Selasa, 14 November 2017

Perjuangan PAS - Hubungkait Dengan ‘Aqidah Islam iaitu Beriman Kepada Allah.

Perjuangan PAS - Hubungkait Dengan ‘Aqidah Islam iaitu Beriman Kepada Allah.

Perbincangan ini memerlukan kita merujuk kepada sumber asal penubuhan Parti Islam Semalaysia (PAS) iaitu perlembagaannya.

Merujuk kepada perlembagaan Parti Islam Semalaysia (PAS):

Fasal 3. Dasar PAS ialah Islam.

Apakah itu Islam?

Rasulullah SAW pernah bersabda apabila ditanya kepada beliau tentang Islam yang maksudnya:

“Dibina Islam itu di atas lima perkara. Bersyahadah bahawa tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad itu Rasulullah, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, Haji ke Baitullahil Haram dan puasa ramadhan.” [Riwayat Bukhari dan Muslim]

Jelaslah bahawa mengimani Allah itu merupakan asas iman dan Islam dan inilah merupakan dasar kepada perjuangan PAS yang bertepatan dengan kehendak ‘aqidah.
Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan barangsiapa yang mencari selain daripada Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia di akhirat nanti termasuk di kalangan orang-orang yang rugi.” [Ali Imran:85]

Fasal 4. Seruan PAS ialah Allahu Akbar.

Allahu Akbar merupakan ungkapan mengagungkan Allah SWT dan mensucikan-Nya dari sebarang bentuk kekurangan dan penyekutuan berdasarkan kepada rukun Islam iaitu menafikan sebarang bentuk ketuhanan melainkan Allah SWT dan mengimani Allah SWT secara uluhiyyah dan rububiyyah serta asma’ dan sifat-Nya. Oleh yang demikian itu, seruan ini sangat bertepatan dengan kehendak ‘aqidah Islamiyyah.

Fasal 5. Tujuan PAS ialah:

(i) Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

Ini menunjukkan PAS mengambil kesyumulan Islam sebagai satu cara hidup seperti yang diwahyukan oleh Allah SWT bukan sahaja bagi memelihara kemaslahatan seluruh manusia bahkan seluruh alam ini.

Allah SWT berfirman yang maksudnya:

“Dan tidaklah Kami utuskan engkau (Wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam.” [Al Anbiyaa’:107]

(ii) Memperjuangkan Islam sebagai ‘aqidah dan syari’ah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keIslaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan social serta pelajaran dan pendidikan.

Jelas sekali PAS meletakkan ‘aqidah dan syari’ah di depan yang bertindak sebagai pemandu dalam melaksanakan agenda gerak kerjanya dalam semua bidang.

Fasal 5 (i) dan (ii) ini bertepatan dengan tuntuan ‘aqidah berdasarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup dan matiku kerana Allah Tuhan sekelian alam.” [Al An’am:162]

Fasal 7. Hukum, Kekuasaan dan ‘MAJLIS SYURA ‘ULAMAK’

(i) Adapun hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah Kitabullah (Al-Quran) dan Sunnah Rasul serta Ijmak’ Ulamak dan Qias yang terang dan nyata, dengan tertakluk kepada hukum yang tertinggi itu, kekuasaann PAS adalah dipegang oleh Muktamar Tahunan.

Berdasarkan kepada rukun Islam dan rukun Iman maka jelaslah bahawa PAS telah mengangkat bahawa Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya. Al-Quran dan Sunnah RasulNya menjadi panduan yang paling tinggi dalam menentukan halatuju perjuangannya. Ini meletakkan ketaatan (ubudiyyah) berdasarkan kepada perintah Allah SWT dalam firmanNya yang bermaksud:

“Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaKu.” [Az Zaariyaat:56]

Fasal ini juga dapat menafsirkan bahawa ‘aqidah yang sahih ialah mengambil Al-Quran dan As Sunnah sebagai panduan dan rujukan yang paling utama merangkumi aspek tauhid rububiyyah, uluhiyyah serta Asma’ dan Sifat. ‘Aqidah yang sahih melahirkan manusia yang tunduk patuh terhadap hukum-hukum yang telah diturunkan oleh Allah SWT sebagaimana yang diperintahkanNya menerusi firmanNya yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya) dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.” [An Nisaa’:105]

Manusia yang beriman mestilah mengambil Islam dalam kehidupannya secara menyeluruh dan iman akan menjadi rosak sekiranya mengambil Islam secara berjuzuk. Allah SWT telah memberi ingatan mengenai perihal ini menerusi firmanNya yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata." [Al Baqarah:208]

Perbincangan ini menjelaskan bahawa perjuangan yang bertepatan dengan ‘aqidah Islamiyyah iaitu beriman kepada Allah SWT mestilah mengambil Islam sebagai dasar hala tuju gerak kerjanya.

#abu durrah
#fikrah