’ah semakin menular di tengah-tengah masyarakat. Tidak dapat dinafikan wujudnya amalan-amalan bid’ah yang subur di kalangan mereka. Antaranya ialah ketaksuban seseorang kepada Syeikh-nya dan menolak pandangan dari pihak yang lain. Bahkan ia juga membawa kepada ‘mendoktrin’ pengikut memuja syeikh-syeikh dengan diwar-warkan kehebatannya.

Walaupun begitu, polemik bid’ah dan membid’ah ini seharusnya ditangani dengan teliti dan berasaskan dengan petunjuk dari al-Quran dan al-sunnah. Sebahagian yang mengamalkan sesuatu amalan, contohnya amalan berzikir secara berjemaah selepas solat, merasakan mereka mengamalkannya di atas pentunjuk al-Quran ataupun al-sunnah. Mereka membawa juga hujah-hujah berpandukan ayat-ayat suci al-Quran dan sunnah disamping penerangan dari ulama-ulama silam dan semasa untuk menguatkan hujah mereka.

Sebahagian masyarakat yang lain pula melabelkan mereka sebagai pencetus dan pengamal bid’ah. Mereka berpandangan bahawa perkara tersebut tidak pernah diamalkan oleh Rasulullah SAW. Mereka menyatakan bahawa bertaqlid pada ulama dengan mengenepikan petunjuk al-Quran dan al-sunnah merupakan suatu kesesatan berdasarkan Sabda Rasulullah SAW:

Hendaklah kamu dengar dan patuh walaupun hamba Habsyi memerintah kamu. Sesungguhnya sesiapa yang masih hidup di kalangan kamu, maka akan melihat perselisihan yang banyak. Justeru, hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah khulafa` al-Rasyidin selepasku. Gigitlah dengan geraham-geraham kamu (berpegang teguh). Dan Jauhilah perkara-perkara baru, kerana sesungguhnya setiap yang bid’ah itu sesat.

Hadith di atas menjadi dalil kepada pandangan yang berpegang bahawa ia dengan jelas melarang dari menambah perkara-perkara baru dalam ibadah. Dengan kata-kata lain, penambahan dalam ibadah diluar dari suruhan Syarak adalah sesat. Justeru, persoalan ibadah bukan lagi soal furu’, bahkan menjadi seumpama persoalan akidah kerana boleh membawa kepada kesesatan.

Mereka berpandangan bahawa orang yang bertaqlid kepada orang-orang terdahulu diibaratkan sebagai golongan Yahudi dan Nasrani yang bertaqlid kepada rahib-rahib dan pendita-pendita mereka. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah, ayat 31 yang bermaksud:

Mereka menjadikan pendita-pendita mereka dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah

Justeru, bertaqlid pada para fuqaha yang tidak berpegang kepada nas, termasuk dalam golongan ini.

Pada kesempatan yang ini, penulis hanya ingin menyentuh dua isu utama iaitu bertaqlid dengan ulama dan masalah zikir secara berjemaah selepas solat. Diharapkan artikel ini dapat membantu pembaca memahami secara lebih mendalam dan menghayatinya secara rasional tanpa dipengaruhi dengan sebarang emosi.

Bertaqlid kepada ulama.

Ada yang mengatakan fenomena bertaqlid kepada ulama khususnya ulama empat mazhab hari ini merupakan sebab utama kejatuhan umat Islam kini. Kongkongan taqlid menyebabkan ulama-ulama takut untuk mengeluarkan pandangan sendiri. Kelahiran pelbagai bid’ah pada hari ini adalah kerana budaya bertaqlid tersebut contohnya amalan zikir selepas solat secara berjemaah merupakan amalan bid’ah. Golongan yang melakukan bid’ah ini menjadikan ulama-ulama mereka seperti Yahudi dan Nasrani menjadikan pendita dan rahib sebagai tuhan-tuhan mereka.

Persoalan keharusan bertaqlid.

Persoalan pertama ialah keharusan bertaqlid. Benarkah orang yang mahu berpegang kepada al-Quran dan al-sunnah seumpama salafussoleh telah bebas dari bertaqlid?

