Rabu, 6 April 2011

HIMPUNAN HADIS TENTANG AKHIR ZAMAN

Allahuakhbar! Keadaan banjir di sekitar kaabah dan kawasan sekitar


Hadis-hadis akhir zaman ialah hadis-hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam yang menerangkan suasana dan keadaan umat selepas zaman baginda, khasnya kepada zaman yang menghampiri Hari Kiamat.

Hadis-hadis akhir zaman yang disampaikan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam adalah antara himpunan hadis yang paling disalah ertikan oleh umat termasuk para cendekiawannya. Difahami kononnya Rasulullah telah meramalkan suasana keadaan umat yang serba mundur dan hina ditimpa kezaliman dan fitnah. Dengan itu umat hanya perlu duduk dan menerima apa sahaja yang menimpa mereka kerana hal ini telahpun diramalkan – atau ditakdirkan – oleh Rasulullah.

Sebenarnya hadis-hadis akhir zaman ini boleh difahami dari dua sudut. Yang pertama adalah dari sudut negatif sebagaimana yang digambarkan di atas. Yang kedua adalah dari sudut positif, iaitu bahawa hadis-hadis akhir zaman tersebut sebenarnya bertujuan memperingatkan umat akan pelbagai cabaran, rintangan dan perubahan yang akan mereka hadapi selepas kewafatan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Oleh itu hendaklah mereka mempersiapkan diri mereka dengan pelbagai ilmu dan alat untuk menghadapinya.

Pemahaman yang kedua inilah yang merupakan pemahaman yang benar kerana adalah sangat tidak mungkin Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam selaku seorang Rasul pembawa Rahmat akan meramalkan sesuatu yang menjauhi sifat Rahmat tersebut. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. [al-Anbiyaa’ 21:107]

Yusuf Qardhawi menulis:

Adalah sungguh menyedihkan apabila kebanyakan hadis yang berkaitan dengan akhir zaman atau yang dinamakan sebagai hadis-hadis “fitnah” dan tanda-tanda Kiamat difahami oleh sebahagian manusia dengan pemahaman yang mengajak kepada putus asa daripada melakukan usaha pembaikan dan perubahan.

Tidak dapat digambarkan bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam akan mengajak umatnya untuk berputus asa dan kecewa, membiarkan kerosakan menguasai masyarakat, kemungkaran menjalar di tengah-tengah tulang belakang masyarakat tanpa perlu melakukan sesuatu untuk membetulkan kesilapan atau membaiki kerosakan.

Tidak masuk akal bahawa akan timbul daripada pembawa petunjuk umat ini kata-kata yang akan meruntuhkan semangat untuk membaiki dan kehendak untuk merubah keadaan yang tidak baik

HADIS 1: IMAN SEMAKIN LEMAH
Daripada Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Segeralah kamu beramal sebelum terjadi fitnah seperti menempuh malam yang gelap-gelita. Ketikaitu nanti ada orang yang beriman pada waktu pagi tetapi petangnya dia sudah kafir, petang itu dia kafir dan pagi beriman. Dia menjual agamanya dengan harta dunia.
(HR. Muslim)

HADIS Ke 2: MEMEGANG AGAMA SEPERTI MEMEGANG BARA API

Daripada Anas r.a, katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Akan sampai masanya nanti yang mana orang yang sabar berpegang teguh kepada agamanya sama seperti orang yang memegang bara api".
(HR. At-Tirmizi)

HADIS Ke 3: TIDAK PERCAYA KEPADA HADIS

Dari Miqdam bin Ma'dikarib r.a, katanya Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Hampir masanya akan terjadi yang mana seorang lelaki sedang duduk di atas kursinya dan diceritakan kepadanya Hadis daripadaku kemudian dia berkata: "Diantara kami dan kamu ada kitab Allah, apa yang kita jumpai didalamnya perkara yg halal kita halalkan dan perkara yg haram kita haramkan". Kata Rasulullah: "Ingatlah bahawa apa yg diharamkan Rasul Allah itu sama dengan apa yg diharamkan Allah".
(HR. Ahmad, Hakim dan Ibnu Majah)
HADIS Ke 4: IMAN HANYA DI MULUT

Rasulullah s.a.w bersabda:

"Di akhir zaman nanti akan muncul suatu kaum (kumpulan) orang-orang yang masih muda dan bodoh cara pemikirannya (cetek ilmu agamanya), mereka bercakap seperti gaya sebaik-baik manusia tetapi iman mereka sangat lemah. Mereka sebenarnya keluar dari agama seperti keluarnya anak panah dari busurnya. Dimana sahaja kamu menjumpai mereka, maka sesungguhnya membunuh mereka mendapat ganjaran di hari kiamat nanti".
(HR. Bukhari dan Muslim)

HADIS Ke 5: HILANGNYA SIFAT AMANAH

Daripada Huzaifah bin Al-Yaman r.a, beliau berkata: Rasulullah s.a.w menceritakan dua buah hadis kpd kami, yg satu sudah saya lihat sedangkan yg satu lagi sedang saya nanti-nantikan. Baginda menceritakan bahawa amanah turun kedalam hati orang-orang tertentu....(hadis ini sangat panjang)
Ketika Rasulullah menceritakan hadis ini, Baginda mengambil sebuah batu kerikil lalu menggolekkannya dengan kakinya...orang ramai berjual beli tetapi hampir semuanya tidak mahu menunaikan amanah...sampai dikatakan ada seseorang yg memegang amanah bekerja dg baik: Ramai orang memujinya padahal didalam hatinya sudah tidak ada lagi ke-Imanan walaupun sebesar biji sawi...
(HR. Bukhary dan Muslim)