Isnin, 8 Januari 2018

Melayu, Marilah Bersatu Dengan Tali Allah

Secara umumnya, Melayu adalah bangsa yang menganut ajaran Islam di Tanah Melayu atau Malaysia sekarang ini. Mereka merupakan satu rumpun kaum yang secara sejarahnya dikatakan menetap di rantau nusantara ini sejak lebih 25 ribu tahun lalu. Arkeologi Lembah Bujang yang menghubungkan Negeri Lindungan Kedah Tua di era Kerajaan Langkasuka dan Srivijaya serta Kota Tampan di Lenggong pula membuktikan sejarah di penempatan di lokasi tersebut dikuasai pengaruh agama Hindu dan Buddha sebegitu lama. Disebabkan catatan sejarahnya amat kabur, tidak banyak bukti ilmiah yang menerangkannya. Namun orang Melayu Jawa yang beragama Hindu yang kemudiannya membentuk komuniti mereka berpindah ke Bali membuktikan sejarahnya bahawa terdapat orang Melayu yang beragama Hindu.

Dalam konteks Malaysia, Melayu dan Islam adalah satu pengsebatian yang dibuktikan oleh sejarah terkemudian. Kerajaan Melayu Melaka, Acheh, Pasai, dan Patani. Di nusantara ini telah mengalami satu perubahan sejarah yang mengkagumkan. Perkembangan Islam dalam dunia Melayu di nusantara mencorak dimensi baru ke atas pola peradaban Melayu hingga ke saat ini. Ia bermula dari era perdagangan laut dunia ketika zaman awal perkembangan Islam.

Di Tanah Melayu penyebaran agama Islam amat unik. Ia berlaku tanpa sebarang pertumpahan darah. Kemasukan Islam di Tanah Melayu bermula selepas Parameswara Raja Melaka memeluk Islam dalam abad ke-15. Pengislaman Parameswara tidak mempunyai hubung kait dengan kekayaan yang dimiliki oleh pedagang-pedagang Islam yang berurusan di Melaka. Malah ketika itu pedagang dari India, China dan Eropah juga turut berurusan di perairan Melaka. Cuba anda bayangkan bagaimana usaha dakwah yang dilakukan oleh mubaligh Islam ketika itu untuk mengislamkan seorang raja yang berkuasa dan berpengaruh. Menukar agama bukan semudah penukaran barang dagangan atau pakaian sutera yang tersarung di badan. Penukaran agama lama kepada agama baru melibatkan pengorbanan ke arah pengabdian spiritual dan fizikal yang amat berat dan sukar. Namun pendakwah-pendakwah Islam yang datang dari Arab, Parsi, India dan China ketika itu berjaya mengislamkan Raja Melaka. Rahsia pengislaman Parameswara adalah dikaitkan dengan keindahan akhlak yang ditunjukkan oleh orang-orang Islam ketika berurusan di pelabuhan Melaka.

Budi pekerti, menepati janji serta bersopan santun sebagaimana yang dianjurkan Islam dipratikkan secara zahir dan batin oleh pedagang-pedagang Islam ketika itu. Dikisahkan sebelum Parameswara memeluk Islam, pada suatu hari, baginda telah melihat perlakuan sekumpulan pedagang-pedagang Islam yang sedang solat berjamaah. Baginda kagum melihat perpaduan mereka dalam pelaksanaan ibadah kerana mereka terdiri daripada pelbagai bangsa seperti Arab, Parsi, India dan China melakukan perlakuan yang sama dengan diketuai oleh seorang imam. Selepas tamat berjamaah mereka berjabat salam tanpa membezakan negara yang mereka datang serta warna kulit yang mereka miliki. Mereka saling berpelukan dan beramah mesra bagaikan bersaudara sedangkan mereka baru pertama kali bertemu.

Sebagai seorang raja, Parameswara menyedari sekiranya diri beliau dan seluruh rakyatnya memiliki akhlak dan keperibadian sebagaimana yang ditunjukkan oleh pedagang-pedagang Islam tersebut nescaya Melaka akan menjadi aman, makmur dan sejahtera. Tidak akan berlaku rasuah, terhapus segala kemiskinan, golongan kaya akan bermurah hati membantu yang miskin, rakyat akan bersatu padu, jenayah akan dibasmi dan pemerintahan baginda akan dihormati dan disegani. Islamnya Parameswara memberi kesan yang besar kepada Melaka sehingga hampir semua pembesar dan rakyat Melaka menerima Islam. Maka terbentuklah sebuah tamadun Melayu yang berasaskan dari ketamadunan Islam yang kemudiannya berkembang ke seluruh pelusuk Tanah Melayu.

