Memaparkan catatan dengan label pas. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pas. Papar semua catatan

Jumaat, 20 Oktober 2017

PAS Terbuka Untuk Orang Islam dan Memberi Tumpang Kepada Bukan Islam.

DATUK Hamidah Osman yang baru meninggakan Naib Presiden Bersatu sudah ada banyak pengalaman dalam Umno dan sediki sebanyak dalam Bersatu.

Umno sudah tidak hendak dia dan dia pun sudah tidak hendak UMNO. Sekarang dia sudah tidak hendak Bersatu. Apa masalahnya dengan UMNO dan Bersatu tidak usahlah dipanjangkan.

Apakah dia masih hendak berjuang atau bersara dari politik bergerak pula dalam NGO?

Jika darahnya pekat politik boleh memilih PAS sebagai wadah membela agama, bangsa dan tanah air yang membela diri dan keluarga.

Mungkin Dato Hamidah boleh mencontohi Saidina Salman al-Parisi, seorang yang mencari Tuhan mencuba dalam beberapa agama antaranya agama langit. Tak bertemu Tuhan di situ. Dia bertemu Tuhan dalam Islam.

Hamidah sudah tidak serasi dengan UMNO dan Bersatu, dan keserasian itu mungkin ada dalam PAS.

Perjuangan itu manis. Bagi orang Islam perjuangan yang manis itu ada dalam PAS. Perjuangannya tidak sekadar kesejahteraan di dunia, tetapi demi kesejahteraan di dunia dan akhirat. Kesejahteraan itu terletak atas kekayaan kebendaan, mewah makan, pakaian dan berbelanja. Bilal bin Rabah dan Salman al-Parisi tidak kaya, pernah disiksa, tetapi mereka dan keluarga sejahtera, terjamin masa depannya di akhirat.

Berjuang dalam PAS, seperti beribadat dalam Islam, tidak dijamin syurga. Bergantung perjuangan dan solat itu ikhlas kerana Allah. Tiada Islam dan tiada solat, tertutup pintu syurga. Syurga adalah untuk pejuang yang ikhlas.

Perjuangan itu manis seperti manisnya Islam. Manis Islam itu lebh dimaknakan oleh perjuangannya dan oleh umatnya. Di sinilah PAS mencari manis di dunia dan manis di akhirat.

Semuanya mencari manis, tetapi manis hawa nafsu membawa kencing manis. Manis iman dan taqwa membawa kita, umat dan dunia sejahtera di sini dan sejahtera di sana.

PAS itu terbuka kepada untuk orang Islam dan memberi tumpang kepada bukan Islam. Sebagai agama Islam menjanjikan sejahtera di sana untuk Islam saja. Tapi sejahtera di dunia boleh dikongsi bersama dengan bukan Islam. Dan bukan Islam yang bersama PAS akan terasa manisnya perjuangannya.

Yang tidak bersama PAS tidak tahu dan tidak terasa manisnya PAS. Nak tahu manisnya madu PAS sertailah PAS. PAS itu bukan semua PAS dari asal. Ia terdiri dari yang asal dan dari bekas UMNO dll. Jika tiada UMNO yang meninggalkan parti, tidaklah PAS seramai yang ada. Majoritinya tidak mahu lagi kembali kepada UMNO dan antara yang memperkasakan PAS itu adalah bekas ahli-ahli UMNO.

Adalah benar TS Muhamad Mohd Taib masuk PAS sebenar dan pulang semula ke gagang. Ia adalah yang terpinggir yang tidak bertemu dan merasa manis PAS itu. Rata-rata terasa madu itu manis, tetapi takdir dia merasa madu itu pahit.

Bergantunglah bagaimana seseorang itu dapat menyelesaikan diri dan perjuangannya dengan PAS. Kita tahu Islam itu indah, rahmat bagi sekalian alam. Jauhlah sempurnanya Islam itu dari PAS. Tetapi ramai juga yang sudah Islam keluar Islam. Sebaik wafat baginda Rasul, Saidina Abu Bakr Siddiq memerangi yang murtad. Bahkan murtad semasa Nabi pun ada.

Jika Islam yang syumul ditinggalkan, tiada apa kalau PAS ditinggalkan!

Tetapi ia sekarang menunggu Hamidah. Hakikatnya jadi PAS adalah pilihan Allah. Ramai yang lulus Azhar Allah tak pilih jadi PAS. Tapi jangan salahkan takdir tak masuk PAS.

Oleh:
SUBKY LATIF  18 OCTOBER 2017

Khamis, 12 Oktober 2017

PAS: parti politik Gerakan Islam yang perjuangannya untuk memartabatkan Islam sebagai Ad-Deen secara total

PAS adalah satu-satunya parti politik Gerakan Islam yang perjuangannya untuk memartabatkan Islam sebagai Ad-Deen secara total iaitu bagi memartabatkan Firman Allah SWT iaitu 

إِنَّ الدّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلإِسْلَـٰم

Itulah sebabnya PAS dalam Fasal 7(1) dalam Perlembagaannya meletakkkan hukum tertinggi pegangan PAS ialah "Kitabullah, Sunnah Rasul, Ijmak Ulama dan Qias yang terang dan nyata".

Justeru Kesatuan Ulamak Sedunia mengiktiraf PAS sebagai sebuah parti Gerakan Islam dan mengangkat Presiden PAS Tuan Guru Dato’ Haji Hadi Awang sebagai Naib Pengerusi Kesatuan Ulamak Sedunia itu.

Parti-parti politik lain yang aktif walau pun parti-parti itu majoriti ahlinya adalah orang-orang Melayu adalah parti-parti politik sekular dan dalam perlembagaan parti masing-masing tidak menyebut Kitabullah dan Sunnah Rasul sebagai hukum tertinggi sebagai pegangannya walau pun majoriti ahli parti adalah orang-orang Melayu beragama Islam.

