Terang Rembulan (73)
Harta, kuasa dan ilmu, ketiga-tiganya adalah alat. Daripada alat, ketiga-tiganya bertukar menjadi senjata. Justeru ketiga-ketiganya amat penting untuk manusia. Ia adalah perihal kekuatan.
Harta adalah untuk memiliki. Kuasa pula untuk mengarahkan. Adapun ilmu, ia pastinya untuk memahami. Itu peranan utama masing-masing. Justeru untuk memiliki, mengarahkan dan memahami, ketiga-tiganya diperlukan serentak. Jika tidak, seseorang tetap kekurangan sesuatu di sebalik kelebihan yang dimilikinya.
Para nabi alaihimussalam ada yang diberikan ilmu tanpa harta dan kuasa. Ada pula yang diberikan ilmu dan kuasa. Ada juga yang diberikan ketiga-tiganya serentak. Maka peranan dan kekuatan mereka adalah berbeza-beza. Nabi Sulaiman alaihissalam adalah contoh agung bagaimana Allah mengurniakan baginda kemuncak ilmu, harta dan kuasa. Baginda lalu melaksana tugas dengan sempurna dan adil sekali di zamannya.
Para nabi yang hanya diberi ilmu sahaja, maka tugas mereka hanyalah menyampaikan dakwah dan mengajarkan ilmu kepada umatnya selepas memahaminya. Mereka tidak mampu memberi dan memiliki harta selain sedikit sahaja, apatah lagi untuk mengarahkan dan menguasai umat mereka.
Baginda Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam diberi pilihan oleh Allah untuk memiliki ketiga-tiganya. Tetapi baginda memilih ilmu dan kuasa. Jika harta yang banyak diperolehinya, baginda cepat-cepat mensedekahkannya. Tidak pernah sampai bertimbun-timbun harta disimpan oleh baginda.
Malah baginda al Rasul menolak untuk menguasai makhluk jin. Biarlah ia kekal menjadi milik istimewa nabi Sulaiman, tegas baginda tanda menghormati doa nabi Sulaiman kepada Allah agar dikurniakannya sebuah kerajaan teragung yang tidak lagi dimiliki oleh sesiapa pun selepasnya.
Begitulah para sahabat baginda. Abu Bakar radhiaLlahu anhu dikurniakan harta, kuasa dan ilmu pada puncaknya. Para sahabat yang lain pula mendapat bahagian masing-masing dengan kehendak Allah yang maha mengetahui.
Ilmu adalah paling mudah untuk diperolehi. Ia hanya perlukan akal yang sihat dan kerajinan. Harta pula bukanlah mudah diperolehi. Ia perlukan akal, kerajinan dan keringat. Manakala kuasa adalah paling payah untuk diperolehi. Ia perlukan banyak perkara.
Tetapi walaupun mudah, ilmulah yang paling malas dikejar manusia. Ia akhirnya menjadi milik orang yang terpilih sahaja. Harta pula walaupun sukar, pemburunya ramai walaupun terpaksa berkeringat. Ini kerana harta boleh menyempurnakan kehendak nafsu diri dengan segera. Adapun ilmu ia berperanan mengawal nafsu. Tidak ramai yang suka nafsu dikawal. Justeru kuranglah pemburu ilmu kecuali ilmu-ilmu yang tidak menghalang gelora hawa nafsu.
Kuasa adalah paling sukar. Ini kerana ia cukup terhad sedangkan pemburunya ramai, malah daripada kalangan yang memiliki kekuatan tambahan pula. Dalam sebuah negara, ada ribuan orang kaya dan ribuan orang berilmu, tetapi berapa kerat sahaja orang yang berkuasa. Kuasa terhad. Maka amat sengit sekali untuk memperolehinya.
Di medan perebutan kuasa, orang yang miskin akan terpelanting. Orang yang berilmu pun sukar memperolehinya. Orang yang paling berjaya ialah orang yang otak makarnya ligat, apatah bersenjata harta pula.
Begitulah perihal harta, kuasa dan ilmu. Ia milik Allah yang direnjiskan sedikit kepada manusia agar manusia layak bergelar khalifah yang menguruskan bumi ini dengan baik. Dialah Allah yang maha kaya, maha berkuasa dan maha mengetahui. Bayangkan, jika manusia memiliki ketiga-tiganya serentak, sudah pasti mereka mampu melakukan yang terbaik untuk dunia ini jika mereka berlaku adil dan amanah.
