Kenyataan Media Presiden PAS
Tun Salleh Abas, tokoh besar peristiwa kehakiman negara pernah meminta saya mencari nas asal dalam Tafsir Ibnu Kathir yang dibacanya daripada terjemahan Bahasa Inggeris yang menegaskan peristiwa kehakiman yang berlaku pada zaman Rasulullah S.A.W menunjukkan bahawa Islam mendahului Eropah melaksanakan konsep pembahagian kuasa dalam sistem pemerintahan negara.
Ya! Ini dilaporkan dalam riwayat Ibnu Kathir, Musnad Imam Ahmad, Sunan Abu Daud dan Al-Nasaie yang menceritakan peristiwa Rasulullah S.A. W bersetuju membeli seekor kuda daripada seorang A’arabi (badwi). Oleh kerana berlaku dicelahnya perkara lain yang sengaja dilambatkan walaupun masih berada di tempat dan masa yang sama atau majlis yang sama, tiba-tiba si badwi itu mahu menjualnya kepada orang lain yang menawarkan harga yang lebih tinggi.
Meskipun berlakunya ketidaksopanan Badwi itu mengikut hukum agama dan adat yang sepatutnya diakui pembelian Rasulullah S.A.W, namun dalam perselisihan ini dilakukan perbicaraan kehakiman. Apabila diminta saksi, maka Khuzaimah R.A tampil menjadi saksi, akhirnya kemenangan berpihak kepada Rasulullah S.A.W.
Di sini menunjukkan betapa Rasulullah S.A.W sebagai ketua negara, bahkan seorang Rasul yang telah dilantik oleh Allah S.W.T tidak menggunakan kesempatan kuasa dan kedudukannya, tetapi menyerahkan kepada kehakiman yang sebenar tanpa gangguan, lakonan atau ada dalang di sebalik tabirnya.
Konsep ini dilaksanakan oleh kerajaan Islam selepasnya seperti peristiwa Khalifah Saidina Ali K.W.H dihakimi kerana barangnya dicuri oleh seorang rakyat bukan Islam beragama Yahudi sehingga dibela Yahudi itu apabila ketua negara tidak boleh mengadakan saksi. Berlaku juga pada zaman Khilafah Uthmaniyyah apabila Sultan Muhammad Al-Fateh dihukum kerana ketelanjurannya terhadap seorang rakyat beragama Kristian.
Pembahagian kuasa atau dalam Bahasa Arab disebut (الفصل بين السلطات) dan Bahasa Inggeris dipanggil "Separation of Powers" merupakan satu doktrin dalam pemerintahan demokrasi yang membahagikan urusan dalam pengurusan negara kepada tiga cabang utama: Pemerintah (eksekutif), Perundangan (legislatif) dan Kehakiman.
Ia bertujuan untuk mengelak atau menghindari bahaya “kezaliman” (tyranny), di mana dikatakan doktrin pembahagian kuasa atau fungsinya dapat mewujudkan dan mengekalkan kepimpinan, kebebasan sebenar dan menghindari kemaharajalelaan (despotisma) dengan cara membahagi-bahagikan kuasa untuk mewujudkan semak dan seimbang (check and balance) antara kuasa tersebut.
Sebenarnya pihak Barat hanya mengenali demokrasi, sistem pilihan raya, pentadbiran dan kehakimannya daripada sejarah Greece Purba (Yunani) sebelum Masihi yang dilakukan pembaharuan selepasnya.
Contoh awal konsep ini di Eropah adalah ditemui teorinya dalam karya-karya Aristotle. Pada tahun 1656, James Harrington dalam bukunya Oceana, telah mengemaskinikan idea tersebut dan mencadangkan sistem berdasarkan konsep ini. John Locke dalam “The Second Treatise of Civil Government” pada 1690, telah membahagikan kuasa kerajaan kepada dua iaitu eksekutif dan legislatif. Manakala, Montesquieu dalam karyanya, "The Spirit of the Laws" telah mengembangkan idea Locke, dengan menambahkan cabang kehakiman. Dikatakan orang Inggeris mewujudkan kaedah sebenar pembahagian kuasa ini dengan lebih formal, yang mereka gelar sebagai “Instrumen Kerajaan”.
