Khamis, 3 November 2011

Tahalluf Siasi Adalah STRATEGI Bukan Dasar- Mustafa Ali



Tahalluf Siasi Adalah STRATEGI Bukan Dasar- Mustafa Ali


KERJASAMA Politik atau lebih dikenali sebagai Tahalluf Siasi yang diamalkan PAS dengan parti lain dalam Pakatan Rakyat merupakan strategi bagaimana mahu menang dalam Pilihan raya.

Dato' Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS Pusat berkata adalah tidak tepat anggapan yang mengatakan PAS sudah lari dari dasar perjuangannya sedangkan pendekatan strategi dengan dasar adalah satu yang berlainan.

Menurutnya lagi PAS tetap akan mempertahankan dasar perjuangannya iaitu Islam melebihi segala-galanya namun dalam masa yang sama sumber tenaga, organisasi dan teknik serta strategi tidak akan dipinggirkan.

''Dasar perjuangan tidak boleh berubah. Manakala tenaga kerja, organisasi dan strategi boleh berubah.'' tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan pada forum 'Masa Depan PAS Dalam Landskap Politik Semasa' di Dewan Dato' Fadzil Mohd Noor di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohammad (KUIZM) di Ijtimak Tarbawi Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan di Taman Melewar di sisi, baru-baru ini.

Menurut beliau lagi 'strategi' juga boleh berubah mengikut suasana dan keadaan selagi demokrasi negara ini membenarkan PAS bergerak dalam situasi damai maka soalnya lagi mengapa perlu pendekatan lain digunakan.

''Keadaan di Malaysia. Sebuah masyarakat majmuk. Banyak kebudayaan. Mereka juga rakyat dalam negara ini.

''Kita berdepan suasana muwajahah silmiah. Ia jadikan orang Islam 56-58 %. Yang lain kaum dan agama lain.

''Tak ada parti pun boleh bertanding bersendirian. Tak mungkin. Berdasarkan pengalaman dalam pilihan raya hatta UMNO pun sama.

''Oleh itu, nak perolehi kuasa kena kaedah rakyat bersama kita'' jelas beliau lagi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kuasa diperlukan kerana berpandukan sirah Nabi Muhammad saw yang berhijrah ke Madinah yang ruang terbuka luas bagi melebarkan dakwah setelah memiliki sebuah kerajaan sebaliknya ruang cukup terbatas semasa berada di Mekah.

''Nabi saw berhijrah kerana kuasa politik. Di Mekah terbatas. Kita nak kuasa politik yang ditentukan oleh kita'' tegas beliau lagi.

Terdahulu, Ijtimak Tarbawi Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan ini telah dihadiri lebih 5000 peserta daripada seluruh negara.

Tinjauan turut mendapati bahawa para peserta turut bersesak-sesak sehingga melimpah ke luar dewan pada sepanjang tiga hari perjalanan program tersebut.

www.ibn75.wordpress.com