Khamis, 5 Januari 2017
Membetulkan Salah Faham Hukum Ulamak Mendatangi Pemimpin yang Zalim.
1. Terdapat pihak yang berhujjah dengan mengambil pandangan Imam Al Ghazali tentang sejahat jahat keadaan ialah ulamak yang mendatangi pemerintah yang zalim kerana bimbang akan terdedah kepada dosanya.
Tiada salah pada pandangan Al Imam Ghazali rhm. Malah apa yang disebut oleh Imam Al Ghazali itu adalah benar. Namun apa yang dimaksudkan oleh Al Imam Ghazali rhm ialah "ulamak yang masuk bersama menyertai kezaliman pemerintah atau masuk dan duduk mendampingi pemerintah yang zalim.
Maka kedua dua situasi ini sememangnya mendedahkan ulamak tersebut kepada dosa pemerintah yang zalim itu.
Justeru itu, perkataan yang digunakan ialah :
وهي شرها أن تدخل عليهم dan الداخل على السلطان ....
تدخل atau الداخل
bukan bermaksud datang bertemu pemimpin yang zalim semata - mata bertemu tetapi membawa maksud "masuk menyertai kezaliman atau pun masuk dalam jabatan pemerintah lalu mengiringi pemerintah yang zalim itu ...."
2. Adapun para alim ulamak yang datang bertemu pemimpin yang zalim untuk meluruskan mereka malah membimbing mereka ke jalan yang lurus dengan pedoman agama adalah sebaik-baik keadaan dan semulia-mulia ulamak.
Terdapat beberapa petunjuk syariat yang menjelaskan situasi ini.
a) Sabda Nabi saw :
ألا لاَ يَمْنَعَنَّ رجلاً مَهَابَةُ الناسِ أنْ يَتَكَلَّمَ بالحقِّ إذا عَلِمَهُ أَلاَ إِنَّ أَفْضَلَ الجِهادِ كَلِمَةًُحقٍّ عندَ سلطانٍ جَائِرٍ
Ketahuilah ! Jangan sampai seorang lelaki terhalang untuk menyampaikan kebenaran yang ia ketahui kerana takut kepada manusia. Ketahuilah ! Bahawa seafdhal afdhal Jihad ialah perkataan yang benar dihadapan pemimpin yang zalim.
Riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya.
b) Sabda Nabi saw :
عَنْ أَبِي رُقَيَّةَ تَمِيْمِ بْنِ أَوْسٍ الدَّارِي أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ :
الدِّیْنُ النَّصِيْحَة قُلْنَا: لِمَنْ ؟ قَالَ : لِلَّهِ، وَلِكِتَابِهِ، وَلِرَسُوْلِهِ، وَلِأَئِمَّةِ المُسْلِمِيْنَ، وَعَامَّتِهِمْ .
رواه مسلم.
Agama adalah Nasihat. Lalu kami bertanya, Nasihat untuk siapa ? Jawab Rasulullah saw : Nasihat untuk Allah swt (beriman kepada Allah), untuk Kitabnya (beriman kepada KitabNya), untuk RasulNya (beriman kepada RasulNya), untuk pemimpin orang Islam (membimbing dan menasihati pemimpin) dan untuk keseluruhan ummat Islam (nasihat menasihati sesama muslim)_
Riwayat Imam Muslim.
c) Firman Allah swt :
اذْهَبَا إِلَىٰ فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَىٰ فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَّيِّنًا لَّعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ قَالَا رَبَّنَا إِنَّنَا نَخَافُ أَن يَفْرُطَ عَلَيْنَا أَوْ أَن يَطْغَىٰ قَالَ لَا تَخَافَا إِنَّنِي مَعَكُمَا أَسْمَعُ وَأَرَىٰ
"Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut". Mereka berdua berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami takut bahawa ia akan segera menyeksa kami, atau ia akan melampau batas". Allah berfirman: "Janganlah kamu takut, sesungguhnya Aku ada bersama-sama kamu; Aku mendengar dan melihat segala-galanya._
Surah Taha : 43 -46
3. Semua petunjuk syariat di atas menegaskan bahawa :
i - mereka yang tahu kebenaran (alim ulamak) jangan sampai terhalang untuk menyatakan kebenaran sekalipun di hadapan pemimpin yang zalim bahkan itulah jihad yang paling afdhal.
ii - tampillah di hadapan pemerintah setiap kali berpeluang, meskipun pemerintah itu zalim untuk menegur, menasihati dan mengkritiknya dengan baik. Jangan takut kepada mereka sebaliknya hanya takut kepada Allah swt.
