Sabtu, 30 Disember 2017

Kewajipan Berjemaah

Hadis Nabi s.a.w :
“Sesiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan orang-orang islam, maka dia bukan daripada mereka. ” (Riwayat At-Tabarani)

Islam bukan sekadar dibibir tapi juga harus dengan perbuatan, islam bukan datang dan pergi sebagaimana ideologi-ideologi manusia tapi islam datang dan kekal sehingga Kiamat.

Dalam kitab “ Bustanul ‘Arifin “ karangan Imam An-Nawawi pada Hadis ke dua puluh dua, ertinya:

“ Daripada Abu Zarr dan Muaz radhiyallahu ‘anhuma, daripada asulullah s.a.w, Baginda bersabda : “Bertakwalah kamu akan Allah Ta’ala dimana sahaja kamu berada dan ikutilah kejahatan dengan kebaikkan nescaya ia menghapuskan akan dosa kejahatan itu, dan bergaullah akan manusia dengan akhlak yang baik. ” (Riwayat At-Tarmzi)( hadis ini hadis hasan)

Berakhlak baik dengan manusia itu juga merupakan dakwah yang harus dilaksanakan dalam kehidupan seorang muslim, dan bukan kah berakhlak baik juga merupakan dakwah? Lihat agama islam, islam sendiri merupakan agama dakwah.

Sabda Rasulullah s.a.w :
“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin bertanggungjawab terhadap rakyat pimpinannya” (Muttafaq’alaih)

Dakwah semestinya dilakukan secara berkumpulan, semestinya kita tidak mampu dalam melaksanakannya keseorangan. Cuba teman-teman bayangkan, ada 10 orang mat rempit dengan seorang individu dakwah, adakah individu dakwah tersebut punyai keberanian dan kekuatan? Adapun punya keberanian adakah pendakwah tersebut mampu berdakwah dengan baik? Ataupun pendakwah tersebut meninggalkan dakwah bertukar menjadi mat rempit juga?, kita kena sedar dalam dunia akhir zaman ini, iman kita tersangatlah lemah, maka kekuatan, nasihat, dorongan, panduan, perbincangan method dakwah mesti dilakukan dan bukan kah dengan semua perbuatan tersebut memerlukan individu lain untuk bersama-sama kita dalam membantu menyebarkan risalah dakwah ini? Maka inilah dikatakan wujudnya kumpulan islam atau jemaah islamiyyah, maka jelas bahawa kita sangat-sangat memerlukan kepada perbentukkan kumpulan dakwah yang dapat menggerakkan dakwah dalam segenap skop dan medium yang ada yang mungkin lebih meluas. Disini hamba tidak nyatakan Ciri-ciri Jemaah Islamiyyah kerana Ianya memerlukan ruang khusus untuk diterangkan dan dijelaskan dengan detail berkenaannya dan diharapkan teman-teman dapat mencarinya sendiri.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w :
“ Hendaklah kamu sentiasa dengan Jamaah kerana tangan Allah bersama dengan Jamaah, dan sesiapa yang menyimpang dia akan menyimpang ke dalam api neraka ” (Riwayat At-Tarmizi)

Topik perkongsian yang ingin dibuat kali ini adalah berkenaan dengan Kewajipan Berjemaah dan Tanggungjawab dalam Jemaah yang telah dikupas dengan cantik dalam kitab “‘Amal Jama’i (Pengertian dan Tuntutanya)” oleh Allahyarham Murabbi Pas Ustaz Yahya Othman.

Marilah kita bersyukur kepada Allah s.w.t diatas limpah rahmatNya kepada kita, iaitu rahmat kesedaran berjemaah dalam satu jemaah Islamiyyah. Ini adalah satu nikmat yang sangat besar yang diberikan Allah kepada kita, sesudah nikmat Al-Islam dan nikmat Al-Iman, kerana masih ada di hari ini orang-orang islam yang belum menggolongkan diri mereka dalam jemaah Islamiyyah, masih ada orang-orang islam yang tidak mengendahkan suruhan Allah supaya berjemaah sepertimana terdapat di dalam sabda-sabda Baginda berikut :

