PAUTAN TAMBAHAN

Isnin, 15 Februari 2016

Qubbatul Sakhrah (kubah yang di bawahnya ada batu) di belakang daripada Masjid al Aqsa.



Ramai yang bertanya semalam tentang perihal As Sakhrah iaitu berkenaan batu yang ingin mengikut Sayyiduna RasulILLAHi SallALLAHu Alaihi Wasallam Mikraj ke langit. Berikut sang faqir kongsikan akan cerita dan perihalnya beserta gambar sebenar As Sakhrah.

Apa itu As Sakhrah?

Ianya adalah Tempat Sayyiduna RasulILLAHi SallALLAHu Alaihi Wasallam Dimikrajkan

Ulama umumnya berpendapat Sayyiduna RasulILLAHi SallALLAHu Alaihi Wasallam bermikraj dari satu tempat di Baitulmaqdis yang disebut sebagai Qubbatul Mikraj (kubah tempat dimikrajkan). Tempat itu juga dikenali sebagai Sakhrah Baitulmaqdis juga dikenali sebagai Kubah Emas.

Pengalaman Al-Imam Abu Bakar Ibnul ‘Arabi

Dalam kitab Al-Israk wal-Mikraj oleh Khalid Saiyyid Ali di halaman 82, atas tajuk yang bermaksud ‘Tempat Nabi bermikraj’, disebut di bawahnya suatu penulisan (yang bermaksud):

“Berkatalah al-Imam Abu Bakar Ibnul ‘Arabi, ketika membuat penjelasan (syarah) Kitab al-Muwatta' oleh Imam Malik disebutkan, batu besar di Baitulmaqdis adalah suatu keajaiban ALLAH SubhanaHU Wa Taala.

“Batu itu berdiri sendiri di tengah-tengah Masjidil Aqsa, tergantung-gantung dan terpisah daripada semua bahagiannya dengan bumi. Tidak ada yang memegangnya, melainkan Yang Memegang langit, daripada jatuh menimpa bumi.”

“Di puncaknya dari arah selatan, itulah tempat kaki Sayyiduna RasulILLAHi SallALLAHu Alaihi Wasallam berpijak untuk menaiki Buraq, di sebelah itu agak condong. Dikatakan kerana kegerunannya atas kehebatan Baginda SallALLAHu Alaihi Wasallam maka batu itu tergantung, saya sendiri takut untuk berada di bawahnya, bimbang jika batu itu menghempap saya kerana dosa-dosa saya.”

“Setelah beberapa ketika kemudian, saya pun memberanikan diri dan masuk berteduh di bawahnya, maka saya dapat melihat pelbagai keajaiban. Saya dapat menyaksikan ia dari semua arah. Saya benar-benar melihatnya terpisah dari bumi. Ada arah yang lebih jauh terpisah dari bumi daripada arah yang lain.”

Inilah penulisan yang dirujuk daripada penulisan seorang Ulama besar yang dikenali dengan nama Ibnul ‘Arabi. Daripada sinilah timbul cerita demi cerita yang menyatakan batu tempat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam tergantung-gantung. Itu adalah cerita dahulu. Ada sandarannya, ada catatannya dalam kitab-kitab yang berautoriti, termasuk daripada kitab yang disebutkan tadi.

Batu tersebut, yang sekarang tempat itu dikenali sebagai Qubbatul Sakhrah (kubah yang di bawahnya ada batu). Sekarang ini sudah berada di belakang daripada Masjid al Aqsa.

Jika dilihat Masjid al-Aqsa, imam akan dilihat berada nun jauh daripada arah kiblat dan berakhir kawasan masjid dengan Qubbatul Sakhrah ini.

Batu itu benar-benar wujud dan terletak di tengah-tengah bangunan. Gambaran sekarang ini, batu itu jika dilihat daripada bawah, seolah-olah seperti sebuah payung besar, seperti gua yang kita berada di bawahnya. Anggaran keluasan tempat itu, sebesar ruang solat untuk 20 atau 25 orang, jika untuk masuk bersesak-sesak boleh sampai 150 orang.

Jika direnung batu itu dengan cermat, akan didapati ia sekarang terletak di atas fondisi konkrit batu yang kukuh. Di segenap arahnya berpijak ke atas fondisi itu dan tidak kelihatan seperti tergantung seperti yang dijelaskan di atas. Namun, menurut Imam Besar Masjid al-Aqsa yang berada di situ, Beliau menyatakan memang dahulu batu besar yang macam payung itu tergantung-gantung.

Oleh kerana banyak pembesar-pembesar negara dan banyak pelawat-pelawat luar datang, mereka terperanjat dan amat gerun dengan keadaan batu itu, banyak yang tidak berani masuk di bawah batu itu, kerana takut tiba-tiba batu itu menghempap. Memandangan hal keselamatan penting dan mengelak daripada berlakunya berbagai tanggapan orang ramai ke atas keadaan yang unik itu, maka pihak berkuasa mengambil tindakan membina fondisi yang menyambung batu itu dari bumi.

Ketakutan pembesar-pembesar zaman ini samalah seperti yang dirasai oleh al-Imam Abu Bakar Ibnul ‘Arabi seperti dalam bukunya.

Maka atas itulah batu tersebut sudah tidak lagi kelihatan tergantung-gantung, tetapi ia menjadi seperti sebuah bangunan yang di bawahnya boleh dimasuki, ia kelihatan seperti sebuah batu biasa yang dapat dilihat.

Jadi, kepada pengunjung hari ini yang pergi tidak mungkin akan dapat melihat batu itu sedang tergantung, kerana binaan sudah dibuat mengelilinginya.

Pembinaan Kubah telah dibuat dari zaman Khalifah Abdul Malik Bin Marwan pada tahun 685M untuk menutup kawasan tersebut. Ada pembaca yang faham penulisan sang faqir semalam, menutup itu maksudnya tidak boleh masuk ke kawasan tersebut dari tahun 685M. Nasihat sang faqir fahamkan betul-betul sebelum menafsir dan menuduh.

Ada sesetengah manusia terkenal dengan sifat visualisasi, semua yang dipandang, itulah yang gambaran yang diceritakan, mudah menilai tanpa membaca penuh, mudah menuduh sebelum mengusul periksa. Jadilah orang yang beriman dan berfikir.

Jika hendak diikutkan dari tahun 638M Sayyidina Umar Al Khattab telah membuat binaan di sekitar Masjidil Aqsa termasuklah Qubbatus Sakhrah ini. Kemudian disambung bina oleh Khalifah Abdul Malik Bin Marwan pada zaman Bani Umayyah iaitu sekitar 685-690M, kawasan sekitar diperbaiki dan diperluaskan. Sila dalami sejarah Islam dahulu ya sebelum pening hendak minta dalil pada orang lain. TUTUP bukan bermaksud tidak boleh masuk, tutup maksudnya menutup kawasan yang mulia tersebut supaya terjaga dan juga tidak memberi takjub melampau pada yang memandang. (Sila rujuk kitab Sejarah Masjidil Aqsa di Jurusalem)

Sang faqir sertakan gambar sebenar As Sakhrah ataupun Qubbatul As Sakhrah. Semoga bermanfaat.

*Tulisan di atas juga saduran dari pengalaman seorang Ulama Muktabar dalam ziarah beliau ke Qubbatul Sakhrah.*

Semoga bermanfaat.

Wan Asrul Al Kalantanill