Kalau PAS Betul, Kenapa Ada Yang Keluar?
Berada dalam PAS yang dipenuhi dengan program Tarbiyyah sangat mendidik dan membentuk jiwa agar sentiasa sedia berkorban demi Islam, sama ada dalam keadaan susah dan senang, kedua situasi tersebut tidak pernah menjadi penghalang untuk menjadi penolong kepada agama Allah SWT.
Para amilin PAS begitu bersemangat untuk hadir dengan harapan agar program anjuran PAS
berjaya dan juga sebagai tanda sokongan kepada PAS dan kepimpinannya tanpa berbelah bagi. Tiada manusia yang sanggup berpenat lelah secara percuma, melainkan jika ada impaknya, sama ada dunia mahupun Akhirat.
Mereka datang tanpa dibayar, malahan merekalah yang membayar, sejak dulu sehingga kini, itu lah PAS, yang telah berjaya mendidik ahlinya untuk berkorban demi Islam, tiada lain yang diharapkan kecuali untuk melihat PAS terus berkembang dan terus berkembang sehingga satu tahap yang melayakkan PAS untuk memerintah dengan hukum Allah SWT, apabila masanya, hanya Allah SWT yang tahu.
Namun apa yang dapat dilihat, PAS kini telah menjadi sebuah jamaah yang kuat dan ramai dan memiliki pengikut yang tegar berjuang demi dasar Islamnya, sukar untuk digugat oleh segala bentuk fitnah yang cuba untuk meruntuhkannya.
Seorang yang dianggap pakar oreantalis barat dari Belanda, Dr Snouck Hurgronje yang lahir pada 1857, ketika mana tanah jajahan Belanda iaitu Hindia Belanda ataupun Indonesia sering mendapat tentangan daripada pejuang dari Acheh.
Acheh yang terkenal sebagai Serambi Mekah, yang ramai para ulama dan ketumbuhan serambi ilmunya dipelosok bumi Acheh, mereka bangun menentang penjajahan Belanda, kesukaran tunduk kepada penjajah ini dicetuskan oleh semangat jihad yang dicetuskan oleh para ulama dan ilmunya.
Dr Snouck Hurgronje yang mahir dengan Ilmu Islam telah menulis, "Kekuatan yang ada pada umat Islam di Acheh adalah kerana al-Quran yang berada di dalam dada mereka, itu adalah senjata paling tajam yang dimiliki mereka, jika senjata itu hilang daripada dada mereka, nescaya mereka akan menjadi seorang Belanda".
Begitulah juga dengan PAS, kebanyakan orang menyokong PAS kerana Islam, dalil perjuangan ini diambil daripada al-Quran dan Hadis, juga dari kalam para ulama, setiap inci perjalanan parti dan juga sebarang keputusan semuanya disandarkan kepada al-Quran, Hadis, Ijma dan Qias para Ulama.
Nak buang semua ni dari dada orang PAS yang telah terdidik sejak dulu, bukannya semudah menukar warna pakaian, walaupun ada yang keluar, ia digantikan oleh Allah SWT dengan lebih ramai. Ada yang bertanya, "Ustaz, kalau PAS betul, kenapa ada orang keluar PAS?" Saya menjawab dalam bentuk pertanyaan, "Apakah kita boleh menganggap Islam itu tidak betul, apabila ada orang yang keluar dari Islam?" Dia tidak menjawabnya.
Tidak betul kita menghukum Islam itu tidak betul, jika ada penganutnya berbuat salah, begitulah juga dengan PAS, tidak betul tindakan menghukum PAS jika kita tidak bersetuju dengan individu di dalam PAS.
Selagi Islam menjadi dasar PAS, selagi para ulama bersama PAS, selagi al-Quran dan Hadis mengalir di dalam jiwa ahli dan penyong PAS, selagi ahli PAS terus mendapat tarbiyyah, selagi ahli PAS sentiasa berada di dalam majlis ilmu, selagi ada manusia yang mencintai Islam, selagi itulah mereka yang cinta kepada Islam akan terus mencintai perjuangan PAS.
Insya-Allah, selagi itulah juga bahtera PAS akan terus berlayar di lautan persada dakwah dan politik Malaysia dan sanggup meredah gelombang fitnah dan Istiqamah hingga kemenangan, sama ada di dunia mahupun Akhirat.