Islam adalah ugama ilmu. Tanpa ilmu, Islam hampir tak terjelma dalam diri manusia. Kejahilan tidak membina manusia, sedangkan Islam sifatnya adalah membina manusia. Justeru Islam dan ilmu adalah satu.
Dengan harta, Islam menyempurnakan peranannya dengan lebih lancar. Ini kerana Islam berperanan menyebarkan kebaikan sesama manusia. Sudah pasti dengan harta, ia akan melancarkan dan merancakkan lagi peranan Islam di kalangan manusia.
Kemudian dengan kuasa pula, Islam mampu melangsungkan peranannya membina sistem kehidupan berdasarkan konsep amar makruf dan nahi mungkar. Dengan kuasalah Islam sampai ke puncak matlamatnya di dunia.
Oleh kerana awal Islam adalah ilmu, ia hakikatnya paling mudah untuk diperolehi. Tiada siapa mampu menyekat manusia daripada memperolehi ilmu. Ia masuk mudah melalui telinga. Hari ini, siapakah yang mampu menyekat telinga daripada mendengar?
Oleh kerana Islam adalah untuk kesejahteraan hidup, ia perlukan kekayaan untuk diagihkan bagi mencapai maksud keadilan sesama manusia. Justeru ia menggalakkan umatnya mencari kekayaan dan membelanjakannya di jalan Allah.
Oleh kerana Islam adalah sistem hidup, ia perlukan kuasa untuk mendaulatkannya. Justeru selain ilmu wahyu yang agung, umat Islam mestilah juga memegang kuasa. Jika tidak, sistem Islam akan hanya terhidang dalam dunia ilmiah atau tersimpan di atas helaian-helaian tinta sahaja.
Jika begini keadaannya, anda boleh melihat bagaimana ketiga-tiga medan harta, kuasa dan ilmu adalah tidak sama.
Ia berbeza pada ramai dan juga sengitnya persaingan.
Medan ilmu adalah paling ramai. Umat Islam seluruhnya diwajibkan sedari awal untuk mencari ilmu, terutama ilmu yang boleh mendekatkan diri kepada Allah. Maka medan ini ramai orangnya dan bergerak dengan persaingan yang sihat. Hanya yang mengurangkan jumlahnya adalah penyakit malas yang melanda sebahagian daripada umat Islam.
Medan mencari harta juga ramai. Tetapi persaingannya tidak sihat. Justeru anda boleh melihat kekayaan daripada sumber yang salah. Ia merosakkan umat Islam.
Kekalutan sebenar adalah di medan kuasa. Ia adalah perebutan, permusuhan bahkan pertempuran. Islam agak sukar di sini. Para penyangak dunia turut berlegar di serambi kuasa yang terhad. Kuasa adalah kunci syurga dunia bagi penganut duniawi. Tetapi kewajiban adalah kewajiban. Allah mensyariatkan jihad fi sabillah demi merebut kekuasaan dan demi tercapainya maksud perutusan al Quran dan para rasul.
Tetapi walau apa pun berlaku, Islam tidak akan berkubur. Tanpa harta dan kuasa, umat Islam tetap kaya ilmu. Ilmu adalah kekuatan asas, manakala harta dan kuasa adalah pelengkap untuk kesejahteraan bersama dan kedaulatan ugama.
Jika musuh di serambi kuasa mahu menghancurkan Islam, ia bukan hanya dengan menggempur Islam di serambi kuasa itu. Itu hanyalah mampu merencatkan sementara perjalanan jauh umat menuju puncak. Jika tampuk kekuasaan dan bank harta umat Islam dihapuskan, mereka akan bergerak ke kubu ilmu yang begitu kebal.
Justeru musuh harus menyerang Islam di medan ilmu itu. Soalnya, mampukah mereka? Jawabannya tidak mungkin sama sekali. Ilmu Islam yang hakiki tidak akan sama sekali mampu dikalahkan oleh kepalsuan dan keraguan yang dianuti musuh ugama. Ilmu wahyu tiada bandingannya di hadapan ilmu duniawi atau akliah yang bersifat sangkaan dan sentiasa ditemani keraguan.
Justeru Islam pasti kembali. Jihad ilmu mesti diteruskan. Ilmu Islam mestilah dikembangkan dan dirayakan oleh umat Islam. Nescaya dengannya, musuh pasti tumpas di medan perebutan kuasa nanti. Allahu akbar wa liLlahil hamd..
Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
Pengerusi Lujnah Dakwah PAS Pusat