PAUTAN TAMBAHAN

Rabu, 11 Julai 2018

APA ITU PAS ?

Tetamu yang diberkati, datangnya membawa kebaikan pulangnya meninggalkan kekuatan.

Saya menerima kunjungan seorang pegawai kerajaan berjawatan sebagai penolong pengarah yang berhasrat untuk menyertai PAS minggu lepas. Sambil mencicip isian cawan sebagai menghormati tetamu dengan seadanya kami memulakan perbualan.

Lidahnya petah mencadangkan beberapa perkara untuk dilaksanakan oleh PAS Pahang dan Tanjung Lumpur, menarik cadangannya seindah bahasanya yang teratur. Namun apa yang lebih indah ialah isi hatinya iaitu hasratnya untuk menyertai PAS.

Soalan yang kesekian kalinya dari saya kepada mereka yang nak menyertai PAS " kenapa PAS"?, dia menarik nafas sambil senyum, yang sebenarnya ini bukan pertemuan pertama, wajah jernihnya seringkali menjadi hidangan pandangan saya di Majlis-majlis kuliah Masjid atau Surau.

Jawapannya tidak sama dengan orang-orang yang pernah saya tanya dulu, "saya sokong PAS sebagaimana sebabnya Ustaz sokong PAS" katanya sambil ketawa, lalu dia bertanya kepada saya " boleh saya tahu kenapa Ustaz masuk PAS?" , giliran saya pula ketawa, "nampaknya isi hati kami sama". Kami sama2 ketawa kecil, isterinya turut ketawa.

" Kalau kerana duit dan harta saya dah ada semua tu", katanya, isterinya juga bergaji belasan ribu sebulan," kalau kerana pangkat, Ustaz pun tahu kan?", saya angguk kerana saya tahu dia memiliki semua itu. "Kita mesti cari sesuatu yang kita tiada dan yang lebih dari kita miliki", katanya.

Dia ceritakan apa yang berlaku di Jabatannya, isterinya pun turut menambah cerita di jabatannya pula. Dia kata "memang benar kepakaran, kemahiran dan kepandaian itu penting untuk mentadbir sebuah negeri, tapi jika tiada taqwa, jujur dan takut kepada Allah swt maka kepandaian itu akan disalah gunakan".

" Jabatan kerajaan perlukan manusia yang takut kepada Allah swt untuk memimpin, bukan orang takut kepada manusia atau takut kehilangan harta sehingga tunduk kepada manusia walaupun ianya adalah kesilapan dan penyelewengan. Sekaya mana pun sebuah negeri akan melingkup juga akhirnya, kalau tidak zaman kita pasti akan berlaku zaman anak cucu kita nanti".

"Negara dan Negeri akan ditadbir oleh orang politik, orang politik yang menentukan dasar pemerintahan, baik buruk sebuah negara terletak pada orang politik, sebab itu bagi saya memilih parti politik itu penting dan menjadi keutamaan, pilihanraya tu sangat penting dan bantu parti politik yang memilih Islam sebagai dasarnya adalah penting dan wajib", katanya.

" Saya tak kata ahli PAS tu perfom,tapi saya lihat pemimpin PAS dan ahlinya ramai yang bersungguh dengan Islam, surau kat taman saya pun hampir semua orang PAS, yang parti lain tu adalah sorang dua, itupun bila majlis ilmu pakat hilang belaka, Ustaz yang berceramah pula boleh katakan 100% Ustaz PAS, secara zahir pun saya nampak bahawa PAS ni sebuah parti yang mendidik ahli dia dengan Islam".

"Saya tak kata semua orang PAS tu baik, tapi saya lihat ahlinya ramai yang baik-baik dan berjiwa Islam, begitu juga pimpinan PAS, ramainya Ulama dan Ustaz2 dan orang bukan Ulama atau Ustaz pun saya lihat berwatak agama, termasuklah setiausaha saya, kerani dan budak2 di Jabatan saya, mereka semua baik-baik dan jujur dengan kerja".

"Alangkah bagusnya kalau rakyat Malaysia ni dipimpin oleh orang yang dapat memimpin manusia kejalan Allah swt, orang yang tegas dengan agama dan dapat mentadbir dengan agama, saya yakin dalam banyak2 parti politik hanya PAS sahaja yang mampu laksanakan agenda Islam ini".

Saya memberinya 5 helai borang sebagaimana dikehendaki, dia, isteri dan anak2nya. "Cuma buat masa ni saya tak boleh aktif lagi, masuk ahli jer dulu dan saya akan bantu sekadar mampu, ada apa2 program Ust pos ke saya, InsyaAllah kalau sempat dan ada kelapangan saya hadir".

Dia tinggalkan rm1500 "untuk program ziarah Ustaz, saya sentiasa ikuti fb Ustaz dan anak saudara saya pun selalu ikut program Ustaz, saya pun kalau ceramah selalu juga datang, mungkin Ustaz tak perasan, dok dalam gelap" sambil senyum " tapi kalau kat surau tu memanglah saya selalu ada", memang kami selalu jumpa kat surau.

Sebelum dia berlalu dia sempat bagi semangat " Kalau takdir PAS dapat perintah Pahang, Ustaz jangan bimbang, saya akan bantu dan ramai kawan2 saya akan bantu, cuma PAS kena gandakan usaha agar dapat memerintah Pahang, jumpa dengan semua lapisan masyarakat dan jelaskan matlamat perjuangan PAS, ramai lagi yang tak faham kerana kekadang ianya terlindung dek fitnah musuh dan juga kelemahan ahli PAS dalam menampilkan imej Islam, kalau PAS bersungguh beri kefahaman InsyaAllah saya yakin orang akan faham sebagaimana saya faham".

"Terima kasih atas ingatan", sama-sama Ustaz dan terimakasih juga atas ilmu yang selama ini disampaikan". Dia berlalu dengan meninggalkan segumpal semangat untuk saya meneruskan tanggungjawab ziarah dan memberi penerangan supaya masyarakat yang tidak mengenali PAS  dapat kenal "apa itu PAS".

Catatan

*YB USTAZ ROSLI ABDUL JABAR*
*PESURUHJAYA PAS PAHANG*
*ADUN TANJUNG LUMPUR*