Rasulullah s.a.w bersabda :
“ Maka wajiblah ke atas kamu berjemaah kerana sesungguhnya serigala hanya memakan kambing yang jauh daripada kumpulannya ” (Hadith Riwayat Al-Nasa’i)

Sabda Rasulullah s.a.w kepada Huzaifah bin Al-Yaman r.a :
“ Kamu hendaklah bersama-sama jemaah muslimin dan imam mereka ” (Hadith riwayat Al-Syaikhan dan Abu Daud)

Rasulullah s.a.w Bersabda :
“ Tangan Tuhan (keredhaanNya) bersama-sama jemaah, barangsiapa keluar (mengasingkan diri) atau (menyimpang) daripada jemaah maka ia menyimpang ke neraka ” (Hadith riwayat At-Tarmidzi)

Rasulullah s.a.w bersabda :
“ Sesiapa yang mahu keluasan syurga, maka hendaklah berpegang kepada jemaah ”
(Hadith riwayat At-Tarmidzi)

Sambungan hadith ini:
“ Bahawasanya syaitan bersama orang berkeseorangan dan ia lebih jauh daripada orang berdua. ” (Hadith Riwayat Ahmad)

Orang islam yang menggabungkan dirinya dengan jemaah sudah selesai satu tuntutan agama yang besar, tetapi apabila seseorang itu berada dalam jemaah maka keanggotaannya itu meletakkannya kepada satu “mas’uliyyah” tanggungjawab yang tertentu pula, sebagai anggota jemaah, tugasnya tidak tamat dengan menjadi angota semata-mata, di sana ada disusuli dengan beberapa kewajipan-kewajipan yang tertentu yang mesti dikerjakan, dan ditunaikannya.

Imam Al-Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Saayyidina ‘Umar bin Al-Khattab r.a, bahawa beliau berkata :

“ Tidak ada islam melainkan dengan jemaah dan tidak sempurna jemaah tanpa pemimpin (imam), tidak ada, ertinya; kepimpinan tanpa ketaatan. ”

Didalam jemaah ada ahli biasa dan pula ahli jawatankuasa (atau ada pimpinan, yang terdiri daripada ketua, setiausaha, bendahari, dan sebagainya) yang menjalankan tugas menurut bahagian masing-masing, menyusun kerja-kerja, mengaturkan tugas, mengeluarkan arahan-arahan atau menyampaikan arahan, mengatur segala langkah yang diperlukan.

Supaya urusan orang-orang islam berjalan lancar, maka Allah s.w.t yang telah melantik manusia sebagi khalifahNya di bumi telah menggariskan panduan kerja, dengan mewajibkan kita ta’at kepadaNya dan ta’at kepada RasulNya dan ta’at kepada “Ulul-Amri” orang yang bertanggungjawab di kalangan orang-orang islam, di semua peringkat.

Allah s.w.t berfirman dalam surah An-Nisa’ :
“Wahai orang beriman! Ta’atlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada orang-orang yang bertanggungjawab daripada kalangan kamu, iaitu ketua-ketau kamu…”
(Surah An-Nisa’ : Ayat 59)

Bahawa tidak syak lagi, taat kepada amir atau imam adalah sebahagian daripada ta’at kepada Allah dan RasulNya, selain daripada ayat diatas, Rasulullah s.a.w bersabda :

“ Bahawa sesiapa ta’at kepada aku, maka ia sudah ta’at kepada Allah. Dan bahawa sesiapa yang derhaka kepada aku, maka ia derhaka kepada Allah. Dan barangsiapa ta’at kepada amir (Ketua), maka ia telah ta’at aku. Dan barangsiapa derhaka kepada ketua, maka ia derhaka kepada aku. ” (Muttafaq’alaih)

Daripada renungan kita kepada ayat-ayat Allah, sabda Rasulullah s.a.w dan perkataan ‘Umar Al-Kahttab r.a, jelas kepada kita bahawa keta’atan dan kepatuhan kepada pemimpin perlu dipertingkatkan lagi dalam jemaah kita, kadangkala keta’atan kepada kepimpinan masih kurang, kepatuhan kepada keputusan jemaah masih belum penuh, begitulah juga segala kerja menjadi lembab.