Jumaat, 23 Februari 2018

Siri 9: Kononnya PAS Tidak Pandai Berpolitik Dan Mentadbir

Dapatkan jawapan santai secara bersiri mengenai persepsi yang bermain di minda :- Di Page PAS Cawangan Taman Sri Serdang :

https://mobile.facebook.com/Pas-Cawangan-Taman-Sri-Serdang-1034634703348148/?tsid=0.832186334229235&source=result

*تصحيح الفهم في تكوين الفكر*

(Mensahihkan Kefahaman Dalam Membentuk Pemikiran)

1. Mengapa PAS dilihat berubah-ubah pendirian? Sebelum ini berbaik dengan DAP dan PKR dalam bertahaluf, sekarang ni pula lebih dekat dengan kerajaan atas alasan ta'awun?

Pendirian PAS sebenarnya adalah sama dan teguh sejak dahulu sehingga sekarang. Yang berubah itu adalah stragegi. Strategi sifatnya fleksibel selagimana tidak bercanggah dengan dasar dan mendatangkan keuntungan kepada kepentingan Islam. Kerana perjuangan PAS ialah menegakkan agama Islam secara menyeluruh.

Dahulu, PAS bertahaluf dengan DAP & PKR kerana ada keperluan dengan syaratnya. Apabila hilangnya keperluan dan dilanggarnya syarat malah Islam diserang maka terbatallah tahaluf. Tahaluf bukan matlamat, ia strategi di mana ketika itu adanya keperluan dan yakinnya tiada pengkhianatan. Namun apabila DAP berterusan menyerang PAS maka terbatallah tahaluf kerana hilangnya syarat. Jika diteruskan lagi, maka ia merugikan Islam dan ia bercanggah dengan dasar perjuangan.

Sekarang bila sebut taa'wun, orang pelik. Sedangkan dalam al Quran suruh ta'awun atas kebajikan dan taqwa. Ta'awun lebih bebas dari tahaluf. Tahaluf ada perjanjian yang disepakati. Taawun ni tiada perjanjian, hanya kerjasama pada perkara yang baik dan menguntungkan Islam. Sebab itu dalam isu ummah seperti al Quds, etnik Rohingya, PAS dilihat "bersama" kerajaan. Walaupun begitu, ia bukan dengan parti, ia melibatkan kerajaan. Kena beza antara entiti parti dan kerajaan. Boleh refer siri lepas yang membicarakan "persepsi PAS mesra UMNO".

Bila sebut politik ia adalah bersifat ijtihad. Ia fleksibel pada strategi. Dasarnya tetap, iaitu mendirikan agama dengan membawa datang kebaikan dan menolak kemudaratan. Jadi kena faham politik Islam. Jangan faham politik Barat. Politik Islam ada panduannya iaitu wahyu Allah. Politik Barat pula ikut kemahuan nafsu manusia.

Justeru, tindakan PAS adalah konsisten atas dasar perjuangannya. Iaitu menegakkan sebuah negara yang melaksanakan hukum hakam Islam yang syumul. Masyarakat kena didedahkan dengan politik Islam kerana selama ini masyarakat di"beku"kan minda dengan politik gaya Barat.

2. Bolehkah PAS menggantikan kerajaan UMNO-BN untuk memerintah Malaysia?

Masyarakat didoktrin kononnya PAS tidak pandai berpolitik, tidak pandai memerintah kerana para ulamak dalam PAS khususnya tidak pandai urusan politik. Sedangkan dalam masa yang sama mereka tidak mampu menafikan rekod bersih negeri yang ditadbir iaitu Kelantan dan pernah ditadbir oleh PAS iaitu Kedah dan Terengganu yang bebas rasuah dan sebarang isu skandal pengurusan.

Berbanding dengan exco dari mana-mana parti politik ada sahaja isu berkaitan. Alhamdulillah, di Kelantan yang telah ditadbir oleh PAS lebih 20 tahun rekod yang diiktiraf menunjukkan tiada isu rasuah dan isu skandal pengurusan.

