Selasa, 24 Oktober 2017

Kerjasama, Tolak Bergabung _ BN-PH kepanasan

ANDA boleh lihat siapa yang melatah teruk hari ini? Kenyataan yang dikeluarkan Majlis Syura Ulama PAS benar-benar membuat ramai pihak kepanasan. Ia bijak, cukup halus dan menepati kehendak politik semasa. Intipati isi kenyataan tersebut adalah:

1. PAS sudi bekerjasama dengan sesiapapun atas dasar bertolong-menolong dalam perkara kebaikan yang menjadi prinsip Islam.
2. PAS tidak mahu menyertai Barisan Nasional.

Berdasarkan kenyataan ini, PAS meletakkan garis panduan jelas berhubung isu perpaduan ummah yang sedang dicanang Umno. Bagi PAS, ia sentiasa terbuka untuk menghulur apa jua bantuan demi kepentingan ummah dan kemajuan negara.

Namun begitu, PAS tidak mensyaratkan kerjasama ini hanya boleh berlaku sekiranya menyertai BN. Kerjasama yang PAS perkenalkan adalah merentasi politik kepartian.

Malangnya kenyataan ini membuatkan BN dan juga PH gundah gulana. Mereka terpaksa memutar belit kenyataan MSU supaya rancangan mereka melemahkan PAS berterusan.

BN sebenarnya mengharapkan agar PAS menolak dengan keras tangan kerjasama yang mereka hulurkan. Dengan itu, mereka boleh menjadikan ia hujah kepada orang Melayu bahawa PAS mementingkan politik lebih daripada segala-galanya. PAS adalah punca perpecahan umat, bukannya Umno.

Tetapi apabila PAS menjawab dengan penuh berhemah, mereka mati akal. Lalu muncul di dada akhbar hari ini dakwaan pimpinan Umno kononnya PAS menolak langsung kerjasama. Padahal yang PAS tolak adalah menyertai BN sahaja. Bagi PAS, kerjasama yang diajar oleh Islam tidak terhad dengan ikatan rasmi antara parti politik semata-mata.

PH juga mengharapkan agar PAS menolak dengan keras kerjasama tersebut. Mereka sudah tahu, PAS tidak bergabung dengan BN kerana ia sudah dinyatakan acap kali. Namun mereka sengaja terus memainkannya supaya PAS berterusan menjauhi Umno dan bersikap dingin dengan Umno dengan harapan, orang Melayu yang kini marah kepada Umno turut membenci PAS. Maka apabila berlaku pertandingan tiga penjuru PAS-BN-PH nanti, undi protes BN akan memihak kepada mereka.

Maka dengan kenyataan MSU, PAS akan dilihat sebagai sangat profesional dalam politik, tidak melulu dan matang dalam langkah-langkah yang diambil. Pihak lain pula yang kelam kabut dengan sikap PAS itu.

Malaysiakini dan TMI yang selama ini menjadi alat propaganda PH menyebarkan fitnah PAS mahu bergabung dengan Umno, hari ini melaporkan sendiri bahawa Umno kecewa PAS tolak kerjasama tanpa menyebut secara jujur bahawa PAS hanya menolak menyertai BN sahaja. Semua ini menunjukkan musih politik PAS sudah tidak tentu arah.

Sebenarnya, melaungkan semangat kerjasama sangat memberi pulangan positif kepada mana-mana parti politik sekalipun. Majoriti rakyat Malaysia yang non-partisan sudah muak dengan retorik politik.

Mereka amat mengharapkan agar isu negara dapat diselesaikan bersama bukan hanya bercakaran sesama parti sepanjang sama.

Oleh itu bukan sahaja Umno menggunakannya sebagai alat meraih simpati, malah Naib Presiden PAN dan Pengerusi DAP sendiri menyatakan kesediaan untuk turut bekerjasama dengan kerajaan walaupun hakikatnya merekalah yang menentang keras sebarang kerjasama PAS dengan kerajaan.

Tahniah kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Majlis Syura Ulamak PAS. Semoga anda terus memandu gerakan Islam terulung ini sehingga menggapai kemenangan dan keredhaan Allah SWT.