Hadis Nabi s.a.w :
“Sesiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan orang-orang islam, maka dia bukan daripada mereka. ” (Riwayat At-Tabarani)
Islam bukan sekadar dibibir tapi juga harus dengan perbuatan, islam bukan datang dan pergi sebagaimana ideologi-ideologi manusia tapi islam datang dan kekal sehingga Kiamat.
Dalam kitab “ Bustanul ‘Arifin “ karangan Imam An-Nawawi pada Hadis ke dua puluh dua, ertinya:
“ Daripada Abu Zarr dan Muaz radhiyallahu ‘anhuma, daripada Rasulullah s.a.w, Baginda bersabda : “Bertakwalah kamu akan Allah Ta’ala dimana sahaja kamu berada dan ikutilah kejahatan dengan kebaikkan nescaya ia menghapuskan akan dosa kejahatan itu, dan bergaullah akan manusia dengan akhlak yang baik. ” (Riwayat At-Tarmzi)( hadis ini hadis hasan)
Berakhlak baik dengan manusia itu juga merupakan dakwah yang harus dilaksanakan dalam kehidupan seorang muslim, dan bukan kah berakhlak baik juga merupakan dakwah?
Sabda Rasulullah s.a.w :
“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin bertanggungjawab terhadap rakyat pimpinannya” (Muttafaq’alaih)
Dakwah semestinya dilakukan secara berkumpulan, semestinya kita tidak mampu dalam melaksanakannya keseorangan. Cuba bayangkan, ada 10 orang mat rempit dengan seorang individu dakwah, adakah individu dakwah tersebut punyai keberanian dan kekuatan? Adapun punya keberanian adakah pendakwah tersebut mampu berdakwah dengan baik? Ataupun pendakwah tersebut meninggalkan dakwah bertukar menjadi mat rempit juga?, kita kena sedar dalam dunia akhir zaman ini, iman kita tersangatlah lemah, maka kekuatan, nasihat, dorongan, panduan, perbincangan method dakwah mesti dilakukan dan bukan kah dengan semua perbuatan tersebut memerlukan individu lain untuk bersama-sama kita dalam membantu menyebarkan risalah dakwah ini? Maka inilah dikatakan wujudnya kumpulan islam atau jemaah islamiyyah, maka jelas bahawa kita sangat-sangat memerlukan kepada perbentukkan kumpulan dakwah yang dapat menggerakkan dakwah dalam segenap skop dan medium yang ada yang mungkin lebih meluas.
Sabda Nabi Muhammad s.a.w :
“ Hendaklah kamu sentiasa dengan Jamaah kerana tangan Allah bersama dengan Jamaah, dan sesiapa yang menyimpang dia akan menyimpang ke dalam api neraka ” (Riwayat At-Tarmizi)
Marilah kita bersyukur kepada Allah s.w.t diatas limpah rahmatNya kepada kita, iaitu rahmat kesedaran berjemaah dalam satu jemaah Islamiyyah. Ini adalah satu nikmat yang sangat besar yang diberikan Allah kepada kita, sesudah nikmat Al-Islam dan nikmat Al-Iman, kerana masih ada di hari ini orang-orang islam yang belum menggolongkan diri mereka dalam jemaah Islamiyyah, masih ada orang-orang islam yang tidak mengendahkan suruhan Allah supaya berjemaah sepertimana terdapat di dalam sabda-sabda Baginda berikut :
Rasulullah s.a.w bersabda :
“ Maka wajiblah ke atas kamu berjemaah kerana sesungguhnya serigala hanya memakan kambing yang jauh daripada kumpulannya ” (Hadith Riwayat Al-Nasa’i)
Sabda Rasulullah s.a.w kepada Huzaifah bin Al-Yaman r.a :
“ Kamu hendaklah bersama-sama jemaah muslimin dan imam mereka ”
(Hadith riwayat Al-Syaikhan dan Abu Daud)
Rasulullah s.a.w Bersabda :
“ Tangan Tuhan (keredhaanNya) bersama-sama jemaah, barangsiapa keluar (mengasingkan diri) atau (menyimpang) daripada jemaah maka ia menyimpang ke neraka ” (Hadith riwayat At-Tarmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda :
“ Sesiapa yang mahu keluasan syurga, maka hendaklah berpegang kepada jemaah ”
(Hadith riwayat At-Tarmidzi)
Sambungan hadith ini:
“ Bahawasanya syaitan bersama orang berkeseorangan dan ia lebih jauh daripada orang berdua. ”
(Hadith Riwayat Ahmad)
Orang islam yang menggabungkan dirinya dengan jemaah sudah selesai satu tuntutan agama yang besar, tetapi apabila seseorang itu berada dalam jemaah maka keanggotaannya itu meletakkannya kepada satu “mas’uliyyah” tanggungjawab yang tertentu pula, sebagai anggota jemaah, tugasnya tidak tamat dengan menjadi angota semata-mata, di sana ada disusuli dengan beberapa kewajipan-kewajipan yang tertentu yang mesti dikerjakan, dan ditunaikannya.
