PAUTAN TAMBAHAN

Isnin, 14 September 2015

[RAKAMAN][130915]Kehidupan Di Zaman Fitnah - Ust Ahmad Rizam



Ketahuilah, sesungguhnya perbuatan syirik boleh saja terjadi dalam beberapa situasi, dalam keadaan sedar, sengaja atau tanpa sedar, iaitu melalui niat, perkataan dan perbuatan. Untuk lebih jelas lagi syirik boleh berlaku dalam enam keadaan, iaitu:

1. Syirik dalam kepercayaan atau iktiqad. Yakni mempercayai dan meyakini ada tuhan selain Allah SWT seperti mempercayai berhala, matahari, bulan, bintang, pokok dan sebagainya sebagai tuhan yang berkuasa.

2. Syirik dalam ketaatan. Yakni mentaati manusia melebihi daripada mentaati Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tiada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Pencipta (Allah SWT)”.
(HR Bukhari)

3. Syirik dalam kasih sayang. Yakni lebih mengasihi makhluk daripada mengasihi Allah SWT,seperti seorang mengasihi pemimpin atau ketua lebih daripada kasih nya kepada Allah SWT atau menyamaratakan dalam kasihnya kepada Allah SWT.

4. Syirik dalam ibadah. Yakni menyembah atau mengabdikan diri kepada selain Allah SWT, seperti menyembah berhala, pokok dan lain-lain.

5. Syirik dalam tawakkal. Yakni bertawakkal atau berserah diri kepada makhluk atau manusia daripada berserah kepada Allah SWT, seperti seorang yang menyerahkan untung nasibnya kepada dukun, bomoh, doktor dan sebagainya.

6. Syirik dalam amalan perbomohan. Yakni mempercayai bahawa bomoh, dukun, pawang, tangkal, azimat dan sebagainya mempunyai kuasa menyembuh penyakit, menjadi pelindung, mengetahui nasib seseorang, boleh meramal tilik dan lain-lain.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya tangkal, azimat dan guna-guna itu adalah perbuatan syirik”.
(HR AlHakim)

Hari ini sebilangan umat Islam ada yang telah terjebak dan terperangkap dalam amalan tradisi perbomohan yang mempergunakan jin atau amalan menurun, yang jelas menyalahi aqidah dan Syariat Islam seperti amalan meramal buruk dan baik seseorang, tilik-menilik, termasuk kaedah rawatan scan dengan mengatakan seorang itu ada jin dalam badannya dan lain-lain amalan yang berlaku dalam masyarakat Islam


Ketahuilah, bahawa amalan ini boleh membawa kepada syirik.

Gejala syirik dan penyakit syirik ini terjadi dan berlaku kekadang disengajakan, kekadang tanpa disedari dan kekadang pula dilakukan secara terang dan nyata.

Syirik itu terbahagi kepada beberapa kategori; iaitu syirik akbar (besar), syirik ashgar(kecil) dan syirik khafi (tersembunyi).

Bagaimanapun semuanya itu dilarang kerana ia akan menjerumus kepada kezaliman, dosa, menghapuskan segala amal soleh dan ditimpa azab siksa bagi sesiapa yang melakukannya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya apa yang paling aku takuti terjadi ke atas kamu adalah syirik yang tersembunyi. Para sahabat bertanya: ‘Apakah syirik yang tersembunyi itu, ya Rasulullah?’ Baginda menjawab: ‘Ria’. Allah kan berseru kepada mereka yang ria’ itu pada hari kiamat tatkala manusia menerima ganjaran pahala amalan-amalan mereka, pergilah kamu kepada orang yang kamu pertontonkan amalan kamu kepada mereka, lihatlah adakah di sisi mereka ganjaran pahala (kamu)”.
(HR Ahmad)

Perbuatan syirik atau menyekutukan Allah SWT atau menduakan Allah SWT dalam iktiqad, kepercayaan, sembahan, peribadatan dan kekuasaan Allah SWT adalah sebesar-besar dosa di sisi Allah SWT.
Dosa syirik adalah dosa yang teramat besar yang tidak akan diampunkan oleh Allah SWT. Firman-Nya:

Maksudnya:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya
(dengan sesuatu apa jua) dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang amat besar”.
(Surah An-Nisaa’, ayat 48)

Azab siksa bagi orang yang berbuat syirik ialah neraka, firman Allah SWT: Maksudnya:

“Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang yang berkata: ‘Bahawasanya Allah ialah Al-Masih ibni Maryam’. Pada hal Al-Masih sendiri berkata: ‘Wahai Bani israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah neraka dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang yang berlaku zalim”.
(Surah Al-Maidah, ayat 72)

Firman Allah SWT lagi, menjelaskan akibat dan tempat tinggal orang yang kafir dan berbuat syirik: Maksudnya:

“Kami akan masukkan ke dalam hati orang kafir itu rasa takut, disebabkan mereka mempersekutukan Allah dengan sesuatu (yang mereka sembah) sedangkan Allah tidak menurunkan sebarang keterangan yang membenarkannya. (Dengan yang demikian) tempat kembali mereka ialah neraka. Itulah seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang yang zalim”.
(Surah Ali ‘Imran, ayat 151)

Berdasarkan kedua ayat ini, bahawa orang kafir dan orang yang mempersekutukan Allah SWT, yakni mensyirikkan-Nya akan menerima azab siksa di neraka, itulah tempat tinggal seburuk-buruknya bagi orang zalim yang melakukan perbuatan syirik, NA’UZUBILLAHI MIN ZALIK.

Dengan itu, sebagai ibubapa hendaklah ingatkan dan mendidik anak-anak supaya menjauhi perbuatan syirik dalam iktiqad kepercayaan, sembahan atau ibadah, perbuatan dan termasuklah dalam adat tradisi rawatan kampung atau amalan bomoh dan dukun. Sesungguhnya bomoh-bomoh yang menggunakan jin, amalan menurun ketika merawat pesakit, amalan memuja dan amalan sihir adalah perbuatan syirik, berdosa dan memudaratkan.

Oleh yang demikian, umat Islam jangan berubat dengan ahli sihir, jangan berubat dengan bomoh dan dukun yang menggunakan sihir, menurun dan sebagainya. Belajarlah cara Luqman Al-Hakim menasihati anaknya yang dirakamkan di
dalam Al Quran,firman Allah SWT: Maksudnya:

“Dan (ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberikan nasihat kepadanya: ‘Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”.
(Surah Luqman, ayat 13)