Dilulus untuk paparan oleh AnisahOmar
SAYA tertarik dengan artikel mengenai manipulasi Presiden Pas berkaitan orang bukan Islam dan jawatan menteri dalam kerajaan. Malahan banyak artikel hari ini menjurus kepada serangan ke atas Pas oleh Pakatan Harapan (Harapan). Isu kafir mengkafirkan menerusi Amanat Haji Hadi yang sudah lama ditutup kesnya pun dibuka semula.
Sememangnya tidak berkesan ke atas Presiden Pas. Ahli Pas masih setia dan percaya akan amalan politik musyawarah Majlis Syura. Setiap keputusan Presiden Pas perlu merujuk kepada Majlis Syura dan bukan diri presiden sendiri. Inilah dinamakan kerajaan teknokrat yang dipegang oleh setiap ahli Pas.
Harapan mungkin lupa akan maksud legasi Mahathirisma. Yang lebih menghairankan isu permohonan maaf oleh Tun Dr Mahathir yang dimainkan oleh Harapan tidak menjadi, khususnya oleh ahli-ahli Pas.
Manakan tidak, ramai ahli Pas menjadi mangsa disebabkan akta ISA yang digunakan oleh Tun M. Ramai yang hilang keluarga dan kehidupan disebabkan tahanan politik ISA dan bukannya tahanan keselamatan negara semasa zaman 80, 90-an.
Permohonan maaf ini tidak hanya berkaitan dengan isu Memali. Ramai lagi penyokong dan ahli-ahli Pas menjadi mangsa dalam sektor awam sehinggakan ada di antara mereka kehilangan pekerjaan disebabkan politik.
Mungkin ramai terlupa siapakah yang menyebabkan pembangunan di Kelantan terbantut selama sedekad. Bukankah Tun M yang menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan bermula 1989 hingga 1999 sebelum menyerahkan kepada Tengku Razaleigh pada masa itu. Akibatnya, Kelantan dipinggirkan pembangunan dan serangan ke atas Almarhum Tuan Guru Nik Aziz adalah satu contoh legasi Mahathirisma.
Apabila Terengganu berjaya dirampas oleh Pas pada 1999, Tun M telah membuat satu perubahan ke atas royalti minyak Terengganu. Sehingga hari ini royalti minyak yang diperuntukkan ke atas Kelantan turut menjadi mangsa. Ini disebabkan royalti minyak boleh bertukar menjadi wang ihsan Persekutuan. Situasi ini seperti menafikan apa yang berhak ke atas saudara seagama digunakan dalam politik.
Mungkin Harapan terlupa sejarah politik pembangkang. Ini disebabkan Harapan hari ini merupakan pembangkang mantan ahli Umno dan bukannya pembangkang tulen. Ramai mantan ahli Umno kini bertukar wajah menjadi Harapan disebabkan legasi Mahathirisma.
Wajah Reformasi tidak akan muncul kalau bukan disebabkan peristiwa tahun 1998. Masih ramai lagi yang ingat akan kisah dramatik politik yang berlaku dalam negara ini bermula 1998 sehingga kini tiada penghujung penyelesaiannya. Apa yang memburukkan suasana hari ini adalah perpecahan Melayu semakin parah dan tidak mampu lagi disatukan dalam politik ummah. Malahan isu Islam dijadikan sasaran politik Malaysia hari ini.
Serangan ke atas BN oleh Harapan ini hanya berkisar kepada isu 1MDB dan kleptokrasi. Sedangkan, politik kleptokrasi yang berlaku di negeri Harapan adalah amat berat sekali. Lihatlah isu rasuah yang melibatkan beberapa pemimpin PKR di Selangor. Mungkin ramai boleh menafikan isu rasuah yang berkaitan Lim Guan Eng tetapi hakikatnya prinsip CAT dinodai oleh Harapan sendiri.Jika ingin menjadi pemimpin perlu menjadi teladan. Maka sekuasa manakah seseorang pemimpin perlu bertanggungjawab atas laungan idealismenya sendiri. Kalau tidak siapakah yang perlu mempercayainya.
Situasi ini menyebabkan rakyat mula tidak mempercayai Harapan kerana kata-kata Harapan hari ini sama seperti apa yang digambarkan oleh Harapan.
Strategi demi strategi Harapan pada BN hanya berkisar kepada soal kleptokrasi yang sudah mual didengar. Ini disebabkan bukti tiada dan penjelasan sudah diberikan oleh pihak kerajaan. Akibatnya untuk mengelakkan kurang percaya daripada rakyat, maka isu hari ini difokuskan kepada veteran ahli politik yang sudah dikenali akan latar belakangnya.
Apabila strategi ini tidak menjadi dan menyebabkan banyak permasalahan berlaku. Mahu tidak mahu, politik kiasu digunakan dalam mencorakkan semula aliran pemikiran politik rakyat Malaysia.
Wajah politik kiasu hari ini.