PAUTAN TAMBAHAN

Jumaat, 28 April 2017

Islamkan Politik, Jangan Politikkan Islam.

Mengislamkan politik bererti menjadikan Islam sebagai panduan dan pegangan. Walaupun setiap pihak berhak dengan pendapat masing-masing, Islam memerintahkan agar setiap muslim bertindak dengan bijak berlandaskan agama.  Dengan mengislamkan politik, kita akan memastikan gerak kerja politik itu tidak bercanggah dengan Islam. Sekiranya ada pengamalan politik yang belum Islamik, kita akan berusaha untuk mengislamisasikannya. Islam adalah panduan sebelum tindakan.

Orang yang menjadikan Islam sebagai panduan sentiasa bersedia menarik balik sesuatu pandangan atau tindakan sekiranya ia didapati bercanggah dengan ajaran Islam. Dia sentiasa menegakkan keadilan, menjadi  saksi yang menerangkan kebenaran kerana Allah, walaupun keputusan itu tidak memihak kepada diri sendiri, ataupun kaum kerabat.

Pertentangan pendapat dengan seseorang atau sesuatu golongan tidak mendorongnya untuk tidak berlaku adil kepada individu atau golongan tersebut. Baginya sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa.

Berpolitik berdasarkan Islam akan membebaskan seseorang daripada ketaksuban, hukuman membabi-buta, kepuakan, permusuhan melampaui batas dan segala akhlak yang jelek. Terasnya adalah prinsip Islam. Rela membelakang parti atau puak, asalkan prinsip terbela.

Mempolitikkan Islam pula adalah menggunakan Islam sebagai modal politik untuk kepentingan kuasa. Segala yang dibuat adalah mengikut gerak kerja politik dan bukan berpandu kepada prinsip Islam. Dia tidak bersedia mengakui kesilapan tindakan diri atau partinya. Berbagai alasan akan dicari demi membela diri atau puaknya. Ada yang sanggup tergadai prinsip daripada tergadai kerusi atau jawatannya. Maka lahirlah suasana maki hamun, cerca mencerca dan berbagai tindakan yang kadangkala di luar dari batas kewarasan dan perbincangan yang matang.

Sejak dahulu lagi sentiasa ada individu dan golongan yang memperalatkan Islam sebagai bahan untuk sesuatu tujuan yang bersifat puak atau peribadi, bukan bagi kepentingan Islam hakiki. Nas-nas agama disalahguna bagi menjustifikasi tindakan sendiri. Agama digunakan agar orang ramai tertarik dan percaya kepada mereka sedangkan hakikat agama bukan seperti itu.

Menjadikan agama sebagai modal politik atau apa sahaja, boleh berlarutan di kalangan mereka yang jahil sehingga tidak dapat membezakan antara isu politik dan isu agama yang sebenar. Jika ia isu politik semata-mata, Islam menyerahkan kepada kebijaksanaan manusia membuat jalan penyelesaiannya. Namun, jika ia benar-benar isu akidah dan hukum, penentu benar atau salahnya adalah al-Quran dan Sunnah, bukan pandangan politik kepuakan. Sebab itu kita mesti tahu membezakan antara berpolitik berdasarkan prinsip Islam, dengan mempolitikkan Islam.

Dalam sejarah, menjadikan agama sebagai modal politik telah dilakukan oleh pihak pemerintah dan pihak yang menentang pemerintah. Dalil-dalil agama yang bukan pada tempatnya digunakan oleh kedua belah pihak bagi mengekalkan pengikut yang mempunyai sentimen agama.

Bahkan dalam sejarah, antara sebab kemunculan hadis-hadis palsu ialah politik. Golongan yang lahapkan habuan dan pangkat ada di mana-mana. Mereka sanggup menggunakan dalil bagi menyokong slogan atau tindakan pemerintah.

Sebagai tindak balas, golongan agama yang menentang pemerintah juga akan memainkan nas-nas agama bagi menghalalkan tindakan mereka menentang sesuatu pemerintahan.

Fungsi agama yang sepatutnya menjadi hidayah pembimbing manusia bertukar menjadi alat yang membolehkan manusia memijak di atasnya untuk sampai ke matlamat mereka.

Berpolitik berdasarkan agama memang tanggungjawab kita. Namun kita wajar berhati-hati. Jika terleka kita akan tergelincir dan mempolitikkan agama. Sebagai contoh berniaga berdasarkan prinsip Islam memang diperintahkan. Namun berhati-hati, jangan sampai memperniagakan Islam. Justeru itu, bezakanlah antara menjadikan Islam sebagai prinsip, dengan menjadikan Islam sebagai alat. Bezakanlah antara berpolitik berdasarkan Islam dengan mempolitikkan Islam.

Dalam masyarakat kita, agama memang menjadi faktor penarik bagi banyak pihak. Justeru, setiap orang yang berjuang kerana agama atau memperkatakan agama sebagai bahan ucapan dan tindakan, sepatutnya bertanya pada diri sendiri, betulkah dia memang inginkan agama, atau inginkan kuasa atas nama agama? Jika dia telah membetulkan niatnya, dia hendaklah memastikan semua tindakannya selaras dengan kehendak Islam, bukan menafsirkan Islam agar kelihatan selaras dengan tindakannya. Maka Islamkan politik kita, jangan politikkan Islam kita!

(Diadaptasi dari tulisan Dr. Muhammad Asri Zainul Abidin)