Selasa, 20 Mac 2018

KUASA NEGARA DALAM MANIFESTO PAS

1. Analisis membuktikan bahawa manifesto Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang baru dilancarkan mempunyai visi negara yang lebih berkuasa dan kuat berbanding manifesto Pakatan Harapan (PH) yang telah dibentangkan tempoh hari. 

2. Empat petunjuk yang diajukan oleh Fareed Zakaria dalam karya beliau ‘From Wealth to Power’ terbitan Princeton University Press digunapakai bagi menilai kuasa negara dari perspektif ‘State-centered Realism’ iaitu autonomi negara (state autonomy), skop tanggungjawab negara (state scope), keupayaan negara mengekstrak sumber (state’s ability to extract wealth), dan kesepaduan negara (state cohesion). 

3. Ringkasnya, negara yang berautonomi tinggi, memiliki skop tanggungjawab yang luas, berkeinginan (dan mampu) mengekstrak sumber dalam skala besar, dan bersepadu adalah lebih kuat dan berkuasa berbanding negara yang berautonomi rendah, memiliki skop tanggungjawab yang sempit, tidak berkeinginan mengekstrak sumber dalam skala besar, dan tidak bersepadu.

4. Dari perspektif geopolitik dan geostrategi, keempat-empat komponen kuasa negara ini cukup penting dalam jangka masa panjang di mana Fareed Zakaria mengajukan bahawa ‘sesebuah negara hanya mampu untuk meluaskan kepentingan politik mereka ke luar negara apabila terdapat peningkatan relatif kuasa negara mereka’.

5. Walau bagaimanapun, Manifesto ‘Malaysia Sejahtera’ yang dilancarkan PAS dan parti BERJASA serta IKATAN dalam Gabungan Gagasan Sejahtera semalam perlu dibaca bersama dua lagi dokumen yang diterbitkan secara berperingkat iaitu Dokumen Hijau dan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS 2051) bagi memahami tawaran kuasa negara oleh PAS secara komprehensif. 

6. Jika Dokumen Hijau memberi fokus pada penyelesaian ekonomi politik, dokumen WINS 2051 pula menggariskan perancangan jangka masa panjang PAS yang dibahagikan kepada tiga fasa iaitu Fasa 1 (2018-2030), Fasa 2 (2031-2040), dan Fasa 3 (2041-2051).  Di sini sahaja sudah terdapat perbezaan visi geostrategi yang ketara antara PAS dengan PH.

7. PH kurang bercita-cita tinggi di mana dalam Janji 60 PH hanya menyasarkan untuk “memposisikan Malaysia sebagai kuasa pertengahan (middle power)” (Hlm.155).  Posisi ini berbeza sama sekali dengan PAS yang meletakkan “Fasa 3: Malaysia Memimpin 2041-2051” dalam tiga struktur antarabangsa utama.

8. Manifesto PH yang terikat dengan paradigma ‘Liberal-Institutionalism’ dalam hubungan antarabangsa menyaksikan Malaysia sebagai pemain biasa dalam institusi antarabangsa seperti ASEAN, OIC, dan PBB.  Sebaliknya, Fasa 3 WINS PAS menyasarkan Malaysia menjadi pemimpin di peringkat serantau, peringkat negara Islam, dan juga dalam kalangan negara sedang membangun khususnya negara Dunia Ketiga.

9. Dari sudut autonomi negara (state autonomy), PAS jelas berbeza dengan PH yang berusaha untuk mengurangkan kuasa negara melalui “Janji 12: Mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri dan menstruktur semula Jabatan Perdana Menteri” serta “tanggungjawab lain [JPM] akan diturunkan kepada kementerian-kementerian yang bersesuaian” di samping “Mengurangkan bilangan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan cara memindahkan seberapa banyak agensi yang mungkin ke kementerian yang berkaitan”. 

10. PAS sebaliknya mengukuhkan kuasa Eksekutif dan dalam masa yang sama mengusulkan penubuhan Institusi Hisbah Rakyat (People Ombudsman) sebagai pemantau (Manifesto halaman 5). Perbezaan ini cukup penting dalam penentuan darjah autonomi negara di mana ‘pengukuhan kuasa Eksekutif’ menjamin ‘pemusatan kuasa dalam pembuatan keputusan’.  Maka, proses pembuatan keputusan tidak terjejas dek persaingan antara kepentingan kementerian-kementerian berbeza seperti mana dalam kes Janji 12 PH.

11. Khusus tentang keupayaan negara mengekstrak sumber (state’s ability to extract wealth), Janji 60 PH yang meletakkan negara di bawah piawaian (dan kawalan komitmen) luar seperti OECD, Bank Dunia, Open Government Partnership, Open Contracting Partnership, Open Budget Initiative, dan sebagainya (Hlm 153), adalah bertentangan dengan PAS di mana ia tetap meletakkan kuasa politik sebagai peneraju utama yang bebas mengatur perjalanan ekonomi mengikut acuan sendiri. 

