Ahad, 3 Disember 2017

KEPERLUAN KEPADA SEBUAH JAMAAH ISLAMIYYAH

a) Jamaah Islam merupakan satu institusi yang bergerak memperjuangkan Islam dari sebarang ancaman musuh-musuh Islam. Oleh itu jemaah diperlukan untuk membina individu, keluarga, masyarakat, pemerintahan dan perlaksanaan undang-undang Islam.

b) Umat Islam yang berorganisasi dengan jemaah Islam yang benar-benar mempoerjuangkan Islam tidak akan dapat disesatkan oleh musuh kerana mereka sentiasa dilindungi oleh ajaran Al-Qur’an dan Hadis Nabi saw. Nabi saw bersabda:-

“Barangsiapa yang memecahbelahkan, maka ia bukan dari kalangan kami. Rahmat Allah berada bersama-sama dengan jemaah, dan sesungguhnya serigala hanya memakan kambing yang menyendiri”

Sabda Nabi saw lagi:

“Hendaklah kamu berjemaah kerana sesungguhnya jemaah itu adalah rahmat dan perpecahan itu merupakan azab”

c) Jemaah Islam merupakan satu tempat melatih kita berkepimpinan dengan cara memberi wala’ dan baiah kepada seseorang ketua pimpinan. Sebagaimana Sabda Nabi saw:-

“Apabila berangkat tiga orang dalam musafir, maka salah seorang daripada mereka hendaklah menjadi ketua”

d) Berjemaah merupakan jalan pelaksanaan cita-cita Islam untuk memakmurkan bumi Allah ini, berlandaskan kaedah usul fiqh.

“Tidak sempurna suatu kewajipan melainkan dengannya maka ia adalah wajib.”

e) Berjemaah boleh menambahkan keutuhan hubungan antara mukmin dengan mukmin yang lain. Mereka juga saling mempercayai, menyayangi serta bekerjasama dalam menegakkan kebenaran dan menghapuskan kemungkaran. Firman Allah swt:-

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan, dan mereka mendirikan solat dan mengeleluarkan zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu diberi rahmat oleh Allah” (Surah At Taubah : 71)

f) Bagi orang yang berada dalam jemaah Islam, mereka adalah syuhada’ dan pejuang Islam yang sanggup bekerja dan beramal untuk keredhaan Allah.

g) Beriltizam dengan kepatuhan, ketaatan dan disiplin jemaah. Setiap anggota jamaah mestilah beriltizam dengan memberi sepenuh keyakinan, ketaatan dan komitmen dengannya. Kesetiaan dan kepatuhan ini terpancar dari dalam diri ahli-ahli sendiri dengan kerelaan dan kecintaan kepada jamaah.

h) Jemaah Islam sebagai pembentuk masyarakat berakhlak. Sesungguhnya kekuatan sesebuah jamaah bukan hanya bergantung kepada pencapaian dalam bidang ekonomi, politik, teknologi, perhubungan dan sebagainya tetapi juga kepada kekentalan semangat beragaman dan akhlak mulia. Seringkali organisasi yang tidak berasaskan keredhaan Allah mengalami kehancuran akibat keruntuhan moral ahli-ahlinya seperti pecah amanah, rasuah, penyelewengan dan sebagainya. Jamaah Islam adalah pemangkin masyarakat kea rah melahirkan masyarakat yang bermoral.

i) Jamaah sebagai pelantar masa depan ummah. Masyarakat Islam kini menghadapi pelbagai masalah sama ada dari dalaman atau luaran, ditambah pula dengan kemunduran berbanding dengan Negara-negara lain. Jamaah Islam perlu menyatukan semula umat Islam dan membuat perancangan mengenai arah tuju dan corak pentadbiran Islam pada masa depan, umat Islam bukan sahaja ditelan arus kemajuan tetapi menjadi mangsa kemusnahan dari musuh-musuh Islam.