Imam Al-Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Saayyidina ‘Umar bin Al-Khattab r.a, bahawa beliau berkata :
“ Tidak ada islam melainkan dengan jemaah dan tidak sempurna jemaah tanpa pemimpin (imam), tidak ada, ertinya; kepimpinan tanpa ketaatan. ”
Didalam jemaah ada ahli biasa dan pula ahli jawatankuasa (atau ada pimpinan, yang terdiri daripada ketua, setiausaha, bendahari, dan sebagainya) yang menjalankan tugas menurut bahagian masing-masing, menyusun kerja-kerja, mengaturkan tugas, mengeluarkan arahan-arahan atau menyampaikan arahan, mengatur segala langkah yang diperlukan.
Supaya urusan orang-orang islam berjalan lancar, maka Allah s.w.t yang telah melantik manusia sebagi khalifahNya di bumi telah menggariskan panduan kerja, dengan mewajibkan kita ta’at kepadaNya dan ta’at kepada RasulNya dan ta’at kepada “Ulul-Amri” orang yang bertanggungjawab di kalangan orang-orang islam, di semua peringkat.
Allah s.w.t berfirman dalam surah An-Nisa’ :
“Wahai orang beriman! Ta’atlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada orang-orang yang bertanggungjawab daripada kalangan kamu, iaitu ketua-ketau kamu…”
(Surah An-Nisa’ : Ayat 59)
Bahawa tidak syak lagi, taat kepada amir atau imam adalah sebahagian daripada ta’at kepada Allah dan RasulNya, selain daripada ayat diatas, Rasulullah s.a.w bersabda :
“ Bahawa sesiapa ta’at kepada aku, maka ia sudah ta’at kepada Allah. Dan bahawa sesiapa yang derhaka kepada aku, maka ia derhaka kepada Allah. Dan barangsiapa ta’at kepada amir (Ketua), maka ia telah ta’at aku. Dan barangsiapa derhaka kepada ketua, maka ia derhaka kepada aku. ” (Muttafaq’alaih)
Daripada renungan kita kepada ayat-ayat Allah, sabda Rasulullah s.a.w dan perkataan ‘Umar Al-Kahttab r.a, jelas kepada kita bahawa keta’atan dan kepatuhan kepada pemimpin perlu dipertingkatkan lagi dalam jemaah kita, kadangkala keta’atan kepada kepimpinan masih kurang, kepatuhan kepada keputusan jemaah masih belum penuh, begitulah juga segala kerja menjadi lembab.
Tanggungjawab Dalam Jemaah
Bermula daripada menggabungkan diri dalam jemaah adalah wajib syar’i, seterusnya patuh kepada Ulul-Amri dalam jemaah adalah wajib syar’i. Maka urutan kepada inilah, maka kita endaklah bersama-sama berusaha supaya perasaan tanggungjawab dalam jemaah perlu dipertingkatkan lagi. Imam yang mengimami ada tugasnya dan makmum yang dibelakang ada tanggungjawabnya, keduanya mestilah sekata dan selari, walaupun tempat duduk berlainan, ibadat sembahyang boleh menjadi contoh kepada gerak kerja dalam jemaah dari segi disiplin dan tatatertib bekerja? Barang telah tentu, apabila kita berada dalam jemaah, maka mestilah segala gerak kerja kita menurut jemaah, sesuai dengan tuntutan berjemaah, anggota jemaah dikehendaki memahami sunnah.
