PAUTAN TAMBAHAN

Jumaat, 28 April 2017

Yang kalah jangan buat perangai!

*Yang kalah jangan buat perangai!*
_Oleh Hj. Subky Latif_

TAHNIAH buat TG Presiden Haji Abdul Hadi Awang dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kerana menang tanpa bertanding untuk terus memimpin PAS sekali lagi. Khusus buat Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim. Kemenangan tanpa bertandingnya untuk jawatan itu adalah kali pertama sejak TG Haji Hadi menjadi Presiden lebih 10 tahun lalu.
Sejak PAS di bawah konsep kepimpinan ulama awal tahun 80-an dulu, jawatan Presiden tidak dicabar hinggalah sekali tahun 2015 dulu TG Haji Hadi dicabar Ustaz Ahmad Awang. Entah apa kena padanya!

Timbalan Presiden, sejak ketiadaan Ustaz Fadzil Noor lebih sepuluh tahun lalu, entah apa kenanya bertanding, hinggalah giliran Tuan Ibrahim, tiada dicabar bagi mempertahankn jawatannya.

Tahniah buatnya dan ia petanda baik bagi masa depan pimpinan parti Islam itu. Dan dipercayai pemilihan baru kali ini dengan mereka yang terpilih nanti, adalah permulaan bagi memperkasa kepimpinan ulama yang tercabar beberapa tahun kebelakangan ini dan ia juga wajar mengorak langkah memperkasa rukun jemaah parti itu.

Adapun tiga Naib Presiden yang terpaksa bertanding kerana seorang pendatang baru bersetuju bertanding bagi tiga jawatan saja yang ada. Pencabar itu pula bukan orang luar pimpinan tetapi Ketua Penerangan, Ustaz Nasruddin Tantawi. Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan pula mengundur diri. Dan sekitar 40 orang lagi merebut 18 kerusi yang diperuntukkan bagi Ahli Jawatan Kuasa Kerja PAS Pusat.

Sekadar ingatan kepada mereka yang bertanding. Jika tidak terpilih nanti terimalah ketentuan Allah itu dan kebijaksanaan perwakilan yang membuat keputusan. Semua setuju bahawa Muktamar adalah badan pembuat dasar terpenting parti dan semuanya menerima ia adalah syura yang bijaksana.

Maka ingatan kepada yang kalah jangan buat perangai lagi, merajuk daripada parti, minta cuti panjang yang tidak bertempoh, suatu yang tidak pernah dibuat oleh ahli jemaah dan orang politik sejak zaman berzaman.

Atau buat perangai menubuhkan parti baru.

Jangan merajuk. Ia bukan pembawa orang laki-laki. Lainlah yang merajuk itu orang perempuan. Kalau perempuan itu Muslimat, ia bukan yang wajar bagi jemaah Islam. Dan kalau yan merajuk itu orang tua lagilah huduh rupanya.

Menang adalah amanah. Kalah adalah satu kesempatan yang baik terlepas daripada tanggungjawab yang berat. Yang menang bukanlah bererti yang terbaik daripada semua. Mereka dipilih bagi memikul amanah besar, yang jika boleh Saidina Abu Bakar Sidiq dan Saidina Umar al-Khatab suka jika amanah itu diberi kepada orang lain. Yang tidak menang, ada amanah lain untuknya.
Yang merajuk dan lari adalah kurang sabar dan lari daripada amanah. Amanah ada di dalam, bukan di luar.

Yang menyebab jemaah bercempera sedikit hari lalu, mungkin rukun jemaah itu terlepas pandang dan tidak diperkasa. Cara mana rukun jemaah itu hendak diperkasakan. Ia boleh dijawab jika kepimpinan ulama dapat diperkasakan.

Mungkin mahu membuat contoh yang tidak popular. Syiah demi Syiahnya dapat memperkasa rukun jemaahnya. Pengikutnya tinggi bai’ah dan walaknya kepada pemimpin. Mungkin ia boleh dipelajari.
Mempelajari rukun tidak mengapa. Jika kita boleh mempelajari demokrasi daripada Greek dan Rom purba serta Eropah yang berkembang bersama Kristian bagi mencari dasar demokrasi terbaik dan terkini, mengambil rukun jemaah Syiah tidaklah merugikan asal tidak mengambil fiqahnya.

Pemilihan baru ini ibarat robohnya Kota Melaka, bersatulah umat seluruh belaka, membangun PAS yang perkasa.