Sekiranya pembaca ditanya mengenai siapakah yang meriwayatkan hadith yang penulis tuliskan di atas (penulis sengaja tidak menyatakan periwayat hadith tersebut), dan saudara pembaca bertanya Ustaz A, dan ustaz itu menyatakan Abu Daud (Bab al-Sunnah, nombor 3991) dan al-Tirmizi (Bab al-Ilm, nombor 2660) yang meriwayatkannya, maka sebenarnya saudara sedang bertaqlid dengan Ustaz A itu. Sekiranya ditanya pula, apakah hujahnya hadith yang saudara pegang itu sahih? Saudara pun berkata: Ustaz B pakar hadith, dia mengatakan hadith tersebut sahih dan tidak ada cacat cela. Saudara sebenarnya bertaqlid dengan Ustaz B tersebut.

Justeru, saudara tidak termasukkah dalam maksud ayat al-Quran di atas yang menolak mengikut pendita dan rahib-rahib (bagi Yahudi dan Nasrani), dan saudara juga berpandukan dan mengikut pandangan ustaz-ustaz tersebut pada hari ini?

Dalam satu suasana yang lain, seseorang contohnya C mengatakan bahawa dia berzikir selepas solat secara berjemaah kerana berpegang kepada sebahagian ulama-ulama Salaf yang membenarkan amalan tersebut. Ulama tersebut meyakini amalan tersebut kerana adanya hadith sahih dari Rasulullah SAW.

Sekiranya difikirkan secara rasional, kedua-dua pihak pertama dan kedua mengamalkan taqlid. Pihak pertama bertaqlid kepada Ustaz A dan B. Adapun pihak kedua bertaqlid kepada ulama-ulama Salaf (iaitu ulama dalam lingkungan tiga kurun selepas Rasulullah SAW). Pihak pertama bertaqlid dengan Ustaz A dan B (yang hidup pada zaman ini) kerana yakin dengan ilmu dan akhlaknya ketika remaja dan dewasa. Pihak kedua juga bertaqlid dengan mazhab Salaf kerana yakin dengan keilmuan dan akhlak mereka semenjak remaja bahkan mereka terkenal dengan kesolehan dan warak. Bahkan ilmu mereka diiktiraf seantero dunia sejak dahulu berbanding Ustaz A dan B.

Adalah tidak benar mentafsirkan ayat di atas (seumpama mengikut pendita dan rahib) terhadap masyarakat yang bertaqlid kepada mazhab yang empat. Qiyas tersebut amat tidak tepat kerana pendita-pendita Yahudi dan rahib-rahib Nasrani merupakan mereka yang mencipta sendiri hukum-hukum kepada kaum mereka dan bertentangan dengan nas-nas Taurat dan Injil. Kaum-kaum mereka lantas mengikut mereka walaupun mereka sedar ia bertentangan dengan taurat dan Injil.

Walhal ulama-ulama mazhab fiqh dalam Islam, mereka bukanlah pencetus hukum-hakam tetapi mereka cuma berperanan untuk menghurai dan menjelaskan kehendak ayat dan hadith serta pengertiannya. Mereka mentafsirkan permasalahan semasa dengan melihat kaedah syarak keseluruhannya. Inilah yang disebutkan oleh Rasulullah SAW: al-‘Ulama warasatul anbiya` yang bermaksud ulama itu pewaris para nabi. Justeru itu, masyhur di kalangan ulama-ulama Usul yang mengatakan mazhab orang-orang awam adalah mazhab muftinya atau imamnya.

Ulama menutup pintu berijtihad dan takut mempraktikkannya.

Ijtihad bererti menggunakan segala usaha dan kemampuan oleh mujtahid (ulama yang memenuhi syarat ijtihad) untuk mengeluarkan hukum pada sesuatu perkara. Persoalan menutup pintu ijtihad merupakan isu utama apabila membicarakan perkembangan mazhab-mazhab fiqh. Kekusutan masyarakat Islam selepas jatuh sistem kekhilafahan amat berkait rapat dengan permasalahan ini. Ulama dilabelkan sebagai jumud, taksub dan terkongkong dengan fenomena ini.