1)Tujuan-Tujuan Jemaah.
Jemaah kita memperjuangkan untuk mewujudkan Negara Islam yang mesti didahului kewujudannya:
a) Individu Muslim
b) Rumahtangga Islam
c) Jemaah Islamiyyah
d) Masyarakat Islam
e) Negara Islam kemudiannya Khalifah Islamiyyah di bumi Allah ini
2)Anggota Jemaah Mestilah Mengetahui Tahap-Tahap Perjuangan Jemaah.
Sekarang ditahap mana?
Memperkenalkan prinsip hidup Islam dalam semua aspek; ibdat, akhlak, mu’amalatyang termasuk dalmnya; pakian, pergaulan, ekonomi, pentadbiran,politik dan lain-lainnya lagi.
3)Anggota Jemaah Mestilah Mengenali Sasaran Dakwah.
Dakwah ini ditujukan kepada siapa?
Sasaran kita ada dalam bermacam taraf dan kedudukan dari segi ilmu pengetahuan, kepentingan, kecenderungan, masaalah yang mereka hadapi berbagai-bagai, kelompok masyarakat beraneka ragam.
Perkara atau permasaalahan di atas semuanya mempunyai kaedah dan cara yang tertentu untuk menghadapinya, yang telah disusun oleh jemaah.
Anggota jemaah mestilah patuh kepada kaedah atau cara yang ditentukan oleh parti, atau jemaah, tidak boleh sama sekali ahli-ahli membuat kerja menurut selera masing-masing, jemaahlah yang membentuk cara itu, ahli mestilah mematuhi tanpa ragu dan was-was, ijthad sendiri mestilah dihapuskan kerana ia hanya mencelarukan jemaah, dan tidak dapat, menyatkan Fikrah Al-Jemaah dan ‘Amal Al-Jemaah, sebab itu kita menekankan supaya segala aktiviti jemaah hendaklah dibuat menurut kehendak jemaah dan diselaras dengannya walau sekecil manapun pekerjaan ahli sehinggalah kepada urusan peribadi sekalipun ia tetap ada hubungannya dengan jemaah dan akan dikaitkan dengan jemaah. Hal ini hendaklah dipakai oleh semua ahli apatah lagi pimpinan jemaah, sebab itulah pesanan (“ berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran ”), menjadi kaedah hidup umat Islam yang mutlaq, sama ada bagi kehidupan peribadi atau jama’i.
Segala gerak kerja anggota jemaah mestilah menguntungkan jemaah, segala gerak kerja yang merugikan hendaklah dihindarkan, baik gerak kerja itu gerak kerja lidah atau perbuatan, semuanya menjadi tanggungjawab kita, di antara perkara yang perlu diambil perhatian dalam ‘Amal Jama’I ialah seperti berikut :
a.Bekerja dengan ikhlas untuk mendapat keredhaan Allah semata-mata.
b.Bekerja menurut arahan dan program jama’i
c.Keta’atan dan kepatuhan kepada jemaah adalah kepatuhan kepada Allah dan RasulNya.
d.Kecuaian akan merugikan dirinya sendiri dan merugikan jemaah.
e.Menerima apa-apa jawatan atau tugas, ertinya menerima tanggungjawab memikul amanah.
f.Seorang yang bertugas mestilah menganggap jemaah akan tercatat dengan kecuaiannya dan tugasnya adalah yang terpenting.
g.Petugas hendaklah menganggap dirinya sebagai jundi dan syi’arnya ialah; “Kami dengar dan kami patuh.”
h.Kerja yang sempurna, Al-Itqan dan Al-Ihsan, adalah menjadi budaya muslim.
Selain daripada perkara di atas, didapati bahawa hubungan diantara kepimpinan dengan kepimpinan mengikut susunan jemaah adalah satu perkara yang memainkan peranan yang penting bagi melicinkan kerja jemaah, dimana kita ada beberapa peringkat kepimpinan:
a. Peringkat pusat, iaitu jawatankuasa kerja pusat.
b. Peringkat negeri, iaitu diketuai pesuruhjaya,
c. Peringkat kawasan, iaitu diketuai oleh ketua kawasan.
d. Peringkat cawangan, iaitu diketuai oleh ketua cawangan.