Oleh kerana parti-parti politik sekular tidak meletakkan “Kitabullah, Sunnah Rasul, Ijmak Ulamak dan Qias yang terang dan nyata” menjadi pegangan sebagai hukum tertinggi maka itulah sebabnya parti-parti politik tersebut menerima orang-orang non-muslim sebagai ahli dan dijadikan mereka sebagai teman rapat seperjuangan yang melanggar Perintah Allah SWT iaitu:

FIRMAN ALLAH SWT

لَّا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِن دُونِ الْمُؤْمِنِينَ ۖ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَلَيْسَ مِنَ اللَّهِ فِي شَيْءٍ إِلَّا أَن تَتَّقُوا مِنْهُمْ تُقَاةً ۗ وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفْسَهُ ۗ وَإِلَى اللَّهِ الْمَصِيرُ

"Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi TEMAN RAPAT dengan meninggalkan orang-orang yang beriman dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah dia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu) dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diri-Nya (menyeksa kamu) dan kepada Allah jualah tempat kembali." [Surah Aal-i-Imran, 3 : 28]

FIRMAN ALLAH SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِن دُونِ الْمُؤْمِنِينَ ۚ أَتُرِيدُونَ أَن تَجْعَلُوا لِلَّهِ عَلَيْكُمْ سُلْطَانًا مُّبِينًا

Yang maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi TEMAN RAPAT dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Adakah kamu hendak mengadakan alasan yang terang nyata bagi Allah untuk (menyeksa) kamu ?”.  [Surah An-Nisaa, 4 : 144].

Maka dengan sebab itu parti-parti politik sekular tersebut tidak mengiktiraf Perintah Allah SWT tersebut itu.  Parti-part politik sekular dasarnya adalah parti-parti politik yang meletakkan “politik suku agama suku”.  Oleh kerana sifatnya sebagai parti-parti politik sekular maka dengan sendirinya parti-parti politik sekular yang memusuhi parti politik ISLAM.

PRU14 nanti di Malaysia akan menyaksikan pertembungan di antara pihak parti-parti politik SEKULAR dengan pihak politik ISLAM dan para penyokongnya.

http://www.tarbawi.my/2016/01/permusuhan-sekular-terhadap-gerakan.html

Ahad, 8 Oktober 2017

Jika Islam Mentadbir


Islam mengikut bahasa Al-Quran daripada perkataan Al-Din, tidak mampu ditakrifkan oleh perkataan agama dan ideologi dalam bahasa lain, kerana tidak menepati kesempurnaan maksud dan objektifnya secara ilmu dan amali.

Islam mampu membawa perubahan yang holistik yang tidak boleh dilakukan oleh agama dan ideologi lain, kerana semua sifat dan ciri yang positif dalam skop agama dan ideologi ada di dalam Islam dan menolak semua aspek negatif daripada semua pihak. Malahan Islam itu lebih sempurna daripada kedua-duanya, kerana banyak perkara dalam Islam tidak termasuk dalam lingkungan agama dan ideologi yang diketahui umum mengikut bahasa mereka.

Maka Islam menolak teori sekularisma, Malaysian Malaysia dan cauvinis perkauman tanpa menafikan wujudnya kehidupan duniawi. Adanya kaum dan sifat kasih tehadap kaumnya adalah naluri kemanusiaan, namun sikap cauvinis boleh mencetuskan pertembungan di antara kaum, sehingga boleh merosakkan konsep Masyarakat Madani yang saksama dan menjadi naluri manusia. Tegasnya, Islam mempunyai penyelesaiannya yang tersendiri dengan konsep tanpa paksaan dalam beragama dan berbangsa.

Islam mampu membawa perubahan holistik kerana datangnya daripada Allah Pencipta Alam yang Maha Mengetahui akan fitrah manusia dan tujuan mereka diciptakan di alam dunia ini.

Firman Allah S.W.T:

۞وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِيٓ ءَادَمَ وَحَمَلۡنَٰهُمۡ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ وَرَزَقۡنَٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَفَضَّلۡنَٰهُمۡ عَلَىٰ كَثِيرٖ مِّمَّنۡ خَلَقۡنَا تَفۡضِيلٗا ٧٠ الإسراء

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik, serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” (Surah Al-Isra’: 70)

Naluri dan fitrah manusia itu bercirikan jasad, roh, akal, bersendirian (individualistik) dan hidup bermasyarakat madani. Tujuan ciptaan manusia itu adalah beribadah, berkhilafah dan beramanah. Kesemua aspek ini termasuk dalam takrif Islam secara tidak berpisah dan tidak mampu disempurnakan oleh maksud perkataan agama dan ideologi lain.

Ciri-ciri rohani dalam Islam yang tidak terpisah daripada jasad dan akal manusia adalah berwawasan kepada adanya balasan selepas kematian, bukan sahaja sekadar hukuman undang-undang negara di alam dunia semata-mata.

Ini menjadikan setiap orang tidak mengira di mana sahaja kedudukannya, sama ada dalam keluarga rumah yang kecil sehinggalah masyarakat manusia yang berkeluarga besar dalam negara dan dunia berkewajipan memelihara keharmonian dan menegakkan keadilan terhadap semua. Keadilan yang syumul merangkumi aspek politik, ekonomi dan undang-undang syariat yang dikawal oleh kuasa pemerintahan Islam yang berdaulat.

Kedaulatan negara yang hanya dipimpin oleh penganut Islam yang bertaqwa sahaja dapat mewujudkan kerajaan yang adil terhadap semua dan bersih daripada salah urus, salah laku dan tidak rasuah.

Kerajaan PAS Kelantan yang memerintah lebih dua puluh tahun, walaupun menghadapi sekatan dan himpitan kerajaan pusat dahulunya boleh bertahan sehingga kini, dengan ciri kerajaan bersih tanpa rasuah, berkonsepkan pentadbiran Islam, walaupun sekadar mempunyai bidang kuasa kerajaan negeri yang menghadapi kerajaan pusat yang mencabuli konsep federalisma mengikut Perlembagaan.

PAS kini mampu mewujudkan kepimpinan politik Islam dalam kerajaan bermula dari perlantikan calon melalui penapisan oleh Majlis Syura Ulama dengan memastikan sifat ‘adalah (adil) mengikut istilah politik Islam, bersyaratkan seboleh-bolehnya tidak fasik, iaitu tidak melakukan dosa besar atau tidak mengekali dosa kecil, seterusnya diikat dengan Baiah dan Qasam (sumpah) mengikut Islam. Tindakan PAS mendahului cadangan terkini supaya ditapis oleh SPRM.

