Selasa, 18 September 2018

Rakyat mahu kerjasama Pas-Umno

Kerjasama Pas dan Umno merupakan kehendak rakyat sejak dua ke tiga puluh tahun lalu.

Veteran Pas, Subky Latif berkata, parti itu menyambut baik dan menghormati permintaan rakyat tersebut kerana tidak mahu mereka marah.

"Rakyat dan umat Islam tuntut supaya Pas dan Umno ini mesti berdamai. Pas menghormati rakyat sebab kita tidak mahu mereka letakkan kesalahan ke atas Pas kerana tidak bersikap terbuka.

"Sekarang adalah masa terbaik untuk Umno rapat dengan Pas. Oleh kerana itu, kita menerima gencatan senjata selepas 60 tahun menjadi musuh politik," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Bagaimanapun, Subky yang juga Pengerusi As-Sabiqun Pas secara peribadi berpandangan, masih terlalu awal untuk kedua-dua parti itu bersatu.

"Sekarang orang cakap pasal bersatu, itu satu perkara yang baik. Tetapi oleh kerana kita ada latar belakang dan pandangan politik yang berbeza, bersatu itu terlalu awal.

"Jadi yang paling baik pada masa lima enam tahun ini, kita bukan bercakap pasal bersatu. Pas dan Umno tak boleh bersatu tetapi boleh berdua," katanya.

Menurut beliau, dalam keadaan politik ketika ini, Pas tidak mengelak daripada berteman.

"Sekarang Pas dan Umno berdua, maknanya kita boleh berbincang dan berkawan. Islam kata kalau kita nak pergi mana-mana tak boleh seorang kena ada teman, sebab itu kita mesti berdua.

"Namun, Pas atas sikapnya pembangkang kita mahu beramai-ramai. Dengan pembangkang keseluruhannya kita beramai-ramai tetapi dengan Umno kita berdua," katanya.

............oo000oo...........
MINDARAKYAT