Jumaat, 4 Mei 2012

Do'a Orang di Zalimi Mustajab di Sisi Allah s.w.t.



Rakyat yang menuntut hak keadilan dizalimi tapi pendatang asing dilayan dan diberi hak kewarganegaraan ....


Sahabat yang dirahmati Allah,
Do'a adalah senjata orang Mukmin. Dalam kehidupan seorang Mukmin, hidupnya penuh dihiasi dengan akhlak Islam, amal soleh, amal ibadah dan peribadi mulia yang akan menjadi contoh kepada orang lain. Dalam keadaan hidup yang sukar dan perlu pengorbanan maka lidahnya sentiasa berzikir, berdo'a dan bermunajat kepada Allah s.w.t tanda pengharapannya yang mutlak kepada Allah s.w.t.

Di dalam masyarakat yang penuh tipu daya dan fitnah, orang Mukmin yang ikhlas berjuang menegakkan kebenaran dan keadilan sering di fitnah dan dilemparkan berbagai tuduhan tanpa bukti dan asas yang kukuh. Mereka berkonsperasi merancangkan tuduhan demi tuduhan dengan menyediakan bukti-bukti palsu yang diciptanya sendiri supaya tuduhan tersebut seolah-olah nampak benar dan berasas. Hakikat sebenarnya ianya adalah satu dongengan yang di lakunkan oleh pelakun-pelakun yang diupah dengan bayaran yang tinggi. Demi dunia dan harta pelakun-pelakun ini sanggup mengadaikan maruah walaupun terpaksa membuat sumpah palsu yang sebenarnya mengundang laknat Allah kepada diri mereka sendiri.


Nabi s.a.w bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu waspada terhadap do'a orang yang dizalimi sekalipun dia adalah orang kafir. Maka sesungguhnya tidak ada penghalang diantaranya untuk diterima oleh Allah."
(Hadis riwayat Ahmad - sanad hasan)

Dari Ibnu Umar r.a, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu waspada terhadap do'a orang dizalimi. Sesungguhnya do'a itu akan naik ke langit amat pantas seumpama api marak ke udara."
(Hadis riwayat Hakim - sanad sahih)

Dari Khuzaimah bin Thabit r.a, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : " Hendaklah kamu waspada terhadap do'a orang yang dizalimi. Allah s.w.t berkata : 'Demi kemulian dan keagunganKu, Aku pasti akan menolongmu walaupun setelah masa yang lama."
(Hadis riwayat Tobrani - sanad hasan)

Sahabat yang dimuliakan,
Allah s.w.t telah berfirman maksudnya :
" Allah tidak suka seseorang mengatakan sesuatu yang buruk kepada seseorang dengan terang-terangan melainkan orang yang dizalimi maka dia boleh menceritakan kezaliman tersebut ; dan Allah itu Maha Mendengar dan Maha Mengetahui."
(Surah an-Nisa ayat 148)

Ibnu Abbas r.a telah mentafsirkan ayat ini: " Allah tidak suka seseorang mendokan keburukan kepada seseorang yang lain kecuali orang yang dizalimi. Sesungguhnya Allah telah memberikan kebenaran kepadanya untuk mendo'akan keburukan kepada orang yang dizalimi. Jika dia bersabar maka itu lebih baik baginya."

Qatadah berkata: "Allah memberikan kelonggaran kepada orang yang dizalimi untuk mendo'akan keburukan. Ini seperti mana yang kamu dengar."

Dalam hadis yang lain dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : " Tiga do'a yang diperkenankan: Do'a orang puasa, do'a orang yang dizalimi dan do'a orang yang musafir."
(Hadis riwayat Baihaqi - sahih)

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : " Do'a orang yang dizalimi adalah diterima sekalipun do'a dari orang yang jahat. Kejahatannya itu memudaratkan dirinya dan tidak memberi kesan pada do'a tadi." (Hadis hasan riwayat at-Tayalasi)

Sahabat yang dihormati, Imam Nawawi telah meletakkan hukum harus bagi seorang manusia untuk mendo'akan keburukan kepada orang yang menzalimi orang-orang Islam atau menzalimi dirinya sendiri.

Syeikh Ibnu Allan as-Siddiqi (pengarang syarah bagi kitab Azkar) berkata : " Maksud harus yang disebut Imam Nawawi adalah merangkumi sunat. Maksudnya ia tidak haram dan tidak makruh. Sekiranya do'a kecelakaan kepada orang yang menzalimi manusia lain supaya terhindar dari kezalimannya maka hukumnya sunat. Sekiranya do'a kecelakaan kepada orang yang menzalimi dirinya sendiri atau yang menyakitinya , sesungguhnya ini diharuskan untuk berdo'a sebegini. Seeloknya dia maafkan dan melupakannya."