Dalam aspek mengurus ekonomi negara, Islam mengutamakan hasil bumi dan pungutan yang diwajibkan daripada rakyat yang berada di tahap kemampuan sahaja. Maka konsep cukai yang membebankan semua termasuk si miskin dan penganggur tidak digalakkan kecuali dalam keadaan darurat. Adapun pengagihannya ditetapkan berdasarkan konsep Allah dengan firman-Nya:

مَّآ أَفَآءَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِ كَيۡ لَا يَكُونَ دُولَةَۢ بَيۡنَ ٱلۡأَغۡنِيَآءِ مِنكُمۡۚ وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٧ الحشر

“Apa yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya (Muhammad S.A.W) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa (tanpa peperangan), maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah dan bagi kaum kerabat (Rasulullah) dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (S.A.W) kepada kamu, maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya).” (Surah Al-Hasyr: 7)

Sejarahnya, Islam pernah mengurus negara yang besar mencecah tiga benua dan memimpin masyarakat majmuk berbagai agama, bangsa dan budaya, telah berjaya membangunkan Tamadun Islam (Hadharah Islamiyyah) berpandukan Ilmu Wahyu (Al-Quran), Hikmah Kerasulan (Sunnah) dan ilmu duniawi yang positif daripada semua bangsa yang bernaung di bawah Kerajaan Islam.

Islam berjaya mewujudkan keamanan dan keselamatan rakyat dengan melaksanakan kehaibatan undang-undang syariat yang sukar menjatuhkan hukuman tetapi menakutkan penjenayah dan penyangak, serta mendidik masyarakat, bukannya menggunakan kekuatan undang-undang yang sering menghukum, tetapi gagal mewujudkan keamanan dan keselamatan, tanpa menakutkan penjenayah dan tidak mendidik masyarakat. Inilah maksud tawaran Allah sekiranya bersama Islam:

وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيۡ‍ٔٗاۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ٥٥ النور

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh daripada kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka para khalifah (pemimpin) yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: yang pernah berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan Al-Din mereka (Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman penjenayah dan musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” (Surah An-Nur: 55)

Islam menyanggah konsep sekularisma yang memisahkan agama daripada urusan duniawi, sama ada yang mengharamkan semua agama atau yang membenarkan agama tanpa kuasa terhadap urusan duniawi. Maka PAS tidak boleh bersama dengan mana-mana parti yang nyata sekularismanya atau yang bersikap pragmatik dan oportunis tanpa istiqamah sehingga mahu merungkai prinsip Islam atau melanggar sempadannya yang dipertahankan oleh PAS.

PAS yakin mampu memimpin negara Malaysia bermasyarakat majmuk ini, berbekalkan kontrak sosial (Perlembagaan Persekutuan Malaysia) yang telah sedia ada sekarang dengan penafsiran Islam yang sebenar tanpa meminggirkan berbagai kaum dan agama yang diwakili di masa perjuangan bersama menuntut kemerdekaan.

PAS mengajak rakyat supaya menolak mana-mana parti dan sesiapa sahaja yang mahu merungkai asas Perlembagaan tersebut. PAS menganggapnya sebagai pengkhianat negara yang wajib disingkirkan oleh rakyat, sama ada melalui pilihanraya atau tindakan undang-undang yang berani, demi menyelamatkan negara dan rakyat.

Walaupun adanya kelemahan dalam pengurusan atau bersifat penyelewengan sekalipun, PAS menolak tindakan membakar kelambu kerana marahkan nyamuk. Sepatutnya Peristiwa Hitam 13 Mei 1969 jangan diulang lagi, begitu juga ruang campurtangan asing yang berlaku di negara lain oleh pihak yang menjemput mereka hendaklah dihalang lebih awal.

PAS boleh bersabar lebih daripada setengah abad sejak negara mencapai kemerdekaan, walaupun dalam keadaan pasang sehingga berjaya memerintah negeri dan penah menyertai kerajaan pusat dan paling surut sehingga ditendang keluar daripada kerajaan dan jatuh kerajaan negeri dan tinggal satu kerusi di Parlimen laksana bertongkat paruh sahaja, namun semangat PAS seluruhnya terus mara bersama Islam.

PAS terus mempersembahkan kepada rakyat hidangan penyelesaian Islam dalam mentadbir negara. Sila lakukan penilaian terhadap semua kerajaan negeri dan pusat dengan perbandingan yang jujur dan ikhlas.

PAS terus beristiqamah bersama Islam berkonsepkan petunjuk daripada firman Allah:

فَٱسۡتَقِمۡ كَمَآ أُمِرۡتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطۡغَوۡاْۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٞ ١١٢ وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ ١١٣ هود

“(Oleh itu), hendaklah engkau (wahai Muhammad S.A.W) sentiasa beristiqamah (tetap teguh di atas jalan yang betul bersama Islam) sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan (112). Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian), api Neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan. (113)” (Surah Hud: 112-113)

Tegasnya PAS tetap istiqamah, berdiri dan menuju ke arah Islam tanpa berganjak, tidak melampau dan tidak tunduk kepada kezaliman, walaupun sukar dan jauh perjalanannya, kerana luas dan jauh wawasannya daripada dunia sehingga akhirat.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 17 Muharram 1439 / 8 Oktober 2017

Isnin, 11 September 2017

PAS BERSAMA ISLAM DAN KONTRAK SOSIAL

Kita mendoakan Rahmat Allah kepada semua pejuang kemerdekaan kerana jasa mereka yang sangat besar meletakkan Islam di dalam Perlembagaan Negara tercinta ini.

Walaupun ada perbezaan pendapat selepasnya dari segi pendekatan meletakkan kedudukan Islam, tetapi kita sudah terlepas daripada penjajahan dan banyak ruang dan peluang masih ada untuk membebaskan belenggu yang sengaja ditinggalkan supaya Islam tidak diizinkan pelaksanaan sepenuhnya. Umat Islam sendiri dihalang daripada beramal dengan seluruh ajaran Islam, sedangkan penganut agama lain tidak dihalang untuk beramal dengan agama masing-masing.

Sepatutnya terpulang kepada umat Islam menafsirkan agamanya yang sebenar daripada perkataan Al-Din yang merangkumi segala aspek cara hidup bermasyarakat. Tafsiran yang berbeza dengan kehendak wakil penjajah dalam Suruhanjaya Reid yang sudah pergi, apabila mereka meletakkan Islam dalam ruang perkataan ‘religion’ yang jauh bezanya dengan ‘Al-Din’.

Para pemimpin bukan Islam yang terlibat bersama dalam PERIKATAN pula menerima kedudukan agama masing-masing yang dibebaskan mengikut Perlembagaan yang digubal oleh Suruhanjaya Reid itu. Adapun kalangan Islam teguh berkonsepkan tiada paksaan beragama dan Islam mewajibkan adil terhadap semua kaum dan penganut berbagai agama.

