Selasa, 21 November 2017

PAS bukan sahaja terlibat dengan politik tetapi juga dalam ekonomi, pendidikan, kebajikan, hubungan antarabangsa dan kemasyarakatan.”

Alhamdulillah, puji dan sanjungan adalah hak Allah SWT yang Maha Mengetahui dan Maha Melihat hamba-hambaNya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan kepada Rasulullah SAW, manusia yang diutus Rabbnya sebagai pemberi dan penunjuk arah, pembawa berita gembira, pemberi peringatan dan penyeru kepada agama Allah dengan izinNya.

“Andai perjuangan ini mudah pasti ramai yang menyertainya. Andai perjuangan ini singkat pasti ramai yang istiqamah. Andai perjuangan ini menjanjikan kesenangan dunia pasti ramai yang tertarik padanya. Akan tetapi hakikat perjuangan bukan begitu. Turun naiknya, sakit pedihnya, umpama kemanisan yang tidak terhingga”, demikianlah cebisan kata Imam Hassan Al-Banna sebagai pedoman dan motivasi perjuangan.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah sebuah Gerakan Islam yang mengambil pendekatan muwajahah silmiyah dengan menyertai senario demokrasi negara dalam bentuk parti politik.

Matlamatnya ialah untuk memperbaiki susunan serta institusi masyarakat, budaya politik, keadilan ekonomi, kesaksamaan sosial dan sistem bernegara bersesuaian dengan dasar Islam.

Dasar PAS ialah ISLAM, Seruan PAS ialah ALLAHU AKBAR dan tujuannya ialah untuk memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah serta mempertahan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaannya.

Allah SWT berfirman di dalam Surah Ali Imran, ayat 104: “Hendaklah ada satu golongan daripada kamu yang menyuruh kepada kebajikan, menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran. Itulah golongan yang mencapai kemenangan.”

PAS adalah sebuah wadah yang percaya kepada syura dan musyawarah yang mana halatuju dan jalan ke hadapannya ditentukan oleh keputusan kolektif jamaah. Sebahagiannya melihat perlunya PAS tidak dizahirkan dan bergerak hanya sebagai gerakan dakwah sahaja

Manakala sebahagian lagi melihat perlunya PAS untuk dipersada dan ditonjolkan sebagai gerakan massa memperjuangkan 3 serangkai iaitu tarbiyah, dakwah dan siasah (politik).

“Islam datang dalam keadaan asing, dan ia akan kembali asing sebagaimana kedatangannya. Maka beruntunglah orang-orang yang asing (ghuraba’) itu.” Hadith Riwayat Imam Muslim ini adalah seperkara yang sangat relevan untuk dihayati dan diambil sebagai motivasi dalam perjuangan menegakkan syiar Islam“

Bergeraklah ke gerbang jasa, Kalah menang bukan alasannya, Sucikanlah niat dihati, Hingga nyata benarnya janji Rabbi!”.

Sesungguhnya inilah uniknya PAS, ia bukan parti politik semata-mata sepertimana parti-parti politik yang lain yang ada dalam negara ini. Ia adalah Gerakan Islam yang komprehensif dan menyeluruh. Ini jelas sebagaimana dinyatakan di bahagian muqaddimah (pendahuluan) dalam Perlembagaan PAS, seperti berikut: “Bahawa dengan sesungguhnya adalah diisytiharkan, demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada sesama manusia, yang dijadikan bagi menegakkan Al-Amru bil Ma’ruf wan Nahyu ‘anil Munkar dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, maka inilah diisyiharkan sebuah pertubuhan yang dinamakan “PARTI ISLAM SE-MALAYSIA (PAS)”.

Allahyarham Ustaz Haji Hassan Shukri semasa hayatnya kerap menerangkan di dalam ceramah atau kuliyyah beliau bahawa PAS juga merangkumi sebuah gerakan dakwah, gerakan massa dan gerakan kebajikan selain parti politik. Di dalam buku “Ke Arah Memahami Perlembagaan PAS”, beliau telah menegaskan bahawa;

“Terdapat sebahagian ahli PAS dan orang ramai yang keliru dengan penubuhan Parti Islam Se-Malaysia (PAS). PAS telah ditubuhkan atas tuntutan Islam. Selain daripada tuntutan dakwah dan tuntutan menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran, para alim ulamak dan cendekiawan Islam yang awal telah bersependapat dalam memutuskan perlunya wujud sebuah Harakah Islam di negara yang tidak menjalankan hukum Islam dan negara yang tidak menjamin keselamatan aqidah serta kebajikan umat Islam.

Walaubagaimanapun, PAS tidak menjadikan medan politik sebagai satu-satunya wasilah semata-mata untuk menyampaikan risalah Islam. PAS bukan sahaja terlibat dengan politik tetapi juga dalam ekonomi, pendidikan, kebajikan, hubungan antarabangsa dan kemasyarakatan.”

Atas segalanya, semoga kita semua terus thabat dalam melaksana dan melangsungkan matlamat perjuangan. Sama-samalah kita menghayati firman Allah SWT di dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 200 khususnya dalam menghadapi ranjau, mehnah dan tribulasi:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh (di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).”

Buat akhirnya, marilah kita hayati motto hidup Sahabat yang hebat ini. Beliau sentiasa membawa motto yang mana sepanjang hari Abu Ayyub al-Anshari radhiyallahu ‘anhu sering mengulang-ulang suatu ungkapan yang diangkat menjadi motto kepada dirinya. Bersamalah kita menjadikan kata-kata ini sebagai salah satu motto hidup dan mengaplikasikannya dalam kehidupan. Pasti ada kebaikannya dunia dan Akhirat, in shaa Allah.

Inilah motto hidup beliau yang sangat tinggi nilainya: Infiru khifafan wa tsiqalan (انـفـروا خـفـافـا و ثـقـالا) …Berjuanglah kamu, sama ada senang mahupun susah… (Surah At-Taubah, ayat 41).

Ayuh jadikan solat, ibadah, hidup dan mati kita semata-mata kerana DIA Yang Maha Segala-galanya. Allahu Akbar!