Dalil pengharusan. Ini jelas melalui ayat al-Quran 148 surah an-Nisa mengikut tafsiran Ibnu Abbas seperti yg telah dinyatakan sebelum ini. Adapun hadis Rasulullah s.a.w adalah hadis berikut:

" Sesungguhnya Nabi s.a.w mendo'akan kecelakaan kepada orang-orang yang membunuh penghafaz-penghafaz al-Quran r.a dan sentiasa mendo'akan kecelakaan kepada mereka selama sebulan. Baginda berdo'a : Ya Allah laknatilah Ri'l, zakwan dan 'usayyah (nama-nama kabilah)."
(Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim)

Dizaman pemerintahan Umar r.a , beliau telah melantik Saad bin Abi Waqas r.a sebagai gabenor Kufah. Ada seorang lelaki yang bernama Usamah bin Qatadah atau Abu Sa'dah telah menuduh Sa'ad dengan kata-katanya:

" Sekiranya kamu bertanya kami tentang Sa'ad, sesungguhnya dia tidak menyertai peperangan, tidak menyamaratakan pemberian dan tidak berlaku adil dalam hukum."

Saad bin Abi Waqas r.a. berdo'a :

" Ya Allah sekiranya hamba mu ini pembohong dan melakukannya semata kerana riya' dan sum'ah maka hendaklah engkau panjangkan umurnya, kekalkan kefakirannya dan dedahkan dia kepada fitnah."

Kemudian setelah tua, lelaki yg menuduh Saad r.a berkata " Aku telah terkena bencana akibat do'a Sa'ad." Abdul Malik bin Umair r.a perawi hadis ini berkata: Aku melihat lelaki tadi (Abu Sa'dah) selepas dia tua, dua bulu keningnya telah gugur kerana terlampau tua , dia telah menganggu perempuan-perempuan muda dengan meraba dan meramas mereka. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Seorang wanita bernama Arwa binti Aus telah mengadu kepada khalifah Marwan bin Hakam tentang Sa'id bin Zaid ra. Dia mendakwa Sa'ad r.a telah mengambil sebahgian dari tanahnya. Lalu Sa'ad berkata : Adakah aku tergamak mengambil sebahgian dari tanahnya sedangkan aku telah mendengar sesuatu dari Rasulullah s.a.w?" Marwan bertanya " Apa yang engkau dengar dari Rasulullah s.a.w ?" Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

" Sesiapa yang mengambil sejengkal tanah secara zalim, Allah s.w.t akan mengalungi tanah tersebut sehingga tujuh petala bumi."

Lalu Marwan bin Hakam berkata "Aku tidak akan memintamu mendatangkan saksi selepas ini." Sa'id pun berkata:

"Ya Allah sekiranya wanita tadi berbohong maka hendaklah engkau butakan matanya dan bunuhlah dia di tanahnya. "

Wanita tadi tidak mati sehinggalah dia buta dan ketika mana dia berjalan di atas muka tanah milikinya, tiba-tiba dia jatuh di dalam lubang, lalu mati." (Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim.)

Sahabat,
Dalam masyarakat kita berita fitnah dan membuat tuduhan kepada seseorang itu ianya telah menjadi perkara biasa oleh surat khabar arus perdana. Mereka mementingkan berita sensasi untuk melariskan jualan akhbar mereka, soal dosa pahala itu menjadi perkara kedua dan tidak termasuk dalam kiraan mereka. Mereka menjadi agen golongan tertentu untuk menjatuhkan orang lain walaupun mengunakan kaedah ' matlamat menghalalkan cara'. Sedangkan Islam mengajar kita supaya menjauhi diri daripada mengumpat, memfitnah dan mendedahkan keaibaan orang lain. Termasuk juga ingin menjatuhkan pemimpin yang telah diberi mandat oleh rakyat dengan tohmahan dan tuduhan yang tidak berasas. Golongan yang muflis disisi Allah s.w.t dihari akhirat nanti adalah golongan yang membawa amalan yang banyak tetapi pada masa yang sama membawa dosa mengumpat, memfitnah, mengaibkan orang lain dan mengambil hak orang lain secara batil dan mendatangkan kecederaan kepada orang lain.

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Tahukah kamu siapakah dia Orang Muflis?”
Sahabat-sahabat baginda menjawab : “Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.”
Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Sebenarnya Orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat , sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu , memakan harta orang orang ini ,menumpah darah orang itu dan juga memukul orang . Maka akan di ambil dari amal kebajikannya serta di beri kepada orang ini dan orang itu , kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis di bayar kesalahan-kesalahan yang di tanggungnya , akan di ambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang di aniayakannya serta di timpakan keatasnya , kemudian ia di humbankan kedalam neraka.”
(Hadis Riwayat Muslim dan Turmizi)

Perlu di ingat mereka yang difitnahkan dan membuat tuduhan kepada seseorang tanpa bukti kukuh adalah orang yang telah dizalimi dan do'a golongan ini amat mustajab disisi Allah s.w.t.