FIRMAN Allah terhadap Muhammad s.a.w.: "Bukankah Allah dapati engkau yatim, lalu Ia pelihara? Bukankah Ia dapati engkau bingung, lalu Ia tunjuki? Dan bukankah Ia dapati engkau miskin, lalu Ia beri kecukupan?" Bapanya, Abdullah bin Abdul Muttalib, sudah meninggal dunia dua bulan sebelum ia dilahirkan. Tetapi apa yang telah dikurniakan Allah kepadanya di dalam keadaan yatim itu, adalah lebih dari ketiadaan yang disebabkan pemergian bapanya itu. Iaitu pemeliharaan ibunya, lalu neneknya dan akhirnya pamannya. Dengan pertumbuhan tubuh dan jiwa sangat wajar, ia menjadi seorang anak yang sangat indah. Mula-mula menjadi pengembala kambing, meningkat menjadi pedagang, menjadi terkenal di tengah orang banyak kerana tingkahlakunya yang indah menarik setiap insan yang mengenalinya, akhirnya kahwin mendapatkan seorang jodoh yang amat ideal, lalu berpengaruh dan berwibawa, menjadi penyantun anak yatim dan orang-orang miskin. |