Jumaat, 22 Disember 2017

Usaha Mengkhianati Islam

Usaha mengkhianati Islam bukanlah perkara baru, ia sudah berlaku sejak berita mengenai akan lahirnya seorang nabi yang bukan dalam kalangan Bani Israel, berita kelahiran tersebut menjadi sesuatu yang amat menakutkan. Dalam kitab-kitab suci pelbagai agama telah mengesahkan seseorang yang bernama Muhammad akan diutus bagi membetulkan akidah manusia yang sudah terpesong, kerana menjadikan agama sebagai faktor memusnahkan sesama manusia.

Penyelewengan ajaran agama terutamanya dalam kalangan agama Samawi telah menyebabkan sengketa yang berpanjangan antara pihak yang berlainan fahaman, bahkan antara penganut Katholik dan Protestan berlaku pertumpahan darah yang besar. Antara penganut agama Yahudi dan Kristian berlaku konflik yang menyebabkan sebahagian mereka tersingkir dan dibunuh.

Menurut Karen Armstrong dalam bukunya Perang Suci, tidak ada agama yang buruk, tetapi oleh kerana berlakunya penyimpangan dalam amalan menjadikan agama itu dilihat buruk.

Dari segi Islam, menurut Karen Armstrong bahawa al-Qur’an memberikan petunjuk kepada manusia secara lengkap, tidak ada pemisahan antara keperluan amalan spiritual dan kehidupan dunia, menyebabkan agama-agama lain tercabar. Agama-agama lain hanya mengajarkan manusia bagaimana untuk hidup selepas mati, sedangkan Islam meletakkan kehidupan dunia sebagai jambatan yang menghubungkan akhirat.

Dari segi sejarah juga mencatatkan bahawa praktik Islam sebagai “cara hidup” di mana antara penguasa atau elit tidak mempunyai jurang yang lebar kecuali dari segi keilmuan dan ketakwaan menyebabkan Islam cepat diterima oleh penganut-penganut agama lain. Kehidupan penganut agama lain amat berbeza antara seorang pendeta, elit yang berkuasa dan rakyat biasa.

Sifat unik yang dimiliki oleh Islam itu menyebabkan para elit agama memulakan gerakan untuk menghancurkan agama terakhir yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Untuk mengkhianati Islam, elit agama melakukan pelbagai cara termasuk mengkritik secara langsung mengenai apa sahaja yang berkaitan dengan Islam, mencemoh Nabi Muhammad SAW dan menuduh Islam menghina wanita.

Pertentangan secara langsung itu dikatakan bermula semasa permulaan kehadiran Islam lagi namun ianya berjaya dihadapi dengan baik apabila sebahagian besar mereka yang menentang Islam mula memahami bahawa kesederhanaan dan kemesraan yang diteladankan oleh Nabi Muhammad berjaya melembutkan hati yang memberontak. Mereka itu kemudiannya menjadi srikandi Islam dan sanggup berkorban atas perjuangan Islam antaranya Amr al-As, Umar al-Khattab, Saad ibni Waqs dan sebagainya.

Pada abad pertengahan, kerana Islam muncul sebagai kuasa baru manakala Eropah berada dalam zaman kegelapan, pihak gereja mula mengatur langkah untuk melumpuhkan Islam. Pada tahun 1095M, Pope Urbanus II membakar emosi penganut Kristian dalam satu pidatonya yang membawa kepada berlakunya Perang Salib.

Pope Urbanus II berkata,”Khabar buruk telah tiba dari Jerusalem dan Konstantinapol, bahawa sebuah bangsa asing yang terkutuk dan menjadi musuh Tuhan, yang tidak lurus hatinya, dan yang jiwanya tidak setia kepada Tuhan, telah menyerbu tanah orang-orang Kristian dan membumihanguskan mereka dengan pedang dan api secara paksa.