Islam dengan objektif mengikut takrifnya yang tepat, mempunyai pendekatan dari segi kedudukan Islam dengan maksud yang dipercayai umat Islam mengikut kitab suci Al-Quran. Bersama dengannya adalah konsep Raja Berperlembagaan yang diperkasakan oleh Islam mengikut kedaulatannya dalam proses pembinaan yang belum selesai sebelum kedatangan penjajah lagi.

Namun menjadi kewajipan untuk disempurnakan selepas kemerdekaan dengan meletakkan Islam yang mampu menangani perkembangan semasa yang berubah dan tetap mampu menyelesaikan semua masalah di sepanjang zaman. Beginilah apabila Islam yang sebenar ditegakkan pentadbirannya yang berasaskan akidah, berkonsepkan syariat dan akhlaknya.

Walaupun PAS hanya satu-satunya kerusi pembangkang, namun tetap bersepakat mempertahankan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Negara dan kaitannya dengan Raja Berperlembagaan dan terus mendesak perubahan mengikut konsep kerajaan Islam. Maka PAS tidak menyokong pindaan Perlembagaan yang dilakukan di zaman Tun Mahathir dahulu, kerana sebenarnya sekadar mengambil kuasa sahaja tanpa konsep Islam yang sebenar.

Kebebasan beragama bagi penganut agama lain telah dijamin oleh undang-undang yang dinaungi dalam Perlembagaan yang menjadi undang-undang dasar negara, sepatutnya tidak lagi membimbangkan mereka, setelah penerimaan pemimpin MCA dan MIC yang bergabung dalam PERIKATAN di masa itu. Lebih sepatutnya mereka berterima kasih kepada umat Islam yang menerima mereka dari segi saudara kemanusiaan dan hidup bersama dalam masyarakat majmuk yang sama-sama ditindas pejajah. Mereka telah menyaksikan betapa satu kelompok kecil keluarga bukan Islam boleh hidup aman di tengah masyarakat Melayu yang majoriti penduduk Islam. Walaupun syariat Islam belum lagi diberi peluang sepenuhnya dilaksanakan, tetapi inilah bayangan syariat yang mencipta akhlak Islam dalam hubungan masyarakat majmuk.

PAS menerima kemerdekaan dengan satu kerusi dalam PRU Pra Kemerdekaan pada tahun 1955, tetap mengiktiraf konsep demokrasi dan terus menyertai PRU selepasnya bersama Islam yang dihayati oleh kepimpinan ulama’. Walaupun tidak memuaskan kerana masih ada kelemahan dalam system Demokrasi Barat yang tidak beriman dan budiman, namun tetap menerima konsep tersebut dengan positif yang masih ada bersamanya.

Maka PAS dengan sabar, rebah dan bangun, menang dan kalah, sehinggalah jatuh kerajaan negeri yang dikuasainya di Kelantan dan Terengganu, kembali semula memerintah di Kelantan dan kembali semula di Terengganu dan jatuh semula, namun tetap mengambil pendekatan demokrasi dan berundur daripada gerakan yang boleh merosakkan, contohnya tindakan di atas nama BERSIH yang tidak bersih lagi terhadap Islam dan kedaulatan negara secara umum, serta ada dalang dibelakangnya.

Kekuatan PAS tidak bergantung kepada ukuran kerusi seperti parti lain yang boleh mati kalau tidak ada kerusi. Namun pengaruh PAS terus berkembang dan makin kuat jati diri ahli dan pengikutnya makin bertambah dan berkualiti. Adapun yang bersifat sampah dalam PAS boleh merosakkan perjuangannya, sama ada terbuang atau dibuang. PAS juga tidak rebah kalau ada pemimpin yang rebah dalam perjalanan perjuangannya.

PAS terus tegak bersama Islam yang ditegaskan dalam Perlembagaan yang telah diterima oleh semua parti politik yang ada di masa awal kemerdekaan. Maka PAS memandang adanya parti yang baru lahir selepas kemerdekaan yang cuba untuk merungkai Perlembagaan yang berkonsep kontrak sosial di antara rakyat dan kerajaan, khususnya terhadap Islam dan kedaulatannya. Adapun kepada PAS ditambah kuat lagi dengan perjanjian di hadapan Allah bagi menegakkan Islam yang sempurna.

Kalangan yang cuba mengugut PAS berasaskan kerusi pilihanraya atau kedudukannya dalam kerajaan, sepatutnya mengenali siapa PAS dalam sejarahnya. Bahawa PAS tidak boleh dikuburkan dengan jatuh kerajaan atau hilang kerusinya, bahkan PAS bangkit semula setelah ditendang keluar daripada BN pada tahun 1978 yang dikatakan tinggal dua kerusi batu nisan di Kelantan dan kosong kerusi di Terengganu.

Tiba-tiba PAS bangkit semula, sehingga Pengerusi BN di masa itu terpaksa memanggil kalangan berjenama Islam bagi menyelamatkan diri kerana kebangkitan semula PAS. Rupanya bukan bangkitnya hantu kubur, tetapi bangkit bersama Islam yang mulia dan tidak boleh dipadamkan cahayanya. Sebaliknya pemimpin BN yang mengkhianati PAS pula yang terpelanting keluar daripada partinya sendiri.

Melukut ditepi gantang,
Buka sanggul mencari kutu,
Orang takut akalnya hilang,
Jumpa tunggul disangka hantu.

PAS tidak mengharapkan Pakatan Harapan kerana mengenali semua mereka yang terlibat dengan penubuhannya yang tidak boleh dipercyai harapannya, kerana hanya bergantung harapan dalam kabinet bayangan dan konsep matlamat menghalalkan cara yang lemah.

Harapan PAS bersama Islam berpandukan janji Allah SWT:

وَلَا تَهِنُواْ فِي ٱبۡتِغَآءِ ٱلۡقَوۡمِۖ إِن تَكُونُواْ تَأۡلَمُونَ فَإِنَّهُمۡ يَأۡلَمُونَ كَمَا تَأۡلَمُونَۖ وَتَرۡجُونَ مِنَ ٱللَّهِ مَا لَا يَرۡجُونَۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا (النساء: ١٠٤ (

“Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam menghadapi lawan (yang menentang kamu) itu; kerana kalau kamu menderita sakit atau susah, maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya atau susah seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada Hari Akhirat kelak) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
(Surah An-Nisa’: 104)

Keyakinan PAS tetap bersama Islam yang berwawasan dunia sehingga Akhirat, bukan sahaja mempertahankan apa yang sudah dicatat dalam Perlembagaan itu, bahkan berusaha dan berjuang supaya disempurnakan mengikut Al-Quran dan kebijaksanaan Sunnah Rasulullah SAW, serta bekerjasama dengan sesiapa yang mahukan konsep kesempurnaan Islam ini ditegakkan.

