PAUTAN TAMBAHAN

Khamis, 20 Julai 2017

GHARQAD ISRAEL - kita mula dikejutkan dengan berita Israel menutup Masjid al-Aqsa.


GHARQAD ISRAEL.

Sedar atau tidak, sepanjang musim Arab Spring, Israel hanya berdiam diri membiarkan drama perang proksi berlangsung dengan jayanya.

Setelah berlangsung Arab Spring yang berperanan melakar peta baharu bagi Asia Barat, kita mula dikejutkan dengan berita Israel menutup Masjid al-Aqsa.

Kita perlu peka dengan perkembangan geopolitik semasa yang menjadikan Israel cukup selesa pada hari ini.

⚫ Kurdistan.

Negara yang sedang diprojekkan melalui lobi Israel membabitkan sebahagian kawasan Syria, Turki dan Iraq. Proses ke arah penubuhan negara sekutu Israel tersebut sedang berjalan lancar menjelang tahun 2018.

Kedudukannya yang amat strategik amat berpotensi menjadi benteng Israel bagi menempatkan pertahanannya dia bahagian Utara.

Seterusnya Israel bakal menguasai sumber air. Sungai Furat di sempadan antara Syria dan Turki. Manakala Sungai Tigris di sempadan antara Turki dan Iraq.

⚫ Somaliland.

Negara baharu dan kecil di Tanduk Afrika yang menerima pengiktirafan dari UAE dan Israel. Lokasinya amat strategik untuk mengawal laluan perairan Bab Mandab, sekaligus membolehkan Israel menguasai Laut Merah. Laluan yang membelah dunia.

Keakraban dan motif penubuhannya yang amat sinonim dengan agenda Israel hingga digelar 'Israel di Tanduk Afrika'.

⚫ Ikhwan & Hamas Cuba Dilumpuhkan.

Sementara itu penguasa-penguasa Arab kelihatan dirasuk hantu Islamphobia dengan menjadikan gerakan-gerakan Islam sebagai sasaran prima. Kononnya gerakan-gerakan Islam adalah pengganas. Manakala Israel pula tidak ganas bahkan dianggap jiran tetangga yang perlu disantuni.

Ikhwan Muslimin dan Hamas ternyata menjadi mangsa. Ikhwan Muslimin dianggap ancaman kepada penguasa-penguasa Arab. Manakala Hamas dianggap ancaman langsung kepada Israel.

Ikhwan Muslimin dibelasah teruk terutamanya selepas rampasan kuasa di Mesir. Hamas mula terjejas operasinya bermula dari krisis Syria kerana bantuan yang sepatutnya mereka perolehi sebahagian besar melalui jalan Syria.

Kedua-dua gerakan Islam yang cukup berpengaruh ini cuba dilumpuhkan oleh penguasa-penguasa Arab yang mengaku Islam. Mereka bekerja untuk siapa?

Pada masa yang sama umat Islam terlepas pandang akan nasib al-Quds kerana khayal menyaksikan perang proksi terutamanya di Syria yang telah diplotkan penuh dramatik. Sekaligus Hamas dilupakan.

⚫ Gharqad.

Fenomena penguasa-penguasa Arab memburu gerakan Islam untuk melindungi kepentingan Israel telah diulas oleh Syeikh Dr Solah Abdul Fattah al-Khalidi.

Penulis pernah bertanya kepada beliau apakah maksud gharqad di dalam hadith;

لا تقوم الساعة حتى يقاتل المسلمون اليهود فيقتلهم المسلمون حتى يختبئ اليهودي من وراء الحجر والشجر فيقول الحجر أو الشجر يا مسلم يا عبد الله هذا يهودي خلفي فتعال فاقتله إلا الغرقد فإنه من شجر اليهود

"Tidak berlaku kiamat sehingga umat Islam memerangi Yahudi. Maka umat Islam membunuh mereka hingga Yahudi menyorok di sebalik batu dan pokok. Maka batu dan pokok berkata "Wahai muslim, wahai hamba Allah, ini Yahudi di belakangku maka datang dan bunuhlah dia". Kecuali gharqad, sesungguhnya gharqad merupakan pokok Yahudi" - hadith Sahih Muslim.

Beliau menjelaskan secara literal merujuk kepada pokok gharqad yang sedang giat ditanam oleh Zionis.

Adapun maksud yang lain, gharqad juga merujuk kepada penguasa-penguasa yang sifatnya melindungi kepentingan Israel. Selari dengan sifat gharqad di dalam hadith yang peranannya melindungi Yahudi dari ancaman umat Islam.

⚫ Israel Raya.

Dengan mengumpulkan segala perkembangan-perkembangan yang telah dinyatakan di atas, apa lagi yang boleh disimpulkan melainkan Israel sedang cukup selesa meluaskan jajahannya. Kurdistan dan Somaliland mengepung dunia Arab.

Dari belahan sungai Furat dan Tigris hingga ke sungai Nil. Bukankah itu kawasan idaman Israel? Bahkan kini Israel sangat berpotensi ke arah itu.

Mungkin selepas ini akan tercetus lagi babak-babak provokasi yang seolah-olah mengejek upaya umat Islam.

⚫ Bilakah Kita Mahu Serius?

Zionis memperolehi peluang atas kelalaian kita, umat Islam. Negara-negara Arab keliling Israel yang menyimpan jiwa-jiwa muslimin yang sepatutnya dilaburkan untuk memerangi Israel, tetapi malangnya telah diplotkan untuk berbunuhan sesama sendiri.

Pada masa yang sama penguasa-penguasa Arab yang berjenama Islam lebih berminat membunuh gerakan Islam dan menjilat agenda Israel. Proksi.

Kita perlu serius mengambil tahu dan peka terhadap isu umat dengan mengambil tahu strategi musuh. Sekurang-kurangnya menyelamatkan kita dari terikut-ikut dengan rentak yang telah diplotkan oleh musuh. Kita ada banyak sejarah yang memalukan, umat Islam masuk perangkap musuh.

Menyedari kelemahan bermula dari lemahnya kita merasa bertanggungjawab untuk memahami realiti yang sedang berlaku. Tidak cukup dengan slogan maki Israel, mafla al-Quds dan alunan nasyid Palestin. Selagi tidak diiisi dengan ilmu dan info, maka itu semua hanyalah gimik dorongan emosi yang tidak akan kekal lama.

⚫ Islam Pasti Menang.

Zionis Israel pasti hancur. Itu pasti. Persoalannya, apakah kini kita layak beroleh kemenangan atau sememangnya kita berhak dihina kerana tidak serius dengan Islam? Wahai Allah, ampunkan kami.



#Abdul Mu'izz Muhammad
19 Julai 2017