Hasilnya lahir gerakan-gerakan tajdid (pembaharuan) dalam kurun yang lepas, antaranya gerakan dipelopori Sheikh Jamaluddin al-Afghani dan dan Sheikh Muhammad Abduh. Perkembangan ini berterusan dan negara-negara Arab menerima kesan yang besar di atas gerakan ini. Hasilnya, mereka yang pernah berada di Timur Tengah pernah merasai bagaimana masyarakat Arab semakin terlerai dari pegangan mazhab masing-masing.

Namun, masyarakat Arab tidak juga maju walaupun ikatan mazhab semakin terungkai. Walaupun kemunduran negara Islam bukanlah bererti gerakan tajdid ini salah, namun kemunduran negara Islam tetap dikaitkan dengan pegangan mazhab. Saudara bacalah buku berkaitan al-Madkhal fi al-Fiqh al-Islami dan Tarikh al-Tasyri’ al-Islami. Bacalah sendiri tanpa perlu meminta pertolongan orang lain untuk menterjemahkannya bagi mengelakkan saudara bertaqlid kepada penterjemahannya dan tafsirannya. Saudara akan dapati, hampir kesemua penulis mengaitkan kemunduran umat Islam dengan budaya taqlid mazhab.

Jika begitu keadaannya, kenapa tidak boleh digunakan hujah, kemajuan umat Islam Malaysia berpunca dari ketertiban dan iltizam mereka pada ulama khususnya ajaran yang dibawa oleh ulama-ulama tafsir, hadith, aqidah, ulama fiqh dan ahli-ahli sufi yang haq.

Penulis tidak menafikan adanya fenomena enggan berijtihad (mengeluarkan hukum baru) di kalangan ulama silam. Ia merupakan rentetan ramai golongan jahil yang mendakwa dirinya ulama dan berijtihad sesuka hati. Keadaan kerosakan masyarakat tersebut menjadikan mereka mengeluarkan kaedah: “Tertutupnya pintu ijtihad”. Walhal pintu ijtihad terbuka luas sehingga hari kiamat kepada orang-orang yang mempunyai syarat-syarat ijtihad.

Zikir selepas solat fardu secara berjemaah dan lantang.

Ada dua isu utama untuk diperkatakan di bawah tajuk kecil ini iaitu bentuk zikir, menyebut secara kuat (lantang) dan menyebut secara berjemaah.

Secara umumnya berzikir di dalam masjid ada dua bentuk iaitu pertamanya, zikir yang disebut di dalam sunnah bahawa ia dilakukan selepas solat fardhu. Keduanya ialah zikir yang dinyatakan dalam sunnah bahawa ia dilakukan selain dari waktu solat.

Hadith-hadith yang menerangkan zikir-zikir yang sunat dilakukan pada setiap kali selepas solat fardhu ialah:

Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Rahimahullah dari Abu Hurairah RA dariapada Rasulullah SAW yang bermaksud:

Sesiapa yang mengucapkan tasbih (subhanallah) setiap tiga kali selepas solat sebanyak 33 kali, dan tahmid (alhamdulillah) sebanyak 33 kali, dan takbir (allahu akbar) sebanyak 33 kali, jadi kesemuanya 99 kali, kemudian menyebut: La ilaha illallah wahdahula syarikalah Lahulmulku walahulhamdu wahuwa ‘ala kulli syai`in qadir, untuk menggenapkannya sebanyak 100 kali, nescaya diampunkan dosa-dosanya walaupun umpama buih di lautan.

Isu kedua ialah menyebut zikir secara lantang dan berjemaah. Amalan ini dilakukan berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Abbas RA yang berkata: Raf’u al-Saut bilzikr Hina yansarifunnas minalmaktubah kana ‘ala ‘ahd al-Nabi SAW, yang bermaksud:

Meninggikan suara berzikir selepas orang ramai selesai daripada solat fardhu telahpun berlaku di zaman Nabi SAW.

(Lihat Fath al-Bari, Bab al-Zikr Ba’d al-Solah, Jilid 2, Hal: 259 dan Syarh Sahih Muslim, Bab al-Zikr Ba’d al-Solah, Jilid 4-6, Hal:234-235).

Bahkan Ibn Abbas mengatakan lagi:

Saya tahu bahawa mereka selesai menunaikan solat apabila saya mendengar zikir.