Tambah Pope lagi, “kewajipan siapa lagi kalau bukan kalian, yang harus membalasa dendam dan merebut kembali daerah-daerah itu? Ingatlah, Tuhan telah memberikan kalian banyak kelebihan dibandingkan dengan bangsa-bangsa lain: semangat berjuang, keberanian, keperkasaan dan ketidakgentaran menghadapi sesiapa pun yang hendak melawan kalian.

Ingatlah pada keberanian nenek moyang kalian, pada kekaisaran Karel Agung dan Louis, anaknya serta raja-raja lainnya yang telah membasmi Turki dan menegakkan agama Kristian di tanah mereka. Kalian harus tergerak oleh makan kudus Tuhan Jesus Juru Selamat kita, yang kini ada di tangan orang-orang najis; kalian harus bangkit berjuang, kerana kalian telah tahu, banyak tempat-tempat suci telah dikotori, diperlakukan secara tidak senonoh oleh mereka.”

Setelah Yahudi menjadi sebuah gerakan yang berpengaruh apabila disusun semula oleh Thedr Herzl melalui protokolnya terkenal, usaha menghancurkan Islam menjadi semakin kuat atas alasan untuk mendapatkan kembali bumi Palestin dengan dakwaan bahawa di situlah “tanah yang dijanjikan.”

Gerakan mengkhianati Islam dilaksanakan melalui satu lagi pendekatan iaitu memesongkan akidah para penganutnya. Cara yang dilakukan ialah menyenaraikan pelbagai fitnah terhadap Islam melalui pendekatan ilmiah dan rasional pemikiran selaras dengan perkembangan falsafah ilmu di Barat. Negara-negara Islam yang telah dijajah terus ditekan sehingga berjaya mengubah kaedah pemikiran masyarakat bahawa agama adalah bersifat individu dan personal.

Kini, timbul semula gerakan mengkhianati Islam secara terbuka apabila George Walker Bush mula menggunakan pendekatan “melawan terrorisme” setelah Amerika Syarikat dimalukan oleh Revolusi Islam Iran,dan “diperintahkan oleh Tuhan” untuk berperang di Iraq dan Afghanistan.

Kemunculan pelbagai kaedah mengkhianati Islam menjadi semakin semarak kemudianya di Eropah, misalnya menyiarkan kartun Nabi Muhammad sebagai pengganas dalam akhbar, menerbitkan filem dokumentari memburuk-burukkan Islam, mengajak masyarakat umum menulis mesej kepada Nabi Muhammad, propaganda al-Qur’an sebagai hasil tulisan manusia, mengumpul pendapat awam mengenai ikon Islam (kubah masjid, pakaian menutup aurat muslimah dan kemasukan imigran muslim) dan menggunakan lagu mencaci al-Qur’an.

Salman Rushdie yang menulis mengenai ayat-ayat setan telah diwartakan sebagai “boleh dihukum mati” oleh bekas pemimpin tertinggi Iran manakala Naslim Taslima yang menulis menghina Islam turut dikecam dan diancam bunuh oleh mereka yang marahkannya. Apa yang menyedihkan ialah apabila orang Islam sendiri telah hilang akar keislamannya, sanggup dipergunakan oleh pelbagai pertubuhan asing (bukan Islam) untuk menghancurkan Islam secara halus melalui rangkaian program kemanusiaan dan kesejahteraan sosial.

Sebenarnya ingatan telah diberikan oleh Allah SWT bahawa: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi orang kepercayaanmu orang-orang yang di luar dari kalanganmu (kerana) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudaratan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebenaran dari mulut mereka lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya, Beginilah kamu, kamu menyukai mereka, pada hal mereka tidak menyukai kamu dan kamu beriman kepada kitab-kitab semuanya. Apabila mereka menemui kamu, mereka berkata,”Kami Beriman” dan apabila mereka bersendirian, mereka menggigit hujung jari dengan marah bercampur benci terhadap kamu. Katakanlah (kepada mereka), “Matilah kamu kerana kemarahan itu.” Sesungguhnya Allah mengetahui segala isi hati.” Ali-Imran (3):118-119.

Catatan:Kamarun KH