PAUTAN TAMBAHAN

Ahad, 24 September 2017

PAS SEDIA PIKUL TANGGUNGJAWAB


Seruan Sejahtera Siri 1

Kelibat PAS di negeri jolokan 'Jelapang Padi' mencecah usia 65 tahun. Cawangan pertamanya adalah Bukit Besar yang dikemudi oleh Tuan Guru Haji Othman bin Haji Yunus pada tahun 1952. Kemudian, susul pula penubuhan Cawangan Bukit Aping tahun 1953. Pertambahan cawangan-cawangan PAS berterusan sehinggalah tertubuh Badan Perhubungan PAS Kedah pada April 1976.

PAS tidak jemu berhadapan UMNO dalam setiap kali pilihanraya kecuali tahun 1978 kerana berada dalam sarung cop Barisan Nasional. Sebelum itu, UMNO bersama parti2 lain membentuk Perikatan berlambangkan Kapal Layar, dan sekarang Barisan Nasional berlogokan Dacing, PAS tetap bersemuka dengan mereka ketika merebut kerusi dalam pilihanraya. Kelainan prinsip perjuangan antara PAS dan UMNO menjadikan kedua-dua parti melayu ini bersaing di pentas politik tanahair apabila PAS meletakkan dasar Islam sebagai cita-cita yang perlu dicapai.

Kekuatan PAS sehingga kini dipayungi komitmen ahli yang sentiasa memperbanyakkan cawangan dan keahlian, disamping memperteguhkan kefahaman menerusi program tarbiyyah yang berjalan. Gabungan sosok muda dan tenaga lama luas pandangan membuatkan PAS kental mengharungi gelombang politik negara.

Sejarah demokrasi Kedah menukilkan bagaimana PAS tidak pernah kehilangan kerusi di DUN Kedah sejak tahun 1969. Cuma yang membezakan antara penggal ke penggal lain ialah jumlah kerusi yang dimenangi.

Berada di saf Pembangkang dalam DUN menjadi kebiasaan. Pas pernah dimandatkan rakyat mengetuai kerajaan Negeri Kedah bersama Pakatan Rakyat, namun ditakdirkan kalah dalam PRU13. Kali ini, PAS bertekad untuk meyakinkan rakyat bahawa PAS Kedah sedia memikul tanggungjawab sebagai 'kerajaan menunggu' dan melaksanakan amanah rakyat seperti mana pengalaman ketika al-marhum Tan Sri Ustaz Azizan bin Abdul Razak memimpin Kedah dalam tempoh penggal lalu.

Marilah bersama PAS memperteguhkan Gagasan Sejahtera dalam mensejahterakan rakyat dan negeri Kedah Darulaman.

*Dr.Ahmad Fakhruddin bin Sheikh Fakhrurazi*

Pesuruhjaya PAS Kedah
2 Muharram 1439 H
23 September 2017