Dalam riwayat yang lain sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Ibnu Abbas RA mengatakan: Saya mengetahui tamatnya solat Rasulullah SAW dengan laungan takbir. Lihat bagaimana Ibn Hajar mengulas kata-kata Ibn Abbas tersebut:

Daripada riwayat di atas, seolah-olah menggambarkan bahawa mereka (para sahabat) memulakan zikir mereka dengan takbir (Allahu akbar) selepas solat mendahului tasbih dan tahmid (Perbezaan riwayat mana yang didahulukan antara tasbih, tahmid dan takbir)

(Fath al-Bari:2/259).

Hadith riwayat Ibn Abbas yang menerangkan perlakuan Rasulullah SAW dan huraian Ibn Hajar menunjukkan secara nyata bagaimana Rasulullah SAW dan para sahabat RA berzikir secara lantang dan berjemaah.

Pandangan yang menolak hujah tersebut, berpegang kepada apa yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud RA yang pernah mengingkari perlakuan sekumpulan para sahabat yang berkumpul di dalam sebuah masjid untuk berzikir kepada Allah SWT, dan menganggapnya suatu bid’ah. Ulama mentafsirkan tindakan Ibn Mas’ud dalam dua keadaan. Pertamanya kerana tidak sampai kepada Ibn Mas’ud hadith-hadith yang menyatakan keharusan berzikir beramai-ramai. Perkara ini diperakui oleh ulama hadith bahawa tidak semestinya setiap sahabat mengetahui segala hadith. Keduanya, bantahan tadi dikira sebagai qaul sahabi (pendapat sahabat) dan tidak boleh bercanggah dengan apa yang pasti daripada Rasulullah SAW.

Justeru, al-sunnah dengan nyata membenarkan berzikir dengan lantang secara berjemaah selepas setiap solat fardhu selagi tidak mengganggu orang-orang yang bersolat. Justeru, perbuatan berzikir tersebut bukanlah suatu bid’ah sebagaimana yang tersalah faham. Bahkan, perbuatan tersebut berpandukan kepada sunnah yang jelas.

Bagi yang menolak amalan berzikir secara berjemaah selepas setiap solat juga mengemukakan hujah-hujah mereka. Antaranya ialah penolakan Imam al-Syafie Rahimahullah terhadap amalan itu. Mereka memetik kata-kata Imam al-Syafie mengenai perkara tersebut. Bagi memperjelaskan persoalan tersebut saya menterjemahkan kata-kata Imam al-Syafie secara keseluruhan dan menghuraikannya. Pembaca boleh menghukum samada huraian saya melencong dari kata-kata Imam kita ini.

Berkata Imam al-Syafie Rahimahullah:

Bab perkataan Imam dan duduknya selepas salam.

Al-Rabi’ telah mengkhabarkan kepada kami, dan berkata: al-Syafie mengkhabarkan kepada kami dan berkata: Ibrahim bin Saad mengkhabarkan kepadaku, dari Ibn Shihab berkata: Hindun binti al-Harith bin Abdullah bin Abi Rabi’ah menyampaikan hadis ini kepadaku, dari Ummu Salamah isteri Nabi SAW yang berkata:

((Adalah apabila Rasulullah SAW memberi salam selepas solatnya, bangun wanita-wanita selepas salamnya, dan duduk Rasulullah SAW di tempatnya sekejap)). Berkata Ibn Shihab: “Kami melihat duduk baginda (yang demikian itu)- wallahu a’lam- supaya keluar wanita (untuk mengelakkan) bertembung orang ramai yang tamat dari solat”.

Al-Rabi’ telah mengkhabarkan kepada kami, dan berkata: al-Syafie telah mengkhabarkan kepada kami dan berkata:

Ibn ‘Uyainah telah mengkhabarkan kepada kami, dari ‘Amr bin Dinar, dari Abu Ma’bad, dari Ibn ‘Abbas berkata: Adalah aku mengetahui selesainya soalat Rasulullah SAW dengan takbir (zikir Allahu Akbar). Berkata ‘Amr bin Dinar: Kemudian aku menyebutnya kembali (hadith ini) kepada Abu Ma’bad, dan dia (Abu Ma’bad) berkata: “Aku tidak meriwayatkan kepadamu”. Berkata ‘Amr: Sesungguhnya engkau meriwayatkan kepadaku. Berkata: Adalah dia merupakan orang paling boleh dipercayai dari mawal( hamba-hamba) Ibn ‘Abbas. Berkata al-Syafie: Seolah-olah dia (Abu Ma’bad) melupainya selepas dia meriwayatkannya (hadith) kepadanya (‘Amr).