Masing-masing ada tanggungjawab masing-masing, yang telah diatur oleh perlembagaan jemaah kita. Mereka itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab melaksanakan segala urusan parti mengikut keputusan-keputusan yang dibuat oleh jemaah; kepimpinan membuat keputusan-keputusan, cadangan, perencanaan, mengatur gerak kerja yang difikirkan sesuai dan munasabah untuk mencapai matlamat. Hal ini akan berubah daripada satu masa ke satu masa yang lain, menurut ijtihad kepimpinan pusat.
Adapun yang tidak berubah ialah dasar. Dasar kita adalah Islam. Ia tidak berubah dan tidak akan berubah pada bila-bila masa, tetapi cara mana kita mahu menjalankan gerak kerja kita bagaimana taktik atau teknik,apakah pendekatan kita, rancangan kita, ini akan sentiasa berubah. Perubahannya kadangkala besar, kadangkala kecil, sesuatu perubahan teknik atau cara tertentu ada sebabnya. Kepercayaan yang mutlaq kepada bijaksanaan kepimpinan (thiqah) yang tidak berbelah bagi adalah amat mustahak, khususnya kita hidup di dalam arena politik yang bergerak ligat, seligat roda kereta yang laju, sekiranya jemaah kita tidak mampu membuat keputusan yang cepat, untuk menghadapi suasana, kita akan ketinggalan zaman, maka keputusan perlu dibuat yang difikirkan sesuai menghadapi sesuatu masaalah. Jikalau semunya dikehendaki didahulukan dengan pemberitahuan dan mesyuarat di semua peringkat, maka tentulah kita akan ketinggalan, cukuplah kita pasti dasar tidak berubah, tanpa satu tahap (thiqah) atau kepercayaan, atau keta’atan yang sewajarnya kepada kepimpinan, kita tidak dapat bergerak dizaman serba laju ini.
Oleh yang demikian disana mesti ada beberapa perkara diantara kepimpinan bawahan atau ahli biasa dengan kepimpinan di semua peringkat, iaitu :
a.Mempercayai dan berbaik sangka terhadap kebijaksanaaan kepimpinan
b.Menghormati, menta’ati pemimpin dalam semua keadaan
c.Sedia berkorban demi mencapai matlamat jemaah.
d.Sedia menerima hukum Allah dan hukum RasulNya tanpa ragu dan was-was.
e.Perasaan kasih sayang dan hubungan persaudaraan yang mendalam terhadap pimpinan.
f.Mempunyai adab/ sopan santun atau aqlak Islamiyyah yang tinggi dalam menjalankan kerja-kerja jemaah
Apabila perkara-perkara diatas menjadibudaya jemaah, maka sudah tidak ada lagi dalam jemaah tempat bagi fitnah bersarang dan bertelur, kebencian bermaharajalela, atau kelembapan menjalankan kerja jemaah, semuanya itu disimpulkan bahawa ahli-ahli jemaah apatah lagi pemimpin-pemimpin jemaah mestilah ada pada mereka sifat-sifat, al-faham, al-taqwa dan al-ta’at.
Seorang muslim itu adalah pegawai petugas untuk mewujudkan Negara Islam kemudian khalifah Islamaiyyah, seorang muslim mesti ada dalam jemaah islamiyyah, menjaga rukun jemaah Islamiyyah adalah wajib, ta’at, patuh dan bersabar menerima apa-apa jua arahan kepimpinan adalah satu perkara asas dalam berjemaah, kepimpinan jemaah hendaklah diletakkan di atas kepentingan peribadi, gerak kerja ahli akan dikira sebagai membantu atau meruntuh jemaah, dari sinilah kita akan faham rahsia Allah s.w.t memberi tahu NabiNya Sayyidina Muhammad bin ‘Abdullah dengan firmanNya:
“ Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat kepada orang-oang yang tidak bersedia menyempurnakannya. “
(Surah Al-Muzzammil : Ayat 5)