Namun masih lagi dibayangi oleh kelemahan manusia tanpa hidayah yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W yang ditinggalkan, menyebabkan masih dibayangi diktatorship dan ketuhanan syirik yang belum mampu menegakkan keadilan, ketelusan dan hak yang sebenarnya, termasuklah amalan pilihan raya yang bebas dan telus belum dikenali, kerana sebelum ini mereka menegakkan negara secara revolusi yang mencetuskan perang saudara di England, Perancis, Amerika dan lain-lain negara yang memakan korban raja-raja, pemimpin dan rakyat. Perubahan sebenar berlaku setelah para Orientalis mengkaji sejarah Islam dan ilmunya yang ditulis oleh para ulama Islam.
Kononnya dunia Barat sangat tegas memberi kuasa kepada Badan kehakiman, berdalilkan Skandal Watergate (1972-1974) yang memecat Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon bagi menunjukkan amalan ini. Namun konsepnya masih tidak istiqamah (konsisten) kerana tidak ada roh aqidah beriman kepada Allah dan Hari Akhirat yang ada perhitungan dosa dan pahala.
Hari ini politik mereka boleh melantik Presiden yang bodoh disebabkan pengaruh politik wang. Media dan pengurusannya diganggu oleh pengaruh minoriti Zionis yang menguasai ekonomi dan media yang memayungi apa sahaja tindakan di bawahnya, sehingga berlakunya pemecatan Peguam Negara dan lain-lain di Amerika.
Peristiwa krisis kehakiman tahun 80-an di negara kita telah menjadi sejarah hitam, dan diikuti mata rantai selepasnya, sehingga berlaku peristiwa merempuh perjanjian Royalti Petroleum Terengganu dan kemudiannya Kelantan. Ini menunjukkan betapa hilangnya moral demokrasi dan perundangan yang adil.
Mutakhir ini, kita menyaksikan mereka yang terlibat dalam menitik hitam itu termasuk kelompok oportunis yang menjadi pengampu dan syaitan bisu, hanya mengangguk kepala tanpa mencegah kemungkaran. Mereka sama-sama dapat menyaksikan dan merasai akibatnya di dunia ini ketika kita masih hidup dan dipanjangkan umurnya.
Perjuangan PAS adalah meminta perubahan secara islah berprinsipkan Islam dan konsepnya yang sempurna, bukan sekadar menukar kerajaan seperti menukar baju daripada jasad yang masih tidak mandi untuk membersihkan diri dan jauh sama sekali berkonsepkan semata-mata menggulingkan kerajaan atau merampas kerusi sahaja tanpa menukar dasar, konsep dan pendekatan.
