Khamis, 14 Disember 2017

Malaysia Terus Rosak Jika Diserah Kepada Mahathir – PAS

Pusat Penyelidikan PAS (PPP) melihat usaha Pakatan Harapan (PH) untuk memberi mandat kepada Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia sekali lagi, akan menjerumuskan negara kepada kerosakan yang lebih teruk. Kerosakan yang telah dibuat melalui dasar dan amalan semasa 22 tahun pemerintahan Dr Mahathir, sehingga hari ini masih membebankan rakyat. Pelbagai usaha pembetulan semula telah dilakukan di zaman pemerintahan dua Perdana Menteri selepas Dr Mahathir juga oleh kerajaan-kerajaan negeri yang pernah dipimpin oleh Pakatan Rakyat (PR) selepas Pilihanraya Umum (PRU) tahun 2008, masih belum berupaya membaiki kerosakan tersebut. Oleh sebab itu, usaha PH untuk menyerahkan semula mandat kepada Dr Mahathir sekali lagi adalah sesuatu yang sukar diterima oleh mereka yang berfikiran waras.

Selama 22 tahun pemerintahan Dr Mahathir, beliau telah memperkenalkan dasar dan amalan pemerintahan yang merugikan negara dan rakyat. Ketika pemerintahan Dr Mahathir, beliau telah melakukan pemusatan kuasa yang cukup jelas dengan menjadikan kuasa Perdana Menteri begitu besar sehingga berlaku campurtangan terhadap Institusi Kehakiman dan Legislatif. Malah lebih daripada itu, beliau sebagai Perdana Menteri telah berjaya menghakis kuasa Raja-raja Melayu melalui dua pindaan Perlembagaan Persekutuan iaitu pada tahun 1983 dan 1993. Beliau juga telah menghakis dasar dan amalan berkaitan dengan faderalisme sehingga melanggar perjanjian dengan kerajaan-kerajaan negeri seperti dalam isu yang berkaitan dengan royalti petroleum. Sekiranya Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri sekali lagi, diyakini beliau akan menjadi lebih ‘kuku besi’ dari sebelum ini.  

Di dalam aspek ekonomi pula, Dr Mahathir telah memperkenalkan dasar dan amalan yang banyak merugikan negara dan rakyat. Akibat dari dasar dan amalan tersebut menyebabkan rakyat menanggung bebannya sehingga hari ini, seperti kenaikan kos sara hidup, hutang isi rumah terus meningkat dan jurang kaya-miskin yang melebar. Salah satu dasar yang diperkenalkan oleh Dr Mahathir yang semakin kelihatan kegagalannya ialah Dasar Penswastaan. Dasar inilah yang telah menyebabkan rakyat sehingga hari ini menanggung kenaikan kadar tol, tarif elektrik dan air yang tinggi, bebanan hutang PTPTN dan lain-lain. Selain daripada dasar tersebut, terdapat beberapa lagi dasar dan amalan zaman pemerintahan Dr Mahathir yang membebankan rakyat seperti penggalakan pemilikan kenderaan peribadi, peminggiran sektor pertanian, penyuburan peranan orang tengah dan lain-lain lagi.

Semasa pemerintahan Dr Mahathir juga, rakyat turut menghadapi pelbagai kesan buruk dalam aspek sosial. Salah satu perkembangan sosial yang tidak sihat semasa pemerintahan beliau ialah mengurangkan peranan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang menentukan rupabentuk bangsa dan jatidiri rakyat Malaysia. Beliau telah memperkenalkan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Metematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang telah secara langsung menghakis peranan Bahasa Kebangsaan dalam pendidikan. Di zaman Dr Mahathir juga, berlakunya liberalisasi Pendidikan tinggi sehingga Bahasa Kebangsaan semakin terpinggir di peringkat Pendidikan tinggi. Selain daripada itu, tidak dapat dilihat kejayaan-kejayaan Dr Mahathir semasa pemerintahannya dari segi pengukuhan perpaduan kaum, pembasmian penyalahgunaan dadah, pengurangan jenayah dan lain-lain.

Berdasarkan sebab-sebab yang dipaparkan secara ringkas di atas, PPP berpendirian usaha PH untuk menyerahkan semula mandat kepada Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sekiranya PH menang selepas PRU ke-14 ini akan menyebabkan negara dan rakyat terus terjerumus dengan kerosakan politik, ekonomi dan sosial. Tanpa niat untuk mencampuri urusan rumahtangga PH, PPP berpandangan PH sepatutnya mengemukakan calon Perdana Menteri yang dapat meneruskan agenda reformasi yang dicetuskan oleh Ketua Umum mereka, Dato Seri Anwar Ibrahim. Mengembalikan Dr Mahathir ke tampuk pemerintahan negara bermakna agenda reformasi yang diperkenalkan sejak dua dekad yang lalu akan berkubur. Oleh sebab itu, PPP melihat langkah PH ini tidak menyumbang kepada agenda membaiki kerosakan negara yang akibat dari dasar dan amalan semasa zaman Dr Mahathir.

Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah PPP

14 Disember 2017
25 Rabiuawal 1439