Sabtu, 15 Oktober 2011

Hukum sula hanya ‘Hudud P Ramlee’, tiada dalam Islam – Ustaz Azhar



Bismillah,
Hukum sula yang disalah anggap oleh sesetengah anggota masyarakat, termasuk penganut Islam sendiri, sebagai sebahagian daripada hukum hudud, disifatkan pendakwah bebas popular, Ustaz Azhar Idrus hanya ‘hudud P Ramlee’.  Ia tiada di dalam Islam.

“Hukum sula ni hudud P Pamlee,” katanya secara berseloroh ketika menjawab pertanyaan dalam satu sesi kuliah agama. Kuliah agama berkenaan dapat diikuti menerusi video ini.
Hukum sula menggunakan buluh tajam yang ditusukkan menerusi dubur pesalah ada ditunjukkan di dalaam filem P Ramlee, Semerah Padi. P Ramlee sendiri, dalam filem itu, tidak menyebut hukum sula sebagai hukum hudud, tetapi sebahagian anggota masyarakat menganggapnya sebahagian hukum hudud.

Imej dari urdusky.com.

Sejak mutakhir ini, hukum hudud menarik minat pelbagai pihak. Malah ia turut diulas  mereka yang tidak berautoriti atau mempunyai ilmu berkaitan, sekali gus individu ini menolak mentah-mentah pelaksanaannya konon tidak sesuai dengan zaman dan keadaan semasa.

Turut mengulas hukum hudud dan mengaitkannya dengan hukum sula ialah artis tempatan yang akhirnya menerima celaan teruk disebabkan  komen tidak berpaksikan fakta dan ilmu itu.
Menurut Ustaz Azhar, hukum sula boleh menganiaya orang sedangkan Allah swt tidak zalim seperti itu.

Sula adalah sejenis hukuman yang diamalkan dalam undang-undang Melayu kuno. Hukuman hampir sama turut diamalkan dalam budaya masyarakat lain di banyak tempat di dunia, tetapi bahannya mungkin berbeza=beza.

Bagaimanapun, Ustaz Azhar tidak menafikan bahawa filem P Ramlee, selain diselitkan unsur lawak dan sebagainya, turut mengandungi pengajaran. Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya hanya mengambil apa yang “betul” daripada filem seniman itu sebagai pengajaran.

Beliau kesal kerana umat Islam negara ini keliru mengenai perkara yang wajib dilaksanakan sebagaimana disuruh Nabi Muhammad saw berbanding amalan yang tidak disebut langsung oleh junjungan besar.

Ustaz Azhar mengambil amalan menyambut Maulidur Rasul sebagai contoh.
“(Apa) yang hairannya ialah sambutan Maulud ‘habis teh’ (bersungguh-sungguh), (sebaliknya) hak Nabi suruh buat (hudud dan lain-lain) tidak buat. Maulud siap ada berlatih lagi dua tiga hari sebelum sambutan sedangkan Maulud, Nabi tak suruh buat, sesetengah ulama saja kata harus tanda kita mengingati sejarah perjuangan Nabi. Tak apalah, walaupun bidaah, (ia) diharuskan syarak. Ini (Maulud) Nabi tak suruh.

“Tapi hak ni (hudud) suruh ni, Nabi pesan, Nabi sendiri pernah bersabda ‘demi Allah jika anak aku, Fatimah (isteri Saidina Ali) mencuri, aku akan potong tangan dia.

“Maknanya Nabi nak bagitahu umat akhir zaman wajib buat hukuman potong tangan (hudud ini). Nabi sendiri sebut jika ‘anak aku sendiri, aku akan potong tangan, maknanya wajib,” tegas beliau.
Malah hukum ini turut termaktub di dalam al-Quran.
 
Beliau menjelaskan bahawa hukum Islam tidak zalim dan tidak ganas sebagaimana digambarkan sesetengah pihak. Malah, sebagai contoh, katanya hukuman ke atas pesalah zina hanya dilakukan bukan bertujuan membunuh, sebaliknya ia dilakukan dengan cara yang betul dan ringan.

Menurutnya, pukulan ke atas pesalah terbabit pada zaman Nabi saw hanya perlahan, malah sesetengahnya menggunakan ranting atau daun kayu.

“Tapi hukuman sebegini dikatakan zalim, ganas, hukum yang dilaksanakan sekarang ni tak ganas ke? Hukum gantung, jelir keluar lidah,” soal beliau. – inimajalah.com