Sabtu, 16 Julai 2011

Satu jemaah secara khusus merujuk kepada kelompok manusia (umat) Islam. Satu jemaah hendak- lah terdiri daripada kelompok manusia yang beragama Islam. Jemaah mempunyai ahli-ahli yang komited dengan Islam.

Satu jemaah ialah satu kumpulan manusia. Jemaah ditubuhkan bagi mencapai matlamat tertentu. Matlamat sesuatu jemaah adalah berbeza. Ia juga berbeza dengan kumpulan manusia yang membentuk kelab, persatuan dan golongan kelompok. Kelab sukan misalnya ditubuhkan untuk mereka yang berminat dengan sukan. Keahliannya boleh dianggotai oleh lelaki remaja dan dewasa. Keahlian kelab juga boleh terbuka untuk semua kaum dengan tidak mengira jantina. Persatuan pula dianggotai oleh mereka yang mempunyai kepentingan yang sama seperti persatuan belia. Keanggotan persatuan biasanya lebih spesifik, tetapi boleh menyeluruh dan terbuka seperti terbuka untuk semua kaum dengan tidak mengira jantina tetapi untuk mereka yang berumur 21 tahun hingga 35 tahun.
Satu jemaah secara khusus merujuk kepada kelompok manusia (umat) Islam. Satu jemaah hendak- lah terdiri daripada kelompok manusia yang beragama Islam. Jemaah mempunyai ahli-ahli yang  komited dengan Islam. Seorang pemikir Islam, Dr. Adnan 'Ali Ridha Al-Annahwy di dalam bukunya Syura Bukan Demokrasi, menjelaskan jemaah ialah satu golongan manusia Islam yang mengikuti apa yang diturunkan oleh Allah. Jemaah ialah  kumpulan manusia yang mengikuti kebenaran serta mengagungkan syiar Allah dan mempraktiskannya. Mereka hanya membenarkan apa yang diseru oleh pendakwah menuju jalan yang benar. Daripada takrifan di atas,  kita akui bahawa jemaah boleh wujud di dalam pelbagai  bentuk selagi mana matlamat dan operasi perjalanannya  secara jelas dinyatakan untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. Di antara jemaah yang berpaksikan kepada  Al-Quran dan as-Sunnah ialah kelompok-kelompok manusia Islam di dalam parti PAS.
Kehidupan parti PAS bukan digerakkan oleh pemimpin parti. Kekuatan parti PAS digerakkan oleh kesatuan individu ahli-ahli PAS yang berada di cawangan. Jemaah inilah yang banyak berkorban bagi melihat parti PAS terus hidup dan semakin berkembang mengikuti perubahan zaman. Meskipun satu-satu jemaah itu mempunyai ahli yang ramai, namun jemaah tersebut mesti digerakkan oleh seorang ketua. Ketua dan jawatankuasa  cawangan akan dipilih melalui mesyuarat cawangan. Meskipun jemaah mempunyai jawatankuasa, namun orang yang paling terpenting didalam menggerakkan jemaah ialah ketua. Seorang ketua didalam jemaah beperanan sebagai khalifah Allah iaitu mengurus dan mentadbir jemaah melalui perlaksanaan dan praktis Islam sebagai budaya organisasi. Di dalam bertindak sebagai ketua beliau mestilah mengurus dan mentadbir dengan bijak. Beliau tahu tentang apa yang perlu dibuat bagi membangun jemaah. Di dalam istilah masa kini, beliau adalah seorang yang mempunyai wawasan. Beliau juga haruslah bijak di dalam mencari dan menyediakan banyak jalan bagi membolehkan jemaahnya berfungsi dan hidup. Apa yang jelas ialah seorang ketua ialah seorang yang tidak boleh duduk diam. Otaknya harus sentiasa berfikir mengenai cara-cara untuk mengurus dan membangun jemaah. Sekiranya seorang ketua ialah seorang yang kurang bijak, pemikiran beliau mungkin terbatas. Kesannya jemaah itu tidak boleh berjalan di sepanjang waktu. Perjalanan jemaah jadi bermusim. Biasanya akan bergerak bila dekat dengan pilihanraya atau kerana desakan pemimpin atasan. Kalau tidak jemaah hanya tinggal nama saja.
Meskipun kewujudan ketua penting, pengorbanan ahli jemaah di dalam menjalankan kerja-kerja jemaah merupakan perkara yang lebih penting bagi kehidupan jemaah. Kerja jemaah bukanlah kerja bergaji seperti yang diterima oleh pekerja yang bekerja dengan syarikat. Ahli-ahli jemaah mestilah sanggup bekerja keras dengan tidak mengira ganjaran yang boleh diterima. Harus kita ingat adakala masanya ahli jemaah terpaksa  mengeluarkan wang sendiri bagi satu-satu kerja jemaah. Di dalam hidup berorganisasi pula, ahli jemaah merupakan pengikut kepada pemimpin. Ahli jemaah mestilah akur dan patuh kepada arahan ketua. Arahan atau pemintaan itu juga perlulah kena dengan situasai tertentu.
Apa yang jelas, di dalam kehidupan berjemaah, kerjasama di antara ketua dan pengikut merupakan faktor terpenting penggerak jemaah.