PAUTAN TAMBAHAN

Jumaat, 23 November 2012

WANG CUKAI RAKYAT DIGUNAKAN UNTUK BAWA MASUK PROJE...

YB Fuziah Salleh (MP Kuantan)
K’jaan dan polis diperguna untuk kepentingan Lynas – Fuziah

(Oleh Sidiqin Omar)
KUALA LUMPUR 22 November: KEADILAN menyelar iringan dan kawalan polis terhadap lebih 100 kontena disyaki mengandungi bijih nadir bumi untuk loji radioaktif Lynas di Gebeng, Kuantan.

“Apakah wang pembayar cukai Malaysia diguna untuk mengawal syarikat (Lynas) yang mendapat pengecualian cukai? 
 
“Ini tak patut berlaku. Kerajaan Malaysia dan polis yang sebenarnya dipergunakan,” tegas Naib Presidennya, Fuziah Salleh ketika dihubungi.

Jelas Ahli Parlimen Kuantan itu, usahanya menghubungi Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Jasmani Yusoff sehingga kini masih gagal.

Fuziah berkata, kerajaan seolah-olah bersekongkol dengan Lynas, ketika tiga penduduk Kuantan menunggu tarikh sebutan rayuan berikutan Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan injunksi interim ke atas Lesen Operasi Sementara (TOL) 8 November lalu.

“Dalam konteks undang-undang, TOL telah dilulus. Tetapi pada 10 November, penduduk membuat rayuan dan menunggu tarikh sebutan kes.

“Manakala rayuan SLC (Gabungan Bantah Lynas) di Mahkamah Persekutuan hanya akan didengar pada Januari tahun depan.

“Inikah yang dikatakan mendengar suara rakyat? Nampaknya kerajaan lebih utamakan keuntungan dan ketepikan kesihatan dan keselamatan rakyat,” katanya.

Dilaporkan lebih 100 kontena disyaki mengandungi bijih nadir bumi tiba di Pelabuhan Kuantan tengah malam semalam di bawah kawalan ketat luar biasa pihak polis.

Pemindahan kontena ke loji tersebut, sejauh kira-kira tujuh kilometer (km) dari pelabuhan ke kawasan industri Gebeng bermula antara jam 1 pagi hingga 2 pagi diiringi polis dan proses itu masih berterusan pada 8 pagi tadi.


Peserta-Langkah-Bestari-berjalan-ke-Temerloh

Kontena disyaki itu tiba ketika gabungan anti-Lynas Himpunan Hijau mengadakan perarakan sejauh 300 km dari Kuantan ke Kuala Lumpur.

Manakala satu lagi kumpulan, Save Malaysia, Stop Lynas (SMSL) berada di Sydney, Australia untuk menentang loji tersebut ketika Lynas Corporation mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM)./KeadilanDaily