Dalam masa yang sama, PAS mengajak umat Islam dan bukan Islam dalam masyarakat majmuk menolak kumpulan yang bersekongkol menghalang usaha yang mulia ini untuk kebaikan bersama.

Bagi umat Islam menjadi kewajipan aqidah, syariat dan akhlaknya menegakkan kepimpinan Islam dan mempertahankannya dalam negara ini supaya menjadi teras kedaulatannya.

PAS tidak mengira siapa sahaja yang mendukung cita-cita ini walaupun kehilangan kerusinya, kerana pergantungan PAS kepada Islam bukannya kerusi dan siapa orangnya. Kerusi hanya alat dan wadah melaksanakan kewajipan, apabila ada orang di atas kerusinya yang boleh menunaikan kewajipan, kita wajib menolongnya. Maka jangan dapat kerusi sahaja tanpa menunaikan amanah menegakkan Islam, tanpa menafikan betapa pentingnya kerusi yang dapat, dan PAS boleh berpijak bersama Islam kalau dinafikan kerusinya sekalipun. PAS tetap berusaha mendapatkan kerusi bagi memimpin atau menjadi pembangkang yang menasihat, bukan merosak. Bagi yang bukan Islam pula sudah cukup bersama kegagalan ideologi ciptaan manusia timur dan barat yang hanya untuk kebahagiaan segelintir manusia sahaja. Cukuplah menjadi hamba kepada segelintir manusia yang berkuasa dengan ideologi masing-masing, silalah pula memberi peluang kepada Islam yang telah menjadi agama kepada negara ini dalam lingkungan mentadbir dan mengurus berkonsepkan Islam yang adil terhadap semua dengan jaminan kebebasan beragama kepada penganut agama lain daripada Islam yang sudah dicatat dalam Perlembagaan Negara.

Kalangan bukan Islam juga wajib menolak parti fanatik kaum dan kumpulan yang berkonsep sekularisma seperti DAP dan kumpulannya (PH) yang memisahkan urusan kehidupan daripada agamanya sendiri dan boleh menukar agamanya dengan apa sahaja dan menjadi alat kepada siapa sahaja, demi kepentingan politik sementara.

Mereka sudah menunjukkan sifat negatifnya dengan hanya mentadbir negeri, belum lagi negara dan telah pun menunjukkan perangai yang boleh menempah ketegangan dalam masyarakat majmuk ini, lebih-lebih lagi menunjukkan keberaniannya mahu merungkai perkara asas dalam Kontrak Sosial yang telah diikat dalam Perlembagaan Negara. Berbeza dengan PAS di Kelantan yang boleh meneruskan perjuangannya walaupun dicekik dan dijerut lehernya, namun tetap tidak dapat dicucuk hidungnya.

Ahli PAS tidak boleh terikut dengan mereka yang tidak senang dengan pendekatan Islam bersama Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang diperkenalkan dan konsep Ta’awun yang ditunjukkan oleh Al-Quran dan Sunnah yang tidak sama dengan pembangkang di negara lain yang semata-mata membangkang dan berebut kerusi untuk memerintah tanpa mengira benar atau salah dan jauh sekali halal dan haramnya.

PAS tidak perlu terikut dengan propaganda pihak lain yang kononnya bimbang PAS ditipu oleh Umno, atau Umno ditipu oleh PAS, kerana Islam mengajar penganutnya bahawa urusan ikhlas dan niat menipu tidak mengira PAS atau Umno dan sesiapa sahaja adalah perkara tersirat yang menjadi urusan ilmu Allah dan balasannya dari Allah, urusan kita apa yang zahir sahaja.

Namun Allah mewajibkan perdamaian didahulukan dengan sesiapa sahaja termasuk musuh yang menentang Islam yang sedang berperang apabila bersedia menerima Islam secara damai tanpa membelah hati sanubarinya. Inilah maksud firman Allah:

۞وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ ٦١ وَإِن يُرِيدُوٓاْ أَن يَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُۚ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٦٢ وَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ حَكِيمٞ ٦٣ الأنفال.

“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (61) Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolongan-Nya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman. (62) Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (63)” (Surah Al-Anfal: 61-63)

Kalau berdepan dengan musuh, inilah konsepnya. Maka kita dalam satu negara Malaysia dan masyarakat majmuk bukannya musuh. Maka PAS tetap beristiqamah dengan konsep Islam didahulukan dan kerusi dibelakangnya, dengan mengenal siapa yang menentang Islam dan menghalang perjalanannya dan siapa yang boleh menerima Islam, bukan sekadar siapa yang menjanjikan kerusinya sahaja. PAS tetap beristiqamah bersama Islam, PAS bukan parti mengampu dan menumpang.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 19 Zulhijjah 1438 / 10 September 2017

Selasa, 30 September 2014

KEMANA PAS SELEPAS MUKTAMAR 2014


KE MANA PAS SELEPAS MUKTAMAR BHG -1


KE MANA PAS SELEPAS MUKTAMAR BHG -2

Jumaat, 29 Mac 2013

Tahan treler jelajah PAS 'arahan' pihak tertentu? ....... Gopeng


Gopeng: Akibat ditahan pihak berkuasa, program jelajah treler berkebajikan PAS yang dijadual berlangsung di Gopeng tertangguh lebih sejam malah terpaksa diubah dari Seksyen 18 ke tapak pasar malam Kampung Pengkalan Pegoh.

Timbalan Yang Dipertua PAS Gopeng, Radzi Zainon berkata, pihaknya kesal dengan penahanan dan pemeriksaan treler itu yang diyakini dibuat 'atas arahan' pihak tertentu bagi mengganggu program yang dianjur hari ini.

"Kita lihat bila Barisan Nasional (BN) buat program, bukan sahaja tiada halangan malah anggota keselamatan turut memberi kerjasama.

"Tetapi apabila Pakatan Rakyat, bermacam-macam halangan diwujudkan dengan tujuan untuk menakut-nakutkan rakyat agar tidak hadir ke tempat program tersebut,"
jelasnya kepada Harakahdaily.

