Khamis, 10 Mac 2016

PARLIMEN BERTUKAR JADI MAJLIS DIALOG ANTARA AGAMA



Kenyang sekenyangnya! Begitu padat perbahasan titah ucapan YDP Agong yang disampaikan oleh Presiden PAS. Penuh ilmiah dan menarik minat ahli-ahli parlimen yang lain. Bertalu-talu soalan diajukan baik daripada kerajaan mahupun pembangkang sendiri.

Rasanya enam atau tujuh kali ucapan Ayah Chik dicelah. Semuanya persoalan berkait dengan Islam. Apa yang mengujakan, ramai ahli parlimen bukan Islam juga mengambil peluang meminta penjelasan tentang kekeliruan mereka terhadap Islam.

Rasanya kalau Ayah Chik diberi masa seluas-luasnya, pasti banyak hujah-hujah antara agama yang dikemukakan. Apapun syabas kepada beliau. Parlimen Malaysia hari ini telah menyaksikan agama telah menjadi isu utama dan penting dibahaskan oleh pucuk pimpinan negara.

Hari ini terbukti Islam berjaya mendapat tempat yang begitu tinggi di Malaysia. Memang selayaknya ia dibahaskan di Parlimen, bukan hanya dicorong-corong masjid dan surau sahaja. Nyata risalah Islam tidak mampu disekat oleh sesiapa. Semoga Islam terus mekar di tanah air tercinta ini.

Saya nukilkan satu petikan dialog antara Ayah Chik dengan MP Bukit Mertajam, Sim Chee Keong yang beragama Kristian.

-Marang:
Umat Islam jangan terpengaruh dengan taarif agama melalui bahasa penjajah. Antaranya melalui apa yang disebut di dalam Bible. Saya petik kata-kata daripada Bible:

"Render unto Caesar the things that are Caesar's, and unto God the things that are God's" (Berikan kepada Caesar (pemerintah) apa kepunyaan Caesar dan berikan kepada tuhan apa kepunyaan tuhan.)

Ini adalah bentuk pemisahan antara pemerintahan dan tuhan, pemisahan antara agama. Ini disebut dalam Injil Luth. Dalam naskhah yang lain disebut dalam Injil Matthew. Terpulang kepada kepercayaan orang Kristianlah. Mereka banyak sangat Bible.

Umat Islam ramai terpengaruh dengan fahaman ini. Sedangkan Islam sebenar adalah agama yang berdaulat dalam konsep politik. Islam menentang diktatorship dan teokrasi. Contoh penentangan terhadap Firaun, raja diktator yang mengaku sebagai tuhan. Al-Quran juga mendedahkan teokrasi, paderi-paderi dan sami-sami agama mengaku sebagai tuhan. Ini ditentang oleh Islam.

-Bukit Mertajam:
Saya rasa tafsiran Tuan Guru terhadap kandungan Bible yang bermaksud pemisahan antara agama dan pemerintah itu tidak begitu tepat, tetapi saya setuju ia memang ada dalam Bible.

Sebenarnya ia mengesahkan apa yang Tuan Guru kata bahawa bible mengajak manusia lebih takut kepada tuhan dari takut kepada pemerintah. Sebabnya, dalam cerita tersebut konteksnya adalah apabila seseorang telah bertemu Jesus (Nabi Isa) dan mengadu mereka terpaksa membayar cukai kepada Caesar. Apa perlu mereka lakukan.

Maka Jesus menjawab "berikan kepada Caesar apa kepunyaan Caesar," iaitu wang kerana pada yang itu ada gambar kepada Caesar. "Tetapi beri kepada tuhan apa milik tuhan" iaitu diri manusia.

Maka sekiranya mereka perlu memilih antara tunduk kepada Caesar atau pemerintah yang zalim atau kepada tuhan, saya rasa konteks dalam Bible itu menyatakan perlu taat kepada tuhan dari taat kepada pemerintah, Tuan Guru.

-Marang:
Kami orang Islam wajib beriman bahawa Isa adalah utusan Allah. Namun selepas ketiadaan Isa, kita didedahkan banyak berlaku perubahan dalam agama Kristian. Ada agamawan yang diburu pemerintah, dibunuh dan sebagainya menyebabkan mereka terpaksa mengasingkan diri, bertapa jauh dari masyarakat, di gua, pulau dan sebagainya. Ada juga agamawan yang bersekongkol dengan pemerintah. Malah ada berlaku perebutan kuasa, antara paderi yang mengambil cukai untuk mengampunkan dosa dan kerajaan juga mengambil cukai.

Begitu juga berlaku pertembungan antara Kristian dan Sains teknologi, apabila pengaruh tamadun Islam masuk ke Barat. Ini menyebabkan munculnya teori sekularisme di Barat. Bab ini panjang ceritanya.

Kita sedar bahawa apa yang dibawa oleh British ke negara ini bukan ajaran Kristian yang sebenar (merujuk kepada kandungan Bible yang dibahaskan) tetapi ajaran Kristian yang sudah dipinda. Tujuannya adalah untuk mengekang kuasa pemerintahan negeri ini dengan merampas kuasa raja-raja, kemudian diberikan kuasa yang terhad sahaja dinamakan sebagai kuasa agama. Kuasa agama ini hanya sekadar nikah cerai, bahagi harta pusaka dan harta wakaf sahaja. Kuasa tanah, pentadbiran dan kerakyatan diambil oleh British.

Selepas kita mencapai kemerdekaan, sepatutnya pemikiran British ini dibuang. Kerana itu saya sangat tertarik dengan titah Tuanku (Agong) supaya dipertingkatkan taraf mahkamah Syariah.

Kalau berkesempatan, insyaAllah saya akan nukilkan semua dialog antara Presiden PAS dan MP-MP yang mencelah di Parlimen tadi. Ia seolah-olah sebuah majlis dialog Interfaith, dengan adab yang baik dan jauh dari provokasi. Parlimen jadi medan dakwah. Satu sejarah besar untuk negara.

Parlimen Malaysia
9 Mac 2016
29 Jumadal Ula 1437
(Alang Ibn Shukrimun)