Al-Rabi’ telah mengkhabarkan kepada kami dan berkata: al-Syafie telah mengkhabarkan kepada kami, dan berkata: Ibrahim bin Muhammad telah mengkhabarkan kepada kami, dan berkata: telah menyampaikan hadith ini Musa bin ‘Uqbah, dari Abi al-Zubair, sesungguh beliau mendengar Abdullah bin Zubair berkata:

“Adalah Rasulullah SAW apabila memberi salam selepas solat, berkata dengan lafaz yang kuat: La ilaha illallahu wahdahula syarikalah lahulmulkuwalahul hamdu wahuwa ‘ala kulli syai`in qadir, wala haula wala quwwata illa billah, wala na’budu illa iyyahu, lahulni’mah, walahulfadhl, walahulthana`ul hasanu, la ilaha illallhu mukhlisina lahuddin walau karihal kafirun”. Berkata al-Syafie: “Dan amalan ini harus untuk Imam dan tidak (harus) untuk makmum. Dan al-Syafie berkata lagi: “Dan mana-mana Imam yang berzikir dengan apa yang aku nyatakan, secara kuat, mahupun senyap, atau selain dari cara keduanya, maka ia adalah baik (hasan). Dan aku memilih (pendapatku) untuk Imam dan makmum berzikir kepada Allah selepas selesai solat, kedua-duanya berzikir dengan senyap. Kecuali sekiranya Imam dalam keadaan wajib dipelajari darinya sesuatu (cara bacaan berzikir), maka dia boleh melantangkan zikir sehingga ia melihat sesungguhnya mereka telah mempelajari darinya, kemudian dia berzikir secara senyap”.

(Tamat petikan dari Kitab al-‘Umm: Jilid 1, Hal. 241, 242)

Kesimpulan yang penulis dapat buat dari kenyataan Imam Syafie Rahimahullah yang terakhir itu ialah:

1. Amalan berzikir dengan kuat harus untuk Imam dan tidak (harus) untuk makmum menurut pandangan Imam Syafie. Namun beliau tidak secara terang-terangan mengatakannya haram atau sesat mahupun bid’ah kerana pandangan Salaf yang lain juga bersandar kepada hadith Ibn ‘Abbas namun Imam Syafie meraguinya kerana Abu Ma’bad terlupa dia pernah meriwayatkannya kepada ‘Amr bin Dinar sebagaimana kata Imam Syafie:

Seolah-olah dia (Abu Ma’bad) melupainya selepas dia meriwayatkannya (hadith) kepadanya (‘Amr). Manakala hadith Ibn al-Zubair dianggap oleh Imam al-Syafie sebagai mengambil kata-kata Ibn ‘Abbas sebagaimana katanya: Aku mengira apa yang diriwayatkan Ibn al-Zubair mengenai tahlil Nabi SAW (zikir La ilaha illallahu) sebagaimana apa yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas”.

2. Imam Syafie berpendapat bahawa mana-mana Imam yang berzikir dengan apa yang beliau nyatakan, sama ada secara kuat, mahupun senyap, atau selain dari cara keduanya, maka ia adalah baik (hasan). Imam al-Syafie menyebutnya sebagai baik (hasan). Namun perkara yang mempunyai sanad (sandaran) dari sunnah secara nyata adalah lebih baik dari hasan. Tetapi sekiranya diamalkan perbuatan ini pada hari ini di depan mereka yang menolak zikir selepas solat, nescaya Imam tersebut akan dicap sebagai pembawa bid’ah, sesat dan ahli neraka! Inilah bahaya kejahilan terhadap keseluruhan hadith-hadith Nabi SAW atau taksub kepada pandangan seseorang.