Ini politik Islam yang berteraskan iman. Sebab itu kerajaan Kelantan membawa slogan "membangun bersama Islam". Menunjukkan kemajuan dan pembangunan yang dibawa adalah mesti selaras dengan Islam. Bukan seperti kapitalis dalam ekonomi yang mana walau dilihat maju tetapi hanya kroni kalangan orang kaya sahaja terus kaya, tetapi orang miskin terus dipinggirkan. Memang bangunan pencakar langit banyak namun masalah gelandangan, cengkaman ekonomi rakyat marhaen cukup memberikan kesan.

Sebagai bukti, semasa PAS mentadbir Kedah pada tahun 2008, laporan audit negara pada 2009 menunjukkan pendapatan balak dari 8 juta meningkat kepada 38 juta. Pendapatan negeri pula meningkat ke 205%. Dan hasil kerajaan negeri melalui pembalakan sehingga mencatat kutipan hasil RM 53 juta pada 2010 dan telah dinyatakan dalam kapasiti Ketua Audit Negara 2010. Ini salah satu dari kejayaan. Isunya bagaimana zaman PAS hasil kerajaan negeri dapat ditingkatkan begitu hebat? Jawapannya adalah pada pengurusan yang efisien dan bebas masalah dari sebarang isu rasuah dan penyelewengan. Semua ini akan berjaya dilakukan dengan kekuatan iman dalam diri mereka yang mentadbir, insha Allah.

Begitu juga di Terengganu, negeri yang pernah PAS memerintah semasa 1999. PAS berjaya menambahkan hasil pendapatan negeri melalui peningkatan hasil tanah. Pada tahun 2001, kerajaan memungut RM51,831,000 (RM51.8 juta) dan meningkat kepada RM78,733,000 (RM78.7 juta) pada tahun 2002.

Jumlah kutipan zakat selama tiga tahun di bawah kerajaan PAS di Terengganu hampir menyamai jumlah pungutan zakat selama 10 tahun di bawah kerajaan BN terdahulu. Bagi tahun 1990 hingga 1999, pungutan kerajaan BN ialah sebanyak RM85 juta sahaja. Manakala, dalam tempoh tiga tahun pertama pemerintahan PAS Terengganu jumlah pungutan zakat adalah sebanyak RM82.4 juta dan jumlah pungutan tahunan bermula tahun 2000 ialah seperti berikut:

2000-RM 20.8 juta
2001-RM 28.7 juta
2002-RM 32.9 juta
2003-RM 40.05 juta

Masyarakat perlu didedahkan kejayaan-kejayaan PAS dalam mentadbir yang menunjukkan kesediaan dan kemampuan PAS memerintah Malaysia. Ahli juga kena optimis dan menyimpan rekod-rekod tersebut bagi dijadikan modal dalam penerangan agar masyarakat terbuka minda untuk memilih PAS bagi menyelesaikan kemelut isu yang melanda negara dengan solusi dari Islam.

Dan perkara penting, perlu diketahui, dalam PAS wujudnya gandingan ulamak, profesional dan aktivis. Semuanya berperanan pada posisi dan bidang tugas yang diagihkan menjadikan PAS bukanlab sebuah parti yang lesu yang tidak pandai berpolitik sebagaimana dakwaan pihak musuh. Sebab itu, tugas ahli kita perlu yakinkan pengundi bahawa PAS mampu tadbir dan selesaikan kemelut pentadbiran negara yang sedia ada.

3. Malaysia terdapat banyak komposisi kaum walaupun yang besarnya kalangan melayu, cina dan india. Mampukah PAS menyatu padukan semua kaum dengan Islam jika mentadbir?