Islam adalah ajaran yang mengajar supaya seluruh umatnya bersatu padu dan jangan berpecah belah. Antaranya apa yang difirmankan oleh Allah di dalam surah Aali-Imran ayat 103-105;

وَاعْتَصِمُواْ بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُواْ وَاذْكُرُواْ نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاء فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىَ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

“Dan berpegang teguhlah kamu dengan Tali Allah (Islam) dan janganlah kamu berpecah belah dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu dengan nikmat Islam), maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di jurang api neraka lalu Allah menyelamatkan kamu dari neraka itu. Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya supaya kamu mendapat petunjuk-Nya.”

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang mengajak ke arah kebaikan, menegakkan yang makruf (syariat) dan mencegah kemungkaran dan mereka adalah golongan yang beroleh kejayaan.”

وَلاَ تَكُونُواْ كَالَّذِينَ تَفَرَّقُواْ وَاخْتَلَفُواْ مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْبَيِّنَاتُ وَأُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang berpecah belah dan berselisih setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata. mereka yang bersifat demikian akan beroleh azab seksa yang besar.”

Mengambil iktibar dari ayat di atas, kita sewajarnya insaf bahawa Allah menyuruh kita berpegang teguh dan bersatu padu dengan Tali Allah (Islam) yang kukuh dan utuh. Tanpanya umat akan binasa. Justeru itu saya tidak nampak sebab kenapa orang Melayu yang rata-ratanya beragama Islam tidak boleh bersatu di atas nama Islam.

Orang Melayu mesti kembali kepada agama Islam dengan segala syariat dan syiarnya. Tinggallah faham nasionalis (perkauman) dan berhijrahlah jasad, pemikiran dan aqidah (keyakinan) kepada Islam agama yang dianuti bersama. Islamlah yang menjadikan kita mulia dan hebat. Tanpa Islam maka apalah ertinya Melayu? Aslim Taslam (Islamlah nescaya kamu selamat).

Perpaduan yang dibina diatas premis material, perkauman yang sempit dan pengaruh serta kuasa adalah perpaduan yang rapuh dan tidak mendapat restu Allah, Tuhan yang mencipta kita. Ambillah premis Islam sebagai asas perpaduan yang dicari agar kita kukuh, hebat dan berdaulat serta Allah meredhai kita. Harta dan kuasa tidak boleh menyatukan manusia sebaliknya hati manusia hanya boleh diikat dengan Islam. Lihat bagaimana penegasan Allah di dalam firman-Nya (surah al-Anfaal ayat 63);

وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ لَوْ أَنفَقْتَ مَا فِي الأَرْضِ جَمِيعًا مَّا أَلَّفْتْ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ إِنَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Dan Dia-lah yang menyatupadukan di antara hati-hati mereka. Kalaulah engkau belanjakan segala harta benda yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu padukan di antara hati mereka. Akan tetapi Allah telah menyatukan-padukan di antara hati mereka. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”

Islam tidak pernah menghalang kita berbangga dengan bangsa dan bahasa kita malah Nabi sallallahu‘alaihi wasallam juga sangat menyintai bangsa dan bahasanya, namun apa yang penting ialah bangsa dan bahasa itu ditegakkan di atas nilai Islam yang suci sebagai agama yang diturunkan oleh Allah dan Islam menjadi platform perjuangannya.

Negara kita Malaysia hanya mempunyai sebuah platform atau parti (PAS) yang berjuang untuk menegakkan Islam dan mendaulatkannya. Objektif perjuangannya adalah untuk menegakkan keadilan, kesejahteraan dan kedamaian sebagaimana ia menjadi sebahagian dari nilai Islam yang diperjuangkan. Tanpa saya menafikan kebaikan orang lain, saya menyeru kepada seluruh umat Melayu dalam negara ini, marilah kita bersama dan bersatu dengan perjuangan Islam (Tali Allah) ini sebagai platform yang kukuh dan diredhai oleh Allah. Ingatlah Firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 256;

لاَ إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِن بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىَ لاَ انفِصَامَ لَهَا وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