3. Pandangan Imam al-Syafie Rahimahullah lagi:

Dan aku memilih (pendapatku) untuk Imam dan makmum berzikir kepada Allah selepas selesai solat, kedua-duanya berzikir dengan senyap. Kecuali sekiranya Imam dalam keadaan wajib dipelajari darinya sesuatu (cara bacaan berzikir), maka dia boleh melantangkan zikir sehingga ia melihat sesungguhnya mereka telah mempelajari darinya, kemudian dia berzikir secara senyap”.

Imam al-Syafie memilih perkataan ‘memilih’ untuk mentarjihkan atau menguatkan pandangannya. Itulah cara ulama hadith yang juga imam faqih. Memilih pandangan sendiri tetapi bukan dengan membid’ahkan dan menyesatkan pihak yang tidak bersetuju dengannya khususnya dalam perkara yang masih terbuka untuk ijtihad.

Pandangan Imam al-Nawawi terhadap hadith Ibn ‘Abbas:

Imam al-Nawawi Rahimahullah berkata: Ini dalil terhadap apa yang dipegang oleh sebahagian ulama Salaf iaitu disunatkan meninggikan suara dengan zikir al-takbir (Allahu akbar) dan zikir-zikir lain selepas solat fardhu. Manakala ulama mutaakhirin yang turut menghukumkannya sunnah ialah Ibn Hazam al-Zahiri.

Imam al-Nawawi menambah lagi:

“Katanya: (Telah mengkhabarkan kepadaku Abu Ma’bad kemudian dia menafikannya) pada menjadikannya hujah (dalil) oleh Muslim dengan hadith ini, merupakan bukti bahawa dia (Imam Muslim) berpegang sahihnya hadith (Ibn ‘Abbas) ini walaupun dinafikan oleh perawi asalnya, kerana yang merawikannya itu thiqah (diyakini). Ini merupakan mazhab jumhur ulama sama ada ulama hadith, fuqaha` atau ulama usul fiqh”.

(Tamat nukilan dari kitab Syarh Sahih Muslim: Jilid 4-6, hal. 237). Maksud yang sama dihuraikan oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya Fath al-Bari (Bab al-Zikr Ba’d al-Solah, Jilid 2, hal. 260).

Berhati-hati dalam menghukum sesuatu amalan sebagai bid’ah.

Melalui perbincangan di atas, jelas menunjukkan kepada pembaca yang mahukan kebenaran, bagaimana ulama-ulama kita membahaskan tajuk tersebut.

1. Hadith Ibn ‘Abbas mengenai berzikir secara lantang diterima oleh sebahagian ulama salaf sebagai hujjah dan sunat diamalkan. Bahkan ia diamalkan oleh sebahagian ulama salaf. Semoga Allah SWT mengampunkan dosa kita membid’ahkan dan menyesatkan sebahagian ulama salaf dan orang-orang yang mengamalkan sebahagian dari amalan dan berpegang kepada hadith ini.

2. Masyarakat juga seharusnya menghormati pandangan yang tidak berpegang kepada amalan ini kerana terdapat persoalan ijtihad mengenai status hadith tersebut dan syarahan yang berbeza di kalangan ahli hadith yang menyebabkan ulama berbeza pandangan. Walaupun begitu, amalam Imam yang menguatkan zikirnya sekali sekala untuk dipelajari umum merupakan perkara yang disyariatkan menurut pandangan ini.

3. Perbezaan pandangan ulama hadith dan fuqaha` mengenai persoalan tersebut tidak langsung mencetuskan perkataan bid’ah yang menyesatkan, masuk neraka dan seumpamanya. Kalau adapun mereka menyebut bid’ah atau muhdath (perkara baru) tetapi dalam taraf ‘hasan’ kerana amalan yang nyata ada sanadnya adalah lebih utama dari amalan muhdath. Mereka menyebutnya sebagai bid’ah atau penambahan dari sudut bahasa tetapi tidak mengatakannya sebagai ‘dalalah’ atau sesat. Inilah akhlak ulama Salaf. Inilah kefahaman ulama hadith yang hakiki dan fuqaha` apabila berdepan dengan persoalan-persoalan khilaf dan ijtihad (qadaya khilafiayyah ijtihadiyyah).

