Selasa, 28 Ogos 2018

Kenapa PAS sokong MCA?

Oleh:
DATO' DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI

SANGAT menarik untuk difahami gesaan Presiden PAS agar ahli PAS memberikan sokongan kepada MCA dalam PRK Balakong. Gesaan beliau sudah tentu mendapat respon negatif daripada penyokong PH. Hal ini kerana mereka sudah mula boleh mencium bala yang akan menimpa politik PH sekiranya PAS mampu bekerjasama dengan MCA dalam PRK atau PRU akan datang.

Seorang Ahli Parlimen DAP di Dewan Rakyat pada minggu lepas pernah menjerit-jerit tanpa menggunakan pembesar suara "kenapa PAS sokong MCA yang tolak Hudud?". Ia satu gambaran betapa mereka tidak memahami prinsip PAS apabila bersama dan menyokong DAP dalam Pakatan Rakyat suatu ketika dahulu.

Malah, saya sendiri berucap menjelaskan kewajipan mengundi calon DAP dalam satu program besar PAS di Kuala Selangor sebelum PRU13 dengan hujah dan dalil syarie sebagaimana sekarang saya berhujah untuk jangan mengundi DAP juga dengan hujah dan dalil syarie.

Jawapannya adalah ia semata-mata kerana prinsip dan dasar. Prinsip dan dasar itu mewajarkan PAS sama ada menyokong atau tidak menyokong DAP atau MCA atau PKR atau mana-mana parti politik dalam konteks pilihanraya sebagai satu strategi.

Prinsip dan dasar itu ialah:

PERTAMA: Kerjasama untuk memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat. Inilah titik kebersamaan yang mewajarkan hubungan kerjasama antara parti politik.

KEDUA: Menerima bahawa dasar perjuangan politik PAS ialah Islam dan tidak mempertikaikannya. Selagi sesebuah parti tidak mempertikaikan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS serta menerimanya sebagai hak demokrasi PAS maka PAS boleh sahaja bekerjasama dengan mereka.

KETIGA: Menerima pakai prinsip "bersetuju untuk tidak bersetuju" sebagai prinsip bersama dalam menyelesaikan perbezaan dasar dan pandangan parti masing-masing.

DAP tentunya tidak bersetuju dengan perjuangan menegakkan undang-undang jenayah Islam atau dipanggil dengan bahasa mudah oleh orang awam sebagai "hudud".

Tetapi dulunya mereka menerima ia sebagai perjuangan PAS dan menerima bahawa PAS telah mengkanunkannya sebagai undang-undang di Terengganu dan Kelantan. PAS dan DAP saling bersetuju bahawa itu antara perkara yang tidak dipersetujukan bersama. Ini adalah prinsip penting dalam membina kebersamaan.

Maka atas dasar persetujuan itulah PAS bersama dengan DAP, dan oleh kerana mereka melanggar persetujuan itu juga maka PAS tidak lagi bersama DAP.

KEEMPAT: Prinsip menilai mudarat yang ringan dan berat. Ia adalah prinsip Islam yang dipegang oleh PAS. Apabila bertembung antara dua kemudaratan yang akan timbul dari sokongan terhadap mana-mana pihak dalam pilihanraya maka sokongan diberikan kepada pihak yang lebih ringan kemudaratannya agar kemudaratan yang lebih besar boleh tertolak. Prinsip sebegini tidak mungkin dapat difahami oleh ahli dan parti politik yang tidak berprinsip.

Dalam PRK Balakong, penilaian PAS ialah menyokong DAP yang telah menjadi kerajaan dengan pelbagai desakan mereka yang mengancam Islam dan Melayu adalah lebih mudarat berbanding menyokong MCA yang berstatus pembangkang meskipun dasar dan perjuangan MCA mungkin tidak berbeza banyak dengan DAP.

Dalam PRK Sg Kandis, PAS memberikan sokongan kepada calon UMNO atas dasar kepentingan bersama menolak ancaman PH sebagai sebuah kerajaan meskipun PAS dan UMNO mempunyai dasar dan prinsip berbeza dalam beberapa perkara. Justeru, kali ini hasilan daripada itu, PAS pula mendapat dokongan UMNO untuk PRK Seri Setia.

Inilah prinsip-prinsip umum yang melatari pendirian PAS dalam bekerjasama atau tidak dan menyokong atau tidak menyokong mana-mana pihak. Prinsip ini tentunya gagal dihayati oleh parti dan orang politik yang tidak berprinsip.

Atas dasar ini semua, PAS akan terus melayari bahtera politik di negara ini sebagai sebuah parti berprinsip yang terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk DAP sekalipun.

“Sejahtera Bersama Islam”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Isnin, 20 Ogos 2018 | 08 Zulhijjah 1439 – HARAKAHDAILY 20/8/2018