PAUTAN TAMBAHAN

Rabu, 25 Mac 2015

Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar. [al-Nisa’ 4:13].


Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah berulang kali memerintahkan umat Islam mentaati-Nya dan mentaati Rasul-Nya, Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. Mentaati Allah bermaksud mentaati al-Qur’an al-Karim manakala mentaati Rasulullah bermaksud mentaati sunnahnya yang membentuk hukum syari‘at. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Wahai orang yang beriman! Taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berpaling daripadanya, sedang kamu mendengar (Al-Qur'an yang mewajibkan taatnya). [al-Anfal 08:20]

Perintah ketaatan ini Allah Subhanahu wa Ta‘ala kaitkan dengan sifat iman dan taqwa seseorang kerana iman dan taqwa tidak boleh berpisah daripada ketaatan kepada al-Qur’an dan al-Sunnah. Firman-Nya:

Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, jika betul kamu orang yang beriman. [al-Anfal 08:01]

Persoalan keimanan sekali lagi dihubung-kaitkan dengan ketaatan kepada al-Qur’an dan al-Sunnah sebagaimana firman Allah:

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Uli'l-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.

Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. [al-Nisa’ 4:59]

Dalam ayat di atas kita dapati Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan ketaatan kepada Ulil Amri juga, iaitu para ulama’ dan pemimpin negara. Akan tetapi perhatikanlah bahawa Allah tidak meletakkan perkataan ‘taat’ sebelum perkataan Ulil Amri sebagaimana Allah meletakkannya sebelum perkataan Allah dan Rasulullah. Ini tidak lain membawa maksud bahawa ketaatan kita kepada perintah Allah dan Rasul-Nya adalah mutlak manakala ketaatan kita kepada Ulil Amri hanya apabila mereka melakukan perkara-perkara yang selari dengan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah.

Hanya dengan mentaati ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah kita akan diberikan ganjaran Syurga sebagaimana janji Allah:

Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar. [al-Nisa’ 4:13].

Mereka yang taat kepada al-Qur’an dan al-Sunnah akan bergembira di dalam Syurga bersama-sama para Nabi, Siddiqin, Syuhada dan Salihin sebagaimana keterangan ayat berikut:

Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang Siddiqiin, dan orang yang syahid, serta orang yang salih. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang yang taat). [al-Nisa’ 4:69].

Lebih dari itu hanya dengan mentaati ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah kita dijanjikan Rahmat oleh Allah sebagaimana janji-Nya:

Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, supaya kamu diberi rahmat. [‘Ali Imran 3:132].

Dengan mengikuti dan mencontohi sunnah Hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, kita akan memperolehi keampunan Allah Subhanahu wa Ta‘ala sebagaimana firman-Nya:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu.” [‘Ali Imran 3:31].

Dengan mentaati dan mengikuti sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam kita juga dijanjikan hidayah petunjuk oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Dan jika kamu taat kepadanya (Muhammad) nescaya kamu beroleh hidayah petunjuk. [al-Nur 24:54].

Dengan mentaati al-Qur’an dan al-Sunnah dengan sebenar-benar taat dan ikhlas, seseorang muslim itu akan beroleh kejayaan dan kemenangan yang hakiki sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala melalui firman-Nya:

Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: “Kami dengar dan kami taat”; dan mereka itulah orang yang beroleh kejayaan.

Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, dan takut melanggar perintah Allah serta menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah maka merekalah orang yang beroleh kemenangan. [al-Nur 24:51-52]

Dalam memberikan perintah dan peringatan kepada umat Islam untuk mentaati-Nya dan Rasul-Nya, yakni al-Qur’an dan al-Sunnah, Allah ‘Azza wa Jalla juga memberikan amaran serta ancaman keras kepada sesiapa yang enggan melakukan sedemikian. Antara amaran tersebut ialah firman-Nya:

Dan tidaklah harus bagi orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka.

Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata. [al-Ahzab 33:36].

Allah ‘Azza wa Jalla juga mengingatkan umat Islam yang sengaja beramal dengan sesuatu yang tidak dianjurkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah bahawa amalan mereka itu akan menjadi batal. Amaran Allah dalam al-Qur’an:

Wahai orang yang beriman! Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul, dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu! [Muhammad 47:33].

Allah Ta‘ala juga mengingatkan umat Islam yang mengingkari ajaran serta perintah Rasul-Nya dengan amaran:

Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya (Muhammad), beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [al-Nur 24:63].

Amaran ini diteruskan kepada balasan api neraka kepada mereka yang tetap berdegil dan enggan bertaubat. Mereka ini dijanjikan Allah dengan:

Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran petunjuk (yang dibawanya) dan dia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang yang beriman, kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya dan (pada Hari Akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam Neraka Jahanam dan Neraka Jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. [al-Nisa’ 4:115].

Demikianlah peritnya azab yang dijanjikan Allah kepada mereka yang enggan mentaati ajaran al-Qur’an dan sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

Di kalangan umat Islam ada yang keterlaluan dalam mentaati ajaran mazhab sehingga mereka membelakangkan ketaatan kepada al-Qur’an dan al-Sunnah. Sikap seperti ini dikenali sebagai Syirik fi Tawhid al-Ittiba’ yang bermaksud menyekutukan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya sebagai penyumber syari‘at dengan sesuatu yang lain. Ini kerana ketaatan dalam hal syari‘at hanyalah kepada Allah dan Rasul-Nya iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah. Apabila seorang manusia menjadikan manusia yang lain sebagai sumber syari‘at Islam yang ditaatinya, maka dia telah menjadikan sesuatu yang lain setaraf dengan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Yusuf al-Qaradhawi berkata:

Telah diketahui dengan pasti bahawa tidak ada kewajipan kecuali apa yang diwajibkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Sedangkan Allah dan Rasul-Nya tidak mewajibkan kita mentaati orang-orang tertentu sekalipun memiliki ilmu yang luas …… Tindakan (mentaati ajaran mazhab) bererti menempatkan para imam mazhab sebagai pembuat syari‘at atau menganggap pendapat mereka sebagai dalil syari‘at yang tidak boleh dibantah …… sehingga menyerupai perbuatan para Ahli Kitab yang menjadikan rahib-rahib dan pendeta-pendeta mereka sebagai tuhan selain Allah.

Mentaati ajaran mazhab sehingga membelakangkan dalil al-Qur’an dan al-Sunnah adalah juga merupakan suatu perbuatan yang membatalkan iman seseorang berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Maka demi Tuhanmu, mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau (wahai Muhammad) hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah dihukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya. [ al-Nisa’ 4:65]

Ayat ini menerangkan bahawa jika seorang Muslim itu tidak menerima atau merasa berat dan tidak rela dengan apa yang dihakimi oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam urusan agama maka dia tidak disifatkan beriman.

Justeru itu kita sering dapati para imam mazhab yang empat sentiasa berpesan kepada umat Islam agar mentaati al-Qur’an dan al-Sunnah, bukan mazhab dan ajaran mereka. Para imam mazhab juga berpesan agar ditinggalkan mana-mana ajaran mereka yang tidak tepat atau tersalah berbanding dengan keterangan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Mereka juga berpesan agar mana-mana hadis yang tidak mereka temui atau keluarkan hukum daripadanya, maka hendaklah diambil hadis tersebut dan diamalkan. Mereka juga berpesan agar jangan mentaati atau mengikuti secara membuta terhadap ajaran-ajaran mereka. Ketaatan dan sifat ikutan membuta sedemikian hanyalah dibolehkan kepada al-Qur’an dan sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.