Rabu, 3 Januari 2018

Penerapan Budaya Politik Matang & Sejahtera (BPMS) di dalam Perang Media Sosial

(Baca ni dengan akal yang dipandu dengan iman, faham dan hadamkan)

[ETIKA DI MEDIA SOSIAL]

Oleh: Dr. Ismail

Media sosial seperti Facebook merupakan salah satu platform yang digunapakai oleh parti politik sebagai medium penyebaran maklumat dan penerangan kepada masyarakat umum. Kadangkala medium sosial ini juga disalahgunakan untuk tujuan penyebaran fitnah dan penyelewengan fakta bagi mengubah persepsi umum mengenai sesuatu isu. Maka wujudlah kumpulan-kumpulan tentera siber (cybertroopers) samada secara rasmi atau tidak yang menjadi proksi kepada parti politik yang disokong. Kumpulan-kumpulan tentera siber seperti Red Bean Army (RBA), Blue Wave Army (BWA), Jebonesta dan lain-lain telah diwujudkan untuk bertarung di alam siber. Sebahagian daripada mereka mempunyai gerak-kerja yang berstrategi dan tersusun.

Penyokong PAS juga tidak ketinggalan dalam mempertahankan dan menangkis serangan-serangan saraf dari pihak musuh. Tetapi kita perlu ingat bahawa perlakuan kita masih tertakluk di bawah syariat islamiyyah. Bagi melestarikan agenda Budaya Politik Matang & Sejahtera (BPMS) yang dibawa oleh PAS, saya dengan rendah dirinya mencadangkan beberapa etika yang perlu dititik-berat oleh panglima-panglima perang PAS di alam siber:-

1. ELAKKAN DARIPADA MENGGUNAKAN KATA-KATA KESAT

Setiap satu daripada kita adalah cerminan kepada kumpulan yang kita sokong. Sebagai seorang yang membawa panji parti yang meletakkan Islam sebagai paksi utama, maka perlulah kita hindari daripada menggunakan kata-kata kesat ketika berdebat di dalam media sosial. Janganlah kerana kata-kata buruk kita menjadi fitnah dan asbab masyakarakat umum menjadi semakin jauh daripada PAS dan islam.

2. FOKUS DALAM MENERANG BUKAN MENYERANG

Gunakan platform media sosial sebagai salah satu peluang untuk menerangkan agenda yang cuba dibawa oleh PAS sebagai contoh isu RUU Pindaan Akta 355, ‘stand’ PAS di dalam isu seperti korupsi, 1MDB, penindasan terhadap masyarakat dan sebagainya. Elakkan daripada membuang masa dengan menyerang Facebook page kumpulan lain.

3. ELAKKAN DARIPADA MENGGUNAKAN LABEL-LABEL YANG BURUK

Elakkan daripada menggunakan label-label yang buruk seperti ‘PANDAP’, ‘DAPPIGS’ kerana ini bukanlah akhlak kita sebagai seorang Islam. Berhujahlah dengan bahasa yang sopan tetapi tegas dengan pihak lawan.

4. JANGAN MUDAH MELATAH DENGAN PROVOKASI MUSUH

Terdapat pihak-pihak musuh yang seringkali melakukan provokasi melalui pos Facebook ataupun komen-komen mereka. Kita perlu berwaspada untuk tidak mudah melatah dengan provokasi sebegini. Perlu ingat, sebahagian daripada strategi musuh adalah untuk mewujudkan persepsi ahli PAS sebagai tidak berakhlak. Maka mereka akan menggunakan label seperti ‘walaunta’ ‘pemakan dedak’ dan sebagainya. Kebanyakan tentera siber yang menggunakan profil samaran dan tidak bernama, mereka ini tiada akauntabiliti terhadap apa yang mereka poskan. Sebaik-baiknya abaikan berhujah dengan golongan ini kerana agenda mereka bukan untuk mendapatkan kebenaran, tetapi hanyalah mahu memburukkan kumpulan yang lain.

5.ELAKKAN DARIPADA MENGGUNAKAN PROFIL SAMARAN

Sebagai seorang yang memperjuangkan apa yang dibawa oleh Islam, kita perlulah menjaga integrity kita di dalam media sosial. Elakkan daripada menggunakan profil samaran atas tujuan berhujah di alam siber. Setiap individu perlulah bertanggungjawab atas penulisan-penulisan mereka. Walaupun penggunaan profil samaran melepaskan kita daripada tanggungjawab di dunia, kita tidak dapat lari dari pembalasan di Akhirat kelak.

Semoga apa yang disampaikan di sini sedikit sebanyak memberi peringatan terutamanya buat diri ini yang sering lupa dan juga kepada sahabat-sahabat di luar sana. ”Qul Amantu Billah Tsumma Istaqim” (Katakanlah, aku beriman kepada Allah, dan lalu bersikaplah istiqamah!)

*Penulis ialah seorang pakar psikiatri yang sedang menghabiskan latihan sub-kepakaran di Ireland yang beristiqamah dengan PAS.

#profesionalistiqamah
#movingforward
#beristiqamahhinggakemenangan