4. Larangan cenderung kepada orang yang zalim oleh Allah swt sebagaimana termaktub dalam ayat 113 surah Hud, adalah larangan yang terpakai kepada semua. Maksud cenderung dalam ayat ini adalah menyokong, mengampu dan bersetuju dengan kezaliman yang dilakukan.
5. Sementara mendekati pemerintah dengan maksud menasihati mereka agar tidak melakukan perkara mungkar adalah dibenarkan. Merujuk kitab Tuhfatul Ahwadzi, Al Mutahhir menyebut ;
و مَنْ دَخَلَ على السلطانِ و داهِنَهُ وَقَعَ في الفتنةِ و أما مَنْ لم يُداهن و نصحَهُ و أَمَرهُ بالمعروفِ و نَهاهُ عن المنكرِ فكان دخولُهُ عليه أفضل الجهاد.
Siapa yang masuk ke Jabatan Pemerintah dan mengampu (menjilat) maka ia pasti jatuh dalam fitnah. Adapun jika ia tidak mengampu sebaliknya ia memberi nasihat dan menyuruh kepada yang makruf dan mencegahnya dari perkara mungkar, maka kedatangannya termasuk dalam jihad yang paling afdhal (utama).
6. Hukum asal ulamak mendatangi pemerintahan adalah harus selama mana ia bukan bermaksud mengampu pemerintah dan membenarkan kezaliman yang dilakukan oleh mereka. Malah hukumnya menjadi wajib jika kedatangan ulamak itu adalah untuk menyekat kezaliman dan memberi tunjuk ajar kepada pemerintah agar tidak melakukan kezaliman.
7. Sabda Rasulullah saw :
عن معاذ بن جبل قال : قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : "خمسٌ منَ فعلَ واحدةٌ مِنْهُنَّ كان ضامِناً على الله: مَنْ عادَ مرَيضاً، أو خَرجَ مع جنازةٍ، أو خَرجَ غازِياً، أو دَخل على إمامِهِ يُريدُ تَعْزِيرَهُ وتَوْقِيرَهُ، أو قَعَدَ في بيتِه فسَلِمَ النَّاس مِنه وسَلِمَ من الناس
Dari Muaz ibn Jabal Rha telah berkata : Rasulullah saw bersabda : 5 perkara, barangsiapa yang melakukan satu daripadanya, maka ia berada dalam jaminan Allah swt.
a) barangsiapa yang ziarah orang sakit
b) atau keluar menghantar jenazah
c) atau keluar berperang di jalan Allah
d) atau mendatangi pemimpin dengan maksud menguatkan dan memuliakannya dengan Islam
e) atau tinggal di rumahnya sehingga orang lain selamat dari gangguannya dan ia pun selamat dari gangguan orang lain.
Riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya.
8. Sebagaimana ulamak yang membenarkan kezaliman pemerintah itu dicela dan diharamkan oleh syara' maka ulamak yang menolak kezaliman dan kebathilan pemerintah itu pula dimuliakan oleh syara'
Sabda Rasulullah saw :
عن كعب بن عجرة قال : قال لي رسول الله صلى الله عليه وسلم : أُعيذُكَ بالله يا كعبَ بنَ عُجْرَةَ مِنْ أُمَراءَ يَكونونَ مِن بعدي فَمَن غَشِيَ أبوابَهُم فَصَدَّقَهُم في كَذِبِهِم وأَعانَهُم على ظُلْمِهِم فليس مني ولسْتُ مِنهُ ولا يَرِدُ عليَّ اْلحَوْضَ ومَن غَشِيَ أبوابَهم أو لَمْ يَغْشَ فَلَمْ يُصَدِّقْهُمْ في كَذِبِهمْ ولَمْ يُعِنْهُمْ على ظُلْمِهِم فهو مِنِّي وأنا مِنْهُ وسَيَرِدُ عليَّ اْلحَوْضَ
Dari Kaab bin Ujrah telah berkata: Telah berkata kepadaku oleh Rasulullah saw : Wahai Kaab, saya memohon perlindungan kepada Allah swt untukmu dari perbuatan para penguasa selepasku.
Barangsiapa yang mendatangi mereka lalu mempercayai pendustaan mereka serta membantu mereka dalam berbuat zalim maka ia bukan dari golonganku , juga tidak dapat melewati telagaku.
Dan barangsiapa yang mendatangi mereka dan TIDAK membenarkan pendustaan mereka juga TIDAK membantu mereka dalam melakukan kezaliman, maka ia termasuk dalam golonganku dan saya termasuk dari golongannya serta dapat mendatangi telagaku kelak.
Riwayat Imam At Tirmidzi