Jangan kita mengambil contoh daripada ahli neraka yang saling mengutuk di antara satu sama lain setelah dihumban ke dalam neraka, sebagaimana dinyatakan oleh firman Allah:
قَالَ ٱدۡخُلُواْ فِيٓ أُمَمٖ قَدۡ خَلَتۡ مِن قَبۡلِكُم مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِ فِي ٱلنَّارِۖ كُلَّمَا دَخَلَتۡ أُمَّةٞ لَّعَنَتۡ أُخۡتَهَاۖ حَتَّىٰٓ إِذَا ٱدَّارَكُواْ فِيهَا جَمِيعٗا قَالَتۡ أُخۡرَىٰهُمۡ لِأُولَىٰهُمۡ رَبَّنَا هَٰٓؤُلَآءِ أَضَلُّونَا فََٔاتِهِمۡ عَذَابٗا ضِعۡفٗا مِّنَ ٱلنَّارِۖ قَالَ لِكُلّٖ ضِعۡفٞ وَلَٰكِن لَّا تَعۡلَمُونَ ٣٨ وَقَالَتۡ أُولَىٰهُمۡ لِأُخۡرَىٰهُمۡ فَمَا كَانَ لَكُمۡ عَلَيۡنَا مِن فَضۡلٖ فَذُوقُواْ ٱلۡعَذَابَ بِمَا كُنتُمۡ تَكۡسِبُونَ ٣٩ الأعراف
“Allah berfirman: Masuklah kamu ke dalam Neraka bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada kamu, dari jin dan manusia. Tiap-tiap satu umat yang masuk, mengutuk akan saudaranya (golongannya sendiri); hingga apabila mereka semua berhimpun di dalamnya, berkatalah golongan yang akhir mengenai golongan yang pertama di antara mereka: Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang telah menyesatkan kami; oleh itu berilah kepada mereka azab seksa yang berlipat ganda daripada (azab) Neraka. Allah berfirman: Kamu masing-masing disediakan (azab seksa) yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui. (38) Dan berkatalah golongan pertama (ketua-ketua), di antara mereka, kepada golongan yang akhir (pengikut-pengikutnya): (Jika demikianlah hukuman Tuhan), maka tidak ada bagi kamu sebarang kelebihan atas kami. (Allah berfirman): Oleh itu rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang kamu telah usahakan. (39)” (Surah Al-Aaraf: 38-39)
Demikianlah Allah menceritakan peristiwa sebenar di Hari Akhirat yang mesti berlaku kerana janji Allah itu adalah benar. Iktibarnya supaya kita bertaubat di dunia dan melakukan perubahan yang bukan sahaja mendapat fadilatnya diampunkan dosa, bahkan diberi keberkatan dan perubahan yang membawa kepada kebaikan di dunia serta diberi pahala pula di Hari Akhirat nanti.
Dalam sejarah Islam dicatatkan bahawa Khalifah Umar bin Abdul Aziz daripada Dinasti Umayyah telah melakukan perubahan islah tanpa menggulingkan kerajaannya. Begitu juga Sultan Ahmad bin Tolun di Mesir yang zalim berubah menjadi adil setelah dinasihatkan oleh Sayyidah Nafisah R.A, seorang ulama muslimat di zamannya tanpa digulingkan kerajaannya. Sejarah Sultan Qutuz daripada Dinasti Mamalik juga berubah dan berjaya.
Sultan Salahudin Al-Ayyubi daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah mengambil pendekatan awal memuji Khalifah Fatimiyyah daripada kalangan Syiah kerana menjaga perpaduan umat Islam, akhirnya berjaya melakukan perubahan dalaman umat secara damai tanpa berlakunya perpecahan dalaman negara dan umat, seterusnya menempa sejarah memimpin pembebasan Masjid Al-Aqsa daripada penjajahan Salib setelah berjaya melakukan perubahan dalaman secara islah.
Kesimpulannya bahawa tanpa pembahagian kuasa dalam pentadbiran negara bukan sahaja merosakkan kehakiman, bahkan merosakkan urusan pentadbiran, politik, ekonomi, termasuk keselamatan, keamanan dan pertahanan negara. Kita mengalu-alukan perubahan dilakukan bila-bila masa sahaja sebelum pilihan raya, bukan sahaja menunggu di tengah pilihan raya dan selepasnya.
Firman Allah:
إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡۗ وَإِذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ سُوٓءٗا فَلَا مَرَدَّ لَهُۥۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَالٍ ١١ الرعد
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.” (Surah Ar-Ra’d: 11)
PAS berpolitik berwawasan Akhirat dengan tetap mendahulukan mencari keredaan Allah sebelum keredaan manusia. PAS menolak budaya politik sekadar mencari pelanggan laksana penjual ubat kuat untuk tenaga nafsu binatangnya dan jauh sekali daripada politik kera mencari makan yang melompat ke pohon yang lebat buahnya, tanpa peduli rakyat menjadi mangsanya.
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 21 Rabiul Akhir 1439 / 9 Januari 2018