PETIKAN KULIAH JUMAAT AYAH CHIK
AL-MAHDI
Kemunculan Imam Mahdi di akhir zaman disebut dalam hadis-hadis mutawatir. Semua umat Islam percaya baik sunni mahupun syiah. Cuma berbeza pendapat dari sudut bagaimana dan bilakah ia muncul. Ini tidak menjadi masalah. Apabila beliau benar-benar muncul, tiada lagi khilaf. Syiah dan sunni akan bersatu.
Akan berlaku perang besar yang disebut Malhamah al-Kubra sebelum kemunculan beliau. Juga disebut dalam hadis bahawa tiga anak raja akan berperang selepas kematian raja. Mekah jadi huru-hara.
Pada waktu itu umat Islam mencari-cari siapa akan jadi pemimpin. Akhirnya berjumpa Imam al-Mahdi, lalu diajak untuk dibaiah Mamun beliau lari tidak mahu! Bukan macam sekarang, berebut-rebut kata sayalah jadi PM dam sebagainya.
Beliau lari sampai ke Madinah. Dikejar oleh orang Islam. Bawa semula beliau ke Mekah lalu dibaiah di hadapan Kaabah. Pada waktu itu hanya 313 orang sahaja dikalangan umat Islam berbaiah. Menyamai bilangan ahli Badar. Adapun yang lain masih tidak percaya.
Tetapi Allah peliharakan beliau. Akan muncul pula bala tentera Sufyani daripada Syria untuk menyerang Imam al-Mahdi. Disebut dalam hadis, apabila sampai antara Mekah dan Madinah, bumi akan menelan kesemua mereka dari awal sampai akhir.
Pada waktu itu barulah orang percaya beliau adalah al-Mahdi sebenar. Lalu datanglah orang Islam beramai-ramai bernaung bawah pimpinan beliau.
AL-MASIH
Akan turun juga bersama Imam Mahdi iaitu Nabi al-Masih Isa bin Maryam. Adapun orang-orang Amerika, orang-orang Eropah yang menganut mazhab Kristian Katolik dan Protestan bersama dengan Yahudi Zionis, percaya akan muncul al-Masih daripada bangsa Yahudi. bagi kita, ia adalah al-Masih Dajjal.
Mereka percaya al-Masih itu akan menguasai dunia. Memang betul Nabi sebut mereka akan berkuasa, tetapi sekadar 40 hari sahaja. Selepas itu kerajaan mereka akan jatuh. Turun al-Masih Isa membunuh al-Masih Dajjal. Orang-orang Islam akan bergabung dengan kristian Ortodoks untuk menentang Dajjal.
Nabi Isa akan turun ketika Imam Mahdi sedang bersiap untuk menunaikan solat Subuh. Baginda diturunkan oleh malaikat dalam rupa yang segak. Melihat Nabi Isa, Imam Mahdi berundur bagi memberi laluan kepada Nabi Isa menjadi imam solat. Tetapi baginda meminta Imam Mahdi terus menjadi Imam, sebagai memuliakan umat Nabi Muhammad SAW.
Selepas itu barulah Nabi Isa bersama Imam Mahdi membunuh Dajjal dan memerangi pengikutnya.
JIHAD
Bilakah semua ini akan berlaku? Dalam ilmu Allah taala. Macam-macam orang buat andaian tentangnya. Ada andaian yang menyatakan berlaku pada tahun-tahun yang sudah berlalu, namun belum muncul. Imam Abdul Wahab as-Syarani, seorang ulama tasauf di dalam kitabnya al-Yawaqit wal Jawahir yang ditulis 200-300 tahun lepas menjangkakan tahun tertentu lebih kurang 100 tahun dulu berpandukan kepada mimpi. Tetapi bila tiba waktunya yang disebut, tidak juga muncul. Ada juga syeikh-syeikh arab jangkakan tahun ini 2017, tapi nak habis dah tahun ini masih belum nampak.
Semuanya dalam ilmu Allah. Tanggungjawab kita hanyalah menegakkan Islam.
Ada pula orang kita kata tak perlu berjuang lagi. Duduk dirumah duduk masjid sahaja. Tunggu Imam Mahdi muncul dulu baru kita berjihad bersama. Ini adalah pandangan yang salah. Jihad adalah wajib, sebagaimana solat, puasa, zakat dan haji. Sebagaimana kita perlu terus solat, kita juga perlu terus berjihad.
الجهاد ماض الى يوم القيامة
Jihad itu berpanjangan sehingga hari kiamat.
Tidak boleh memberikan alasan tidak mahu solat, sehinggalah ada imam yang betul-betul qari. Ini berdosa. Jangan tidak datang masjid selagi belum ada imam yang betul-betul kita puashati. Ini adalah satu perkara yang salah.
Samalah dengan orang yang tunggu Imam Mahdi dulu baru nak berjihad. Ini salah. Setiap zaman ada kewajipan sendiri. Kita zaman kita, Imam Mahdi zaman dia. Masing-masing ada kewajipan sendiri. Dimana bumi tempat kita berpijak, disitu kita tegakkan Islam.
Adapun soal kemunculan Imam Mahdi itu cerita lain. Nabi SAW berpesan, sekiranya muncul Imam al-Mahdi, maka berbaiahlah dengannya
walaupun kamu terpaksa merangkak di atas salji. Walau macam mana sekalipun kena pergi baiah juga. Akan tiba saatnya pada akhir zaman nanti.
PARANOID
Apa yang menjadi masalah hari ini, ada kalangan negara arab yang mencari Imam Mahdi. Untuk apa mereka cari? Untuk bunuh! Mereka takut Imam Mahdi akan menjatuhkan kerajaan mereka. Dicari setiap orang bernama Muhammad bin Abdullah. Akan ditangkap, ditahan dan disiasat tak pasal-pasal. Kerana takut kerajaan mereka akan jatuh. Kebimbangan ini sudah ada dalam kepala mereka.
Yahudi akan lawan, dan kita pun akan lawan. Masing-masing berdasarkan kepercayaan sendiri. Kita percaya apa yang Nabi kata. Yahudi percaya cerita-cerita dongeng mereka. Nabi Musa suruh ikut Nabi kita, tapi mereka ikut ulama-ulama mereka yang menyeleweng.
Bahkan ada satu mazhab di kalangan Yahudi bernama Naturei Karta, mereka percaya bahawa Yahudi akan dikuburkan di Palestin. Kerana itu mereka menentang penubuhan negara Israel. Mereka tahu semua itu adalah cari pasal.
Ini menandakan benarnya apa yang dibawa oleh Nabi kita. Di kalangan orang Yahudi pun percaya. Malangnya di kalangan orang kita tak tahu perkara ini. Ini disebutkan dalam kitab-kitab dan hadis-hadis yang kita baca secara mendalam.
Masjid Rusila
10 Rabiul Akhir 1439
29 Disember 2017
#Alang_Ibn_Shukrimun