PAUTAN TAMBAHAN

Ahad, 13 Mac 2016

KERANA DAP MINTA PAS BUANG ISLAM




KUANTAN: PAS tidak bersama DAP kerana parti itu meminta supaya dibuang Islam dari perjuangan PAS, sedangkan PAS tidak pernah mengkritik dasar, konsep dan prinsip DAP sama ada berkait pegangan sosialis atau agamanya.

Apatah lagi apabila DAP menentang PAS untuk melaksanakan Undang-undang Islam di Kelantan, ianya adalah sikap yang tidak betul dan salah kerana pelaksanaannya langsung tidak melibatkan orang bukan Islam.

Perkara itu ditegaskan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semasa pada Dialog Rakyat: Jaminan Sosial Islam Untuk Masyarakat Bukan Islam di Hotel Seri Malaysia, di sini baru-baru ini.

“Contohnya mengenai arak dan judi di Terengganu masa saya jadi Menteri Besar, sama dengan Tok Guru Nik Aziz juga di Kelantan. Bila kita menang, kita panggil tuan-tuan punya kedai arak dan kedai judi. Kita tanya mereka, apa pandangan agama kamu berkenaan dengan arak?

“Mereka kata arak, agama mereka kata boleh. Kalau boleh ok, untuk kamu sahaja, untuk kamu sahaja, kamu tak boleh jual kepada orang Islam, orang Islam haram. Kamu boleh jual sama-sama kamu, itu tak jadi salah, tak boleh halang.

“Judi bagaimana? Judi kata mereka, agama mereka larang judi. Maka kita tutup kedai judi. Tetapi kalau ada budaya kaum yang suka berjudi, dia nak berjudi sama-sama dia, hari raya dia sebagai contoh umpamanya, nak berjudi di rumah dia, kita tak boleh larang. Kerana itu sudah jadi budaya dia, terpulang kepada diri dia sendiri,” terang Tuan Guru.

Menjawab pertanyaan PAS berbaik dengan Umno, beliau jelaskan, hal itu hanya melibatkan perkara kebaikan seperti menentang kezaliman, dadah dan jenayah, membela orang miskin dan sebagainya.

Jelasnya, PAS pernah menyertai kerajaan dalam Majlis Perundingan Ekonomi Negara kerana ianya bermanfaat untuk rakyat, tetapi bangun membantah kerajaan terhadap pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kerana ia membebankan rakyat.

Begitu juga katanya berkenaan masalah Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA), PAS membangkang kerana ia hanyalah semata-mata agenda Amerika untuk melawan China.

“Maka Malaysia, negara Asian diheret, bukan sahaja untuk lawan ekonomi, untuk lawan perang dengan China. Amerika jadikan negeri kita pengkalan untuk berperang dengan China. Dia suruh kita berperang, Amerika bagi senjata, Amerika bagi upah, kita beri senjata kat dia. Dia dapat duit, kita yang mati. Ini dia.

“Jadi TPPA ini agenda politik dan ekonomi. PAS menentang agenda ini walaupun kita boleh berbaik dengan Umno dalam perkara yang baik. Perkara tak baik, kita lawan. Itu dia,” jelasnya.

Malah menurut Tuan Guru, PAS bukan sahaja pernah bekerjasama dengan Umno dan DAP tetapi juga Parti Komunis semasa sama-sama menentang penjajah dahulu.

Tapi katanya, apabila Komunis pergi kepada revolusi bersenjata, PAS tidak lagi bersama dan menyokong Komunis kerana revolusi bersenjata tidak sesuai dengan negara ini.

Tambahnya lagi, PAS bersama Umno dahulu untuk memperjuangkan kemerdekaan, tetapi apabila Umno bersifat sekular dan meletakkan asas kemerdekaan berdasarkan acuan British, maka PAS menolak kerjasama.

Beliau turut mengungkap sejarah dan sebab PAS bersama Umno dalam Kerajaan Campuran dan Parti Perikatan sebelum keluar dari BN.

“Dalam senario politik, perkara lama biasa tak berulang. Maka kita ubah kepada pendekatan politik yang baru, kerjasama tanpa kita masuk kerajaan. Perkara yang baik kita kerjasama, perkara yang tak baik kita lawan. Itu sikap yang tegas terhadap PAS. Dan kita tidak mahu menyusahkan rakyat. Kita lawan dengan tidak menyusahkan rakyat.

“Dengan sebab itu kita tidak ikut Arab Spring, demonstrasi sampai habis sehingga berlaku huru-hara menyebabkan asing boleh campur tangan. Kita tidak ada Malaysia Spring tidak kita ada ‘brake’, bila kita ada ‘brake’, kita ‘brake’ terus,” tegasnya.

Begitu juga katanya, apabila PAS membantah DAP untuk melaksanakan Pilihan Raya Majlis Perbandaran yang lebih menjurus penguasaan satu kaum di mana ianya bertentangan dengan realiti kemasyarakatan dan sosiologi negara ini.

Ujarnya, sejarah 13 Mei 1969 telah memberi pengajaran berkaitan kesan diskriminasi dan ketidakpuasan hati antara kaum hingga berlaku ketegangan yang mesti dipastikan ianya tidak berulang.

Seru beliau, perpaduan mesti diwujudkan dan semua pihak perlu sedar bahawa DAP tidak boleh memerintah bersama kaum Cina sahaja, begitu juga PAS tidak boleh dengan orang Melayu sahaja, mestilah melibatkan kaum lain bersama.

“Ini kita kena sedar hakikat masyarakat majmuk yang ada dalam negara ini, kita tak boleh degil dalam masalah ini, kena melibatkan semua kaum. Itu kita kena sedar. (Begitu juga) hubungan PAS dengan PKR ini bergantung kepada sejauh mana dia menghormati dasar dan konsep yang ada pada PAS.

“Macam DAP juga, kalau masih menghormati, kita terima. Dengan sebab itu, kita menerima kerjasama kita di Selangor. Kerjasama dengan PKR yang mengatakan tidak ada masalah dengan PAS.

“Adapun PKR yang mengadakan kerjasama dengan PAN, menubuhkan Pakatan Harapan, yang menimbulkan pertembungan dengan PAS, ini satu pendekatan yang salah yang perlu kita nilai dan ukur dari semasa ke semasa,” jelasnya.