Selasa, 8 Ogos 2017

Golongan Yang Mahukan lslam Seringkali Dihina, Dicemuh, Ditohmah, Difitnah



Sejarah lslam telah memaparkan melalui kisah-kisah al-Quran dan Sunnah tentang kepedihan dan ranjau-ranjau yang pernah dilalui oleh para anbia dan Rasul-rasul a.s. serta pengikut-pengikut mereka dalam menyampaikan risalah Allah kepada manusia.

Firman Allah yang bermaksud:

“Dan mereka tidak menyeksa orang-orang Mukmin itu melainkan kerana orang-orang Mukmin itu beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa Lagi Maha Terpuji” - (al-Buruuj: 8).

Golongan yang mahukan kepada lslam seringkali dihina, dicemuh, ditohmah, difitnah dan berbagai lagi tindakan yang dilakukan oleh golongan kuffar yang berkuasa. Golongan ini terus menolak seruan yang dibuat sekalipun seruan dan dakwah itu untuk kebaikan mereka di dunia dan di akhirat.

Al-Quran telah memaparkan peristiwa pertarungan antara Nabi lbrahim a.s. dengan Namrud, Nabi Musa a.s. dengan pemerintahan Firaun dan akhirnya antara Nabi Muhammad SAW dengan pemimpin-pemimpin yang berkuasa di Mekah.

Semua peristiwa ini menjadi contoh bagi meningkatkan keyakinan kita dalam perjuangan lslam yang kita dokong selama ini.

Sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW yang memakan masa lebih dari dua dekad adalah contoh terdekat untuk kita renungi dan pelajari.

Para rasul sebelumnya hanya menghadapi satu barisan musuh sahaja iaitu kekuasaan dan kekuatan kuffar setempat.

Keadaan ini berlainan dengan suasana yang dihadapi oleh Nabi Muhammad SAW, di mana baginda terpaksa berhadapan dengan pelbagai kuasa kuffar dari dalam dan luar disamping penyatuan barisan di kalangan mereka yang mendakwa sebagai Muslim iaitu golongan munafiqin dengan kekuatan kuffar dalaman yang terdiri daripada kaum Yahudi dan musyrik Arab.

Meskipun demikian, seluruh barisan musuh telah dapat dipatahkan, malah ramai dari pengikut golongan kuffar telah memeluk lslam dan menerima ajarannya yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW itu, bahkan ikut memperjuangkannya pula.

Firman Allah yang bermaksud:

“Dan katakanlah yang benar telah datang dan yang bathil telah hilang lenyap. Sesungguhnya yang bathil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap” - (al-lsra’: 81).

Sungguhpun Rasulullah SAW telah meninggalkan kita 14 abad yang lalu, tetapi risalah lslam terus berjalan dan berkembang.

Generasi demi generasi terus mempertahankan risalah lslam dan memperjuangkannya dengan menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran sama ada dalam bentuk yang sama seperti yang dihadapi oleh Rasulullah SAW atau cabaran dalam bentuk baru.

Sesungguhnya, musuh-musuh lslam mempunyai matlamat untuk menghancurkan lslam dan kekuatan ummahnya. Firman Allah yang bermaksud:

“Mereka berkehendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang kafir tidak menyukainya” - (at-Taubah: 32).

Hari ini gerakan lslam atau harakah lslam terus mewakili cabaran yang pernah dihadapi oleh Rasulullah SAW.

Suasana yang dihadapi kian hari kian meruncing. Pendokong gerakan lslam kini terdiri daripada manusia biasa, keupayaan yang mereka miliki adalah terhad.

Sementara penentang-penentang lslam semakin rakus dan ganas. Dalam keadaan serba terhad ini kita menghadapi gabungan kekuatan kuffar dan munafiqin serta konspirasi hebat mereka.