“Tiada paksaan untuk menganut agama Islam, kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran Islam dari kesesatan. Oleh itu, sesiapa yang mengkufurkan (tidak percayakan) thaghut dan ia beriman pula kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang teguh dengan simpulan tali Allah yang kukuh yang tidak akan putus. Dan ingatlah, Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

PAS adalah parti politik yang berteraskan perjuangan Islam dan orang Melayu yang menjadi musuh ketat kepada penjajah Inggeris di Tanah Melayu satu ketika dahulu. PAS sentiasa merancang dan melaksana pelbagai gerakan sama ada gerakan dakwah mahupun perang saraf untuk menghalau penjajah dari bertapak di Tanah Melayu. Gerakan-gerakan penentangan yang dipelopori oleh guru-guru sekolah agama rakyat menjadi tunjang kebangkitan orang Melayu menentang penjajahan Inggeris. Inilah antara penyebab mengapa Inggeris terlalu marah kepada gerakan dan pertubuhan Islam terutamanya PAS.

Oleh kerana itu, PAS menganggap perjuangan umat Melayu yang tidak berasaskan Islam hanya akan menjerumuskan mereka ke lembah maksiat dan mungkar. Melanggar perintah Allah lalu terperangkap dalam penyelewengan, penyalahgunaan kuasa serta penindasan ke atas golongan yang lemah. Lantaran mereka tidak mempunyai pertimbangan dosa dan pahala, mereka sentiasa dijurang kemurkaan Allah. Tanpa segan silu dan rasa bersalah, mereka melakukan rasuah, berjudi, minum arak, mendedahkan aurat, bergaul bebas, berzina, menggelapkan wang, peras ugut dan 1001 kefasadan.

Persoalannya kenapa susah sangat kita orang Melayu untuk kembali kepada Islam? Apakah kerana kita meletakkan ideologi yang dicipta oleh manusia itu lebih tinggi dari wahyu Allah? Lalu sayang untuk meninggalkan ideologi tersebut? Jika semua pihak ikhlas dan jujur mahu mencari masa depan yang baik untuk umat Melayu, agar Melayu menjadi hebat, mulia dan terpandang maka satu-satu jalan yang ada dihadapan kita hari ini ialah Islam.

Islam adalah Ad-Din yang bersifat sejagat atau syumul. Islam tidak didominasi oleh sesuatu kaum walaupun Islam diturunkan kepada Nabi Mumammad dari kaum Arab Quraish. Bangsa Arab atau kaum Quraish juga tidak menyempitkan Islam sebagai satu penguasaan hakiki di kalangan mereka sahaja, wal hal dalam konteks sejarah, mereka tidak dipersalahkan sekiranya meletakkan kaum mereka di status demikian. Hakikatnya Islam telah dianuti pelbagai suku bangsa, pelbagai budaya dan pelbagai adat resam tanpa sempadan benuanya.

Hari ini, ada orang pertikaikan kemana hilangnya kuasa politik orang Melayu? Bagaimana nasib orang Melayu yang kian terpinggir di kampung-kampung dan desa? Kenapa Melayu mesti bercakaran sesama sendiri? Apakah selamanya mereka tidak boleh bersatu?

Menjawab kepada semua persoalan itu, saya gesa kepada seluruh pemimpin-pemimpin Melayu khasnya supaya kembali kepada ajaran dan amalan Islam, agama yang dianuti oleh mereka dan agama yang mempunyai Tuhan yang satu, Kitab yang satu, Nabi yang satu, Kiblat yang satu.

Apabila umat Melayu bersatu di atas premis yang kukuh ini iaitu Islam, maka perpaduan itu menjadikan mereka kuat dan utuh. Mereka akan miliki kuasa politik. Nasib mereka akan terbela dengan amalan kebajikan dan takaful yang disyariatkan oleh Islam. Mereka akan menjadi mulia dengan kemulian akhlak Islam yang menghiasi diri mereka. Mereka akan bersatu dan berdamai dengan plan ukhuwah serta toleransi yang disyariatkan oleh Islam. Ertinya Islam menjadikan Melayu hebat dan mulia.

Biodata Penulis
Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi merupakan bekas Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM). Beliau pernah mendapat pendidikan di Maahad Fathul Islami Damascus, Syria dan Universiti Al Azhar, Tanta, Mesir. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.