Allah s.w.t. berfirman dalam surau al Maidah ayat 54,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ۚ ذَٰلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ ۚ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
"..Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya..."
1. Ayat ini merupakan asas seruan kepada tujuan dan sebab ditubuhnya Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang bermula dengan perjuangan Hizbul Muslimin kemudian kepada Parti Islam SeMalaya dan Parti Islam Se Malaysia.
2. Faktor utama penubuhan PAS adalah kerana perintah Allah s.w.t. yang menuntut sebuah kumpulan atau jamaah sebagai respon terhadap kepincangan aqidah dan pegangan ummat manusia dan mengembalikan dan menyelamatkan ummat manusia kepada ketauhidan setelah mereka berpaling daripada agama Allah.
3. PAS yang diasaskan oleh para alim ulamak bergerak dengan menepati ciri yang dilakarkan oleh ayat Al Quran dalam surah al Maidah iaitu, mengasihi Allah lebih daripada segalanya, sekaligus ingin memperolehi cintaNya, merendah diri sesama orang beriman, bertegas atas prinsip terhadap orang kafir, berjihad di jalan Allah dan tidak gentar terhadap cercaan.
4. Atas sifat ini maka PAS berlainan dengan penubuhan jamaah dan kumpulan lain di negara ini khasnya parti politik yang bercambah
yang dilihat rata-rata bermatlamatkan semata-mata samada kuasa, perjuangan suku kaum dan juga yang mendambakan kepentingan duniawi sahaja.
5. Ini adalah bertepatan dengan Perlembagaan PAS yang dasarnya Islam dan bertujuan untuk memperjuangkan dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang tertegak dalamnya nilai-nilai Islam dan hukumnya menuju keredhoan Allah s.w.t.
6. PAS melihat bahawa Aqidah ummat adalah perkara dhorury atau keutamaan untuk diselamatkan dan di atas dasar itu PAS menjadikannya sebagai agenda " premier " disamping PAS berusaha berjihad dalam lapangan politik untuk menerapkan segala ajaran Islam secara syumul.
7. Kepincangan aqidah adalah faktor utama kepada segala bentuk kepincangan yang lain. Apabila manusia sudah tersasar arah dan sesat dalam kehidupan di atas dunia, tidak lagi mengenali Allah, hilang rasa gerun dan takut kepada Allah, jahil dalam agama, tidak berperanan sebagai khalifah Allah dengan hakikat sebenar dan pelbagai lagi yang menjadi punca kepada bermacam-macam masalah seperti salahguna kuasa, rasuah, kezaliman, penindasan, pencabulan hak asasi, menurut hawa nafsu, ketinggalan dalam ilmu, jahil dalam urusan agama dan menentang hukum Allah.
Firman Allah s.w.t. dalam surah al Alaq ayat 6-7,
كَلَّا إِنَّ الْإِنْسَانَ لَيَطْغَىٰ
"..Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya).."
أَنْ رَآهُ اسْتَغْنَىٰ
"..Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya..."
8. Pertembungan PAS dengan UMNO BN selama lebih 60 tahun serta dengan parti-parti lain di negara ini bukan semata-mata disebabkan PAS menagihkan kuasa dan pemerintahan akan tetapi adalah kerana PAS berpegang dengan prinsip Aqidah Islamiyyah dan kerana seruan PAS ialah Islam dan kesyumulan ajarannya.
Lihatlah firman Allah s.w.t. dalam surah al Buruj ayat 8,
وَمَا نَقَمُوا مِنْهُمْ إِلَّا أَنْ يُؤْمِنُوا بِاللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ
"..Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!.."
9. Ini bukan bermakna PAS tidak inginkan kuasa sebagaimana yang disalahertikan oleh sebahagian pihak. Malah tidak perlu disangsikan bahawa PAS berjuang bukan kerana kuasa, Ya, kuasa itu perlu. Tetapi kuasa bagi PAS adalah alat dan bukannya matlamat. Begitulah juga politik bagi PAS bukannya matlamat tetapi ia juga adalah alat untuk PAS menyampaikan dan menegakkan mesej Islam. Ini adalah kerana matlamat perjuangan PAS adalah berjuang untuk menegakkan Islam dan menyampaikan mesej Islam. Apabila matlamat ini tercapai maka terlaksanalah impian perjuangan PAS.
10. Lihatlah contoh sejarah kemasukan Islam ke Tanah Melayu, apabila para pendakwah tiba di tanah Melayu dan mengIslamkan Raja Melayu dan rakyat jelatanya, para pendakwah tidak menagihkan kuasa raja itu. Apabila raja itu menerima Islam dan ajaran Islam serta kesyumulannya, maka raja itu yang kemudiannya diubah kepada sultan, meneruskan pemerintahannya dan legasinya diteruskan selama mana Islam itu menjadi teras pemerintahan kesultanan tersebut.
11. Inilah sikap PAS dan juga ditegaskan oleh Al Marhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dengan ungkapan satu ketika dahulu dalam ucapan al Marhum, "..jikalau UMNO terima Islam, PAS akan dibubarkan.."
Begitu juga pernyataan Presiden PAS yang diucapkan oleh beliau dalam menegaskan bahawa "..PAS bersedia untuk menasihat kerajaan dalam pentadbiran bagi menperbetulkan kepincangan kerajaan dan sekiranya Kerajaan UMNO BN enggan menerimanya maka PAS akan menumbangkan UMNO BN dalam pilihanraya.."
12. PAS senantiasa bersedia memimpin negara ini jika diberi peluang oleh rakyat dan pengundi dalam pilihanraya umum. Malah PAS mampu mengembalikan keharmonian dan kesejahteraan rakyat dan negara ini menurut acuan Islam yang digarispandukan oleh petunjuk Al Quran dan As Sunnah serta Ijtihad Ulamak.
13. Inilah keyakinan PAS dan ia datang daripada keyakinan pegangan Aqidah Islam yang menjadi teras perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Kebenaran Islam dan keyakinan terhadapnya adalah kekuatan yang ada pada PAS yang tiada pada UMNO dan sekalipun pada parti politik yang lain walaupun dipimpin oleh orang Melayu Islam.
14. Baru-baru ini dalam kenyataan Dato' Seri Najib Razak menyebut berkenaan PAS bersedia bekerjasama dengan UMNO adalah merupakan kenyataan yang tidak tepat. Akan tetapi hakikat sebenarnya PAS bersedia menggantikan UMNO untuk mengemudi negara ini dengan Islam melalui bahtera PAS selepas pilihanraya umum yang akan datang. Bahkan bahtera PAS adalah cukup besar untuk menerima kemasukan orang UMNO untuk bersama dengan PAS dalam keadaan bahtera UMNO yang sudah dipenuhi air yang menunggu bila-bila masa sahaja akan karam.
15. Ketahuilah bahawa menyelamatkan aqidah ummat adalah priority lebih daripada segalanya. PAS mengambil tanggungjawab ini adalah sebagai tugas yang diamanahkan oleh Allah azzawajalla bagi meneruskan tugas dan peranan para nabi dan rasul a.h.s.
16. Kerana PAS adalah bahtera penyelamat ummat dan diwujudkan di atas negara ini sebagai " the savior. " v Wallahua'alam
Catatan
Al Faqir ila Robbihi
Ustaz Muhammad Najhan Halim
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Selangor.
Pengarah Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat.
10 Disember 2015 / 27 Safar 1437h.
Sg Penchala, KL.
✳Layari website DUPP
http://www.pas.org.my/artikel-berita-dupp/7064-pas-bahtera-penyelamat-ummat
✳Like & share Fb DUPP
https://www.facebook.com/dewanulamakpas