Khamis, 29 November 2012

Isu Bazar Larut Malam Uptown Danau Kota semakin panas apabila empat peniaga ditahan polis dalam situasi tegang, malam kelmarin.




DANAU KOTA – Isu Bazar Larut Malam Uptown Danau Kota semakin panas apabila empat peniaga ditahan polis dalam situasi tegang, malam kelmarin.

Kekecohan yang berlaku hampir dua jam itu melibatkan kira-kira 200 peniaga Uptown Danau Kota, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis selepas perbincangan berhubung isu penutupan aktiviti berniaga pada hari Isnin dan Selasa menemui jalan buntu.


Sebelum itu, perbincangan berlangsung dalam keadaan tegang antara Pengerusi Persatuan Peniaga-peniaga Uptown Danau Kota, Ahmad Fauzi Abdul Karim; Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah dan Ketua Penolong Pengarah 1 Jabatan Pemudahcara Perniagaan dan Pengurusan Penjaja (JPPP) DBKL, Saifol Mazli Ahmad.


Keadaan semakin kritikal apabila DBKL mengarahkan tiga gerai yang dibuka pada malam itu ditutup atau berdepan tindakan sita.


Bagaimanapun, peniaga-peniaga tidak berganjak dan mengancam mahu membakar gerai tersebut sebagai tanda protes terhadap tindakan pihak berkuasa tempatan itu.


Kedegilan peniaga terbabit bagaimanapun membawa padah apabila pemilik gerai tersebut ditahan polis.


Empat peniaga tersebut di bawa ke Balai Polis Setapak untuk disiasat di atas kesalahan mengganggu penjawat awam menjalankan tugas.


Ketegangan di situ dileraikan kira-kira jam 11.45 malam hasil kerjasama kira-kira 80 anggota DBKL dan juga anggota polis dari Balai Polis Setapak.


Fauzi menafikan peniaga mahu menentang pihak berkuasa tetapi berasa dimalukan kerana kekerasan yang dilakukan terhadap mereka.


Menurutnya, bagaimanapun, apa peniaga mahu tercapai iaitu menyampaikan mesej kepada seluruh rakyat negara ini bahawa peniaga-peniaga Melayu di Uptown Danau Kota kini ditekan dan beliau turut mendakwa terdapat unsur rasuah di Uptown Danau Kota.


“Selama ini apa yang peniaga mahu adalah lanjutan tempoh berniaga sempena cuti sekolah tetapi permohonan kami ditolak dengan alasan aduan penduduk oleh DBKL.


“Walhal masalah ini bukan berpunca daripada peniaga tetapi disebabkan oleh segelintir pihak yang tamak dan wujudnya unsur rasuah sehingga peniaga menjadi mangsa kepada isu ini,” katanya.


Fauzi berkata, peniaga-peniaga tidak akan berganjak dan akan mempertahankan Uptown Danau Kota kerana ia milik rakyat.


Keputusan DBKL jelas


Saifol Mazli berkata, keputusan DBKL tidak membenarkan aktiviti perniagaan pada hari Isnin dan Selasa telah diputuskan.


“Peniaga harus menghormati dan mematuhi setiap arahan pihak berkuasa.


“Pada masa sama, DBKL akan terus memantau situasi ini dan akan mengambil tindakan kepada peniaga yang ingkar,” katanya.


Sementara itu, Mohd Ridzuan berkata, kira-kira 200 peniaga akan membuat laporan polis bagi menyatakan sokongan kepada pihaknya dalam membantu peniaga di situ.


“Ikhlas tidak akan berganjak dalam isu di Danau Kota dan sekiranya masih tidak selesai, isu ini akan dibawa kepada pengetahuan Perdana Menteri. Kita akan berarak ke Parlimen.


“Ikhlas juga mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kemungkinan terdapat unsur rasuah dan penyelewengan dalam penganjuran bazar di Uptown Danau Kota,” katanya.