12. Hal ini dinyatakan dalam salah satu daripada Prinsip WINS 2051 iaitu Prinsip kelima ‘Peranan jelas dan cekap antara kuasa Politik dan kuasa ekonomi.  Kuasa Politik sebagai penentu halatuju negeri, Perancang Program, dan Pemantau.  Kuasa Ekonomi melaksanakan perancangan yang diputuskan dengan kepentingan rakyat sebagai keutamaan’.

13. Tidak hairanlah, antara panduan WINS yang membawa kepada penguasaan ‘kuasa politik’ ke atas ‘kuasa ekonomi ini’ ialah tanggungjawab negara dalam Surah Quraisy dan Al-Kahfi.  Surah Quraisy yang dimaksudkan ialah “Yang telah memberi makanan untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan” (ayat 4).  Surah Al-Kahfi pula merujuk pada ayat “Berilah aku potongan-potongan besi, Hingga apabila besi itu telah sama rata dengan kedua (puncak) gunung itu, berkatalah Zulkarnain: Tiuplah (api itu)” (ayat 96).

14.  Juga dari perspektif keupayaan negara mengekstrak sumber (state’s ability to extract wealth), PAS turut mengajukan rancangan Penggantian Import (Import Substitution):

“Negara perlu mengambil langkah berani dan drastik dengan menggubal polisi-polisi sementara bagi menukarkan keperluan kepada barangan import dengan barangan domestik khususnya berkaitan dengan projek-projek kerajaan…Sekaligus produk dan perkhidmatan inovasi negara mesti diberi ruang agar dapat memasuki pasaran untuk dikomersilkan. Memandangkan produk inovasi selalunya melibatkan sesuatu yang baharu dan tidak mempunyai “track record” yang kuat, program yang sesuai mesti diwujudkan agar inovasi-inovasi tempatan dapat memasuki pasaran dan diwaktu yang sama mengurangkan risiko yang diambil oleh pihak pembeli. Contohnya sebahagian daripada keperluan projek milik kerajaan mestilah diperuntukkan kepada inovasi tempatan. Hanya jika tiada inovasi tempatan yang sesuai, barulah diperolehi daripada produk tempatan yang lain, sebelum dibuka kepada produk import”.

“Di bawah dasar Penggantian Import ini juga, kerajaan perlu memberi fokus kepada inisiatif “localization” di mana produk dan perkhidmatan tertentu dibantu untuk dibangunkan di dalam negara. Inisiatif “localization” tidak melibatkan inovasi, tetapi lebih kepada pengeluaran produk yang sama di dalam negara, yang sebelum ini hanya ada di luar negara. Ini hanya melibatkan produk dan perkhidmatan yang mana keperluannya telahpun dipastikan ada”.

“PAS menjangkakan cadangan-cadangan ini bukan sahaja dapat mengurangkan perbelanjaan terhadap barangan import lantaran susut nilai ringgit, ianya juga dapat mempertingkatkan permintaan terhadap keluaran domestik seterusnya membantu merangsang sektor pengeluaran tempatan khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana”.

“Cadangan ini juga akan sekaligus memperkasakan industri inovasi tempatan yang bakal menjadi pemacu kepada negara sebagai sebuah ekonomi berasaskan ilmu dan inovasi. Program yang memberi peluang khusus bagi pengkomersilan produk inovasi tempatan juga akan meningkatkan pelaburan swasta dalam aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan bukan hanya di organisasi mereka, bahkan juga di institusi pengajian tinggi tempatan” (Dokumen Hijau PAS halaman 24-25).

15. Dari perspektif ‘skop negara’ (state scope), Prinsip Kelima WINS 2051 PAS ini mengatasi Janji 60 PH di mana kerajaan lebih bebas untuk merencana pembangunannya tanpa ikatan atau komitmen luar yang memaksa kerajaan meminimumkan perbelanjaan awam.  Kerajaan yang mengurangkan perbelanjaan awam dinamakan ‘Minimal state’ manakala kerajaan yang meningkatkan perbelanjaan awam seperti negara berkebajikan dinamakan ‘Maximal state’.  Jika PH memilih laluan menjadikan Malaysia sebagai ‘Minimal state’, PAS pula jelas memilih aliran ‘Maximal state’ yang lebih kuat.  

16. Bertentangan dengan Janji 27 PH untuk memansuhkan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016, PAS tidak memilih jalan yang sama di mana sasaran pindaan akta PAS hanya ditumpukan pada SOSMA, POTA, POCA, OSA, dan AUKU, bukannya MKN.  Seperti mana penegasan Fareed Zakaria tentang pentingnya ‘kesepaduan negara’ (state cohesion), demikianlah peri pentingnya kesepaduan Majlis Keselamatan Negara di mana ‘pembuatan keputusan yang terpusat menjamin keupayaan dan kecekapan sesebuah negara’ dalam bertindak ketika di masa krisis mahu pun konflik.

17.  Konklusinya, Manifesto PAS menganjurkan rancangan Malaysia ke arah negara yang berautonomi tinggi, memiliki skop tanggungjawab yang luas, berkemampuan mengekstrak sumber dalam skala yang besar, dan pentadbiran yang bersepadu berbanding Manifesto PH.  Sama-sama kita nantikan rancangan kuasa negara dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) pula.

Oleh: Abdul Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)