Penentang gerakan lslam hari ini telah mempelajari pengalaman yang pernah dialami oleh kuasa kuffar dunia bahawa selagi mereka menentang lslam secara terbuka dan menggunakan kekerasan, selama itulah umat lslam tidak akan kecundang atau tunduk kepada mereka.

Oleh itu mereka telah mengubah strategi yang dianggap sebagai baru iaitu dengan menunjukkan bahawa mereka bersimpati dengan lslam dan nasib ummahnya, malah ada di antara mereka yang mendakwa bahawa merekalah pejuang lslam yang sebenar.

Mereka menuduh gerakan lslam sebagai golongan yang menyeleweng, ekstrim, pelampau dan sebagainya.

Mereka menonjolkan kepentingan maddi dan duniawi yang dapat mempesonakan orang-orang awam biasa dengan berselindung di sebalik slogan-slogan pembangunan yang kononnya selari dengan ajaran lslam.

Mereka menggunakan lslam untuk menentang lslam. Mereka mulai mencari ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang kononnya menyokong tindakan-tindakan mereka.

Mereka melaksanakan program yang berbentuk agama yang dapat memberikan keuntungan kebendaan dan keduniaan, tetapi membiar dan merelakan kemungkaran dan kemaksiatan bermaharajalela di hadapan mereka. Allah telah berfirman yang bermaksud:

“Dan demikianlah kami adakan pada tiap-tiap negeri penjahat-penjahat yang besar agar mereka melakukan tipu daya dalam negeri itu. Dan mereka tidak memperdayakan melainkan dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya” - (al-An’am: 123).

Kita hendaklah sedar bahawa apa juga bentuk rancangan jahat yang telah diatur oleh mereka bagi menghalang dan menentang lslam tidak mungkin berjaya, sebaliknya lslam akan terus berkembang dan mara ke hadapan.

“Dan sesungguhnya mereka telah membuat rancangan jahat mereka (untuk menentang lslam) sedang di sisi Allah ada balasan bagi rancangan jahat mereka, walaupun rancangan jahat mereka itu dapat melenyapkan gunung-ganang” - (lbrahim: 46).

Dalam konteks negara kita Malaysia, PAS sebagai satu wadah perjuangan ummah hendaklah meneruskan perjuangan tersebut demi untuk keagungan lslam dan menegakkan perintah Allah di atas muka bumi ini.

Justeru itu, PAS hendaklah tetap dengan identitinya disamping berkewajipan pula menyatu dan meningkatkan lagi perpaduan di kalangan ahli dan penyokong-penyokongnya.

Dengan kesepaduan sokongan daripada ahli-ahli dan penyokong, PAS bukan sahaja mampu menghadapi lawan dengan mudah, malah boleh mengerunkan pula mereka.

Untuk mengekal dan meningkatkan perpaduan, semua ahli dan penyokong-penyokong PAS bermula dari peringkat pimpinan atas hinggalah kepada ahli-ahli biasa hendaklah sentiasa patuh dan taat kepada setiap arahan jamaah walaupun arahan-arahan itu berat dirasai.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Menjadi kewajipan atas setiap Muslim mendengar dan mematuhi sama ada dalam perkara yang ia suka atau tidak suka”.

Perlu ditegaskan bahawa PAS mempunyai syakhsiyahnya tersendiri dan ia bergerak serta berjuang mengikut peraturan dan khittah parti. Apa yang PAS lakukan adalah kesinambungan kepada apa yang pernah dilakukan oleh para pemimpin yang terdahulu.

Sebagai jamaah yang mempunyai sikap dan syakhsiyahnya, perjuangan PAS tidak mungkin boleh dijual beli.

Atas sebab-sebab itu maka PAS, tidak boleh bertolak ansur dengan mana-mana pihak sekiranya ia boleh menjejaskan dasar dan syakhsiyah PAS. Sungguhpun demikian, PAS tetap mengamalkan sikap terbuka.

PAS sedia berunding dan berbincang dengan sesiapa sahaja demi kebaikan ummah sama ada dari dalam atau luar negara.