Beliau yang kecewa dengan tindakan penahanan treler itu berkata, semua pihak sewajarnya bertindak profesional dalam dalam menangani perbezaan politik kerana Malaysia adalah sebuah negara yang demokrasi.

"Tindakan polis yang mengikut arahan pihak tertentu menyebabkan program kita terjejas lebih dari sejam.

"Bukan itu sahaja kita terpaksa mengubah lokasi ke tempat yang lain, dan kita khuatir jika meneruskan program di lokasi yang asal sudah pasti pelbagai perkara yang tidak diingini berlaku," katanya ketika ditemui di program jelajah di Pengkalan Pegoh.

Tengah hari tadi, lebih 30 anggota polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Cawangan Khas mengepung treler Negara Berkebajikan PAS di Gopeng saja keluar dari lebuhraya.

Konvoi jelajah Negara Berkebajikan PAS ditahan oleh pihak polis ketika dalam perjalanan ke tapak program di Pengkalan Pegoh.

Pihak polis menahan konvoi jelajah di Taman Pinji Perdana setelah mengejar konvoi tersebut yang melalui sekatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa.

Ketika ditanya tentang penahanan tersebut sehingga pihak polis terpaksa mengejar treler jelajah itu, mereka hanya memberi jawapan 'menjalankan tugas mengikut arahan dikeluarkan'.

Lebih kurang lima buah kereta peronda, empat buah motosikal berkuasa tinggi berada di tempat di mana konvoi tersebut ditahan.

Walaupun treler tersebut ditahan oleh pihak polis, namun pemeriksaan dilakukan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Konvoi jelajah yang ditahan hampir sejam itu dilepaskan setelah pihak JPJ membuat pemeriksaan dan mengambil segala maklumat dari rombongan konvoi.

Peguam PAS, Haji Asmuni Awi antara yang berunding dengan mereka bagi membolehkan perjalanan ke destinasi diteruskan.

Semalam, treler tersebut turut dihalang memasuki kawasan ceramah di Bandar Kamunting.

Difahamkan pihak polis membuat tiga sekatan jalan raya di laluan masuk ke tempat program tersebut mulai jam 6 petang lagi -HD









Jumaat, 16 September 2011

PAS tergugat di Kelantan

PAS tergugat di Kelantan: Pilihan raya olok-olok Umno dapat 100% undi? - Aslani M KOTA BHARU, 16 Sept: Ketika rakyat sibuk dengan sambutan Hari Malaysia, Umno Kota Bharu dan beberapa bahagian di sini kelam kabut pula mengadakan...

Sabtu, 23 Julai 2011

Umno juara mencelarukan pemikiran rakyat

MARANG - Umno adalah satu puak yang sangat suka sekiranya orang ramai keliru dengan sesuatu perkara penting kerana itulah peluang terbaik mereka untuk menangguk di air keruh.

Contoh yang terbaik adalah isu yang ditimbulkan mereka dengan mengatakan bahawa PAS sudah membuang dasar Islamnya semata-mata kerana tunduk kepada DAP dengan pengenalan tema muktamar Membangun Negara Berkebajikan baru-baru ini.

Mereka dengan sengaja memainkan isu itu melalui sodaldu-sodaldu mereka di merata-rata tempat dengan harapan isu itu akan mengelirukan masyarakat dan mempercayai bahawa Islam bukan lagi dasar yang diperjuangkan PAS.

Dalam ceramah yang diadakan di PASTI Bukit Payong semalam,Adun Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah telah merungkaikan kekeliruan itu dengan memberikan perbezaan antara dasar dengan tema muktamar.

Beliau menjelaskan bahawa dasar PAS dalam perlembagaannya,fasal 3 dengan jelas menyebut dasar PAS adalah Islam, sekaligus membuktikan dasar PAS masih meletakkan Islam di tempat teratas.

Manakala tema muktamar pula adalah untuk menjelaskan halatuju tahunan parti yang sentiasa berubah setiap tahun.

Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu turut menyentuh isu berkaitan BERSIH 2.0 dimana menurutnya situasi ketika perhimpunan aman itu menjelaskan kepada masyarakat bahawa Umno membenci orang melayu.

“Mengapa ketika tangkapan dibuat, mereka menangkap pemimpin melayu sahaja?Sedangkan Lim Kit Siang ada,Lim Guan Eng ada, tapi tak ditangkap, mengapa?

Sebab mereka nak tipu rakyat sedangkan sebenarnya mereka benci kepada pemimpin melayu yang lain dari mereka. Dalam ketika lain mereka kata mereka membela melayu,”terang beliau.

Ustaz Mohd Nor menegaskan, PAS sentiasa berusaha menjelaskan kepada rakyat perkara yang sepatutnya rakyat tahu kerana PAS adalah parti yang bertanggungjawab dan tidak mahu memperbodohkan rakyat hanya kerana ingin berkuasa.

Beliau mengakhiri ceramahnya dengan memberi peringatan terutamanya kepada Umno bahawa hidup ini bukan sekali di atas dunia ini sahaja,tetapi kita akan hidup sekali lagi dan dihisab oleh Allah sebelum kita dihantar samada ke syurga atau ke neraka.

Ceramah itu turut disertai oleh Badrul Hisham Shaharin (CheGu Bard) dan Ustaz Firdaus Jaafar (Ahli Parlimen Jerai).

Majlis kemudiannya dihangatkan pula oleh CheGu Bard (kanan) dengan pendedahan-pendedahan berserta fakta-fakta yang cukup merimaskan Umno BN.

Antaranya ialah apabila Umno mengamuk memainkan isu ketuanan melayu kerana Pulau Pinang diperintah Lim Guan Eng dari DAP.

Sedangkan ketika Umno mempunyai 15 kerusi DUN, dan Gerakan hanya bertahan dengan lapan kerusi pada tahun 2004, mereka dengan lapang dada mengangkat Koh Tsu Koon menjadi Ketua Menteri.

Menurut CheGu Bard yang juga Ketua Cabang Rembau, ini kerana asalkan puak-puak Umno dapat projek mereka tak kisah kalau melayu hancur sekalipun.

“Dalam isu tanah Kampung Baru, di Parlimen, Lim Kit Siang yang tentang cadangan untuk mengagihkannya kepada bukan melayu, akan tetapi pemimpin Umno setuju nak bagi.Ini ke melindungi hak melayu?,”tanya beliau.