Semoga kita semua diberikan pentunjuk oleh Allah SWT. Semoga Allah SWT menjauhkan kita dari amalan-amalan bid’ah dan ketaksuban pada mana-mana individu sehingga kita menolak hujah-hujah Al-Quran dan al-sunnah. Semoga kita menjadi pengikut ulama-ulama Salaf dan tidak mudah terpengaruh dengan aliran semasa yang membuang sumbangan ulama-ulama Salaf yang mu’tabar yang diterima umat sepanjang zaman. Semoga umat Islam lebih cermat dalam menghukum sebahagian masyarakat yang lain.

Wallahu ‘A’lam.

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Universiti Utara Malaysia. Ber kelulusan PhD (Fiqh & Usul Fiqh) dari UIA, Sarjana Fiqh & Usul al-Fiqh (UIA) dan Ijazah Sarjana Muda Syariah dalam bidang al-Fiqh wa al-Tasyri’ (Universiti of Jordan).

Khamis, 16 April 2015

Hukum membaca zikir/doa beramai2 selepas solat dengan naikkan suara

Hadis Riwayat Bukhary & Muslim

حدثنا إسحاق بن نصر قال حدثنا عبد الرزاق قال أخبرنا ابن جريج قال أخبرني عمرو أن أبا معبد مولى ابن عباس أخبره أن ابن عباس رضي الله عنهما أخبره أن رفع الصوت بالذكر حين ينصرف الناس من المكتوبة كان على عهد النبي صلى الله عليه وسلم وقال ابن عباس كنت أعلم إذا انصرفوا بذلك إذا سمعته

DaripadaAmru- telah memberitahu aku bahawa Abu Ma’bad , hamba kepada Ibn Abbas r.a berkata: Aku telah dengar Ibn Abbas mengatakan:

“Meninggikan suara berzikir selepas orang ramai selesai daripada solat fardhu telah pun berlaku di zaman Nabi SAW.” Dan dia berkata Saya tahu bahawa mereka selesai menunaikan solat apabila saya mendengar zikir itu.”

Sharah IbnHajar A’sqalaani Riwayat Bukhary(Fathul Bari):

“Daripada riwayat di atas,seolah-olah menggambarkan bahawa mereka (para sahabat) memulakan zikir merekadengan takbir (Allahu akbar) selepas solat mendahului tasbih dan tahmid.”

(Lihat Fathal-Bari, Bab al-Zikr Ba’d al-Solah, Jilid 2, Hal: 259 dan Syarh Sahih Muslim,Bab al-Zikr Ba’d al-Solah, Jilid 4-6, Hal:234-235). Hadis Riwayat Bukhary & Muslim

وفي الصحيحين من حديث المغيرة بن شعبةرضي الله عنه قال : سمعت النبي صلى الله عليه وسلم يقول إذا قضى الصلاة :

لا إله إلا الله وحده لا شريك له ، له الملك ، وله الحمد ، وهو على كل شيء قدير " ، ثلاث مرات

Di dalamsebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhary dan Muslim daripada Mughirah bin Shu’bahr.a, dia telah berkata “Aku telah dengar nabi s.a.w berkata setelah dia selesaidari solatnya “La ilaha illallahu wahdahula syarikalah lahulmulkuwalahul hamduwahuwa ‘ala kulli syai`in qadir” sebanyak 3 kali.”

Hadis Riwayat Nasai

وروى النسائي في سننه من حديث أُبَيِّبن كعب وعبد الرحمن بن أَبْزَى رضي الله عنهما : أن النبي صلى الله عليه وآله وسلمكان يقرأ في الوتر بـ سبح اسم ربك الأعلى وقل يا أيها الكافرون وقل هو الله أحد ، فإذا سلّم قال : « سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ »ثلاثَ مرات ، زاد عبد الرحمن في حديثه : يرفع بها صوته ، وفي رواية : يرفع صوته بالثالثة .

ImamNasai telah meriwayatkan Bahawa nabi s.a.w. membaca pada solat witir surahal-a’la, al-kafiroon, dan al-ikhlas. Selepas salam, dia membaca “subhaanalmalikil quddus 3 kali” . Perawinya Abdul rahman menambah dengan mengatakan “dia(nabi) meninggikan suaranya ” dalam riwayat yang lain : dia meninggikansuaranya pada yang ketiga. Ibn HazmAbū Muḥammad Alī ibn Aḥmad ibn Saīd ibn Ḥazm November 7, 994 – August 15, 1064 (456 H))

وقال ابن حزم رحمه الله : " ورفعالصوت بالتكبير إثر كل صلاة حسن " انتهى من "المحلى" (3 /180

Ibn hazmberkata”Mengangkat suara dengan takbir selepas tiap2 solat adalah satu amalanyang baik” KitabAl-Mahalla jilid 3 mk 180.

