Sabtu, 16 Julai 2011

Hukum hudud: DAP perlu fahami dasar perjuangan PAS Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 23 Ogos — DAP perlu memahami dasar perjuangan PAS yang bercita-cita mahu melaksanakan hukum hudud dan negara Islam, sekiranya menawan kerajaan persekutuan, bagi mengatasi masalah jenayah dan sosial membabitkan orang Islam.  Parti itu juga menegaskan, ia tidak akan kompromi sama sekali dalam soal menegakkan hukum hudud dan cita-cita menjadikan Malaysia negara Islam.  Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pelaksanaan hukum hudud hanya melibatkan orang Islam, bukannya masyarakat bukan Islam.  “DAP tolak hukum hudud mungkin kerana salah faham kerana tidak memahami secara jelas mengenai pelaksanaannya.  “Sebenarnya hukum hudud ini sudah menjadi kewajiban untuk dilaksanakan dan ia merupakan tanggungjawab pemerintah,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.  Beliau berkata DAP perlu memahami dasar perjuangan PAS yang selama ini memperjuangkan Islam.  “Kita harap DAP memahami dasar perjuangan PAS kerana kita selama ini tidak pernah menyentuh dasar DAP ataupun dasar Parti Keadilan Rakyat (PKR).  “Ada perkara yang kita boleh terima dan kita harap DAP juga begitu dan saya percaya DAP tolak hukum hudud dalam konteks pelaksanaan dalam negara,” katanya.  Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, DAP perlu diberikan penerangan mengenai hukum hudud secara jelas supaya mereka memahami maksud sebenar pelaksanaan hukum hudud itu.  “Hukum hudud hanya untuk orang Islam, jadi kalau kita laksanakannya orang bukan Islam tidak akan kena apa-apa tindakan.  “Jadi orang bukan Islam tidak perlu risau mengenainya, jadi saya harap isu ini tidak dijadikan polemik oleh media,” katanya lagi.  Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Nasruddin Hassan Al-Tantawi berkata parti itu akan melunturkan dasar perjuanagn mahu melaksanakan hukum hudud dan negara Islam.  Sambil yakin DAP akan menerima penjelasan PAS, Nasruddin berkata pihaknya hanya mahu menjelaskan kepada rakan mereka itu mengenai hukum hudud, bukannnya mempertikaikan kesetiaan DAP dalam PR hanya kerana memberikan pandangan berlainan dalam isu ini.  “DAP tidak memahami apa itu hukum hudud jadi sudah menjadi kewajiban bagi PAS untuk memberikan penjelasan supaya mereka faham.  “Kita bukan nak pertikaikan kesetiaan DAP tapi hanya mahu beri penjelasan kepada mereka tentang Islam yang dicadangkan PAS,” katanya.  Beliau berkata PAS tetap akan memperjuangkan dasar parti iaitu memperjuangkan Islam walaupun ditolak DAP.  “Kalau DAP nak tolak itu hak mereka tapi kita akan tetap memperjuangkan PAS dan kalau DAP tidak memahami kita akan jelaskan kepada mereka termasuk pelaksanaan hukum hudud.  “Kita akan terangkan kepada DAP mengenai pelaksanaan hukum hudud mengikut syariat Islam dan bagaimana aplikasinya kepada orang Islam,” katanya.  Nasruddin berkata walaupun terdapat perbezaan pendapat antara PAS dan DAP mengenai hukum hudud namun ia tidak menjejaskan hubungan dan kerjasama antara dua parti itu.  “Hubungan antara PAS dan DAP hanya kerjasama politik jadi tidak wujud unsur bahawa kita tidak bersepakat dengan DAP.  “PAS dan DAP akan tetap bekerjasama dalam PR dan kita juga tidak pertikaikan kesetiaan mana-mana parti dalam PR,” katanya.  Semalam Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata hukum hudud dan negara Islam bukan merupakan dasar Pakatan Rakyat (PR).  Lim mempertahankan pendirian konsisten parti itu yang sentiasa menekankan bahawa Malaysia sebuah negara sekular.  Malah Pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh mengumumkan bahawa beliau kekal menentang undang-undang sedemikian jika PR mengambil alih kerajaan persekutuan.  Kata Karpal, undang-undang sedemikian “tidak berperlembagaan” dan setiap orang perlu menghormati perlembagaan.  DAP mengeluarkan kenyataan ini sehari selepas Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpendapat kenyataan Karpal yang tidak bersetuju dengan cadangan PAS untuk melaksanakan hukum hudud adalah pandangan peribadinya.  Menteri Besar Kelantan berkata suara-suara sumbang yang timbul mengenai hukum hudud adalah pendapat peribadi dan bukan kenyataan rasmi parti itu.  “Pemimpin DAP lain senyap, hanya dia yang timbul isu itu. Ini kerana apa yang ditimbulkan oleh pemimpin DAP itu merupakan pendapat perseorangan dan bukannya keputusan parti,” katanya.  Karpal tidak bersetuju dengan cadangan Nik Aziz, yang dibuat Khamis lalu bahawa cara terbaik menangani masalah jenayah dan sosial ialah meminda undang-undang sivil dan digantikan dengan undang-undang hudud.  “Adalah silap bagi orang seperti Nik Aziz bercakap sesuatu yang tidak boleh diperkenalkan di negara ini.  “Perlembagaan Persekutuan hanya membenarkan Kanun Keseksaan dan undang-undang sivil lain dan tidak ada ruang untuk undang-undang hudud,” kata Karpal.