Antara lain pendedahan yang dibuat ialah berkenaan perbelanjaan isteri Perdana Menteri Malaysia yang dia anggap saing tak tumpah seperti Imelda Marcos isteri bekas Presiden Filipina yang begitu gila berbelanja.

Juga berkenaan penyelewangan pemberian tanah di Felcra Sungai Malau, Perak yang telah diberikan kepada kroni yang tidak layak.

Bagi memahamkan pendengar tentang definasi demokrasi yang sebenar, beliau menerangkan dalam demokrasi sebenarnya kerajaan yang sepatutnya takut kepada rakyat.

Bukannya rakyat yang takutkan kerajaan seperti yang berlaku di Malaysia sekarang ini.

Beliau kemudiannya menggesa agar pendokong-pendokong PR agar sentiasa berusaha untuk mendekatkan diri dengan penyokong Umno bagi menyampaikan maklumat kepada mereka.

Ini kerana penyokong Umno telah dipesongkan pemikiran mereka oleh Umno daripada mendapat maklumat sebenar.

Manakala penceramah terakhir, Ustaz Firdaus Jaafar (kiri)pula yakin dan percaya bahawa pasukan polis boleh dibentuk menjadi lebih berhemah apabila PR memerintah.

Dan rakyat pasti tidak akan benci dan takut lagi kepada polis lagi dengan imej mereka yang sepatutnya melindungi rakyat dan lebih bersikap profesional.

Menyentuh berkenaan individu yang menfailkan saman kepada kerajaan Kelantan kerana mengharamkan judi, beliau hairan apa yang biro agama dan ulamak muda Umno lakukan.

Sedangkan mereka sentiasa melaung-laungkan bahawa mereka adalah parti yang melindungi Islam.

Berkenaan isu larangan pusat hiburan beroperasi dalam bulan ramadhan di Kedah pula, beliau berkata Umno dan MCA sendiri bercelaru dan tak sekata sesama mereka.

Umno setuju dengan kerajaan PAS Kedah untuk tidak membenarkan orang Islam dari memasuki pusat hiburan sedangkan MCA pula kata larangan itu menafikan hak asasi manusia.

Tetapi di Melaka,Umno tidak pula halang cadangan kerajaan negeri untuk melanjutkan masa operasi pusat hiburan dari pukul satu kepada pukul tiga.

Mengakhiri pidatonya, beliau meyakinkan pendengar bahawa PAS memerintah tidak dengan cara politik kampung seperti Umno, tetapi PAS mengangkat demokrasi

Jumaat, 22 Julai 2011

10 Sebab Mengapa rakyat Kelantan akan terus memilih PAS

10 Sebab Mengapa rakyat Kelantan akan terus memilih PAS 
Nik Abduh Menulis.. 

Mereka sepanjang masa bertanya saya, ” Adakah PAS akan kekal memerintah Kelantan?” Saya biasanya menjawab, “Ya, insya Allah. Itulah yang rakyat Kelantan mahukan.” Biasanya saya juga menambah sebelum beredar daripada soalan itu, ” Cuma UMNO terlalu mahu menang. Apabila mereka terlalu mahu menang, mereka meninggalkan Allah di kelam pandangan iman lalu mengenderai syaitan untuk memerangi PAS. Mereka menipu dan membeloti rakyat dan agama. Kepada Allahlah kita mengadu, berserah dan pasrah.”  Mengapa rakyat Kelantan akan terus memilih PAS untuk mengurus kehidupan mereka di Kelantan?

Anda perhatikan kehebatan rakyat Kelantan di bawah:

1- Agama adalah nyawa dan maruah diri mereka. Anda akan melihat bagaimana Islam terlalu mengawal pergerakan dan tingkah laku mereka dalam segala aspek. Oleh kerana PAS dikenali lama sebagai parti ugama, sedang UMNO pula dikenali sebagai parti dunia, sekular, kuasa, wang dan dendam, maka mudah sekali rakyat Kelantan memilih PAS tanpa syak dan ragu. 

2- PAS memiliki pemimpin ugama sebagai qudwah yang diikuti. Hampir tiada ulama besar di Kelantan untuk diminta fatwa dan nasihat kecuali mereka menyokong PAS dan perjuangannya. Rakyat Kelantan akan mudah merasa bersalah dan berdosa untuk memilih UMNO kerana mereka merasakan mereka tidak bersama dan tanpa restu para ulama. 

3- Politik adalah kopi ‘O’ rakyat Kelantan. Di sini, kopi diteguk di kedai – kedai makan untuk melawaskan perdebatan dan perbincangan perihal politik setempat dan tanah air. Dengan kesedaran politik yang tinggi, di samping isu – isu negara yang tidak menyokong kerajaan BN, adalah tidak sukar untuk rakyat Kelantan terus mengundi PAS lagi. 

4- Pembanguna fizikal di Kelantan tidak meruntuhkan binaan rohani sebagaimana begitulah senarionya di negara kita. Di Malaysia, kesima nafsu terhadap pembangunan fizikal telah meruntuhkan jiwa, akhlak dan ugama. Di Kelantan, kerancakan pembangunan fizikal tidak kehilangan arah dan kawalan. Malah, rakyat sedar bahawa kerajaan PAS menerapkan isi dan keberkatan di dalam pembangunan fizikal. 

5- Berakar dari bawah, segenap lapisan rakyat merasai kewujudan sebuah kerajaan berkebajikan yang cuba melaksanakan amanah kuasa dengan kehendak ugama. Sentuhan hangat daripada pihak penguasa dan rasa selamat dan dilindungi menjadi satu daya yang kuat untuk mereka terus memberi sokongan dan dukungan kepada PAS untuk terus memerintah Kelantan.

6- PAS kian diyakini kekuatan dan kemampuannya. 18 tahun memerintah Kelantan menjadikan PAS kuat dan mampu. Akhirnya kekuatan dan kemampuannya diyakini dan diterima rakyat tanpa rasa kekok, ragu dan rimas. PAS terbukti berjaya membuktikan ISLAM BOLEH! 

7- Rekod PAS bersih daripada penyelewengan dan rasuah oleh BPR sepanjang pemerintahannya. Ini secara kasarnya menakjubkan kerana rakyat sering menyaksikan medan politik negara yang penuh comot dengan rasuah dan penyelewengan. 

8- PAS, khususnya jentera pemudanya adalah rakan anak muda. Adalah diyakini anak – anak muda Kelantan begitu selesa dengan kepimpinan pemuda PAS di setiap peringkat yang sentiasa turun padang memberi khidmat dan bantuan bagi memenuhi keperluan dan kebajikan mereka. 

