Sabtu, 17 Februari 2018

SILAP BESAR BERI RUANG ISRAEL MASUK MALAYSIA

1. Siapa yang tidak terkejut apabila tidak sampai tiga bulan Baitulmaqdis diisytiharkan milik Israel, Diplomat Israel pula telah dibenarkan bersama-sama delegasi Israel untuk masuk ke Malaysia.

2. Dalam keadaan Pilihanraya Umum ke-14 bakal berlangsung pada tahun ini, bagaimana ‘kesilapan besar’ ini boleh berlaku? Keadaan ini seolah-olah memberi mesej bahawa Kerajaan mengutamakan penganjuran persidangan World Urban Forum (WUF) yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) ini lebih daripada solidariti bersama Palestin yang saban hari dijajah penempatan haram Yahudi Zionis Israel, meskipun tidak benar.

3. Untuk rekod, Malaysia pernah menolak permohonan visa dua pelayar Israel ketika menjadi tuan rumah Kejohanan Layar Remaja Dunia Persekutuan Pelayaran Antarabangsa (ISAF) pada Disember 2015.  Mengapa ketegasan sedemikian tidak diulangi dalam keadaan politik Malaysia yang sedia berkecamuk hari ini?

4. Berdasarkan sentimen majoriti umat Islam di Malaysia, adalah lebih bijak sekiranya persidangan WUF itu dibatalkan dan bayaran pampasan pembatalan dibuat kepada PBB-WUF bagi membuktikan besarnya komitmen kerajaan yang ditegaskan dalam Himpunan Solidariti Al-Aqsa tahun lalu.  Langkah sebegini bukan sahaja bakal melonjakkan imej Malaysia di mata dunia, bahkan juga di mata para pengundi.  Apa faedahnya menganjurkan persidangan ini dalam keadaan wakil Zionis dibenarkan hadir dengan bangganya?

5. Pengakuan terbuka Diplomat Israel tersebut, David Roet bahawa beliau ada bertemu dengan pegawai tertinggi Malaysia mungkin perlu diselidiki lebih lanjut.  Namun kenyataan beliau bahawa “hubungan perdagangan Malaysia-Israel mencecah AS$1.5 bilion setahun dan semakin berkembang pesat” telah membuka kembali perdebatan lalu berkenaan hubungan dagang Malaysia-Israel. Sememangnya pada tahun 2013 perangkaan Pusat Perdagangan Antarabangsa (ITC) pernah menunjukkan Malaysia menduduki tangga ke-32 dalam senarai pengeksport ke Israel dan tangga ke-12 dalam senarai pengimport dari Israel.

6. Walau bagaimanapun, perlu dijelaskan bahawa pendirian kerajaan Malaysia telah ditegaskan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (Tok Pa) pada 2014 lagi bahawa Kerajaan Malaysia tidak menjalinkan hubungan ekonomi secara langsung dengan Israel.

7. Sebagaimana huraian Tok Pa, "Data yang dikeluarkan oleh ITC mencerminkan eksport mengikut negara asal (country of origin), iaitu kemasukan barangan buatan Malaysia ke Israel melalui negara ketiga seperti Singapura dan Hong Kong yang turut direkodkan sebagai eksport dari Malaysia. Cara merekod perdagangan seperti ini diamalkan oleh kebanyakan negara lain. "Amalan perniagaan dan pelaburan antarabangsa ini adalah berada di luar kawalan Kerajaan Malaysia”.

8. Pokoknya, Malaysia telah menghentikan perdagangan secara langsung dengan Israel, namun Tok Pa mengakui sukar untuk menghalang perdagangan secara tidak langsung dengan Israel disebabkan realiti perniagaan global yang menjangkau sempadan negara, khususnya membabitkan pelaburan langsung asing (FDI).

9. Tok Pa turut menegaskan bahawa Malaysia sebenarnya boleh bertindak ekstrim dengan memboikot produk Israel, tetapi mungkin terpaksa menghentikan pembelian barangan-barangan keperluan termasuk kapal terbang penumpang yang turut mempunyai komponen buatan Israel.  Maka pertimbangan kepentingan nasional ialah pertimbangan yang cukup besar dalam membuat keputusan ini.

10. Pakatan Harapan yang kini dipimpin Tun Dr. Mahathir juga sewajarnya merenung sejenak isu ini dengan mendalam sebelum mempolitikkannya kerana negarawan itu sendiri pernah menjadi sasaran serangan pada masa lalu. Dari isu pindaan Akta Larangan Import 1994 (Pindaan bil 7) yang dianggap membuka ruang perdagangan Malaysia-Israel, isu kehadiran pasukan kriket Israel ke Malaysia pada tahun 1997 yang turut disokong Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu, hinggalah ke isu merayu bantuan lobi Israel untuk hak penganjuran Persidangan Gas Dunia 2005.

11. Ahli Parlimen PKR, Rafizi Ramli dalam tulisan di blog beliau yang bertajuk “Keterlibatan Kerajaan Malaysia Merayu kepada Badan Israel untuk Mendapatkan Sokongan Penganjuran Persidangan Gas Dunia” bertarikh 29 Mac 2012 turut menulis: “Hubungan tidak rasmi di antara Umno dan kerajaan atau badan-badan Israel bukanlah perkara baru. Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad menulis surat kepada 3 orang Perdana Menteri Israel yang berasingan menyatakan hasrat beliau yang mewakili Umno untuk menjalin hubungan diplomatik yang normal dengan Israel”.

12. Tun Dr. Mahathir sendiri pada Februari 2012 mendakwa rejim Israel cuba mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan sebagai “rakan karib” Israel apabila Tel Aviv bertindak mendedahkan perhubungan perniagaan yang dijalankan Malaysia dan Israel: “Israel kini cuba membantu Anwar dengan membekalkan butiran perdagangan antara kedua-dua negara… Ini adalah bagi membuktikan bahawa Anwar bukannya satu-satunya individu yang berurusan dengan mereka (Israel). Bahawa orang lain juga lakukannya”.

13. Ringkasnya, tidak kira sama ada Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Harapan (PH), kedua-dua blok tersebut seharusnya berusaha untuk bersikap lebih telus tentang hubungan dengan Israel dan berusaha sedaya-upaya bagi memastikan komitmen solidariti bersama Palestin tidak sekadar retorik kosong. Kepentingan nasional juga seharusnya dilindungi sebaik mungkin khususnya dalam hal strategik yang memerlukan pengurangan kebergantungan secara berkadar kepada Israel.

Oleh: Abdul Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)