Selasa, 2 Januari 2018

SELAMAT BERJAYA DATO' MAHFUZ OMAR

KENYATAAN MEDIA PESURUHJAYA PAS KEDAH

1. Pengumuman Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato' Mahfuz Omar, keluar PAS tidak menimbulkan kejutan kepada PAS Kedah malah telah pun dijangkakan sebelum ini.

2. Sebelum ini pendirian dan kenyataan beliau yang dilihat sering bercanggah dari keputusan parti , membuatkan keputusan berkenaan diterima ahli PAS dalam keadaan bersahaja tanpa sebarang kejutan.

3.Walau pun Dato' Mahfuz pernah menjadi Pesuruhjaya PAS Kedah dan menerajui PAS Kawasan Pokok Sena sekian lama namun tindakan beliau keluar parti dilihat tidak dapat mempengaruhi ahli-ahli PAS yang istiqamah memperjuangkan hak-hak politik berasaskan Islam.

4. Bagi PAS Kedah, memberi tumpuan khususnya kepada pembinaan kefahaman tuntutan bersiyasah beracuankan syariat Islam serta pengukuhan jentera pilihanraya disetiap peringkat adalah lebih utama selain melebarkan pendekatan 'Budaya Politik Matang Sejahtera' menerusi ruang demokrasi kepada masyarakat berbilang kaum.

5. Walau bagaimana pun, sekali lagi PAS Kedah mengingatkan agar jangan lupa baiah yang dilafazkan ketika dipilih menjadi calon pilihanraya terutama kepada mereka yang telah mengisytiharkan diri keluar daripada PAS dengan membawa kerusi PAS sama ada Parlimen atau pun Dun.

6. Justeru itu, sebagai seorang Islam, berpegang teguh kepada janji itu menjadi kewajipan seperti mana kata pepatah 'Kerbau berpegang kepada tali, manusia berpegang kepada janji'.

DR. AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZI
PESURUHJAYA PAS KEDAH