Kesilapan sebahagian umat Islam apabila mereka tidak merasakan Islam mampu menyatu padukan pelbagai kaum. Akhirnya lahir semangat nasionalisme yang mengatasi ketertinggian akidah. Ini tidak boleh.  Aqidah Islam mesti paling tinggi.

Sirah Nabi SAW mentadbir negara Madinah, di sana bukan sekadar kaum muslimim sahaja tetapi ada Yahudi yang bukan Islam. Nabi SAW tidak halau mereka dan menindas mereka. Kerana Islam rahmat, adil untuk semua. Islam memayungi manusia kerana Islam wahyu dari Allah. Tidak bersifat kebangsaan tetapi berseusian dengan fitrah semua manusia.

Nabi SAW pernah tegur sahabat yang berkasar dengan seorang Yahudi yang kurang adab terhadap Baginda SAW dalam urusan meminta hutang. Malah Nabi SAW membayar lebih ekoran kekasaran sahabat atas yahudi tersebut. Taqdir Allah, yahudi tersebut memeluk Islam. Zaman Sayiduna Ali menjadi khalifah, berlaku pertikaian perebutan baju besi dengan yahudi. Qadhi Syuraih mengadili dengan telus dan akhirnya kemenangan berpihak kepada yahudi. Sedangkan Sayiduna Ali adalah khalifah dan sesama muslim begitu juga Qadhi Syuraih. Yahudi terkejut dan kagum, lantas taqdir Allah, dia memeluk Islam.

Ini politik yang PAS bawa, dari sirah Nabi SAW. Dalam PAS sendiri ada DHPP, tiada masalah bagi PAS menghimpunkan kaum selain melayu kalangan cina dan india khususnya di bawah PAS. Lagipun PAS bukan parti bersifat bangsa, PAS parti yang perjuangan Islam. Islam untuk semua tidak kisah bangsa apa. Dari sudut politik pemilihan pemimpin, kaum majoriti dipilih kerana keampuhan dokongan dan sokongan, ini mengambil faedah dari hadith yang bermaksud : "pemimpin dari kalangan Quraisy"

Dan pada tahun 2017, buat julung-julung kalinya, Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat dengan kerjasama PAS Negeri Sabah, menganjurkan Sambutan Hari Malaysia di Sabah.
Sambutan ini menarik penyertaan pelbagai kaum dan etnik yang diadakan di Dewan Tadika Chi Hwa, Sandakan, Sabah.

Malah sikap PAS yang tegas dalam isu undang-undang jenayah Islam melalui usul persendirian RUU 355, PAS tidak memaksa ke atas bukan Islam. Malah konsisten bahawa ia hanya melibatkan kaum muslimin sahaja. PAS faham realiti perbezaan kaum yang juga terdapat kaum non muslim. Maka pemilihan pandangan hanya kepada ke atas orang Islam sahaja.

Jelas menunjukkan PAS memahami realiti masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum. Exco kalangan PAS juga tidak menganak tirikan kaum selain melayu malah tetap memberikan mereka hak yang mereka layak sama ada dari sudut pendidikan, kebajikan dan lain-lain.

Hakikatnya momokan, PAS tidak mampu memimpin pelbagai kaum kerana PAS mengutamakan Islam adalah tidak benar. Padahal Islam sendiri meraikan kepelbagaian bangsa yang sedia ada dan tidak menjadikan alasan sebagai permusuhan atas alasan berbeza bangsa. Ini kerana Islam yang diperjuangkan oleh PAS adalah untuk maslahat manusia umumnya kerana Islam datang dari Allah.

Amat malang jika ada lagi kalangan orang Islam sendiri yang tidak yakin dengan Islam dalam isu kepelbagaian kaum ini. Jelas mereka tak faham Islam secara menyeluruh dengan sahih. Sebab itu, PAS sangat titik beratkan soal pendidikan kerana dengan ilmu mampu membuka minda manusia untuk mengakui kehebatan Islam itu.

-Shared by:
Mat Nyebar, AJK Copy Paste