9- Hubungan baik dan intim antara kerajaan negeri dengan istana. Istana Kelantan yang menjadi payung agama dan rakyat jelata sentiasa di hati rakyat. Apabila hubungan di antara kedua – duanya dilihat baik dan selesa, rakyat Kelantan akan turut rasa selesa dan sejahtera. 

10- UMNO terlalu lemah. UMNO tiada pemimpin contoh, tiada pemimpin muda harapan, tiada jasa besar sebagai pembangkang, tiada janji yang menyelerakan rakyat dan tiada sebab untuk diberi peluang dan harapan. Di hadapan, rakyat melihat kecelakaan bakal mengiringi UMNO jika mereka melangkah masuk ke tampuk Kota Darul Naim sekal lagi.

Itulah 10 jika anda mahukan 10 yang sempurna dan ringkas. Asasnya, PAS lebih mendekati kehendak ugama, sedang UMNO hanyalah memperlakukan ugama sekehendak nafsunya. Asasnya, PAS lebih baik persembahannya berbanding UMNO. Asasnya, rakyat Kelantan cukup matang untuk menghukum kezaliman dan kepalsuan.  Tahniah rakyat Kelantan! Allahu akbar wa liLlahil hamd.

Sabtu, 16 Julai 2011

Satu jemaah secara khusus merujuk kepada kelompok manusia (umat) Islam. Satu jemaah hendak- lah terdiri daripada kelompok manusia yang beragama Islam. Jemaah mempunyai ahli-ahli yang komited dengan Islam.

Satu jemaah ialah satu kumpulan manusia. Jemaah ditubuhkan bagi mencapai matlamat tertentu. Matlamat sesuatu jemaah adalah berbeza. Ia juga berbeza dengan kumpulan manusia yang membentuk kelab, persatuan dan golongan kelompok. Kelab sukan misalnya ditubuhkan untuk mereka yang berminat dengan sukan. Keahliannya boleh dianggotai oleh lelaki remaja dan dewasa. Keahlian kelab juga boleh terbuka untuk semua kaum dengan tidak mengira jantina. Persatuan pula dianggotai oleh mereka yang mempunyai kepentingan yang sama seperti persatuan belia. Keanggotan persatuan biasanya lebih spesifik, tetapi boleh menyeluruh dan terbuka seperti terbuka untuk semua kaum dengan tidak mengira jantina tetapi untuk mereka yang berumur 21 tahun hingga 35 tahun.
Satu jemaah secara khusus merujuk kepada kelompok manusia (umat) Islam. Satu jemaah hendak- lah terdiri daripada kelompok manusia yang beragama Islam. Jemaah mempunyai ahli-ahli yang  komited dengan Islam. Seorang pemikir Islam, Dr. Adnan 'Ali Ridha Al-Annahwy di dalam bukunya Syura Bukan Demokrasi, menjelaskan jemaah ialah satu golongan manusia Islam yang mengikuti apa yang diturunkan oleh Allah. Jemaah ialah  kumpulan manusia yang mengikuti kebenaran serta mengagungkan syiar Allah dan mempraktiskannya. Mereka hanya membenarkan apa yang diseru oleh pendakwah menuju jalan yang benar. Daripada takrifan di atas,  kita akui bahawa jemaah boleh wujud di dalam pelbagai  bentuk selagi mana matlamat dan operasi perjalanannya  secara jelas dinyatakan untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. Di antara jemaah yang berpaksikan kepada  Al-Quran dan as-Sunnah ialah kelompok-kelompok manusia Islam di dalam parti PAS.
Kehidupan parti PAS bukan digerakkan oleh pemimpin parti. Kekuatan parti PAS digerakkan oleh kesatuan individu ahli-ahli PAS yang berada di cawangan. Jemaah inilah yang banyak berkorban bagi melihat parti PAS terus hidup dan semakin berkembang mengikuti perubahan zaman. Meskipun satu-satu jemaah itu mempunyai ahli yang ramai, namun jemaah tersebut mesti digerakkan oleh seorang ketua. Ketua dan jawatankuasa  cawangan akan dipilih melalui mesyuarat cawangan. Meskipun jemaah mempunyai jawatankuasa, namun orang yang paling terpenting didalam menggerakkan jemaah ialah ketua. Seorang ketua didalam jemaah beperanan sebagai khalifah Allah iaitu mengurus dan mentadbir jemaah melalui perlaksanaan dan praktis Islam sebagai budaya organisasi. Di dalam bertindak sebagai ketua beliau mestilah mengurus dan mentadbir dengan bijak. Beliau tahu tentang apa yang perlu dibuat bagi membangun jemaah. Di dalam istilah masa kini, beliau adalah seorang yang mempunyai wawasan. Beliau juga haruslah bijak di dalam mencari dan menyediakan banyak jalan bagi membolehkan jemaahnya berfungsi dan hidup. Apa yang jelas ialah seorang ketua ialah seorang yang tidak boleh duduk diam. Otaknya harus sentiasa berfikir mengenai cara-cara untuk mengurus dan membangun jemaah. Sekiranya seorang ketua ialah seorang yang kurang bijak, pemikiran beliau mungkin terbatas. Kesannya jemaah itu tidak boleh berjalan di sepanjang waktu. Perjalanan jemaah jadi bermusim. Biasanya akan bergerak bila dekat dengan pilihanraya atau kerana desakan pemimpin atasan. Kalau tidak jemaah hanya tinggal nama saja.
Meskipun kewujudan ketua penting, pengorbanan ahli jemaah di dalam menjalankan kerja-kerja jemaah merupakan perkara yang lebih penting bagi kehidupan jemaah. Kerja jemaah bukanlah kerja bergaji seperti yang diterima oleh pekerja yang bekerja dengan syarikat. Ahli-ahli jemaah mestilah sanggup bekerja keras dengan tidak mengira ganjaran yang boleh diterima. Harus kita ingat adakala masanya ahli jemaah terpaksa  mengeluarkan wang sendiri bagi satu-satu kerja jemaah. Di dalam hidup berorganisasi pula, ahli jemaah merupakan pengikut kepada pemimpin. Ahli jemaah mestilah akur dan patuh kepada arahan ketua. Arahan atau pemintaan itu juga perlulah kena dengan situasai tertentu.
Apa yang jelas, di dalam kehidupan berjemaah, kerjasama di antara ketua dan pengikut merupakan faktor terpenting penggerak jemaah.