Khamis, 19 Oktober 2017

Menghadap ke bawah DYMM Seri Paduka Baginda YDP Agong Sultan Muhammad V dan Majlis Raja-Raja Melayu,

::: DAULAT TUANKU, SEMBAH PATIK HARAP DI AMPUN :::

Menghadap ke bawah DYMM Seri Paduka Baginda YDP Agong Sultan Muhammad V dan Majlis Raja-Raja Melayu,

Daulat Tuanku,

Nama patik, Amir Muttakin bin Haji Ab Ghani. Patik hanya rakyat marhaen biasa. Patik minta maaf terlebih dahulu sekiranya kandungan surat patik tidak menepati piawaian bahasa istana. Patik hanya ingin menyampaikan apa yang terbuku pada isi hati patik dan mungkin hamba rakyat yang lain.

Daulat Tuanku,

Kami menjunjung titah DYMM Sultan Johor atas kemurkaan Baginda Sultan berkenaan isu dobi. Kami juga menjunjung titah DYMM Sultan Selangor atas kemurkaan Baginda terhadap isu Ustaz Zamihan, Pegawai Kader JAKIM dan isu keharmonian rakyat jelata di bawah payung pemerintahan tuanku keduanya.

Namun, terbuku di hati patik alangkah besarnya rahmat bagi hamba rakyat sekiranya Tuanku  YDP Agong, Sultan Muhammad V bersuara akan isu yang melibatkan sensitiviti umat Islam yang bermain selama ini. Kami hamba rakyat sudah tidak tahu ingin mengadu kemana-mana lagi melainkan mengharapkan teguran dan titah daripada Majlis Raja-Raja berkenaan dengan isu;

i. Siti Kasim, penghinaannya terhadap hukum Allah dan isu korban.

Sedangkan DYMM TYDP Agong sendiri mencemar duli menyembelih lembu korban tetapi ibadah ini dipertikaikan oleh Siti Kasim sebagai ibadat yang sia-sia. Sehingga saat ini, Siti Kasim sombong dan bongkak kerana tiada sebarang akta yang boleh mengheret beliau ke muka pengadilan atau sekurang-kurang menghentikan lidahnya daripada bercakap tentang Islam yang mulia.

Alangkah indahnya kalau DYMM SPB YDP Agong dan Majlis Raja-Raja mencampuri urusan ini demi nama baik Islam dan Raja Melayu itu sendiri.

Kami tidaklah berniat agar saudara kami (sekiranya dia masih Islam) itu dihukum bunuh atau dipenjarakan, cukuplah sekiranya dia dihukum agar tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam.

Daulat Tuanku,
Isu seterusnya adalah;

ii. Pesta Arak, penghinaan parti politik dan hotel yang ingin meneruskan festival.

DYMM SPB YDP Agong merupakan Ketua Agama dan payung buat kami hamba rakyat yang beragama Islam. Ke mana lagi ingin kami bawa protes apabila kerajaan yang ada hanya memikirkan tentang soal undi dan hati bukan Muslim sehingga sanggup membiarkan kami hanya bermonolog kosong dan memprotes dengan suara yang lantang tanpa didengari.

Alangkah indahnya sekiranya DYMM SPB YDP Agong dan Majlis Raja-Raja mencampuri urusan ini demi nama baik Islam dan Raja Melayu itu sendiri.

Daulat Tuanku,
Isu seterusnya adalah;

iii. Pusat Perjudian, Pusat Pelacuran dan Lambakan Rumah Urut.

Untuk maklumat DYMM SPB YDP Agong dan Majlis Raja-Raja, pihak PDRM sendiri telah beberapa kali mengeluarkan arahan dan ancaman kepada pihak yang dimaksudkan namun seakan-akan ada kuasa yang luar biasa menjadi benteng kepada mereka sehinggakan mereka tidak gentar dengan amaran dan ancaman daripada pihak polis.

DYMM Tuanku boleh semak melalui laporan OPS DADU KHAS yang dijalankan saban tahun. Walaupun telah banyak pusat perjudian haram yang ditumpaskan namun seolah-olah mereka kebal dengan ancaman pihak polis.

Alangkah indahnya sekiranya DYMM SPB YDP Agong dan Majlis Raja-Raja mencampuri urusan ini nama baik Islam dan Raja Melayu itu sendiri.

Daulat Tuanku,

Cukuplah setakat ini dahulu patik menulis buat tatapan Tuanku dan Majlis Raja-Raja.

Patik hamba rakyat tidak bermaksud mengheret institusi Diraja ke lembah pacal yang hina. Namun, sekiranya Tuanku sudah mencemar duli tentang isu dobi, maka sudilah kiranya menyelesaikan permasalahan kami ini demi kemaslahatan hamba rakyat yang bernaung di bawah payung Tuanku.

Kalau isu remeh sekecil isu dobi pun boleh dibincangkan meluas sehingga menarik perhatian Majlis Raja-Raja melalui kecaman Ustaz Zamihan, maka kami hamba rakyat mohon Majlis Raja-Raja campurtangan isu yang besar dan sedang bermain dikalangan kami hamba rakyat.

Daulat Tuanku,
Sembah patik harap diampun,
Patik hanya cuba berkata benar,
Sekurang-kurangnya patik terlepas dari tanggungjawab nasihat.

Amir Muttakin bin Ab Ghani

#bernama
#utusanmalaysia
#beritaharian
#sinarharian
#majlisrajaraja
#sultanmuhammadV