Imam Tabari

Abu Jafar Muhammad bin Jarir al-Tabari atau Ibnu Thabari atau Ibnu Thabary 838-923 M) (224 هـ 28 شوال 310 هـ)adalah seorangsejarawan dan pemikir Muslim dari Iran, lahir di daerah Amol, Tabaristan (sebelah selatan Laut Kaspia).

ومنهم الطبري ، فقال :فيه الإبانه عن صحة ما كان يفعله الأمراء من التكبير عقب الصلاة .بواسطة : " فتح الباري " ( 2 / 325 ) .

Berkata ImamTabari: “Riwayat itu (hadis dalam bukhari) dengan terang memberitahukankebenaran bagi apa2 yang dilakukan oleh pemimpin2 daripada bertakbir selepassolat.” Kitab Fathul bari juz 2 mk325.

Ibn Taimiyyah

ونقل البهوتي في "كشاف القناع" (1/366) عن ابن تيمية استحباب الجهر : " ( قال الشيخ [أي ابن تيمية] : ويستحب الجهر بالتسبيح والتحميد والتكبير عقب كل صلاة

ImamBahouti menukilkan pendapat Sheikh Ibn Taimiyyah di dalam kitabnya KashshafulQina’ berkenaan dengan kesunnahnnya membaca zikir dengan suara yang kuatselepas solat: Dia berkata (Sheikh Ibn Taimiyyah) “Disunnatkan bertasbih,tahmid dan takbir dengan suara yang kuat selepas tiap2 solat”

Kitab Kashshaful Qina’ Juz 1 MK 366

Fatwa Sheikh Ibn Uthaimeen

Zikirselepas solat fardu adlah sunnah berdasarkan riwayat Bukhary, Muslim,Imam Ahmaddan Abu Daud daripada Ibn Abbas (Yang disebut)

Dan jugahadis daripada Mughirah bin Shu’bah r.a, dia telah berkata “Aku telah dengarnabi s.a.w berkata setelah dia selesai dari solatnya ”.

Satu perkara itu tidak akan didengari kalau ia tidakdilafazkan dengan kuat.

Sheikhuthaimeen berkata lagi “Pendapat yang kuat adalah disunnatkan berzikir selepassolat dan menguatkan suara dengannya- tetapi tidak sampai kepada had yangmengacaukan”

(Lihat Majmu’ Fatawa Sheikh Uthaimeen261 (13/247،

وبما ذكرنا يتبين أن السنة رفع الصوت بالذكر خلف الصلوات المكتوبة ، وأنه لا معارض لذلك لا بنص صحيح ولابنظر صريح " انتهى .

Dan dengan apa yang kami mengatakan sebelum ini, telah ternyata bahawa berzikirdengan mengangkat suara lepas solat2 fardu , adalah sunnah nabi yang mana iatidak ada bercanggah dengan mana2 nas (dalil) yang sahih atau pendapat yangterang.

Ahad, 12 April 2015

Barzakh Pergi Tak Kembali 3.0 | 8 April | Kodiang [Part 1 & 2]




Barzakh Pergi Tak Kembali 3.0 | 8 April | Kodiang [Part 1]



Barzakh Pergi Tak Kembali 3.0 | 8 April | Kodiang [Part 2]

Sabtu, 4 April 2015

Bincang Santai: Bahaya ISIS & Syiah terhadap Kedaulatan Indonesia - Syaikh Ali Hasan Al-Halabiy





Bincang Santai membahas tentang Bahaya ISIS (Daulah Islam Irak & Syam) & Syiah terhadap Kedaulatan Indonesia bersama Syaikh Ali Hasan Al-Halabiy Al-Atsari dan ustadz Abdurrahman Hadi, Lc serta ustadz Fadlan Fahamsyah, Lc, MHI.